lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Usahawan Bumiputera Perlu Rebut Peluang Ekonomi Digital
Usahawan Bumiputera Perlu Rebut Peluang Ekonomi Digital
KUALA TERENGGANU, 25 Julai- Komuniti perniagaan Melayu di Terengganu perlu merebut peluang daripada revolusi ekonomi digital yang berpotensi besar melonjakkan pendapatan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ekonomi digital dan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) yang menjadi tumpuan sektor perniagaan menyediakan peluang luas buat usahawan bumiputera meneroka pasaran tanpa modal besar tetapi mampu menjana pulangan tinggi. Katanya, sektor berkenaan bukan hanya menyediakan pasaran lebih luas, malah boleh diusahakan di mana jua lokasi dengan syarat mempunyai akses internet yang stabil. “Apabila ekonomi berubah ke dunia digital, kita kena lebih peka apa yang berlaku secara dalam talian dan sebagai usahawan, kita perlu bersedia dari segi minda untuk melakukan perubahan. “Selain ekonomi digital, negeri kita juga mempunyai banyak peluang lain yang boleh diterokai usahawan contohnya teknologi hijau yang melibatkan industri silika bermutu tinggi. “Walaupun sektor tersebut melibatkan pelaburan agak besar itu tugas kerajaan untuk mencari pelabur dan sebagainya, tetapi kita sebagai usahawan perlu bersedia menyambut apa yang dibangunkan kerajaan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Kolokium Usahawan Melayu anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) di Hotel Grand Puteri di sini, hari ini. Dalam ucapannya, Nurkhuzaini turut merakamkan penghargaan kepada DPPMT atas inisiatif menganjurkan kolukium yang dapat menghimpunkan suara usahawan dari pelbagai sektor ekonomi. “Semoga DPPMT berupaya meneruskan misinya dalam memperjuangkan usahawan Melayu di negeri ini,” ujarnya. Sementara itu katanya, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan usahawan Melayu terus berdaya maju serta dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri. “Antaranya menyediakan peluang perniagaan, sokongan, pemberian insentif disamping bimbingan, khidmat nasihat dan lain-lain,” katanya. Tambah beliau, selain usaha gigih kerajaan untuk membangunkan usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan sendiri perlu berusaha meningkatkan keupayaan bersaing mereka. “Gabungan dan kerjasama antara mereka perlu diteruskan dengan meningkatkan kerjasama dan saling bantu membantu terutama di antara yang telah maju dan kurang maju,” ujarnya.
25 Jul 24
172
Hutang Negara Cecah RM1.22 Trilion – Amzad
Hutang Negara Cecah RM1.22 Trilion – Amzad
KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, mengkritik keras pentadbiran Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 kerana telah meningkatkan hutang negara paras RM1.22 trilion, kadar tertinggi dalam sejarah negara. Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba memutarbelit fakta dengan mendakwa Kerajaan Madani berjaya mengurangkan pinjaman wang daripada RM93 bilion pada tahun lalu ke RM86 bilion tahun ini dan berbanding sekitar RM100 bilion pada 2021 dan 2022. “Justifikasi yang diberikan oleh Anwar adalah tidak munasabah kerana hutang Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion setakat akhir April tahun ini, berbanding RM1.17 trilion pada akhir tahun lalu. “Perbandingan dengan tahun 2021 adalah tidak adil kerana tahun tersebut adalah tahun pandemik COVID-19, di mana kerajaan terpaksa berhutang lebih untuk menangani krisis global yang melumpuhkan ekonomi seluruh dunia. “Kerajaan ketika itu berusaha sebaik mungkin untuk membantu rakyat dan mengimbangi ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini. Amzad juga mengkritik janji Kerajaan Madani untuk tidak menaikkan hutang, sedangkan jumlah kenaikan hutang bagi empat bulan pertama tahun 2024 