Artikel "Politik" Terkini
Madani Acuan Barat Menuju Kegagalan
KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Konsep ‘Malaysia Madani’ yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini diramal menempah kegagalan sekiranya menjadikan barat sebagai rujukan pentadbiran.
Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, kalimah Madani perlu diterjemah dengan makna sahih dan amanah yang wajib diamal mengikut perintah Allah.
“Acuan madani selain daripada petunjuk Allah dan teladan Nabi pastinya menterjemah kegagalan seperti yang berlaku kepada tamadun sebelum ini bahkan sedang membakar tamadun sekarang.
“Di negara kita, penjajah sudah keluar namun dasar penjajah masih lagi diamalkan. Islam masih tidak diamalkan sepenuhnya, Islam tidak lagi mentadbir dan memerintah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Negara Madani Acuan Allah’ dalam Program Meet & Greet Halaqah Darul Iman (HaDI)di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir Yang DiPertua Dewan Undangan Neger, Dato' Yahaya Ali, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajan Negeri, Senator Dato' Husain Awang serta seluruh ahli kelab Wisma Darul Iman.
Abdul Hadi yang juga mantan Menteri Besar Terengganu turut mengingatkan Umat Islam agar tidak terpengaruh dengan pelbagai fahaman barat yang kian meresap.
“Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan idea ‘Civil Society’ yang dibawa oleh mereka yang tidak beriman.
"Lagi malang bagi Ilmuan Islam yang turut terperangkap dan terpengaruh dengan ideologi tersebut,” tambahnya.
HaDI menjadi program bulanan bagi penjawat awam di Terengganu bagi meningkatkan kefahaman tentang Islam sejak dilancarkan awal tahun lepas.
25 Jan 23
845
Islam Mesti Memimpin Demi Perpaduan Yang Adil
MARANG, 23 Januari - Agama Islam hendaklah menjadi tonggak dan memimpin bagi mewujudkan perpaduan yang adil bagi seluruh rakyat lebih-lebih lagi masyarakat majmuk di Malaysia ini.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata Islam mesti memimpin kerana dalam Islam terdapat perhitungan dosa dan pahala bagi setiap perkara.
"Bukan sahaja dalam masalah amalan-amalan ibadah sahaja malah termasuk dalam bidang pentadbiran juga terdapat pembahagian dosa dan pahala.
"Kita lihat bagaimana keluarga Cina boleh hidup dengan aman dan harmoni di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Tidak berlaku masalah-masalah perkauman di negeri-negeri ini," katanya pada program Semarak Gelombang Rakyat Bersama Perikatan Nasional, di sini, baru-baru ini.
Justeru beliau mengharapkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) serta parti-parti gabungan seperti GERAKAN dapat memainkan peranan untuk mengubah pemikiran pengundi-pengundi bukan Islam.
"Apa yang penting kita manfaatkan gelombang perubahan PRU15 untuk kita tawan kesemua 6 negeri dalam PRN akan datang," katanya.
Sementara itu, dalam majlis berlainan keesokannya Presiden PAS itu bersama pimpinan utama Perikatan Nasional menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Perikatan Nasional di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia, semalam.
Beliau tidak terkecuali turut sama merasai tradisi masyarakat Cina yang menarik iaitu tradisi makanan Yee Sang yang disajikan sebagai hidangan pembuka dan dianggap sebagai simbol penyatuan, kemakmuran dan lambang kemurahan rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun tersebut.
Turut hadir ialah kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) iaitu Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Ho Chai dan Setiausaha Agung PN YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin selain Setiausaha Agung Pas YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta sayap pemuda dan wanita parti komponen PN.
23 Jan 23
308
Petisyen Umno : 'Serah Pihak Berkuasa Adili Sepenuhnya'
HULU TERENGGANU, 16 Januari – Petisyen difailkan Umno Terengganu bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di tiga kawasan di negeri ini akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak perundangan.
