Artikel "Semasa" Terkini
Rakyat Bermunajat Agar Derita Angkara Politik Terhenti
KUALA TERENGGANU, 7 September - Munajat Terengganu Sejahtera sempena Karnival Indahnya Hidup Bersyariat semalam menjadi medan pengharapan rakyat Terengganu agar derita dinafikan hak royalti angkara politik dendam akan terhenti.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata episod dinafikan hak itu merupakan perkara pahit untuk ditelan kerana Terengganu berhadapan kesukaran untuk meneruskan segala bantuan serta kebajikan untuk kesenangan rakyat.
"Pada malam ini di kemuncaknya kita telah berkumpul dan bermunajat bersama-sama dalam menzahirkan kebersamaan rakyat Terengganu bagi mendoakan kesejahteraan agar negeri 'baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur' melalui solat hajat yang ditunaikan tadi.
"Kita juga telah memohon pertolongan daripada Allah agar hak rakyat (royalti) dikembalikan, hakikat yang pahit untuk ditelan kami sebagai kepimpinan kerajaan negeri kerana berhadapan dengan kekangan dan tekanan.
"Sehingga segala kebajikan rakyat yang telah kita agihkan sebelum ini tidak dapat diberikan lagi kerana amalan politik dendam yang terus menerus diamalkan oelh pihak tidak bermoral," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Munajat Terengganu Sejahtera yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, himpunan pada malam itu merupakan sesuatu yang sangat bermakna dalam memastikan setiap usaha yang ingin dilakukan kerajaan bagi memperkasakan syariat tidak terhalang.
"Terima kasih kepada seluruh rakyat Terengganu yang datang, kita sama-sama memohon kepada Allah mudah-mudahan Allah memberi negeri Terengganu yang kita cintai ini," ujarnya.
07 Sep 24
143
Ketauhidan: Kunci Kebahagiaan Sejati Menurut Perspektif Islam
KUALA TERENGGANU, 6 September - Dalam kehidupan moden yang semakin mencabar, ramai mencari kebahagiaan melalui harta benda, kemewahan dan kesenangan duniawi namun, dalam perspektif Islam, kebahagiaan sejati tidak terletak pada aspek-aspek material ini.
Sebaliknya kata penceramah Selebriti, Ustaz Harryanto Rizal Rokman, kebahagiaan yang hakiki datang dari ketauhidan, iaitu keimanan dan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Kebahagiaan bukan terletak pada rumah mewah, kenderaan boleh dibeli atau dijual, bunga yang boleh dihidu harumnya, gandum yang boleh ditumbuk dan juga pada kain yang boleh dibentangkan.
“Sebaliknya, kebahagiaan adalah sesuatu yang tidak menyibukkan, namun membawa kehidupan sangat sederhana,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Keluarga bertajuk Keluarga Bahagia Negeri Sejahtera di Masjid Tengku Tengah Zaharah, baru-baru ini.
Menurutnya, bahagia adalah ketenangan hati yang hadir kerana kebenaran dijalani dan kebahagiaan adalah kelapangan dada kerana prinsip diyakini.
Tambah beliau lagi, kebahagiaan tertinggi adalah ketauhidan, yakni apabila seseorang mentauhidkan Allah dan ketika beriman kepada Allah, itulah puncak kebahagiaan.
“Kebahagiaan dilihat dari pelbagai sudut, tetapi hakikatnya adalah apabila kita mampu menenangkan jiwa dengan agama ini.
“Apabila kehidupan dipandu dengan asas-asas agama, Allah menyebut dalam surah Taha ayat 131, bahawa kebahagiaan bukanlah apa yang kita lihat dinikmati oleh mereka yang tidak beriman.
“Kebahagiaan bukanlah apa yang dirasakan oleh mereka yang ingkar terhadap perintah Allah SWT," ujarnya.
Justeru itu, beliau berkata, kebahagiaan sejati adalah apabila meletakkan kehidupan dalam kerangka syariat Allah SWT.
