lightning-solid
Berita :

Artikel "Politik" Terkini

Terengganu Lancar 10 Manifesto Depani PRN
Terengganu Lancar 10 Manifesto Depani PRN
MARANG, 9 Mei - Pelancaran 10 manifesto PAS Terengganu secara berperingkat merupakan kesinambungan daripada kejayaan yang dicapai dalam pelaksanaan 20 tawaran semasa. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sedang menyusun langkah untuk memastikan setiap tawaran itu sampai ke akar umbi. “Bermula sekarang hingga pilihan raya negeri nanti usaha itu digarap supaya mesej itu diterima rakyat,” katanya. Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Datuk Husain Awang sudah mengumumkan dua daripada 10 janji yang ditawarkan dalam manifesto negeri itu jika menang dan mengekalkan pentadbiran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Menurut Husain, lapan lagi janji dalam manifesto itu akan diumumkan secara berperingkat kepada rakyat Terengganu. Katanya, dua manifesto awal ditawarkan PAS adalah rakyat Terengganu yang bekerja dengan pendapatan maksimum RM4,000 sebulan layak membuat pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah. “Kita akan sediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal secara Qardul Hassan untuk kerjaya maksimum RM4,000 dan khairat kematian RM500 untuk setiap kematian. “Setakat ini, saya boleh maklumkan dua janji sahaja, manakala lapan lagi akan diumumkan pada Program Himpunan Teguh Pertahan (HTP) akan datang,” tambah beliau.
09 May 23
1095
‘Jangan Gundah Gulana Dengan Angka 126’
‘Jangan Gundah Gulana Dengan Angka 126’
MARANG, 9 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihatkan semua pihak agar tidak gundah gulana dengan angka 126 yang didakwa boleh meruntuhkan kerajaan Persekutuan sedia ada. Naib Presiden PAS itu berkata, beliau sendiri tidak mengetahui hujung pangkal angka tersebut sehingga boleh menimbulkan keresahan pihak tertentu. “Saya tidak tahu daripada mana datang nombor itu jadi tak saya pun tak boleh komen lebih sebab tak tahu hujung pangkal. “Tapi pada saya ini adalah satu perkara biasa, sejak 10-15 tahun dulu kita dah dengar perkara seperti ini, kejadian 16 September, mempunyai jumlah kerusi yang cukup dan pelbagai lagi dakwaan. “Jadi tak kan lah bila kita dengar perkara serupa pada waktu ini kita gundah gulana dan sedih,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Beberapa hari lalu tular angka 126 yang dibayangkan sebagai akuan bersumpah (SD) 126 ahli parlimen untuk menyokong Perdana Menteri baharu. Ia mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan dan penyokongnya yang rata-ratanya risau jika benar. Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan tiada sebarang usaha digerakkan Perikatan Nasional (PN) bagi mengumpul SD Ahli Parlimen untuk menukar Kerajaan Perpaduan. Beliau berkata, tumpuan dan istiqamah PN adalah menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa dan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.
09 May 23
1578
PAS Mahu Buat Kejutan Penyertaan Nama-Nama Besar
PAS Mahu Buat Kejutan Penyertaan Nama-Nama Besar
MARANG, 9 Mei - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu membuat kejutan penyertaan nama-nama besar ke dalam parti itu di seluruh negara. Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sedang merangka strategi sebelum mengisytiharkan kemasukan individu-individu terbabit. “(Kemasukan nama-nama besar) insya-Allah ada, kita akan menyusun gelombang ini untuk seluruh negeri. “Nama individu itu tak boleh diumumkan lagi, nanti tak ‘supsrise’, benda ni kena ada kejutan,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Mengulas mengenai agihan kerusi antara komponen Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri memaklumkan ia belum selesai sepenuhnya sekali gus menafikan Bersatu Terengganu hanya diperuntukkan empat kerusi. “Libat urus antara negeri-negeri telah dilakukan, tinggal lagi perbincangan kesemua kepimpinan tertinggi daripada setiap parti dalam PN untuk memuktamadkan agihan keseluruhan kerusi itu. “Kita sedang cari tarikh yang sesuai untuk membincangkan perkara itu memandangkan kita masih dalam suasana Aidilfitri, visi PN adalah untuk memastikan kemenangan yang maksimun,” katanya.
