Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Anjur Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di 32 DUN
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri Terengganu akan menganjurkan karnival induk bertemakan 'Indahnya Hidup Bersyariat' di kesemua 32 DUN sebagai langkah komprehensif untuk memperkukuh penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, karnival itu menawarkan pelbagai aktiviti bermanfaat yang menyasarkan kepada semua masyarakat.
“Ia akan meningkatkan penghayatan Islam, memperkasa institusi keluarga, membangunkan potensi belia, memudahcara pemadanan pekerjaan, meningkatkan jualan peniaga, mempromosikan produk pelancongan dan mengakses perkhidmatan kerajaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Menurutnya, karnival tersebut menjadi platform utama untuk memupuk nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian masyarakat.
“Secara umumnya, taraf dan kualiti hidup rakyat negeri kita berada di kedudukan tiga teratas di Semenanjung Malaysia terutamanya bagi komponen pendidikan, keselamatan awam dan keluarga.
“Selain peranan kerajaan, ia adalah manifestasi daripada hubungan antara individu, keluarga dan komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain untuk mencapai matlamat bersama yang lahir daripada proses agama, ilmu dan budaya dalam masyarakat kita,” katanya.
Jelas Ahmad Samsuri, penganjuran program itu melibatkan pelbagai agensi utama seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Yayassn Pembangunan Keluarga (YPK), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Terengganu Human Resourse Development Centre (THRDC).
“Salah satu elemen penting dalam karnival ini ialah program penghayatan Al-Quran, yang dianjurkan oleh Yayasan Islam Terengganu, Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dan DUAT.
“Program penghayatan al-Quran untuk golongan kanak-kanak, dewasa dan OKU serta memperkasa guru-guru al-Quran,” tambah beliau.
Justeru itu, beliau mengalu-alukan penglibatan pihak swasta dalam menjayakan karnival in bagi memastikan manfaatnya dapat dirasi oleh seluruh rakyat Terengganu.
18 Nov 24
642
Terengganu Tumpu Projek Gas, Hidrogen Hijau dan Kredit Karbon
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG), pembangunan loji hidrogen hijau serta penjanaan dan perdagangan kredit karbon selain industri Unsur Nadir Bumi (REE) pada tahun mendatang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam keadaan jumlah populasi dan bilangan penduduk bekerja yang secara relatifnya masih rendah, projek pelaburan dan perindustrian harus dirancakkan supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat.
Katanya, melalui aktiviti ekonomi di negeri kita ia menyumbang kepada peningkatan gaji dan upah, pertambahan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan daya saing pasaran.
“Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI) dalam usaha meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG) dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau yang akan beroperasi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Dua projek rintis juga sedang diusahakan oleh Terengganu Inc. bagi memajukan penjanaan dan perdagangan kredit karbon.
“Menerusi kerjasama dengan TNB Genco pula, usaha digerakkan untuk membangunkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang berpotensi menghasilkan sehingga 2,000 MW tenaga elektrik melibatkan nilai pelaburan berjumlah hampir RM10 bilion bagi tempoh beberapa tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Di samping itu jelas Ahmad Samsuri, bagi memudahkan urusan dan memberikan nilai tambah kepada para pelabur, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Uktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan melaksanakan prosedur dan proses kelulusan projek yang lebih efisien.
“Serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif menerusi dasar pembangunan perindustrian yang akan dilancarkan nanti.
“Usaha menarik bilangan projek dan nilai pelaburan yang lebih besar ke negeri kita sangat penting bagi menjamin peluang pekerjaan sekali gus merangsang pertumbuhan sosioekonomi yang lebih mampan,” ujarnya.
18 Nov 24
932
Terengganu Bentang Belanjawan 2025 Berjumlah RM1.887 Bilion
KUALA TERENGGANU, 18 November – Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejumlah RM1.887 bilion bagi Belanjawan 2025 untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri itu bagi tahun depan.
Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bertemakan 'Demi Masa Depan Terengganu', belanjawan itu termasuk RM450 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
“Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM94.99 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.792 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan iaitu RM278.19 juta untuk Emolumen, RM361.49 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM23.93 juta untuk Aset, RM1.127 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk perbelanjaan lain,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri lagi, bagi hasil pula, sebanyak RM74.10 juta adalah daripada Hasil Cukai, RM189.25 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.733 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil.
“Jumlah ini termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum yang dianggarkan berjumlah RM1.634 bilion,” katanya.
Menurut beliau, bagi memastikan pengurusan kewangan dan proses belanjawan adalah lebih efisien, Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu akan memperkemas pelaksanaan Bajet Berasaskan Outcome (OBB) dalam membuat pengagihan peruntukan dan perbelanjaan nanti.
18 Nov 24
834
'Sudah Lama Pohon, Hari Ini Ada Rezeki' - Penerima Tanah
Oleh : Fatimah Din/Abdul Fattah Kamarudin
MARANG, 18 November - Setelah sekian lama menanti untuk mendapatkan tanah, tahun ini menjadi rezeki buat rakyat di daerah ini apabila dipanggil bagi undian menentukan lot tanah yang diterima.
Norhayati Zakaria, 32, berkata dia mula memohon pada tahun 2018 dan hari ini menjadi sejarah yang begitu bermakna dalam hidupnya.
"Sebelum ini ayah saya ada mohon, tapi tak dapat, hari ni alhamdulillah rezeki nama saya tersenarai untuk undian lot rancangan tanah Felcra Bukit Jetit bagi Mukim Pulau Kerengga, Daerah Marang.
"Dalam adik beradik, saya seorang saja dapat, adik beradik yang lain belum, jadi saya bersyukur," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman UPDI Daerah Marang.
Manakala, Harun Ismail pula berkata dia juga mula memohon dari tahun 2018.
"Saya mohon tanah ini melalui JPKK (Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung), sebab mereka tahu saya anak ramai, jadi mereka memudahkan saya.
"Dengan tanah ini nanti bolehlah saya buat apa yang patut, tunggu punya tunggu sekarang baru dapat, lagipun Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong pun dah maklum tadi pelbagai kekangan yang ada dan perlu melalui beberapa proses untuk pembahagian lot tanah ni.
"Saya merupakan generasi kedua yang dapat tanah, selepas mak saya dulu pernah dah dapat, terima kasih sangat Yang Berhormat Ustaz Sulaiman dan JPKK dan seluruh yang terlibat," jelasnya lagi.
Untuk rekod, seramai 179 orang penduduk menjadi penerima dalam majlis Undian Lot Rancangan Tanah Felcra Bukit Jetit bagi Mukim Pulau Kerengga, Daerah Marang diadakan di Dewan Utama Majlis Daerah Marang pada kelmarin.
18 Nov 24
388
196 Vessel Nelayan Asing Dijadikan Tukun Tiruan
BESUT, 18 November - Sebanyak 196 vessel serta bot nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu sejak 2018 sehingga 2024 telah dijadikan tukun tiruan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, selain itu tindakan akan dikenakan terhadap pemilik bot jika disabitkan tekong boleh didenda tidak melebihi RM6 juta.
Manakala katanya, 'awak-awak' akan dikenankan denda RM600 ribu.
"Bot akan dirampas atau dilucutkan hak serta akan melalui mahkamah maka apabila selesai ia akan melalui proses untuk dijadikan tukun.
"Enjin dan peralatan-peralatan lain dikeluarkan kemudian, kita tenggelamkan sebagai tukun tiruan dan ini merupakan sebahagian program memperkayakan sumber perikanan negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Melabuh Bot Lucut Hak Jabatan Perikanan Malaysia Sebagai Tukun Tiruan, di Beting Lintang Besut, di sini, semalam.
Dr Azman berkata, sebanyak dua buah bot nelayan asing yang ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan telah dijadikan tukun tiruan.
"Alhamdulillah, sejak dilabuhkan turun tiruan dari bot yang ditenggelamkan di sekitar perairan hasilnya sangat baik, maknanya ia merupakan salah satu dari tukun berjaya menarik hidupan laut untuk bersarang.
