Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Jadi Negeri Pertama Miliki Pejabat Satelit MyIPO
KUALA TERENGGANU, 11 November - Terengganu menjadi negeri pertama memiliki Pejabat Satelit Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang beroperasi di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).
Pengerusi MyIPO, Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, pembukaan pejabat satelit pertama itu akan memudahkan rakyat Terengganu khusunya kalangan usahawan untuk berurusan dengan MyIPO bagi urusan harta intelek.
Katanya, dengan adanya kemudahan itu, pemilik harta intelek di negeri ini tidak lagi perlu ke pejabat MyIPO di Kuantan, Pahang bagi membuat pemfailan.
"Kita akan buka pejabat di setiap negeri dan kita akan mengorak langkah pertama di Terengganu sebelum disusuli negeri-negeri lain.
"Untuk Terengganu, kita bekerjasama dengan YPU di bawah kerajaan negeri bagi menjalankan operasi pejabat satelit dan kita jangka pendaftaran ini akan meningkat berbanding sebelum ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Pejabat Satelit MyIPO Kuala Terengganu dan penyampaian sumbangan zakat di sini, semalam.
Dalam pada itu katanya, didapati masih banyak hak cipta dan hasil karya dari Terengganu yang selama ini belum didaftarkan.
"Dengan adanya kemudahan ini, ia sekali gus boleh dimanfaatkan oleh lebih 14,000 usahawan yang bernaung di bawah YPU.
"Sejak 2019 hingga Oktober 2024, sebanyak 1418 permohonan harta intelek dari negeri Terengganu diterima dan ia sebenarnya mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan perlindungan harta intelek sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,"ujarnya.
11 Nov 24
868
Sultanah Terengganu Titah UniSZA Kembalikan Konsep Khalifah Sebenar
KUALA NERUS, 10 November- Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bertitah supaya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dapat mengembalikan kepercayaan terhadap konsep khalifah yang hakiki selari dengan moto universiti tersebut iaitu ‘Ilmu Demi Faedah Insan’.
Titah baginda yang juga Canselor UniSZA, ketika ini, dunia berhadapan dengan pelbagai krisis dalaman termasuk politik, diplomasi, nilai dan peradaban.
“Ia berpunca daripada tidak memahami konsep khalifah yang diamanahkan oleh Allah SWT, misalnya, peperangan dan pembunuhan yang melanggari undang-undang yang sedang berlaku,” titah baginda pada Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 UniSZA yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini, hari ini.
Baginda bertitah, graduan yang berwibawa akan berjaya mewujudkan kesejahteraan sejagat tanpa mengira perbezaan warna kulit, bangsa dan agama.
“Beta yakin graduan yang bermutu tinggi perlu diukur dengan nilai, adab dan ilmu yang dipelajari.
“Justeru, penekanan nilai adab dan akhlak di universiti ini perlu diperkasakan dari semasa ke semasa.
“Ia akan membawa kepada keberkatan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara,” titah Sultanah Nur Zahirah.
Dalam pada itu, baginda turut merakamkan penghargaan kepada UniSZA kerana berjaya memperoleh penarafan di kedudukan 1,001 hingga 1,200 dalam Times Higher Education World University Ranking.
"Beta ucapkan tahniah dan syabas. Beta mengharapkan pencapaian ini boleh dijadikan kayu ukur terhadap kejayaan yang seimbang dari aspek spiritual dan fizikal.
"Beta juga amat berbangga dengan perkhidmatan kesihatan Hospital Sultan Zainal Abidin yang telah beroperasi.
"Ia adalah kejayaan besar bagi rakyat negeri ini. Mereka dapat menikmati kemudahan perubatan yang terbaik," titah baginda.
Sehubungan itu, Sultanah Nur Zahirah menitahkan barisan lembaga pengarah, pengurusan tertinggi, kakitangan akademik UniSZA agar terus menjalankan tanggungjawab dengan lebih cemerlang berpaksikan kepada moto universiti.
Seramai 2,818 graduan ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma bakal menerima sijil masing-masing pada majlis konvokesyen selama empat hari bermula hari ini.