06 Sep 24
65
Kerajaan Negeri Jemput Orang Ramai Hadir Solat Hajat Beramai-ramai di Stadium Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 6 September – Kerajaan Negeri Terengganu menjemput orang ramai untuk hadir ke program munajat rakyat kembalikan hak royalti Terengganu yang akan diadakan malam ini di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata program tersebut dianjurkan bagi memohon kepada Allah SWT agar hak royalti minyak Terengganu dikembalikan dan demi kesejahteraan serta keberkatan negeri dan negara.
Katanya, solat hajat akan dimulakan selepas Solat Maghrib, diikuti dengan Solat Isyak dan doa munajat.
“Kami menjemput semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama hadir malam ini di stadium.
“Mari kita bersatu dalam doa memohon pertolongan Allah SWT agar hak kita dikembalikan, dan negeri kita terus dilindungi serta diberkati,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kelab Warga Orang Tua di Masjid Gong Tok Nasek di sini baru-baru ini.
Tambah Dr Khalil, orang ramai yang ingin hadir diminta untuk tiba lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di sekitar stadium.
“Program ini diharapkan dapat menjadi medan perpaduan seluruh masyarakat Terengganu dalam usaha menuntut hak yang sah milik mereka,” ujarnya.
06 Sep 24
137
Pengukuhan Institusi Keluarga Lahir Pewaris Negara
KUALA TERENGGANU, 6 September - Semua pihak diseru agar cakna tentang peranan dimainkan oleh institusi keluarga dalam melahirkan pewaris kepimpinan negara.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Zuraida Md Noor berkata, institusi keluarga menjadi agenda penting dalam pembangunan sebuah negeri dan negara.
"Saya memuji dan sangat mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan pada hari ini untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kepada ibu bapa dalam menangani isu-isu kekeluargaan.
"Usaha-usaha ini tak boleh dipandang remeh dan saya yakin ini ia akan dapat membantu memperkukuhkan Institusi kekeluargaan di negeri kita dalam jangka masa yang panjang," jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Ladang berkata demikian ketika merasmikan program Forum Keluarga Bahagia Negeri Sejahtera sempena Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, pada semalam.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap masalah sosial yang semakin meningkat, seperti sumbang mahram, penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga, yang kebanyakannya melibatkan wanita sebagai mangsa.
Zuraida turut memuji inisiatif kerajaan negeri Terengganu yang bekerjasama dengan NGO menubuhkan Pusat Raudhatul Jannah, juga dikenali sebagai Villa Mawaddah, di Kemaman.
Katanya, pusat itu berfungsi sebagai rumah kebajikan bagi anak-anak terbiar yang tidak mempunyai keluarga untuk menjaga mereka.
"Pusat ini memberi fokus utama membantu kepada pendidikan anak-anak, dengan harapan untuk memberikan mereka masa depan yang lebih cemerlang.
"Mak ayah ada tapi mak di penjara, tinggal dengan nenek tak sekolah, terabai. Jadi kita ambil dan letak di pusat bawah kerajaan negeri Terengganu, ini masalah yang ada," katanya.
Selain itu, beliau berkongsi pengalaman melawat Rumah Ehsan Al Muktafibillah Shah di Dungun, yang menempatkan warga emas yang tiada waris untuk menjaga mereka.
"Ada anak-anak, tetapi mereka sakit terlantar dan tiada waris yang mahu menjaga. Ada yang telah tinggal di situ selama 10 hingga 20 tahun, dan hampir setiap minggu ada yang meninggal dunia di sana.
"Bila di tanya kenapa tinggal sini, maka dijawab apa pilihan yang saya ada, duduk seorang diri di rumah, sakit terlantar maka lebih baik habiskan sisa hidup di rumah ihsan," katanya.
Justeru itu, beliau juga menyeru agar lebih banyak usaha dilakukan untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang kepentingan pendidikan moral dan sahsiah dalam kalangan anak-anak, terutama dalam menghadapi cabaran zaman moden yang semakin kompleks.
"Kita tak tahu apa yang berlaku dalam kehidupan sendiri dan sebab itulah pentingnya pemantapan ilmu peningkatan ilmu yang kita buat seperti hari ini.