"Justeru, kita akan teruskan kerana banyak lagi bot-bot nelayan asing yang sedang melalui proses mahkamah dan dila ia selesai kita akan tenggelamkan bagi dijadikan tukun tiruan.
"Ini sebagai satu amaran keras kerapa penceroboh yang menceroboh perairan kita khususnya negeri Terengganu.
"Masih banyak lagi bot (akan ditenggelamkan) sama ada yang dirampak Jabatan Perikanan Negeri Terengganu ataupun yang ditahan oleh agensi penguatkuasaan maritim Malaysia," katanya.
18 Nov 24
119
Terengganu Makin Rancak Cari Hasil Baru
Tidak seperti dulu, Terengganu hari ini bagaikan sebuah negeri baru, yang rancak meneroka sumber tambahan bagi menjana pendapatan negeri demi masa depan rakyat yang lebih terjamin.
Dulu, majoritinya bergantung penuh kepada wang royalti sehingga rakyat tidak nampak usaha kerajaan menambah pendapatan daripada industri lain.
Ini dibuktikan melalui catatan kewangan tahun 2012 yang mencatatkan kadar kebergantungan Kerajaan Negeri terhadap royalti petroleum paling tinggi berbanding tahun-tahun lain.
Kerajaan Negeri ketika itu merekodkan kebergantungan kepada royalti sebanyak 87.41 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan dengan penerimaan RM2.35 bilion.
Manakala kadar paling rendah direkod pada tahun 2020 iaitu 62.95 peratus dengan perbezaan sehingga 21.46 peratus berbanding 2012 dengar kadar sebanyak RM1.25 bilion.
Daripada wang royalti itulah lahir pelbagai bantuan ‘one-off’ antaranya dana raya dan dana remaja, bantuan-bantuan ini sudah tentu membuat rakyat terpesona.
Namun pesona itu boleh menjadi ‘kegembiraan sementara’ kerana wang royalti walau pada hakikatnya ada akta mengesahkan ia milik Terengganu tetapi ahli politik yang menjadi pemerintah di peringkat Persekutuan boleh ‘menyekatnya’ dengan ‘dalil-dalil’ tertentu.
Ini sudah berlaku, justeru langkah yang dibuat Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ini, memberi harapan baru buat rakyat untuk memiliki aset sendiri tanpa ‘dijajah’ pihak berkepentingan peribadi.
Selepas menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, Terengganu terus rancak meneroka potensi pendapatan baharu.
Banyak industri diteroka seperti Unsur Nadir Bumi (REE), Hidrogen Hijau dan Silika dari negara Korea Selatan, Jepun dan China.
Industri solar dan hidro terutama di ladang solar terapung di Tasik Kenyir dijangka mampu memberi pulangan berharga buat Terengganu jika projek berjalan sebagaimana dirancang.
Tidak cukup dengan itu, terbaru dalam tempoh seminggu lalu Terengganu dilapor menandatangani perjanjian dengan negara Brunei dan Oman masing-masing dalam industri maritim dan minyak serta gas.
Industri pertanian juga tidak kurang hebatnya, pelbagai usaha dirangka dan dilaksanakan sejajar dengan pengunaan teknologi moden bagi memastikan majoriti rakyat yang bekerja sebagai petani, penternak dan nelayan mendapat keuntungan berkali ganda.
Perkhabaran ini pastinya mengembirakan seluruh rakyat yang mahu ekonomi negeri terus berkembang maju.
Dijangka pelbagai inisiatif baharu meliputi segenap sektor demi kesejahteraan hidup rakyat di masa hadapan akan diumumkan Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Terengganu 2025 pada 18 November ini.
Semoga masa depan gemilang milik Terengganu.
Editor TRDI News.
17 Nov 24
519
KMI Kuantan Sedia Tawarkan Rawatan Untuk Pesakit Kanser Mulai Januari Depan
KUALA TERENGGANU, 17 November – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) melalui anak syarikatnya KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) terus mengembangkan sayap perniagaannya dengan menawarkan rawatan bagi pesakit kanser (Onkologi) bermula Januari tahun hadapan.