10 Nov 24
743
Mesej 'Keluarga Bahagia' Perlu Sampai ke Akar Umbi
KUALA TERENGGANU, 10 November - Program berbentuk kekeluargaan di peringkat akar umbi sangat penting dalam memastikan mesej dan manfaat dapat sampai terus kepada masyarakat setempat, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman atau komuniti kecil.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, program seumpama itu penting untuk diadakan bagi menyebarkan pengetahuan dan kesedaran secara langsung kepada golongan sasaran yang tidak berpeluang hadir ke acara di peringkat negeri.
"Macam saya sebut di peringkat kampung terutamanya di taman perumahan, surau atau masjid, kita menekankan tentang keluarga bahagia ini dan bagaimana kita nak menjaga keluarga kita.
"Pelbagaikan ataupun kita banyakkan tempat berprogram tempat di surau, masjid, khutbah Jumaat supaya mesej ini sampai kepada semua pihak termasuk kaum lelaki, kerana mereka perlu ada ilmu untuk menjaga institusi kekekuargaan masing-masing," jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Ladang berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas perasmian penutup forum Keluarga Bahagia Idaman Kita, di Pusat Tafaqquh Fi Al-Din, Tok Sheikh Duyong baru-baru ini.
Menurutnya, Forum ‘Keluarga Bahagia Idaman Kita’ anjuran kerajaan negeri mendapat sambutan dengan kehadiran lebih 300 peserta.
Tambah beliau, program itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya wanita dan kaum lelaki, mengenai pentingnya ilmu dan tanggungjawab dalam membina institusi keluarga bahagia dan harmoni.
"Program seperti ini perlu dibuat secara kerap untuk memberi peringatan ataupun memberi tazkirah kepada wanita khususnya macam mana untuk mengejar ataupun nak mencapai keluarga bahagia itu.
"Tak semua orang yang melalui jalan yang mudah, ada yang terpaksa melalui jalan yang sukar untuk mencapai keluarga bahagia itu.
"Keluarga bahagia bermula daripada emak ayah dengan bimbingan keluarga tapi keadaan liku liku kehidupan tu menyebabkan mereka gagal untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu seorang ayah," ujarnya.
Sementara itu, tambahnya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, ramai ibu bapa terbeban sehingga terpaksa mencari pendapatan tambahan dan meninggalkan anak-anak tanpa pengawasan yang mencukupi.
Justeru itu, beliau berharap agar inisiatif itu dapat diperluaskan pada masa hadapan dengan melibatkan pasangan suami isteri dan anak-anak.
10 Nov 24
248
Banjir, Hampir 10 Ribu Sukarelawan Khidmat Malaysia Kini Siap Sedia
KUALA TERENGGANU, 9 November - Hampir 10 ribu sukarelawan Khidmat Malaysia di Terengganu diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi berdepan sebarang kemungkinan banjir di negeri ini.
Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata anggota dan sukarelawan skuad berkenaan mempunyai pengalaman luas dalam menghadapi banjir selain telah melakukan persiapan yang sewajarnya untuk menghadapi musim tengkujuh.
Menurutnya, mereka akan membantu agensi keselamatan dan mengikuti arahan Pihak Berkuasa Bencana Negeri atau daerah.
"Insya-Allah, kami siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
"Semua ahli Khidmat Malaysia di setiap daerah juga bersiap siaga untuk turun serta-merta apabila banjir berlaku dengan kekuatan maksimum.
"Sekiranya mana-mana kawasan yang dilanda banjir, mereka akan digerakkan untuk melakukan kerja-kerja yang diperlukan dan membantu penduduk dengan segera," ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana)negeri, berkata Khidmat Malaysia harus berada di barisan hadapan dalam memberi kebajikan kepada rakyat, terutama ketika mereka dalam kesusahan.
"Sukarelawan-sukarelawan ini juga berkhidmat selepas bencana dengan menyalurkan bantuan tenaga membersihkan rumah termasuk menghulurkan bantuan yang diperlukan mangsa-mangsa terlibat bagi meringankan beban mereka," katanya lagi.