Pengerusi Perikatan Nasional Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dakwaan bahawa PAS Terengganu merasuah dan menyogok pengundi dengan wang akan diperhalusi melalui undang-undang.
“Itu (petisyen) hak undang-undang yang diberikan kepada mana-mana pihak penyertaan pilihan raya yang tidak puas hati dengan hal itu.
“Apa jua alasan termasuklah dakwaan pemberian wang akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diadili,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, Kuala Berang di sini hari ini.
Hari ini, Umno Terengganu mengumumkan telah memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman kerana didakwa memberi rasuah dan wang sogokan kepada pengundi pada PRU15.
Pengerusi Umno Terengganu, Dato'Seri Ahmad Said berkata petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu.
16 Jan 23
1353
Kehadiran PM Diurus Dengan Kehendak PMO
HULU TERENGGANU, 16 Januari – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menerima kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu serta menyediakan keperluan seperti diminta Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Beliau turut menafikan bahawa berlakunya masalah antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam isu terbabit.
“Secara asasnya kita tahu PMO hubungi Kerajaan Negeri atas pelbagai urusan sama ada peribadi, parti atau Kerajaan Persekutuan sahaja jadi cara pengurusan itu tidak sama.
“Tun Dr Mahathir Mohamad dulu kita dimaklumkan dengan jelas tujuan kedatangan, siapa yang dilibatkan tapi dalam kunjungan baru-baru ini kita tidak dimaklumkan perlunya urusan dengan Kerajaan Negeri jadi kita bantu dari segi logistik dan pengangkutan seperti diminta. Tidak dibuat permintaan lain daripada itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, Kuala Berang di sini hari ini.
Ahmad Samsuri turut berkata, pihaknya telah berurusan dengan empat orang Perdana Menteri yang berbeza sepanjang menjawat sebagai Menteri Besar Terengganu.
“Ideologi (politik) pada zaman Tun Mahathir juga berbeza, pada saya kecepatan dan kecekapan setiap Perdana Menteri itu yang berbeza,” ujarnya.
16 Jan 23
1032
'Semasa Kempen Cakap Lain, Selepas Menang Buat Lain'
BESUT, 12 Januari - Perikatan Nasional (PN) menegaskan parti itu tidak berbolak balik seperti parti lain yang melakukan tindakan berbeza sebelum dan selepas PRU15.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN berjaya membuktikan kepada rakyat bahawa apa yang dilaungkan semasa berkempen dan selepas PRU15 tetap sama.
Ujar beliau yang juga Bendahari PN, perjuangan parti itu adalah mengangkat nasib rakyat bukan untuk memperdayakan masyarakat semata-mata demi meraih undi.
"Perkara yang penting adalah bagaimana kita (telah) yakinkan rakyat bahawa muafakat politik antara PAS bersama rakan-rakan dalam PN merupakan muafakat politik yang lebih kukuh, stabil dan lebih jelas.
"Suara yang kita laungkan semasa berkempen dan selepas pada itu (sama), kita tidak berbolak balik semasa kempen cakap lain, selepas mencapai kemenangan cakap lain, kita tidak begitu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Banjir Daerah Besut, di Putera Square, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan negeri, Hanafiah Mat.
Menjawab mengenai keputusan Barisan Nasional untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH), Ahmad Samsuri berkata PN tidak boleh memaksa mana-mana pihak untuk bersamanya.
"Kita tidak dapat memaksa mana-mana pihak untuk bersama dengan kita dalam Muafakat Nasional dan saya percaya itu adalah pilihan UMNO dan Barisan Nasional untuk bersama dengan sesiapa sahaja yang mereka mahu.
"Itu menjadi pilihan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi," ujarnya.
