lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Dua Anak Syarikat EPIC Berhad Terima Anugerah Pencapaian Cemerlang
Dua Anak Syarikat EPIC Berhad Terima Anugerah Pencapaian Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Dua anak syarikat EPIC Berhad iaitu Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) dan EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB) telah menerima anugerah Star Excellence Recognition Award daripada ExxonMobil Explorattion and Production Malaysia Inc. (EMEPMI). Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedua-dua anak syarikat itu memperolehi anugerah tersebut sempena EMEPMI 2025 Senior Contractor Management Forum. "Pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen tinggi dan kecemerlangan syarikat dalam memberikan perkhidmatan terbaik. "Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus maju dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," ujarnya melalui suatu kenyataan rasmi di facebooknya, hari ini. Atas kejayaan yang dicapai itu, Samsuri mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan yang membabitkan kedua-dua anak syarikat EPIC Berhad atas kesungguhan serta komitmen yang dilakukan selama ini sehingga mendapat anugerah berprestij itu. "Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan PBKSB dan EOGSB di atas pencapaian cemerlang yang diterima,"ujarnya.
06 Feb 25
267
IPD Dungun Rangkul Tempat Kedua Daerah Terbaik OP Selamat
IPD Dungun Rangkul Tempat Kedua Daerah Terbaik OP Selamat
DUNGUN, 6 Februari - Ibu Pejabat Kontinjen Polis Daerah (IPD) Dungun berjaya merangkul tempat kedua Daerah Terbaik dalam pelaksanaan Op Selamat daripada 151 daerah di Malaysia yang bermula pada 28 Januari hingga 2 Februari 2025 sempena Tahun Baru Cina di seluruh negara.  Kejayaan itu sekaligus membantu Kontinjen Terengganu merangkul tempat kedua bagi kategori Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK). Menerusi hantaran di aplikasi Facebook Polis Daerah Dungun menjelaskan Op Selamat diadakan bagi meminimakan kadar kemalangan terutama melibatkan kemalangan maut disamping mengawal kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina. "Op Selamat kali ini yang diterajui oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Dungun telah menunjukkan kejayaan dengan prestasi yang cemerlang dan mencapai objektif," ujar sumber tersebut.  Pada Majlis Apresiasi Kontinjen dan  Daerah Terbaik Op Selamat Ke-23 Sempena Tahun Baru Cina 2025 telah diadakan di Dewan Bankuet, Persada Plus, Petaling Jaya Selangor itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Dato' Wan Rukman  Wan Hassan bersama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintenden Afandi Hussin  serta Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura  Abdul Kadir telah diberi penghormatan menerima anugerah yang telah disampaikan oleh pucuk pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) . Maizura turut menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota yang telah bertungkus lumus dalam memastikan kejayaan operasi serta ucapan terima kasih kepada masyarakat Daerah Dungun.  "Masyarakat Dungun telah bersama-sama PDRM IPD Dungun dalam meraih kejayaan ini serta sentiasa mematuhi undang-undang sekaligus mengharumkan nama PDRM IPD Dungun khususnya dan Daerah Dungun secara amnya," ujarnya.