Pengerusi KMI Kuantan, Dato’ Satiful Bahari Mamat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KMI Kuantan berkata, rawatan kemoterapi adalah salah satu rawatan yang boleh diberikan mulai tahun depan, diikuti dengan rawatan radioterapi dan perubatan nuklear.
“Selain itu, mulai pertengahan tahun depan juga, KMI Kuantan akan memulakan projek bangunan baharu untuk menampung operasi bangunan sedia ada.
“Sebanyak 80 bilik persendirian, 30 klinik tambahan, dan tiga pusat kecemerlangan perubatan meliputi jantung, mata, dan tulang dijangka siap menjelang 2028 yang akan menjadi mercu tanda baharu di Kuantan,” ujarnya dalam kenyataan tersebut sempena Majlis Penyerahan Zakat dan Sambutan Sedekad KMI Kuantan di Indera Mahkota, baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas mengenai penyerahan zakat oleh KMI Kuantan, Satiful yang juga Pengerusi Jawatankuasa pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu berkata, hampir RM800,000 sumbangan zakat diserahkan kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi tahun kewangan 2023.
Katanya, dana tersebut bagi menyokong pelbagai inisiatif amal dan program di bawah seliaan PKZ Pahang dan MAIDAM, khususnya dalam membantu komuniti yang kurang berkemampuan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kepentingan zakat bukan sahaja sebagai salah satu rukun Islam tetapi juga sebagai alat untuk memupuk keharmonian sosial dan peranan KMI Healthcare adalah memastikan dana ini sampai kepada mereka yang paling memerlukannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sejak penubuhannya pada tahun 1997, KMI Kuantan telah menunjukkan kejayaan yang konsisten, dibuktikan dengan peningkatan hasil yang didorong oleh pertambahan jumlah pesakit dalam, kadar penghunian katil yang tinggi, dan peningkatan purata hasil pesakit dalam.
“Pada September lalu, KMI Kuantan telah diberi penghormatan sebagai salah satu Syarikat Berprestasi Terbaik dan Syarikat Paling Berpotensi dalam Program Pengarah Korporat Terengganu Inc.
“Dengan kekuatan 30 orang perunding tetap yang terdiri daripada pelbagai disiplin perubatan serta 10 perunding lawatan, KMI Kuantan kini menjadi lebih agresif dalam mengembangkan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh kepada pesakit,” jelasnya.
17 Nov 24
247
Terengganu Terima Sumbangan 1,000 Pakej Prihatin Petronas
KUALA TERENGGANU, 17 November – Yayasan Petronas menyalurkan sumbangan pakej prihatin mengandungi barang kelengkapan asas bernilai RM300 kepada 1,000 keluarga mangsa banjir di Terengganu.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata peruntukan melalui Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2024 itu sebagai salah satu komitmen berterusan Yayasan Petronas yang prihatin dengan situasi yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Pantai Timur saban tahun.
“Sumbangan tersebut diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu untuk diagihkan kepada mangsa terbabit.
“Ia mengandungi keperluan asas seperti air mineral, selimut, peralatan mandian, makanan dan lain-lain,”ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan tersebut kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, Petronas sentiasa peka dengan amaran episod hujan lebat berterusan yang dikeluarkan oleh METMalaysia ekoran Monsun Timur Laut.
Justeru itu beliau berharap sumbangan pakej prihatin mampu meringankan kesukaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.
Dalam masa sama, sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir, Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan sebanyak RM4,000 yang diberikan dalam bentuk Kad Hadiah Petronas.
“Petronas berterima kasih atas komitmen yang telah diberikan oleh pihak berkuasa tempatan di dalam usaha menyelamat mangsa banjir selama ini.
“Kami berharap agar sumbangan yang disampaikan dapat membantu agensi-agensi terbabit membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh,”katanya.