adalah pada kadar paling laju dalam sejarah. Beliau menyatakan bahawa kenaikan kedua terbesar berlaku pada tahun 2023 di bawah Kerajaan Madani juga, iaitu sebanyak RM93 bilion. “Hutang tidak akan bertambah sekiranya kerajaan meminjam untuk membayar balik hutang lama,” jelasnya. Beliau mempertikaikan formula yang digunakan oleh Anwar dengan mengatakan bahawa hutang semakin bertambah. Selain itu, Ahmad Amzad turut mempersoalkan dakwaan Anwar bahawa beliau terpaksa menanggung hutang-hutang lama termasuk 1MDB berjumlah RM48 bilion. “Skrip yang sama juga digunakan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Walaupun 1MDB mempunyai hutang RM42 bilion, ia mempunyai banyak aset bernilai dan tidak menyebabkan negara bankrap. “Namun, pinjaman RM50 bilion dalam tempoh empat bulan tidak pula dianggap membankrapkan negara. "Hutang naik tinggi ketika Kerajaan Madani membuat bajet perbelanjaan terbesar dalam sejarah, iaitu RM393.8 bilion, lebih tinggi dari perbelanjaan tahunan semasa pandemik COVID-19,” ujarnya. Beliau berkata apabila perbelanjaan sangat besar dalam keadaan bajet masih defisit, maka kenaikan hutang akan lebih laju. Amzad menegaskan bahawa jika kerajaan berhasrat untuk mengurangkan hutang, ia perlu mengawal perbelanjaan, bukan meningkatkan perbelanjaan ke tahap paling besar dalam sejarah. “Walaupun Kerajaan Madani berjaya menurunkan defisit ke 3.5 peratus pada tahun 2025, hutang tidak akan berkurang. "Hal ini kerana, defisit tersebut bermakna perbelanjaan kerajaan lebih tinggi berbanding hasil dan ini memerlukan kerajaan untuk terus meminjam,” katanya. Di samping itu, Amzad turut mengkritik tindakan Kerajaan Madani yang menghapuskan subsidi diesel, menyebabkan kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 kepada RM3.35 seliter dengan alasan untuk menanggung ketirisan. “Kenaikan harga diesel turut menyebabkan harga barang naik, sementara tangga gaji masih di takuk yang sama, menambah bebanan kepada rakyat. “Saya menggesa PMX untuk berhenti menuding jari ke arah orang lain dan mengakui kelemahan beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” ujarnya. Beliau memberi amaran bahawa jika keadaan ini berlarutan, ekonomi negara akan menjadi lebih teruk dan rakyat akan paling terkesan.
24 Jul 24
7527
MAIDAM Serah Wakalah Majikan Kepada 19 Institusi Pendidikan
MAIDAM Serah Wakalah Majikan Kepada 19 Institusi Pendidikan
KUALA NERUS, 24 Julai – Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyerahkan wakalah majikan  bernilai RM302,955.85 untuk bayaran zakat kepada 19 institusi pendidikan di empat daerah di Terengganu bagi tahun 2023. Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan) Zakat MAIDAM, Nazli Amirri Ngah berkata, empat daerah tersebut adalah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu. “Ia bertujuan untuk membantu pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin di sekolah serta universiti untuk mendapatkan bantuan dari segi kewangan selain keperluan asas lain. "Wakalah Majikan ini juga sebagai galakan kepada guru-guru untuk membuat Potongan Zakat Berjadual dengan MAIDAM dan semakin ramai guru yang membuat potongan gaji, semakin ramai pelajar asnaf yang dapat dibantu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pendidik Cakna MAIDAM di Dewan Utama Ar Riyadh Residence di sini semalam. Katanya, program tersebut turut dihadiri lebih 400 guru dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu. “Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Fikri menerima Anugerah Amaun tertinggi Potongan Zakat Berjadual pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM114341.20. “Selain itu, katanya Anugerah Bilangan Pembayar Tertinggi Potongan Zakat Berjadual tahun 2023 dimenangi  SMK Haji Abdul Rahman Limbong melibatkan seramai 52 individu,” ujarnya.