06 Feb 25
235
Pesalah Khalwat Berulang Sokong Sebatan Di Khalayak Ramai
Pesalah Khalwat Berulang Sokong Sebatan Di Khalayak Ramai
MARANG, 6 Februari - Pesalah khalwat berulang yang menjalani hukuman sebat di khalayak ramai pada penghujung Disember tahun lalu, menyokong hukuman tersebut terus dilaksanakan kepada pesalah-pesalah khalwat dan kesalahan berkaitan syariah di negeri Terengganu. Buruh binaan berusia 43 tahun itu menyifatkan, kelainan pelaksanaan hukuman tersebut benar-benar memberikan kesan kepada dirinya. "Memang betul-betul mendatangkan keinsafan, saya tidak mahu buat lagi biarlah ini kali terkahir. Sewaktu kena? rasa macam tiada perasaan, tidak tahu hendak kata benda, sakit campur malu ada belaka. "Sakit itu tidak mengapa boleh hadap lagi. Sepuluh boleh hadap lagi 20 boleh hadap lagi, tetapi malu itu. "(Tetapi) cara dia itu moleklah, saya sokong. Ia boleh beri pengajaran kepada orang lain sebab saya tahu betapa peritnya malu itu, datangnya keinsafan, bukan peritnya sakit. Kena (sebat) memang sakit, kalau kita 'piat' (rotan) lembu pun lembu lari, tetapi jika dibandingkan dengan sebatan dadah (sivil) yang itu lebih teruk lagi," katanya. Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas dibebaskan bersama 47 banduan lain menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Penjara Marang, semalam. Mengimbas kembali ketika hukuman diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail pada 20 November lalu, bapa kepada lima orang anak itu menyatakan, dia reda dan cuma memohon hukuman dilaksanakan segera bagi membuktikan keinsafannya. "Cuma, saya tidak fikir, sebab tidak pernah kena (sebatan di khalayak ramai), tanya orang pun tidak tahu. Biasalah dipermain orang itu 'kena piat tengah padang bolalah' dan sebagainya, semua itu saya tidak tahu.  "Selepas kena (dilaksanakan) itu saya reda lah. Sangkaan dan khabar angin jauh beza (dengan pelaksanaannya)," ujarnya. Menerima pembebasan secara PBSL setelah kira-kira tiga bulan ditahan, beliau yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah itu berhasrat kembali bekerja semula. "Insya-Allah tauke percaya pada kita. Semasa kes pertama dan kedua pun tauke bantu sebab dia tahu kita tidak main benda lain, barang dia pun kita tidak khianat, kerja kita buat comel. "Tidak pandai mana nak beri nasihat, sebab kita rasa macam nak beri nasihat kita ini tidak berapa molek lagi, tidak betul lagi. "Kepada budak-budak muda sekarang ini, sudahlah buat-buat berkhalwat, sakit tidak balas (setara) mana, tetapi malunya lebih. Sedap sekejap saja, sakit sekejap saja tetapi malu lama. Habis malu anak keluarga kita, tak payah buatlah," nasihatnya.  
06 Feb 25
2813
RXZ Member 7.0 Sasar 100 Ribu Peserta
RXZ Member 7.0 Sasar 100 Ribu Peserta
KUALA NERUS, 6 Februari – Program himpunan motosikal RXZ Member 7.0 yang akan diteruskan di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 hingga 23 Ogos depan mensasarkan penyertaan seramai 100,000 peserta dari seluruh negara. Penganjurnya, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, pihaknya akan mengadakan acara tersebut di lokasi sama disebabkan mendapat  permintaan tinggi daripada orang luar yang mahu perhimpunan itu tetap diadakan di Terengganu. "Alhamdulillah, tahun lepas acara tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta seluruh negara. Sebelum ini lebih 90,000 peserta yang datang ke Terengganu. "Jadi kita sasarkan penyertaan kira-kira 100,000 peserta dari seluruh negara untuk sertai RXZ Members 7.0 pada tahun ini," katanya kepada pemberita. Mohamad Faizal juga berkata, program himpunan motosikal RXZ Members 7.0  dijangka memberi banyak kelebihan buat Terengganu sendiri, terutamanya dari segi ekonomi. "Ramai penduduk setempat mendapat manfaat dengan adanya penganjuran himpunan seperti ini terutama pengusaha inap desa dan kedai makan. "Acara ini dapat memberi limpahan ekonomi kepada Terengganu, sekali gus menjadikan himpunan ini antara program tarikan pelancongan di Terengganu serta dinantikan setiap tahun terutamanya oleh peminat motosikal," ujarnya. Dalam pada itu, Mohamad Faizal menasihati peserta himpunan itu  diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan selain tidak melakukan kesalahan ekstrem sepanjang perjalanan mereka untuk menyertai RXZ Members 7.0. "Sebelum program diadakan, kita akan berbincang dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dari segi aspek keselamatan, garis panduan dan sebagainya. "Kita juga membuat hebahan menerusi media sosial kepada peserta supaya supaya menitikberatkan pematuhan jalan raya dan mematuhi undang-undang sedia ada," jelasnya.  