09 May 23
388
Dr Sam Tak Mahu Dabik Dada
Dr Sam Tak Mahu Dabik Dada
KEMAMAN, 11 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mendabik dada ataupun merasa selesa dengan sokongan rakyat dan pemerhati politik atas prestasi cemerlang sepanjang mentadbir negeri ini. Beliau sebaliknya berkata, usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat akan terus ditingkatkan pada masa akan datang. Katanya, jika PAS terus diberi kepercayaan untuk penggal akan datang, parti itu akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan agar segala agenda untuk rakyat akan dapat dijayakan. "Saya tidak memberi markah kepada diri sendiri apa yang penting kami (telah) laksanakan (segala amanah) dengan cara yang terbaik. Namun begitu, sudah tentulah masih ada ruang yang boleh kita tambah baik untuk dilaksanakan. "Sebab itu jika diberi amanah dan ruang oleh rakyat sekali lagi, insya-Allah kami akan memperbaiki segala kelemahan yang lalu serta akan menambah perkara yang tidak boleh dilaksanakan pada sesi (penggal) kali ini kita akan terusakn pada sesi akan datang dengan cara yang lebih baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Prihatin Ramadan dan Majlis Perasmian Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Daerah Kemaman, di Masjid Batu 2 1/2, Mak Chili, Kemaman, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini PAS telah melakukan persediaan terbaik termasuk akan membentangkan manifesto di luar jangka khusus untuk rakyat negeri ini. "Telah ada dalam jadual mengenai tarikh akan dilancarkan manifesto, jadi kepada semua tunggulah kedatangannya. "(Mengenai) pembahagian kerusi rundingan peringkat pertama telah dilakukan, ada sedikit lagi perkara yang belum selesai dan saya percaya dalam tempoh yang terdekat akan dapat diselesaikan dan ia telah berjalan," ujarnya lagi.
11 Apr 23
756
PAS Alukan Nama Besar Sertai PN
PAS Alukan Nama Besar Sertai PN
SERDANG, 2 April - PAS sangat mengalukan penyertaan tokoh besar ke dalam Perikatan Nasional (PN) sama ada melalui parti Islam itu ataupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran tokoh-tokoh berkenaan akan memberi nilai tambah kepada PN berdasarkan pengalaman politik mereka. "Insya-Allah (kita alukan Tan Sri Annuar Musa), kita juga jangka lebih ramai akan turut serta, saya tidak boleh sebut lagi tetapi insya-Allah akan ada. Tidak terhenti di situ sahaja," ujarnya ketika ditanyai mengenai desas sesus kemasukan Annuar ke dalam PAS. Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di Dewan A, MAEPS Serdang, di sini, semalam. Menurut Ahmad Samsuri, difahamkan mereka yang mahu menyertai PN percaya gabungan itu adalah parti terbaik selepas kecewa dengan perjuangan parti yang pernah disertai sebelum ini. "Setiap mereka yang bersama dengan PAS sudah tentu ada peranan masing-masing, kita akan beri mereka peranan-peranan tertentu. "Saya percaya orang yang mempunyai pengalaman seperti Annuar dan lain-lain ada peranan yang boleh kita berikan untuk sama-sama memperkasakan PAS sebagai parti politik yang sah dalam negara," ujarnya lagi.
02 Apr 23
712
PN Tak Bermusuh Dengan Pejuang
PN Tak Bermusuh Dengan Pejuang
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai gabungan itu tidak bermaksud mereka bermusuh. Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mempunyai alasan tertentu apabila membuat tindakan tersebut. "Saya tidak mahu sebut sebab-sebanya itu, kerana ia akan menyentuh parti-parti lain, tetapi sudah tentu ada hujan-hujah tertentu kenapa tidak diterima. "Bukan bermakna (kita) hendak bergaduh atau berseteru dengan parti-parti ini tetapi sebab-sebab yang berkait dengan (strategi) pilihan raya dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas Majlis Penyerahan Bantuan One-Off  kepada 141 imam dan bilal di negeri ini, di bawah Skim Mubaligh, di Perkarangan U2, di Wisma Darul Iman (WDI), hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, keputusan itu juga tidak bermakna pintu rundingan ditutup sampai bila-bila, sebaliknya perbincangan di masa akan datang boleh dipertimbangkan kembali. "Saya rasa lebih baik bertanya kepada Setiausaha Agung PN (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) untuk memberikan jawapan yang lebih baik (kenapa menolak Pejuang). "Kita (buat keputusan) bersama dalam mesyuarat, tidak membuat kenyataan yang berbeza di luar mesyuarat melibatkan seluruh kepimpinan PN,"ujarnya lagi.
