Artikel "Semasa" Terkini
Penduduk Rantau Abang Diminta Berwaspada
Oleh: Wan Al Affan Bassam Wan Manam
DUNGUN, 29 November- Penduduk di sebelah pedalaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dinasihatkan berwaspada ekoran paras air yang semakin meningkat di beberapa kawasan dalam DUN berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, sehubungan itu orang ramai perlu mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.
"Jika perlu berpindah, segera berpindah tidak perlu bertangguh lagi.
"Ibu bapa perlu mengawasi anak masing- masing dan tidak membiarkan mereka keluar bermain air banjir bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," ujarnya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Serdang di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti - aktiviti di luar rumah kecuali yang perlu sahaja.
"Pihak kami dan agensi-agensi yang terlibat dalam keadaan berjaga-jaga, sentiasa 'alert' dengan sebarang kemungkinan," tambahnya.
29 Nov 24
724
Tanah Runtuh: Dua Beradik Maut, Seorang Tercedera
HULU TERENGGANU, 29 November - Dua beradik disahkan maut dan seorang lagi cedera akibat runtuhan tanah yang menimbusi rumah mereka di Kampung Bukit Apit, di sini hari ini.
Mangsa yang maut ialah Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya Siti Fatimah, 13, masing-masing ditemukan jam 6.32 petang dan 6.59 petang.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang terselamat Uzair Azman, 17, ditemukan jam 5.17 petang dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.
Dua lagi mangsa yang maut juga dibawa ke HSNZ.
Terdahulu, media melaporkan tiga mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, petang tadi.
Pasukan bomba menerima panggilan jam 4.59 petang sebelum pegawai dan maggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.
Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan dibantu BBP Wakaf Tapai kemudian digegaskan menuju ke lokasi kejadian.
29 Nov 24
2682
Tanah Runtuh : 'Dengar Suara Minta Tolong Tapi Tak Dapat Kesan' - Saksi
HULU TERENGGANU, 29 November - "Saya dengar suara meminta tolong sayup dalam kesan runtuhan tapi tidak tahu dari mana," kata Danial Arabi,36.
Dia merupakan orang terawal yang pergi melihat insiden tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil di sini hari ini.
Berkongsi cerita saat kejadian itu berlaku, dia yang juga merupakan jiran terdekat sedang berehat dan mendengar bunyi yang kuat dan apabila keluar mendapati tanah runtuh telah menghempap tiga buah rumah.
Menurutnya, terdapat tiga buah yang mana dua dalam pembinaan dan satu yang dihuni oleh keluarga mangsa.
"Masa tu jam 4.30 petang dan hujan tengah lebat...terdengar bunyi kuat dan apabila keluar tengok tanah runtuh.
“Saya segera ke sana dan nampak seorang mangsa (kanak-kanak perempuan) dihempap selain mendengar suara meminta tolong.
“Saya kemudian menghubungi polis dan bomba memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini.
Katanya, masa kejadian dalam 4.30 petang dan ketika itu hujan lebat sejak semalam.
Tambah Danial, rumah itu didiami enam beranak namun, ketika kejadian, ibu kepada lima beradik tidak berada di dalam rumah.
Terdahulu, media melaporkan tiga mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, petang tadi.
Pasukan bomba menerima panggilan jam 4.59 petang sebelum pegawai dan maggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.
29 Nov 24
755
Tiga Mangsa Terperangkap Tanah Runtuh di Ajil
Oleh : Mastura Jamaldin
HULU TERENGGANU, 29 November- Seramai tiga mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtih di Jalan Bukit Apit, Ajil di sini hari ini
Pasukan bomba menerima panggilan pada 4.59 petang sebelum pegawai dan maggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai bergegas ke lokasi.
Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 5.17 petang.
Ketika ini, usaha mencari dua lagi mangsa giat dijalankan.
Berita lanjut menyusul.
29 Nov 24
2393
MB Turun Padang Santuni Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 November- Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, terus komited memantau keadaan banjir di negeri ini dengan melawat kawasan terjejas dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir.
Semalam, beliau meluangkan masa meninjau situasi banjir di Hulu Terengganu, termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil.
Lawatannya meliputi PPS Tok Randok dan PPS Bukit Kolam, di mana beliau bertemu mangsa banjir dan mendengar keluhan serta keperluan mereka.
Hari ini, Menteri Besar meneruskan tinjauannya ke daerah Setiu dengan melawat PPS Dewan Orang Ramai Kampung Apal, bertemu mangsa banjir dan menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Ahmad Samsuri menzahirkan rasa prihatin terhadap mangsa yang terkesan dan menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan serta memastikan semua bantuan disalurkan dengan cepat dan berkesan.
“Kerajaan negeri sentiasa komited membantu rakyat yang terjejas akibat musibah ini. Saya menyeru semua pihak untuk terus bersabar dan berdoa agar banjir segera surut,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, mangsa banjir di Terengganu setakat pukul 4 petang tadi mencecah 22,511 orang.
Mangsa banjir daripada 6,358 keluarga itu ketika ini berlindung di 228 PPS yang diaktifkan di tujuh daerah yang dilanda banjir.
Pihak berkuasa sedang giat memantau keadaan dan memastikan keselamatan penduduk sentiasa diutamakan.
29 Nov 24
630
Amaran Hujan Lebat Berterusan Peringkat Bahaya di Terengganu, Kelantan Hingga Sabtu
KUALA TERENGGANU, 29 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di Terengganu serta beberapa daerah di Kelantan hingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan di Terengganu, melibatkan kesemua lapan daerah.
Sementara di Kelantan termasuk daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Selain itu, hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka di negeri Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang), Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, dan Rompin) bagi tempoh yang sama.