06 Feb 25
1122
Kibas Panggang Antara 150 Menu Iftar Wajib Rasa di Raia Hotel
Kibas Panggang Antara 150 Menu Iftar Wajib Rasa di Raia Hotel
KUALA NERUS, 6 Februari - Umat Islam mahu mencari kelainan atau menjamah hidangan istimewa untuk berbuka pada Ramadan nanti boleh ke Raia Hotel & Convention Centre Terengganu yang menyediakan lebih 150 jenis makanan bermula  2  Mac hingga 30 Mac ini. Pelbagai juadah berbuka puasa berkonsepkan gerai ‘Ala-Minutes’ ditawarkan di Bufet Selera Ganu Kita yang pasti membuatkan pengunjung rambang mata dan berada dalam ‘dilema’ untuk membuat pilihan. Antara hidangan istimewa yang pastinya lebih membangkitkan selera adalah kibas panggang mengunakan pelbagai rempah istimewa sebagai menu utama. Chef Kasma Abd Halil,49, berkata orang ramai akan berpuas hati menikmati sajian unik kibas golek yang diadun dengan sentuhan gaya tradisional  berbeza dengan daging kambing kerana teksturnya yang lembut seperti tenderloin. “Rasa perapan rempah-ratus yang cukup padu membuatkan setiap hirisan daging cukup rasa. Lagi sedap digandingkan dengan pilihan kuah yang pekat dan likat," ujarnya. Beliau memberi jaminan bahawa menu buffet yang bakal disajikan berbaloi dengan nilai wang dan diluar kebiasaan berbanding dari hotel-hotel lain.  "150 menu yang diketengahkan ini, pastinya menepati selera semua peringkat usia terutamanya yang merindui sajian hasil air tangan orang ibunda  di kampung. "Menu seperti Gulai Kawah(Kambing, Daging, Ayam), Aneka Sup(Tulang, Ekor, Bakso,Paru,Tomyam), cendol & ABC dengan lebih 30 jenis perencah, pelbagai jenis kerabu, kuih muih tradisional antara tarikan utama menanti anda. “Kita juga sediakan ‘Air Balang Viral’, Teh dan Nescaffe Tarik untuk tetamu membuat pilihan  hilangkan rasa dahaga ,” ujarnya lagi. Tambah Chef Kasma, untuk iftar kali ini, mereka juga tampil dengan konsep ‘ open kitchen’ bagi menyediakan hidangan kuih tradisi Ketayap dan Onde-onde. “Konsep open kitchen membolehkan pelanggan melihat sendiri penyediaan hidangan yang dibuat serta pelanggan menikmati hidangan yang masih panas ketika berbuka puasa,”katanya. Iftar Ramadan yang akan bermula 2 Mac sehingga 30 Mac  ini, akan diadakan di Dewan Baiduri, yang boleh memuat lebih kurang 500 orang pada satu masa. Para tetamu digalakkan untuk mengambil kesempatan daripada tawaran “Early Bird’, yang tersedia sehingga 28 Februari 2025, menawarkan bufet pada harga istimewa RM 68.00 bersih bagi setiap dewasa. Manakala, harga yang dikenakan selepas tarikh tersebut adalah sebanyak RM85 dewasa dan RM58 bagi kanak-kanak termasuk warga emas.  