Terdahulu, satu Himpunan Sukarelawan Khidmat Malaysia Terengganu 2024 telah berlangsung di KOMTAQ Kuala Nerus yang dirasmikan oleh Pengerusi Khidmat Malaysia, Dato’ Ahmad Marzuk Shaary.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan musim tengkujuh yang dikaitkan dengan banjir lazimnya berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut yang kebiasaannya bermula pertengahan bulan November hingga Mac tahun berikutnya.
Menurut MetMalaysia, ketika ini rantau negara lazimnya menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang menyebabkan berlaku ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang.
09 Nov 24
450
Terengganu, Oman Meterai Perjanjian Kendali Industri Minyak, Gas
OMAN, 8 November - Kerajaan Terengganu menerusi anak syarikatnya, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) memeterai perjanjian usaha sama pengendalian industri huluan minyak dan gas dengan syarikat Oman.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerjasama turut melibatkan sektor penjagaan kesihatan, perkilangan serta pelancongan.
Katanya, perjanjian bersama MB Holding LLC Group melalui anak syarikatnya, Petrogas Sisma dan Petrogas E&P Oman akan membuka ruang lebih luas dalam ekplorasi tenaga, minyak dan gas serta sektor lain.
"Kerjasama strategik ini dijangka mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan baru dalam usaha kerajaan negeri memperbaiki taraf hidup rakyat Terengganu di masa hadapan.
"Kedua-dua pihak secara efisien akan melaksanakan pembangunan komersil termasuk sektor minyak dan gas, penjanaan tenaga dan lain-lain industri hulu yang melibatkan di kawasan pengoperasian bagi pembangunan di kawasan terbabit," jelas beliau.
Ahmad Samsuri yang juga pengerusi syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian di Muscat, Oman.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Ir. Khairil Nizam Khirudin, Pengurus Besar Invest Terengganu, Mohd Adzhar Mohd Zahari, Pengurusan Tertinggi Terengganu Inc, EPIC Berhad dan Petrogas Sisma.
Majlis Menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) diketuai Samsuri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Manakala MB Holding LLC diwakili Pengerusinya, Dr. Mohamed Al Barwani. Terengganu Inc dan Petrogas Sisma diwakili oleh CEO, Dr. Jamal Yusof.
Dalam pada itu, menurut Terengganu Inc, kerjasama tersebut menandakan komitmen pihaknya dalam meneroka potensi sektor huluan minyak dan gas dan juga beberapa bidang lain.
"Dua perjanjian persefahaman telah termeterai pada hari ini iaitu, perjanjian pertama yang ditandatangani, adalah antara Terengganu Inc dan anak syarikat milik MB Holding LLC Group, Petrogas E&P Oman melalui Petrogas Sisma Energy yang beroperasi di Malaysia bagi meneroka potensi kerjasama di sektor huluan minyak and gas di negeri Terengganu.
"Petrogas E&P mempunyai kekuatan dalam mengendalikan sektor huluan minyak dan gas termasuk 'Late Life Assets' di Eropah, Timur Tengah dan Afrika dengan pengeluaran sebanyak 100,000 tong sehari.
"Dengan kekukuhan perniagaan dan pengalaman yang dimiliki oleh Petrogas, ekplorasi perniagaan ini dijangka membuka ruang lebih besar untuk hubungan perniagaan jangka panjang di Terengganu secara khususnya dan di Malaysia secara amnya," jelas Terengganu Inc.
08 Nov 24
9433
Hanafiah Terima Pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM
KEMAMAN, 8 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat menerima pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam), semalam.
Beliau berkata, pelantikan ini bukanlah suatu anugerah, sebaliknya tanggungjawab dan amanah besar bagi memartabatkan peranan agensi ini dalam menguruskan keperluan rakyat terutamanya apabila berlaku bencana dan sebagainya.
"Terima kasih Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang telah memberikan kepercayaan ini kepada saya," katanya kepada pemberita.
Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Cukai turut mengharapkan mampu menggalas dan melaksanakan tugas ini dengan sebaiknya.
Sesi Penyerahan Vest dan Watikah Pelantikan Pegawai kehormat itu telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis itu berlangsung di Hotel Park Royal A'Famosa Melaka Resort, Alor Gajah, Melaka sempena Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan EXCO-EXCO Luar Bandar (MEXCLUB).