22 Mar 23
297
Bicara Petisyen PRU15 Parlimen Marang Bersambung 17 April
Bicara Petisyen PRU15 Parlimen Marang Bersambung 17 April
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Perbicaraan kes petisyen Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15) membabitkan Parlimen Marang akan bersambung semula pada 17 April nanti. Peguam responden, Mohd Faizi Che Abu menyatakan bahawa proses mendengar keterangan daripada semua saksi telah selesai sepenuhnya hari ini. Peguam Responden, Mohd Faizi Che Abu yang baru keluar dari bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. "Hari ini tutup kes bagi keterangan saksi, maksudnya semua pihak responden dan pempetisyen telah pun selesai panggil saksi. "Mahkamah akan tetapkan satu keputusan kes iaitu 17 April 2023, sebelum mahkamah memberikan peluang kepada para peguam untuk berhujah," katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini. Menurut beliau, pada tarikh tersebut pengurusan kes ingin melihat nota keterangan bagi tujuan untuk melengkapkan perbicaraan. Faizi turut menjelaskan bahawa sebelum ini tiga saksi melibatkan wakil rakyat telah dipanggil. "Sulaiman Sulong (ADUN Pengkalan Berangan), Ariffin Deraman (ADUN Alur Limbat) dan Mohd Nor Hamzah (ADUN Bukit Payung), ketiga-tiga mereka telah dilepaskan oleh mahkamah. "Selepas ini sudah tidak ada lagi perbicaraan saksi, hanya berhujah sahaja," jelasnya. Pada Januari lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman
21 Mar 23
624
PAS 'Cerai' Bersatu Provokasi Lawan Tutup Gelombang PN
PAS 'Cerai' Bersatu Provokasi Lawan Tutup Gelombang PN
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menolak khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa parti itu merancang untuk keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana beberapa isu mahkamah. Beliau berkata, desas desus tersebut adalah palsu semata-mata merupakan satu provokasi dan disebarkan oleh pihak yang kurang senang melihat kebangkitan gelombang Perikatan Nasional (PN) sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu. "Yang diviralkan itu adalah berita palsu sahaja. Memang tidak ada (meninggalkan Bersatu), saya tidak tahu siapa yang pergi goncang pokok (hingga timbul khabar angin tersebut). "Sesetengah orang kata kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang, tetapi ini memang tiada angin, cuma ada orang goyang pokok..... Wallahualam siapa lah yang goyang pokok ni," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani. Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata hubungan Pas dan Bersatu masih berjalan seperti biasa. "Malam tadi baru sahaja saya  bermesyuarat bersama seluruh kepimpinan PN termasuk pimpinan tertinggi Bersatu dan PAS. "PAS masih setia dengan Bersatu....tak ada apa-apa yang berlaku (boleh menjejaskan hubungan politik dua parti)," ujarnya lagi. Jelasnya, perjumpaan semalam menjurus kepada beberapa perkara kearah Pilihan Raya Negeri (PRN). "Insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan duduk untuk bincang mengenai rundingan kerusi pula," katanya.      
21 Mar 23
986
Pelan Pentadbiran Kerajaan Penggal Depan Siap Dirangka
Pelan Pentadbiran Kerajaan Penggal Depan Siap Dirangka
HULU LANGAT, 14 Mac – Kerajaan negeri pentadbiran PAS telah melengkapkan pelan pemerintahan bagi penggal seterusnya dan akan dibentangkan pada satu tempoh akan datang. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr. Alias Razak perancangan itu jelas membuktikan bahawa PAS telah bersedia mengekalkan kerajaan pada penggal seterusnya. “Kita dapati bahawa respon rakyat sangat baik sepanjang pentadbiran hari ini melalui tadbir urus yang telus. “Begitu juga keadilan dalam kerajaan mengagihkan bantuan kepada golongan sasar tanpa sikap pilih kasih mengikut warna parti politik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga Perantau Terengganu peringkat Lembah Klang di Kingfisher Resort, di sini baru-baru ini. Alias Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus turut mengharapkan rakyat di perantauan menyumbang idea terhadap pentadbiran kerajaan. “Kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima subang saran serta buah fikiran tidak mengira latar belakang, seiring dengan Pelan Induk Terengganu Sekjahtera 2030 (PITAS2030) yang akan kita realisasikan,” tambahnya. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. ADUN Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir. Program tersebut berjaya mengumpulkan seramai 300 perantau di Lembah Klang bagi mengeratkan hubungan dan sesi penerangan daripada pihak kerajaan negeri.  
14 Mar 23
126
Kerajaan Yakin Pertahan Kedudukan Selepas PRN
Kerajaan Yakin Pertahan Kedudukan Selepas PRN
HULU LANGAT, 13 Mac - Kerajaan negeri yakin pemerintahan negeri Terengganu sedia ada akan dapat dipertahankan selepas Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung pada akhir Ogos nanti. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata tatacara pentadbiran kali ini berupaya menguatkan gelombang sokongan terhadap kerajaan PAS.  “Kita sangat yakin bahawa sentimen pentadbiran PAS memerintah tidak lebih sepenggal bakal tamat.  “Orang ramai termasuk bukan rakyat negeri sendiri ‘suka’ dengan pentadbiran kerajaan negeri hari ini,” katanya.    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Hari Keluarga Perantau Lembah Klang di kem Kingfisher, Hulu Langat di sini semalam.  Beliau turut yakin bahawa rakyat pada hari ini mampu mendapatkan maklumat tanpa batasan sehingga pihak tertentu tidak mampu menyekat kebenaran daripada ditutup. 
13 Mar 23
944