24 Jul 24
206
Pengiktirafan IDEAS Bukti Terengganu Telus Urus Duit Rakyat
Pengiktirafan IDEAS Bukti Terengganu Telus Urus Duit Rakyat
KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Kejayaan Terengganu menerima pengiktirafan sebagai negeri paling telus dalam pengurusan Belanjawan daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) membuktikan komitmen negeri dalam menjaga harta rakyat. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa ketelusan belanjawan yang diukur melalui Malaysia Open Budget Index (MYOBI) 2024 merupakan kunci utama dalam memajukan negeri. Menurutnya, pengiktirafan tersebut bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap tatakelola kewangan yang baik tetapi juga memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi Terengganu. “Ketelusan belanjawan adalah asas kepada kepercayaan rakyat dan pelabur, dan ia memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan berterusan,” katanya dalam kenyataan tersebut. Ahmad Samsuri berkata pencapaian itu adalah hasil daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk menyediakan maklumat belanjawan yang terperinci. Di samping itu katanya, ia memperkuatkan mekanisme semak imbang, dan menyediakan saluran untuk rakyat memberi maklum balas. Beliau juga menekankan bahawa pengurusan kewangan yang telus membantu mengelakkan ketirisan dan memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan sebaiknya. Ahmad Samsuri mengucapkan terima kasih kepada IDEAS atas pelancaran MYOBI kali kedua itu dan berharap dapat menjadi penanda aras kebangsaan bagi ketelusan belanjawan. “Adalah amat penting untuk semua kerajaan negeri menunjukkan komitmen tinggi terhadap ketelusan belanjawan dan memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan sebaiknya," ujarnya. Beliau berharap, pengiktirafan itu akan terus mendorong kerajaan negeri Terengganu untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan negeri.                            
24 Jul 24
287
Terengganu Tambah LRA Baharu Elak Ada Masalah Air
Terengganu Tambah LRA Baharu Elak Ada Masalah Air
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Kerajaan Negeri akan membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu bagi menambah baik mutu perkhidmatan bekalan air bagi rakyat negeri ini.  Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia termasuk perancangan menyelesaikan masalah isu bekalan air yang berlaku di kawasan pulau di Terengganu.  “Untuk tahun ini ada dalam perancangan termasuk tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu air di pulau-pulau. “Sekarang ini kita di peringkat untuk menentukan skop, spesifikasi, kalau tak sempat tahun ini awal tahun hadapan boleh mulakan pembinaan, setelah dokumen kontrak dan segala proses-proses ini diselesaikan,” jelasnya. Beliau  berkata demikian  dalam sidang media selepas merasmikan program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, semalam. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SATU Abdul Karim Endut berkata, perancangan penambahan LRA bagi memberi keselesaan berterusan berkenaan bekalan air untuk rakyat negeri Terengganu. “Buat masa sekarang di negeri Terengganu kita secara purata mengeluarkan 780 juta liter sehari, kita sasar 1 bilion liter sehari. “Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) syaratkan 15 peratus tak boleh kurang dan (sekiranya) kurang negeri tersebut perlu mencari jalan untuk meningkatkan simpanan margin. "Terengganu berada dalam zon selesa. Alhamdulillah dengan siap dan beroperasi Loji Bukit Berapit, kita mendapat tamnbahan 120 juta liter sehari, pengeluaran air di Loji Bukit Sah (Air Putih, Kemaman) pula meningkat kepada 275 juta, sekali gus meningkatkan simpanan margin kita kepada 25 peratus," ujarnya. Katanya, dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa ada beberapa halangan dan cabaran antaranya perubahan iklim berlaku di negeri Terengganu khususnya.   