"Semoga (kita semua mendapat) kesedaran mengenai ilmu kekuatan ini yang perlu ada dalam diri kita supaya kita mampu menjadi ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab terhadap anak-anak kita," tambah Zuraida.
06 Sep 24
124
Pendapatan Syarikat SG4 Tidak Kacau Perolehan Hasil Negeri
KUALA TERENGGANU, 6 September - Hasil pendapatan empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu atau SG4 tidak akan digabungkan dalam syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group).
Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendapatan yang diperoleh di negeri-negeri itu adalah berbeza dengan hasil syarikat tersebut kerana ia bukan melibatkan perolehan hasil negeri masing-masing.
Justeru itu, pembahagian hasil sebanyak 25 peratus daripada pemilikan saham dalam syarikat itu yang diputuskan sebelum ini tidak membabitkan perolehan negeri masing-masing.
“Itu (25 peratus) pembahagian dari segi untung syarikat bukan hasil negeri. Hasil negeri tertakluk kepada negeri masing-masing, hasil di Terengganu, Terengganu la yang akan nikmatinya.
“Hasil negeri tidak digabungkan. Kena bezakan operasi syarikat dengan operasi apa yang diterima oleh negeri.Ia berbeza, saya rasa ramai orang keliru dengan bayangkan kita bahagikan hasil di Kedah dibahagikan dengan negeri lain, operasi syarikat adalah perkara berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Pelepasan Kembara Terengganu Sejahtera sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Ahmad Samsuri berkata SG4 Group juga bukan menekankan kepada keuntungan sebaliknya ‘consolidation of bargaining power’ di antara negeri terlibat dalam menjalankan urusan.
“Contohnya REE mengikut data Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia adalah sebanyak 70 peratus. Jadi, ‘consolidation of bargaining' itu yang diperlukan dalam kita membuat apa-apa pertimbangan,” katanya.
Beliau ketika menjawab sesetengah pihak yang mempersoalkan kedudukan syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) sekiranya satu atau dua kerajaan negeri Perikatan Nasional itu bertukar tangan berkata masa masih panjang lagi untuk menunggu pilihanraya yang seterusnya.
“Cerita (pilihan raya) itu cerita panjang lagi sebab kita ada tempoh dua tahun setengah hingga tiga tahun lagi untuk membuktikan potensi, cerita pilihan raya itu kita tengok selepas pilihan raya,” katanya.
Terdahulu, empat negeri yang ditadbir Pakatan Nasional iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil yang diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.
Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, empat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.
Syarikat berkenaan yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd, akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.
06 Sep 24
215
Kembara Dr Sam Gegarkan Bumi Kemaman
KEMAMAN, 5 September - Dalam kehangatan sambutan merdeka, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengadakan Kembara Terengganu Sejahtera dengan berkonvoi bersama 200 buah motosikal berkuasa tinggi.
Program yang diadakan bersempena dengan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Terengganu itu bermula pada awal pagi dengan pelepasan konvoi motosikal bermula di Wisma Darul Iman menuju ke Daerah Kemaman.
Dalam kembara tersebut, Dr Ahmad Samsuri telah singgah di beberapa lokasi antanya menyantuni anak-anak yatim bagi menyampaikan sumbangan di Taman Awam Kerteh.
Bergerak lokasi lain, Dr Ahmad Samsuri menitipkan pesanan kepada penjawat awam agar sama-sama menghayati erti kemerdekaan sebenar serta mampu melalui setiap cabaran yang dihadapi dunia hari ini.
Pada kemuncaknya, Dr Ahmad Samsuri telah menyantuni para peniaga secara 'walkabout' di Pasar Binjai, Souq.
Turut menyertai kembara itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato' Satiful Bahri Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan negeri, Datuk Razali Idris.