06 Feb 25
315
DUAT Ajak Pengunjung Pasar Payang Hayati Agama Sambil Beli Belah
DUAT Ajak Pengunjung Pasar Payang Hayati Agama Sambil Beli Belah
KUALA TERENGGANU, 5 Februari- Program Santai Daei Pasar Payang yang julung kali diadakan di Laman Payang di sini adalah usaha Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) mendekati pengunjung pasar berkenaan sekali gus menyampaikan dakwah secara santai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi komitmen untuk melihat Pasar Payang sentiasa segar dan dikunjungi orang ramai. “Tahniah kepada pihak DUAT atas penganjuran program yang bagus dan bermakna ini. “Pengunjung yang datang dapat sama-sama menikmati persembahan ‘busking’, bual bicara dan juga diselit dengan nasihat-nasihat agama, sudah tentu selain membeli belah mereka dapat hiburkan hati dan mendapat sesuatu yang bermakna,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Daie Pasar Payang di Laman Payang di sini, hari ini. Mengulas lanjut Ahmad Shah berkata, kaedah menawan orang ramai mengikuti program keagamaan adalah dengan menyelami kegiatan mereka. “Sebab itu program yang kita susun ini sebagai suatu perkara permulaan, bukan setakat berhibur (mematuhi syariah) tetapi dalam masa yang sama memberi manfaat lain kepada pengunjung. “Kita cuba tarik lebih ramai ke Pasar Payang, jadikan sebagai lokasi untuk mereka datang membeli belah, berehat dan dapat faedah ilmu agama,” ujarnya. Justeru katanya, pengunjung mahupun peniaga diharapkan terus memberikan sokongan kepada program Santai Daie Pasar Payang demi kebaikan bersama. “Bukan kali pertama dan terakhir program ini diadakan di sini tetapi jika mendapat sokongan orang ramai ianya akan berterusan,” ujarnya.  
05 Feb 25
106
Lebih 20,000 Peserta Dijangka Sertai TM2025
Lebih 20,000 Peserta Dijangka Sertai TM2025
KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Kejohanan Terengganu Marathon 2025 (TM2025) yang bakal berlangsung pada 21 dan 22 Februari 2025 dijangka mendapat penyertaan melebihi 20,000 peserta dari dalam dan luar negara. Pengerusi Jawatankuasa Induk TM2025, Hishamuddin Abdul Karim, mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan kejohanan tersebut di Wisma Darul Iman, semalam. Menurut beliau, segala persiapan sedang berjalan lancar bagi memastikan kejohanan berlangsung dengan jayanya. “Kejohanan Terengganu Marathon 2025 akan berlangsung pada 21 & 22 Februari 2025 dengan pelbagai kategori dipertandingkan iaitu 42KM (marathon penuh), 21KM (separuh marathon), 10KM dan 5KM. “Larian ini akan bermula di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu dan dijangka akan disertai oleh lebih 20,000 peserta yang terdiri daripada pelari tempatan dan luar negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya. Selain menjadi medan persaingan buat pelari profesional dan amatur, TM2025 juga berpotensi dalam mempromosikan pelancongan sukan di Terengganu serta menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri ini. Dengan penyertaan besar dari pelari tempatan serta antarabangsa, Hishamuddin meletakkan kepercayaan bahawa acara Terengganu Marathon 2025 akan menjadi satu lagi kejohanan sukan berprestij yang bakal membanggakan negeri Terengganu.
04 Feb 25
1305
Terengganu Inc Peruntuk RM12.02 Juta Laksana CSR Tahun 2024
Terengganu Inc Peruntuk RM12.02 Juta Laksana CSR Tahun 2024
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Syarikat pelaburan utama negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan sebanyak RM12.02 juta sepanjang  program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun 2024. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata, jumlah tersebut meliputi sektor pendidikan, sukan, komuniti, agama dan alam sekitar di Terengganu. "Kumpulan ini tetap teguh dalam misinya untuk memperkasa komuniti melalui inisiatif strategik dalam menyokong usaha CSR yang menyumbang kepada kemajuan negeri dan rakyat Terengganu. “Inisiatif-inisiatif ini sejajar dengan misi syarikat untuk menyokong inisiatif yang mampan yang sejajar dengan prinsip-prinsip agenda prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), menerusi slogan, "Memanfaatkan Pelaburan kepada Rakyat," katanya. Tambah Burhanuddin Hilmi, Terengganu Inc turut menawarkan bantuan pendidikan seperti biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship yang diperkenalkan mulai tahun 2022. Menurut beliau, sehingga kini sebanyak RM2.5 juta telah diperuntukkan dalam tempoh tersebut melalui kerjasama antara Terengganu Inc dan Yayasan Terengganu.  “Terengganu Inc juga menawarkan Biasiswa Tunas Scholar dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Maidam, Kolej Universiti Bestari (UCB) serta KMI Medical Centre dengan peruntukan sebanyak RM1.3 pada tahun 2024.   “Biasiswa ini dikhususkan kepada mereka yang terdiri daripada kerluarga asnaf dan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang kejururawatan di UCB dan sekiranya layak mendapat penempatan pekerjaan di KMI Medical Centre,” ujarnya.   