24 Jul 24
506
Songket Kak Nah ‘Iringi’ Pertabalan Agong
Songket Kak Nah ‘Iringi’ Pertabalan Agong
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Tugas rumit namun rasa bangga mengatasi segala-galanya apabila diberi kepercayaan menenun songket untuk  membuat sampin, Tengkolok Diraja dan Bengkung Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim bagi upacara pertabalan yang telah berlangsung pada Sabtu, baru-baru ini. Apatah lagi ketika menyaksikan lintas langsung hari pertabalan Baginda Tuanku yang sudi mencemar duli menyarungkan hasil tenunannya, anak kelahiran Terengganu itu cukup teruja untuk berkongsi perasaan gembira bersama ahli keluarga tercinta. Berkongsi pengalaman, Maznah Mat, 62, yang lebih dikenali sebagai Kak Nah dari Chendering berkata dia tidak pernah menyangka kunjungan daripada beberapa pihak istana pada awal Mac, rupanya membawa perkhabaran gembira buatnya dan anak-anak. “Ketika itu, saya ditanya adakah sanggup  untuk menghasilkan satu persalinan songket terdiri dari sampin, bengkung serta Tengkolok bagi  pertabalan Yang di-Pertuan Agong, dan tanpa berfikir panjang, terus bersetuju menerimanya. “Namun rasa takut mula muncul ketika proses menyongket kerana terlintas difikiran satu perasaan jika tersilap atau Tuanku Sultan tidak berkenan dengan sentuhannya tetapi semuanya berakhir apabila pihak Istana memaklumkan bahawa songket yang dihasilkan cukup cantik dan sempurna,”ujarnya. Menerangkan proses penghasilan songket, Kak Nah yang berpengalaman sejak berusia 14 tahun berkata, dia dibantu oleh anaknya Syarifah Hanisha Tuan Wook, 22, yang berkelulusan  Diploma Jurusan Tenunan Institut Kraf Negara, Rawang bagi membuat lakaran graf berdasarkan corak  daun gambir dan lada hitam yang diberikan. Menurut ibu kepada tujuh anak itu, proses pembuatannya mengambil tempoh yang lama kerana ia adalah kerja tangan sepenuhnya bermula dengan menerai benang, menganing benang, menggulung, menyapuk benang, mengarat, menyongket dan menenun. Katanya lagi, kerja penenunan songket membabitkan proses rumit selain memerlukan perhatian dan kesabaran tinggi namun keindahan setiap hasil memberi kepuasan buat dirinya. “Menggunakan benang sutera yang berkualiti, Kak Nah bekerja siang dan malam bagi menyiapkan persalinan Diraja itu dalam tempoh tiga bulan dengan pemantauan berkala  daripada pihak Istana. “Kita hanya mahukan yang terbaik dan sempurna. Apabila sesuatu istiadat telah selesai dan Tuanku berpuas hati, saya juga senang hati kerana dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” ujarnya yang turut dibantu seorang lagi anak perempuannya Syarifah Hazira Tuan Wook, 30. Tambah Kak Nah,dia juga sering menerima tempahan  kerabat Diraja Selangor dan pembesar-pembesar istana untuk menyiapkan persalinan untuk Hari Keputeraan Tuanku Sultan Selangor sejak tahun 2000.  
24 Jul 24
1899
Terengganu Terima Bayaran Royalti TNB RM16.51 Juta
Terengganu Terima Bayaran Royalti TNB RM16.51 Juta
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menyerahkan pembayaran royalti penggunaan air dan lesen takungan air di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud Kenyir dan Stesen Janakuasa Hulu Terengganu berjumlah RM16.51 juta bagi tahun kewangan 2024. Pembayaran royalti bagi penggunaan air dan lesen takungan air di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud sebanyak RM11,673,000 manakala untuk Stesen Janakuasa Hulu Terengganu berjumlah RM4,836,218. Penyerahan cek itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Pembangunan, TNB Power Generation Sdn Bhd, Shahrir Abdul Latiff kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu majlis ringkas di Wisma Darul Iman di sini. Untuk rekod, TNB telah mula membuat bayaran itu setiap tahun sejak kedua-dua stesen berkenaan memulakan operasi.