Turut terlibat, Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat dan Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
05 Sep 24
300
Tafsiran Merdeka Perlu Ikut Acuan Islam
KEMAMAN, 5 September - Erti kemerdekaan sebenar perlu dihayati dan difahami mengikut acuan Islam bukan berpandukan kaca mata barat yang menterjemahkan merdeka adalah kehidupan yang bebas tanpa arah dan panduan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gagal mentafsirkan makna kemerdekaan sebenar akan mengakibatkan objektif kemerdekaan yang disambut setiap tahun tidak sampai kepada tujuannya.
"Tema yang dipilih pada tahun ini 'Jiwa Merdeka" ertinya sangat mudah, kita mahu jiwa yang merdeka tetapi tafsirannya sudah tentu jauh berbeza dari sudut orang Melayu Islam berbanding dengan mereka yang ada di bumi Jepun, Korea, Eropah, Amerika ataupun Britain kerana jiwa merdeka bagi mereka adalah kebebasan tanpa sempadan.
"Berbeza dengan kita yang memililiki sempadan, apa yang nak sebut bahawa tanggungjawab besar yang ada pada kita hari ini ialah memilih bagaimana peranan untuk membangunkan negara kita tersendiri.
"Mungkin kita terkesima dan rasa teruja dengan segala bentuk pembangunan dan kemewahan negara-negara di Eropah, Scandinavia, Korea mahupun Jepun tetapi akhirnya cara bagaimana kita ingin urus tadbir negara adalah berada di tangan kita bukan merujuk kepada negara-negara yang lain," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra beliay bersama penjawat awam daerah Kemamn, di Arena Square Chukai, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata generasi hari ini perlu menghargai segala jasa pejuang kemerdekaan dahulu.
"Semua pihak dan kalangan orang terdahulu telah memperjuangkan kemerdekaan dari sekecil-kecil perkara sampai kepada sebesar-besarnmya sehingga pada tahun 1957 kita menyambut kemerdekaan.
"Kemerdekaan ini juga tidak memberi apa-apa erti atau makna sekiranya kita tidak memandu negeri dan negara kita untuk merdeka sepenuhnya," ujarnya.
05 Sep 24
145
SG4 Komited Capai Aspirasi Negara
KEMAMAN, 5 September- Kerajaan Terengganu komited terhadap segala perancangan pembangunan ekonomi di bawah kerajaan empat negeri ditadbir oleh PAS atau 'State-Goverment 4' (SG4).
Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di empat negeri SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah telah diadakan bagi merangka strategi seterusnya dalam memastikan apa yang dirancang dapat dijayakan.
“Baru beberapa hari kita lancarkan SG4 selepas tercetusnya idea ini sejak setahun yang lalu.
“Saya ingin jelaskan apa yang kerajaan negeri SG4 lakukan adalah untuk mencapai aspirasi negara Malaysia, bukan untuk kepentingan kami di empat negeri semata-mata tetapi kami berkerja bersama-sama untuk negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke dua stesen ECRL iaitu Chukai dan Kemasik di sini, semalam.
Katanya, SG4 bersatu untuk bersama-sama memajukan negara kerana usaha tersebut memerlukan kerjasama semua pihak.
“Ini adalah sumbangan kami di negeri SG4, bagaimana kami cuba mencari jalan untuk memastikan apa yang kami rancang dapat dilaksanakan dengan lebih baik,” ujarnya.
Terdahulu, ketika berucap pada Sidang Kemuncak 4 Kerajaan Negeri (SG4) di Bangi baru-baru ini, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memaklumkan, SG4 menggariskan tiga fasa bagi menjayakan 10 agenda dalam mengembangkan ekonomi negeri-negeri terbabit.
Katanya, di fasa pertama perkongsian pintar dan kerjasama antara SG4 dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta, pakar bidang dan ahli akademik, serta semua ‘stakeholders’ mesti dipergiatkan.
“Di Fasa 2, SG4 akan membangunkan kerangka tindakan (blueprint) yang komprehensif dan seimbang, dengan mengambil kira keperluan, kemampuan serta kekuatan aset-aset setiap negeri.
“Dan fasa terakhir adalah melaksanakan projek dan program berimpak tinggi kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pembangunan fizikal di negeri-negeri SG4,” ujarnya.