17 Nov 24
211
Kerajaan Terengganu Komited Perkasa Kewangan Islam di Semua Peringkat
Oleh - Pok Abbas
KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan Negeri komited memartabatkan kewangan Islam sebagai asas utama dalam pembangunan ekonomi negeri, dengan tumpuan pada pematuhan prinsip syariah di setiap peringkat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata komitmen itu merupakan langkah strategik untuk memastikan ekonomi negeri berkembang secara beretika dan mampan.
“Kerajaan Negeri sangat komited menjadikan kewangan Islam sebagai teras utama pembangunan ekonomi.
"Melalui program seperti seminar ini, kita dapat meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kewangan Islam, memastikan setiap keputusan diambil selaras dengan prinsip syariat,” katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Islamic Finance Seminar 2024 di Hotel Paya Bunga, di sini, baru-baru ini.
Dr. Khalil turut menekankan bahawa kewangan Islam mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi, bukan sahaja untuk negeri Terengganu, tetapi juga untuk Malaysia secara keseluruhan.
“Kewangan Islam bukan sekadar alternatif, tetapi satu penyelesaian yang menawarkan keadilan, ketelusan, dan keberkatan dalam pengurusan kewangan.
“Sistem ini berupaya mencipta impak positif di pelbagai sektor ekonomi,” jelasnya.
Beliau juga menyifatkan seminar ini sebagai platform penting untuk membincangkan cabaran yang dihadapi serta peluang yang wujud dalam industri kewangan Islam.
“Dengan menghimpunkan pakar, pembuat dasar, dan pemain industri, seminar ini membuka ruang untuk berkongsi pengalaman serta mencetuskan idea baharu.
“Melalui pendedahan seperti ini, kita bukan sahaja dapat merapatkan jurang pengetahuan, tetapi juga membina ekosistem kewangan yang lebih mampan dan bersedia menghadapi cabaran global.
“Inilah masanya untuk kita memanfaatkan sepenuhnya kewangan Islam sebagai alat penting untuk membina negeri dan negara yang lebih maju,” ujarnya.
17 Nov 24
136
Tuisyen Rakyat DUN Sura Suntik Semangat 200 Calon SPM
DUNGUN, 18 November – Seramai 200 orang pelajar menyertai Program Tuisyen Rakyat menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dianjurkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura selama dua hari di SM Imtiaz Dungun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin menyatakan rasa syukur atas kejayaan program tersebut dan menekankan betapa pentingnya inisiatif itu dalam memastikan pendidikan anak-anak di DUN Sura terus diberi perhatian serius.
“Alhamdulillah, program Tuisyen Rakyat ini berjalan lancar dengan sokongan daripada kerajaan negeri. Program ini melibatkan lima buah sekolah iaitu SMK Sultan Omar, SMK Seri Dungun, SMK Sura, SMK Kompleks Padang Jambu, dan SMA Sultan Ismail Dungun dengan setiap sekolah menghantar 40 orang pelajar SPM , 20 pelajar elit dan 20 pelajar sederhana,” jelasnya ketika ditemui pemberita.
Dr. Tengku Fakhruddin turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Terengganu yang telah memperuntukkan dana sebanyak RM10,000 bagi setiap DUN untuk melaksanakan program-program pendidikan seperti ini.
Menurutnya, dana tersebut digunakan untuk memastikan program seperti Tuisyen Rakyat dapat dijalankan dengan sempurna disamping menyediakan pelajar dengan fasiliti terbaik dan pengajaran yang berkualiti.
“Usaha ini adalah untuk memastikan pendidikan anak-anak terus menjadi tonggak utama dalam membentuk masa depan mereka," tambahnya.
Berbaki lebih 40 hari sahaja lagi menjelang SPM, beliau berharap program Tuisyen Rakyat dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar dalam meningkatkan pencapaian akademik mereka.
“Kami berharap pelajar yang menyertai program ini dapat memanfaatkan setiap sesi dengan baik dan membuat persiapan yang terbaik menjelang peperiksaan. Insya-Allah, usaha ini akan membuahkan hasil yang positif dan memberi manfaat besar untuk kejayaan mereka," katanya.
17 Nov 24
166