12 Jan 23
848
Persekutuan Perlu Hayati Bidang Kuasa Kerajaan
BESUT, 12 Januari - Kerajaan Persekutuan perlu menghayati bidang kuasa kerajaan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan negara, ujar Menteri Besar Terengganu ketika diminta mengulas mengenai bantuan banjir agensi Persekutuan yang tidak diagihkan melalui kerajaan negeri sebagaimana didakwa pelbagai pihak.
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan yang berlaku di peringkat Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutamanya membabitkan sebarang bantuan dan hak rakyat Terengganu.
"Wujud bidang kuasa tertentu antara kerajaan negeri dan persekutuan, di mana setiap perbincangan, pertemuan dan sebagainya perlu dihormati dalam melaksanakan apa yang ada dalam senarai bidang kuasa bersama.
"Belum lagi 60 hari, tidak sampai lagi 100 hari, saya percaya kerajaan persekutuan yang wujud pada hari ini tidak ingin melaksanakan politik sengketa, terpulanglah kepada mereka bagaimana untuk dilaksanakan," ujarnya ketika hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan banjir Daerah Besut. di Putera Square, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Pengerusi PN Terengganu itu berkata semuanya berjalan lancar.
"Terengganu tiada sebarang masalah di kalangan rakan-rakan muafakat politik dalam PN, kita duduk dan bincang dalam waktu yang singkat sahaja.
"Kerana yang penting bagi kita bagaimana mencari jalan untuk meletakkan calon yang terbaik bagi melaksanakan amanah serta berkhidmat untuk rakyat dengan cara yang paling terbaik," ujarnya lagi.
12 Jan 23
779
Gelombang Anak Muda Isyarat Dokongan Kepimpinan Islam
BANGI, 8 Januari – Gelombang yang diterjemahkan golongan anak muda hari ini jelas menyatakan isyarat bahawa kepimpinan Islam menjadi pilihan utama bagi mentadbir negara.
Mahasiswa perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Uthman Che Aziz berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari memberi gambaran bahawa golongan nasionalisme kini semakin ditolak.
“Gelombang anak muda khusnya bagi Melayu dan Islam mempamerkan bahawa kita lebih yakin dengan agenda Islam sebagai solusi.
“60 tahun lalu kita telah beri peluang kepada golongan nasionalisme tapi kini kita lebih cenderung memberi peluang kepada kepimpinan Islam bagi menguruskan negara,” katanya.
Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam Majlis Apresiasi Media Anak Muda 2022 di Bangi Golf Resort, Bangi di sini semalam.
Uthman yang berasal dari Besut turut mengingatkan kepada masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan naratif kotor yang dilontarkan terhadap kerajaan negeri Terengganu.
“Kita perlu menolak berita palsu, fitnah dan rekaan cerita lagi-lagi kita sudah tiada lagi Akta Antiberita Tidak Benar.
“Selaku mahasiswa yang terdedah dengan masyarakat, kita perlu manfaatkan ilmu pengajian intelektual dengan membuat penerangan yang betul agar tidak ditipu.
“Bertenang, pergi ke laman rasmi kerajaan Terengganu seperti laman sesawang Menteri Besar, UPDI dan selidik apa yang benar supaya tidak terkeliru,” tambahnya.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi meraikan pengamal media alaf baru dan pempengaruh seluruh negara yang menyumbang kandungan positif di media sosial.
Turut hadir Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.
08 Jan 23
351
Ahmad Said Tempelak Pengundi Muda
KUALA TERENGGANU, 30 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said dikatakan menempelak sikap pengundi muda khususnya di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu itu mendakwa, golongan terbabit tidak memikirkan masa depan agama, bangsa dan negara ketika membuang undi sebaliknya hanya sibuk tentang kepentingan diri.
“Sekarang diletakkan masa depan negara di tangan pengundi 18 hingga 21 tahun, orang muda tak pernah fikir perkara itu.
“Mereka fikir yang penting aku dapat duit, asalkan boleh beli gajet semua jalan, dua kali dapat daripada kerajaan negeri melalui i-Belia dan i-Mahasiswa kemudian ada parti lagi yang bagi,” ujar bekas calon BN Parlimen Kemaman dalam sidang media ketika persidangan DUN Terengganu hari ini.