05 Sep 24
109
Terengganu Jemput 'Pengkritik' ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariah
KUALA TERENGGANU, 5 September - Kerajaan Terengganu menjemput semua pengkiritk dan pihak yang sangsi dengan pelaksanaan syariah di di negeri terbabit ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariah yang bakal berlangsung di Stadium Nasiruddin Shah, di sini bermula hari ini hingga esok.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata Karnival yang akan berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup berlandaskan syariat Islam secara besar-besaran.
Menurutnya, kempen berterusan sebegini juga merupakan salah satu daripada proses pendidikan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam memadam persepsi negatif yang ditanam kelompok berkepentingan.
Tambah beliau, beberapa minggu lalu Terengganu diserang dari segenap penjuru berkenaan pemerkasaan syariah dan kebersamaan kerajaan serta rakyatnya dengan alim ulama.
“Terengganu dituduh ‘merendahkan martabat dan mengongkong wanita’ dek kerana larangan terhadap perempuan muslim menyertai acara sukan terjun di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang diketahui umum tidak selaras dengan kehendak Islam.
“Terbaru Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang menyokong kuat agenda pemerkasaan syariah Terengganu turut diserang di media sosial.
“Di sebalik serangan itu, saya merasa hairan apabila usaha memartabatkan syiar Islam dipandang serong dan digambarkan sebagai ‘mundur’ oleh sesetengah pihak di media social,”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri ( ADUN) Batu Buruk itu berkata tuduhan tersebut disebabkan mereka masih belum memahami dan merasai sendiri kemanisan hidup bersyariat.
“Saya sekali lagi mempersilakan seluruh rakyat Terengganu, Malaysia dan mereka yang sangsi dengan Islam untuk hadir ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariat untuk memahaminya dengan lebih dekat,” ujarnya.
Karnival anjuran kerajaan negeri itu juga meletakkan objektif untuk menyediakan rakyat bagi agenda syariah Islam yang dilakukan secara tadaruj dan berperingkat.
05 Sep 24
805
Kemajuan Projek ECRL Di Terengganu Capai 86 Peratus
KEMAMAN, 4 September- Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini sudah mencapai kemajuan sebanyak 86 peratus setakat ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan projek mega di Negeri Terenganu itu disifatkan paling pantas berbanding negeri-negeri lain yang turut terbabit dengan projek ECRL iaitu Kelantan, Pahang dan Selangor.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Malaysia Rail Link (MRL), China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) dan semua agensi kerajaan negeri yang telah berusaha memastikan projek ini satu realiti dalam tempoh yang paling cepat berbanding dengan tempat-tempat yang lain.
"Saya percaya dengan keupayaan yang dimiliki MRL dan rakan kontraktor mereka mampu menyiapkan projek ini mengikut jadual yang ditetapkan, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke dua stesen ECRL iaitu Chukai dan Kemasik di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri akan memastikan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di kawasan sekitar enam stesen ECRL di negeri ini dapat disiapkan pada tempoh masa yang sama.
"Kita tidak mahu apabila ECRL siap kita, kita belum buat apa-apa lagi untuk TOD.
"Sebab itulah kita telah mengadakan perbincangan di peringkat kerajaan negeri pagi tadi menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan selepas ini saya akan turun ke daerah-daerah lain untuk meninjau reka bentuk stesen dan perkara- perkara lain," ujarnya.
Katanya, komponen TOD merangkumi pelbagai perkara termasuk komersial dan bukan komersial yang boleh disertai oleh rakyat termasuk ahli perniagaan untuk memanfaatkan ECRL secara maksimum bagi menaja ekonomi negeri.
"Ini antara perkara-perkara yang kita rangkakan di sekitar kawasan ECRL supaya ECRL ini bukan sahaja menjadi satu jaringan pengangkutan yang digunakan untuk penumpang dan kargo semata-mata tetapi memberi pulangan kepada negeri yang akhirnya kembali kepada rakyat.
04 Sep 24
372