08 Nov 24
636
Dua Negeri SG4 Terbit Buku Penerangan Dasar Wanita
KUALA TERENGGANU, 7 November - Penerbitan buku adalah satu langkah dalam mendokumentasikan dasar wanita berlandaskan prinsip Islam untuk dijadikan panduan komprehensif.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, kerjasama antara Kelantan dan Terengganu ini tidak hanya melambangkan persefahaman tetapi juga mengangkat martabat dasar wanita dalam konteks negeri-negeri SG4 dan di seluruh Malaysia, bahkan di peringkat antarabangsa.
“Satu penerbitan buku dengan kerjasama dua negeri melalui dua urus setia wanita akan dilakukan bagi memberi penerangan lanjut mengenai Dasar Wanita Solehah Kelantan dan Dasar Wanita Terengganu yang penggubalannya berteraskan Al-Quran dan Sunnah.
“Penerbitan buku ini selari dengan dasar pemerintahan Islam yang menunjangi dua buah negeri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media hari ini, mengulas mengenai Bengkel Penulisan dasar Wanita yang diadakan pada 2 November lalu.
Menurutnya, usaha itu mencatat sejarah sebagai penerbitan pertama secara khusus mengupas dasar wanita di kedua-dua negeri, di samping mengintegrasikan perundangan Malaysia yang relevan.
“Walaupun terdapat banyak penulisan tentang wanita, namun belum ada buku spesifik menerangkan mengenai kedua-dua dasar wanita yang telah digubal dan dilancarkan oleh kedua-dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.
“Selain Dasar Wanita ini menjelaskan kedudukan, hak dan tanggungjawab wanita dari perspektif Islam yang merangkumi nilai-nilai sejagat, ia juga mengambil kira dan memastikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perkembangan perundangan di Malaysia,” ujarnya.
Malah katanya, ia turut memberi panduan bagi negeri Kerajaan Negeri 4 (SG4) dan negeri-negeri lain yang berhasrat mengikuti jejak langkah ini dalam membangunkan dasar wanita Islam.
“Buku ini dijangka bukan sahaja menjadi rujukan utama di peringkat kebangsaan, malah turut berpotensi sebagai panduan antarabangsa.
“Semoga segala yang dirancang berjalan dengan lancer,” katanya.
Justeru itu, Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku Induksi Dasar Wanita dengan harapan buku ini boleh menjadi rujukan dan ikutan sama ada di dalam ataupun luar negara.
07 Nov 24
157
Terengganu Cadang Wujud Santuari Atasi Masalah Gajah Liar Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 7 November - Terengganu dengan kerjasama Pahang dan Kelantan bercadang untuk membina sebuah santuari gajah di Pantai Timur bagi mengatasi masalah serangan gajah liar yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ia merupakan langkah terbaik bagi menempatkan gajah yang ditangkap selain menjaga keselamatan penduduk dari serangan mamalia tersebut.
"Serangan gajah berlaku kerana habitat asalnya semakin berkurangan dan menjejaskan sumber makanan mereka.
"Oleh itu, timbul cadangan daripada wakil tiga negeri untuk membina santuari yang mampu menempatkan gajah di tempat yang selamat dan mempunyai bekalan makanan yang mencukupi," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Biodiversiti Terengganu 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tambah Razali, satu jawatankuasa khas akan diwujudkan yang melibatkan tiga negeri serta jabatan berkaitan bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih mendalam termasuk mengenal pasti lokasi santuari tersebut.
Dalam pada itu, Razali berkata, ketika ini, dianggarkan terdapat 300 ekor gajah di Terengganu.
"Setiap kali kita pindahkan seekor gajah liar yang menyerang kampung serta penduduk menelan kos antara RM50,000 hingga RM70,000 ke habitat asal," ujarnya.
07 Nov 24
151
Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri Ditutup Sementara Bermula 1 November
KUALA TERENGGANU, 6 November - Terengganu akan menutup sementara semua Taman Eko-Rimba, laluan pendakian termasuk aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpan Kekal di negeri ini bermula 1 November baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, penutupan selama empat bulan berikutan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan yang tidak diingini berlaku pada musim tengkujuh.