04 Feb 25
493
Terengganu Inc Santuni 150 Pelajar Asnaf dan Kurang Berkemampuan
Terengganu Inc Santuni 150 Pelajar Asnaf dan Kurang Berkemampuan
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah menyantuni 150 pelajar asnaf dan kurang berkemampuan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Back to School 2025’ di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, Kuala Terengganu, hari ini. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata program tersebut merupakan salah satu usaha untuk memastikan setiap pelajar mendapat peluang tanpa terbeban dengan kekangan kewangan. Menurutnya, sebagai syarikat pelaburan utama negeri, pihaknya menyedari kepentingan pendidikan dalam membentuk masa depan yang lebih cerah. ” Program ’Back to School 2025’ ini menzahirkan keprihatinan Terengganu Inc terhadap keperluan persekolahan anak-anak daripada keluarga asnaf, malah turut mendapat kerjasama baik daripada pihak sekolah serta komuniti setempat. “Inisiatif ini menjadi platform bagi Terengganu Inc untuk mendekati komuniti setempat secara lebih dekat dan memahami keperluan sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan. Tambahnya, Terengganu Inc akan terus memperkukuh peranannya dalam membantu komuniti dengan tujuan membantu mereka membuat persediaan bagi sesi persekolahan yang akan datang. “Pelajar-pelajar akan menerima kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam sekolah, tudung, beg sekolah serta wang saku bagi membuat persiapan persekolahan bagi sesi persekolah 2025. “Kami berharap sumbangan ini dapat memberikan mereka semangat untuk menimba ilmu dengan lebih yakin dan selesa,”ujar beliau.   
04 Feb 25
394
Terengganu Perkukuh Penguatkuasaan Larangan Hiburan dan Kawalan Jualan Di Bulan Ramadan
Terengganu Perkukuh Penguatkuasaan Larangan Hiburan dan Kawalan Jualan Di Bulan Ramadan
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Kerajaan negeri tetap teguh dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berasaskan Islam dengan menekankan larangan hiburan di premis tertentu serta kawalan ke atas aktiviti jualan sepanjang bulan Ramadan tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam membentuk masyarakat yang lebih patuh kepada ajaran Islam. Menurutnya, ia termasuk penguatkuasaan larangan hiburan di premis-premis tertentu serta kawalan terhadap aktiviti jualan di bulan Ramadan. "Antara tindakan yang bakal diambil termasuklah larangan penganjuran hiburan di premis-premis tertentu sepanjang Ramadan bagi memastikan umat Islam dapat menumpukan perhatian kepada ibadah. "Dalam menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang bersyariat, penekanan bukan sahaja perlu diberikan kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat. "Malah aspek penguatkuasaan undang-undang Islam juga perlu ditekankan," ujarnya dalam satu hantaran Facebook rasminya baru-baru ini. Terdahulu beliau telah mengadakan satu mesyuarat yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi bagi membincangkan pengisian dan penguatkuasaan aktiviti jualan sepanjang bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Menurut Wan Sukairi, penguatkuasaan ini juga akan melibatkan pemantauan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memastikan semua premis mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. "Langkah-langkah ini juga sejajar dengan dasar kerajaan negeri dalam mengekalkan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat. “Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan membuahkan hasil yang positif dalam membentuk masyarakat yang lebih patuh kepada ajaran Islam,” tambah beliau.  
04 Feb 25
326