Pihaknya membuat kenyataan itu selepas mendakwa kerajaan Terengganu merasuah pengundi muda dan menyalahguna kuasa.
Keratan berita bertarikh 15 November 2021, bantuan dibentangkan dalam bajet.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat sebelum ini berkata, Ahmad Said berbohong apabila mengatakan ia tidak pernah dibentangkan dalam Belanjawan 2022.
"Dakwa beliau, peruntukan itu tiada dalam bajet kerajaan negeri dan tidak pernah dibawa ketika pembentangan bajet kerajaan negeri.
"Ini jelas satu penipuan bagi menjejaskan imej PAS di mata rakyat, padahal peruntukan itu sudah dibentangkan dan ada dilaporkan dalam portal berita, boleh rujuk dan buat carian secara atas talian, namun jika Ahmad Said rasa betul, teruskan laporan, kita tak ada masalah," katanya.
Sementara itu, ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim menyuarakan kebimbangan kerana tuduhan BN itu merendahkan kematangan anak muda.
Katanya, kemenangan PAS pada PRU ke-15 baru-baru ini juga tidak hanya didorong undi golongan belia.
“PAS menang di TUDM Gong Kedak, IPD Polis dan Kem-Kem Tentera, adakah mereka ini dapat duit daripada PAS. Bagaimana pula dengan penjawat awam yang majoritinya mengundi PAS di Terengganu.
“Faktanya PAS menang hampir semua saluran mengundi termasuk saluran 1 dan saluran 2, ini saluran tempat orang tua mengundi,” tegas Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri terbabit.
Untuk rekod, BN tewas di kesemua lapan kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam PRU ke-15 termasuk Ahmad Said dengan majoriti sangat besar.
30 Nov 22
3501
Khairuddin Tewas, Kuala Nerus Kekal 'Hijau'
KUALA NERUS, 19 November - Calon 'underdog' dari Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dato' Dr Alias Razak memenangi kerusi parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan 56,697 undi.
Dalam keputusan yang dikeluarkan di pusat penjumlahan undi Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, hari ini Dr. Alias menewaskan penyandang terdahulu, Dato'Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dari Barisan Nasional (BN) yang memperolehi 26,932 undi dengan majoriti perbezaan 29,765 undi.
Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sebelum ini dikenali sebagai calon 'heavyweight' kerana mempertahankan Parlimen Kuala Nerus sejak PRU13 yang lalu ketika mewakili PAS.
Namun, penduduk Kuala Nerus membuktikan sokongan mereka kekal kepada PAS setelah bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu memilih untuk mewakili BN kali ini.
Selain sentimen parti, kejayaan Dr. Alias dilihat banyak dibantu prestasinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri ketika menangani pandemik COVID-19.
Calon Pakatan Harapan (PH), Dato' Seri Suhaimi Hashim memperolehi 3,708 undi dan Azaha Wahid daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) memperolehi 291 undi.
19 Nov 22
576
Peti Undi Pulau Redang Tiba Jam 6 Petang
SETIU, 19 November - Tiga beg kuning peti Undi Pulau Redang telah tiba di Padang Astaka Majlis Daerah Setiu pada jam 6.00 petang.
Ketiga-tiga peti Undi itu Dari Pusat Pengundian Pulau Redang telah dibawa oleh tiga ketua tempat mengundi bersama tiga polis pengiring dengan helikopter sewa khas yang bertolak pada jam 5.00 petang dari Lapangan Terbamg Pulau Redang.
Jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di Pulau Redang adalah seramai 1,316.
Kesemua pengundi telah melaksanakan tugas berkenaan pada jam 8 pagi dan berakhir tiga petang melalui tiga saluran di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang.
Ini merupakan peti Undi yang pertama telah tiba di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom.
19 Nov 22
470