24 Jul 24
4037
Dr Sam Ucap Tahniah Kepada Pelajar STPM 2023
Dr Sam Ucap Tahniah Kepada Pelajar STPM 2023
KUALA TERENGGANU, 24 Julai 2024 - Kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar dan warga pendidik atas keputusan cemerlang yang dilakar Terengganu semalam. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejayaan pelajar Terengganu dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. "Alhamdulillah saya rasa itulah terkenalnya Terengganu bukan sahaja  SPM malah STPM kita turut mengungguli carta. “Saya ucapkan tahniah kepada anak Terengganu yang telah cemerlang, sekarang ini akan terbuka luas cabaran baharu dan bagaimana mereka harungi. "Saya percaya anak Terengganu boleh cemerlang lagi bila masuk alam universiti,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Perak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) 2024 di Taman Tamadun Islam, di sini, semalam. Menurutnya, negeri Terengganu mencatatkan keputusan terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 peringkat negeri dan kebangsaaan untuk tempoh lima tahun  berturut-turut apabila memperolehi min purata Nilai Gred Kumulatif PNGK 3.11 mengatasi peringkat kebangsaan, iaitu 2.84.
24 Jul 24
207
Kos Hidup Meningkat, Paksa Rakyat Cari Pendapatan Lebih
Kos Hidup Meningkat, Paksa Rakyat Cari Pendapatan Lebih
Oleh: Fatimah Din  MARANG, 24 Julai - Peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup memaksa rakyat melakukan lebih daripada satu pekerjaan. Seorang pengusaha pizza, Syazwani Sabari, 38, yang bertugas sebagai seorang kerani di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu tidak hanya mengharapkan gaji dalam bidang terbabit sahaja. "Bagi saya kita kena rajin mencari duit lebih, tak memadai hanya bergantung pada gaji semata-mata dengan kos sara hidup yang keras sekarang ini," ujarnya ketika ditemui pihak media, semalam.  Syazwani yang pada awalnya mengusahakan perniagaan pizza secara kecil-kecilan dengan bermodalkan RM500 bantuan keluarga, kini mampu menarik nafas lega apabila menerima bantuan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.   "Selain menjual pizza saya turut menyediakan perkhidmatan menjual 'pizza surprise bouquet', melukis gambar pada kotak, jualan kek dan roti. "Setakat ini empat kawasan, saya, suami dan kedua ibu bapa saya membuat penghantaran pizza iaitu di daerah Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Kuala Berang," jelasnya.  Beliau juga menyimpan cita-cita untuk mempunyai sebuah kafe yang menyediakan kopi serta makanan pencuci mulut yang menjadi tarikan golongan muda.  Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan pizza 'home made adammarlicious' bolehlah menghubungi di nombor 0199481473 (Wani) dan 0199908385 (Azrul) atau ke laman muka buku 'adammarlicious'.
23 Jul 24
252
Pemberian Air Percuma Diteruskan Walau Royalti Disekat
Pemberian Air Percuma Diteruskan Walau Royalti Disekat
KUALA TERENGGANU,  23 Julai – Kerajaan negeri Terengganu menegaskan pemberian bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada golongan B40 tetap diteruskan meskipun bayaran royalti disekat. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, kerajaan negeri juga meneruskan pembekalan air percuma kepada masjid di seluruh negeri. “Kita masih lagi mengikut perancangan apa yang dilaksanakan kepada (golongan) B40 berkenaan termasuklah kita teruskan walaupun berlaku sekatan pada royalti. “Kami masih berikan kepada masjid-masjid yang didaftarkan, kita tetap teruskan kerana kita rasa ini tanggungjawab sosial daripada kerajaan negeri yang perlu dilaksanakan juga,” jelasnya. Beliau  berkata demikian  dalam sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat KOnvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, hari ini. Menurutnya program bekalan air percuma telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu dan sampai ke hari ini tiada pengurangan dari segi penerima bantuan tersebut. Beliau menambah bahawa dalam apa jua keadaan, usaha untuk bertahan walau menghadapi tekanan perlu diteruskan. "Seperti mana manusia perlu makan untuk hidup, usaha tidak boleh berhenti walaupun dalam keadaan sukar. “Jadi setakat ini kita boleh teruskan kehidupan walaupun dalam keadaan sedemikian tapi pada kerajaan negeri yang hak itu hak yang perlu diselesaikan,” ujarnya.
23 Jul 24
3165