Menurutnya, antara yang terlibat adalah Taman Eko Chemerong dan Rimba Bandar Bukit Bauk di Dungun, Lata Tembakah dan Lata Belatan (Besut), Sekayu (Hulu Terengganu), Lata Payung (Setiu) dan Air Menderu (Kemaman).
"Tengkujuh dan kepala air boleh mengancam keselamatan pengunjung, jadi semua kawasan ini ditutup buat sementara waktu kepada kunjungan orang ramai sehingga 28 Februari dan akan dibuka semula pada 1 Mac nanti.
"Penutupan itu bermakna tiada aktiviti perkelahan, pendakian dan rekreasi dibenarkan di kawasan terbabit, susulan musim tengkujuh yang dibimbangi boleh menyebabkan kejadian kepala air dan membahayakan pengunjung," katanya kepada pemberita.
Tambah Razali, penutupan turut dilakukan di kawasan rekreasi yang berisiko sepanjang musim tengkujuh
“Mana-mana individu yang melanggar arahan ini boleh disabitkan kesalahan dibawah Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986.
“Sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan,” katanya.
06 Nov 24
309
Berkat Pelajari Seni Khat Daripada Suami, Isteri Muncul Juara
KUALA TERENGGANU, 6 November - Dengan minat yang mendalam melalui bakat yang diasah sejak kecil dan menerima tunjuk ajar daripada suami, Mohd Hisyamuddin Ramli yang merupakan penulis khat, Nurul Hidayah Jusof muncul johan kategori batik.
Katanya, itu merupakan percubaan pertamanya dalam kategori tersebut dan tidak menyangka akan muncul sebagai juara walaupun sebelum ini banyak kali menyertainya dalam kategori lain.
"Saya tidak menyangka percubaan pertama dalam kategori batik ini membawa kemenangan besar, sebelum ini saya hanya pernah mencuba menulis khat di atas kanvas dan sekadar mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan yang disertai sebelum ini.
"Kali ini saya cuba sesuatu yang baru dan Alhamdulillah ada rezeki," ujar anak kelahiran Kuala Terengganu itu ketika ditemui di Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024, di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.
Tambahnya, minat yang berputik di sekolah terhadap seni khat itu tidak pernah terhenti sehingga bekerja di Yayasan Restu malah bertemu jodoh pula dengan suami yang cukup berkemahiran dalam seni khat secara tidak langsung telah membimbingnya selama ini.
"Suami saya yang telah banyak mengajar saya dan menjadi pendorong utama dan menjadi sumber inspirasi untuk terus berusaha dalam bidang yang diminati ini," katanya.
Dalam pada itu, suaminya pula mengharapkan agar kerajaan negeri akan terus menganjurkan program seumpama itu kerana ia merupakan salah satu usaha penting dalam memastikan seni itu terus berkembang.
"Jika lebih banyak acara seperti ini dianjurkan anak-anak muda akan lebih mudah mengenali dan menghargai seni khat walaupun dalam era media sosial di zaman adanya TikTok kerana seni ini memerlukan pendedahan yang lebih luas dan melalui festival ini ia menjadi peluang yang terbaik bagi mempamerkan bakat," jelasnya.
Manakala Johan Kategori Terbuka Spontan, Muin Afnawi Zamri Solihin melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menyertai pertandingan di festival yang diadakan oleh kerajaan Terengganu.
"Bila kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memartabatkan seni ini, ia memberi semangat kepada kami untuk terus berkarya," katanya.
Menurut peserta dari Kedah itu bagi menghasilkan tulisan khat yang cantik ia memerlukan kesabaran dan kegigihan yang tinggi.
"Setiap huruf perlu ditulis dengan teliti dan penuh kesabaran. Saya rasa cabaran paling besar dalam bidang ini ialah kesabaran untuk menguasai setiap gerakan.
"Ramai yang mula belajar tetapi putus asa di tengah jalan kerana memerlukan latihan yang berterusan,"katanya.
06 Nov 24
253