Dalam pada itu, hujan berterusan tahap waspada diramal berlaku di seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang.
Amaran sama juga dikeluarkan bagi Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar di Perak; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera) serta Segamat, Mersing dan Kota Tinggi, Johor hingga 30 November.
29 Nov 24
520
Pertembungan Tiga Sungai di Hulu Berang Akibatkan Banjir Besar
HULU TERENGGANU, 29 November - Pertembungan tiga sungai utama di kawasan Hulu Berang sekiranya berlaku hujan lebat tanpa henti boleh menyebabkan kampung-kampung di kawasan berkenaan ditimpa banjir besar.
Menurut Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselatan Kampung (JPKK) Kampung Kua, Wahab Awang, banjir akan terjadi apabila pertembungan antara Sungai Kua, Sungai Berang Dan Sungai Terengganu dan menyebabkan mereka terputus hubungan.
"Kampung Kua, Kampung Pengkalan Ajal Dan beberapa Kampung berdekatan menjadi antara Kampung yang dilanda banjir sekiranya hujan lebat berterusan berlaku selama tiga atau empat jam.
"Kami dah biasa dengan banjir ni, setiap hadapi perkara yang sama sebab kita ada jawatankuasa khas orang muda ada ajk dengan tugas masing masing.
"Kebiasaannya gelombang banjir ni ada tiga kali.Sama ada yang pertama besar, atau kedua besar ataupun ketiga lebih besar..tak tentu jadi kami akan 'standby' sentiasa," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di PPS Kampung Kua di sini hari ini.
Justeru itu katanya, penduduk yang terdiri daripada 90 peratus pekebun Kecil ini sentiasa Peka dengan perkembangan semasa berkaitan banjir dan cuaca di musim tengkujuh.
Sementara itu, beberapa mangsa yang ditemui juga mengakui mereka sentiasa perlu bersedia dengan keadaan cuaca serta paras sungai jika hujan lebat.
Bagi Fatimah Jangi, selagi musim bah belum berakhir, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke PPS lebih dari sekali selagi musimnya belum berakhir.
"Air surut kejap pastu bila hujan lebat... naik balik.Gitulah sokmo kalu musim gini," ujarnya
Penduduk yang terjejas di Kampung Kua ketika ini menempatkan 233 penduduk daripada 85 keluarga ditempatkan di Masjid Kampung Kua, Hulu Terengganu.
29 Nov 24
976
Mangsa Banjir Terengganu Hampiri Angka 20,000
KUALA TERENGGANU, 29 November - Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat dan menghampiri angka 20,000 selepas merekodkan 19,922 orang setakat 12 malam 28 November.
Menerusi kemaskini mangsa banjir, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu melaporkan Besut paling teruk terjejas.
Daerah itu mencatatkan 8,591 mangsa membabitkan 2,268 keluarga dengan 89 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.
Ia diikuti daerah Hulu Terengganu yang merekodkan 4,320 mangsa daripada 1,382 keluarga.
Dalam pada itu, Setiu mencatatkan 4,133 mangsa, Kemaman (1,476), Dungun (696), Marang (647) dan Kuala Nerus (59).
Kenyataan itu juga melaporkan, Kuala Terengganu merupakan satu-satunya daerah yang belum terjejas banjir.
"Keadaan cuaca setakat ini hujan di beberapa tempat," tambah kenyataan itu.
28 Nov 24
340
ATM, Agensi Keselamatan Salur Bantuan Kawasan Terputus Hubungan Di Kuala Jengai
KUALA TERENGGANU, 28 November- Anggota tentera bersama agensi keselamatan membantu menyalurkan bantuan ke kawasan yang terputus hubungan di sekitar Kampung Kuala Jengai, Dungun, hari ini.
Pegawai Memerintah Batalion ke 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD PARA) Kem Seri Pantai, Leftenan Kolonel Mohd Ashafiq Abdul Aziz berkata, operasi berkenaan turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Ia diketuai Ketua Kompeni 18 RAMD Mejar Mohd Fahmizal Zamri bermula pukul 12.45 tengahari tadi.
"Operasi dilaksanakan kerana terdapat kawasan di sekitar Kuala Jengai telah terputus hubungan dan memerlukan bantuan ulang bekalan makanan dan peralatan untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS)," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi terbabit menggunakan aset perairan milik ATM dan agensi awam lain dengan melalui jalan Sungai Dungun bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Jengal dan PPS Kampung Surau yang terputus hubungan.
28 Nov 24
139
Awasi Anak-Anak Semasa Musim Banjir - MB
KUALA TERENGGANU, 28 November - Penduduk yang tinggal di kawasan banjir dinasihatkan supaya mengawasi anak-anak mereka daripada bermain air banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jangan sesekali mendekati kawasan yang teruk dilanda bencana alam itu.
"Paling penting, jaga anak masing-masing supaya tidak berkeliaran dan sentiasa berada di rumah.
"Apabila sampai waktu untuk berpindah, segera berpindah kerana yang paling utama ketika ini ialah menjaga keselamatan dan kesihatan diri dan keluarga," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak pandang remeh terhadap penyakit bawaan air ketika banjir.
"Sekiranya mana-mana penduduk yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara atau yang kekal berada di rumah, jika mengalami gejala kesihatan yang berkaitan dengan banjir segeralah berhubung dengan pihak kesihatan," katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Negeri Terengganu samada yang tinggal berhampiran sungai, pantai atau mana-mana kawasan yang berisiko untuk berdepan dengan banjir supaya menjaga keselamatan masing-masing.
"Sama-sama kita berdoa supaya kita semua dapat mengharungi ujian Monsun Timur Laut ini dengan baik dan semoga kita dalam pelihara Allah S.W.T," ujarnya.
28 Nov 24
120