lightning-solid
Berita :

Artikel "Politik" Terkini

Anwar Pertahan Zahid Suburkan Politik Wang?
Anwar Pertahan Zahid Suburkan Politik Wang?
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyuburkan amalan rasuah dan politik wang sangat memalukan negara. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, perkara tersebut bukan hanya mengundang kecaman rakyat tetapi turut mengheret bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Presiden parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk turut menentang budaya tidak sihat itu. "Beberapa hari lepas Zahid Hamidi tanpa segan silu mengumumkan pemberian wang lebih 'setengah juta ringgit' kepada belia Terengganu sambil mengharapkan anak muda mengikut Gelombang Biru (BN) dan Gelombang Merah (PH). "Perkara ini sangat memalukan, ia mencabul proses demokrasi, namun malangnya Anwar Ibrahim dengan tegas mempertahankan Zahid Hamidi," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini, hari ini. Tegasnya, Malaysia akan rosak jika budaya tidak sihat tersebut terus disuburkan serta tidak dibendung. "Masyarakat akan hilang rasa hormat terhadap agensi kerajaan dan kerajaan jika acuh tidak acuh dalam perkara ini," katanya. Ujarnya, kini di Terengganu rentetan daripada tindakan Zahid itu, amalan rasuah tersebut sudah menjadi ikutan di peringkat bawahan UMNO itu sendiri. "Tersebar di media sosial, calon BN di beberapa DUN di Terengganu menghulurkan wang kepada orang ramai. "Kelakukan itu seolah-olah seperti mahu mencabar pihak berkuasa dan undang-undang negara, beberapa isu ini juga menunjukkan betapa tidak 'madaninya' PH-BN dalam berkempen. Kami berharap agar tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa," ujarnya. Tambah belau, kelakuan tersebut menjadi bukti nyata betapa kerajaan campuran hari ini gagal serta hanya sekadar bercakap tentang ketelusan serta menentang rasuah. "Jika diimbas sebelum ini mereka jugalah yang lantang bersuara agar isu rasuah dan politik eang dijauhkan dalam kempen pilihan raya. Namun kini kita boleh melihat siapa sebenarnya bercakap benar dan siapa hanya pandai bermain kata-kata. "Kita yakin rakyat Terengganu dan lima negeri lagi menolak budaya politik kuno sebegini dan akan menghukum PH-BN dalam PRU DUN kali ini," ujarnya.
01 Aug 23
154
Hentikan Retorik, Rakyat Cerdik Menilai
Hentikan Retorik, Rakyat Cerdik Menilai
KUALA TERENGGANU, 31 Julai- Ahli-ahli politik disaran mengemukakan realiti yang berpaksikan fakta dan berhenti mengalun retorik kerana rakyat telah cerdik untuk menilai mereka. Calon PAS Ru Rendang yang juga mantan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat sekarang sangat cerdik, terbuka dan mudah mendapatkan banyak maklumat selain mendengar terus apa yang disampaikan ahli politik. "Sebenarnya, apabila kita lihat sesuatu kita harus berpaksikan fakta dan bukan berpandukan sentimen semata-mata. "Keputusan dan data menunjukkan buktinya, apabila kita boleh menunjukkan bahawa prestasi kerajaan yang ditadbir PAS bersama-sama rakan di negeri Terengganu jauh lebih baik. "Sebagai contohnya, sepanjang tempoh 2004 sehingga 2017 di bawah kerajaan yang lalu, kita dapati pelaburan daripada luar menyumbang RM5.5 bilion kepada negeri. Tetapi, apabila kita ambil alih pada 2018 sehingga 2022, kita menerima pelaburan lebih sekali ganda kepada RM11 bilion," katanya. Tambah beliau, sentimen yang dimainkan ahli-ahli politik akan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat. "Ini yang merisaukan kita bila mana ahli-ahli politik di sebelah sana melakukan pembohongan demi pembohongan bagi menutup pembohongan mereka, saya harap rakyat boleh sedar. "Saya percaya bahawa kerosakan yang dibuat oleh kerajaan yang lalu adalah sangat besar (di Terengganu), tetapi kita tidak mengungkit-ungkit sebaliknya, kita cuba menyelesaikan masalah rakyat. "Apa yang penting, kita elakkan diri dari budaya ugut-mengugut, balas dendam sebagaimana di uar-uarkan kepimpinan kerajaan yang lalu, suara nada ugut ini sentiasa berkumandang. Rakyat harus sedar bahawa pendekatan yang kami bawa iaitu politik kasih sayang lebih menimbulkan keharmonian dalam masyarakat," jelasnya lagi. Dr Samsuri turut menyifatkan, Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) di enam negeri kali ini memperlihatkan sambutan luar biasa kepada Perikatan Nasional (PN). "Saya lihat perkembangan yang luar biasa. Kita sudah melalui banyak pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil di pelbagai tempat tetapi trend yang ada sekarang ini, sambutan luar biasa bukan di sahaja di negeri yang tradisionalnya PAS kuat iaitu di Kedah Kelantan dan Terengganu, tetapi juga di negeri-negeri di Pantai Barat. "Luar biasa itu, kita nampak gelombang rakyat memang lari dari kebiasaan dan kita harap kekal sehingga hari pengundian," katanya.        
31 Jul 23
196
BN Kota Putera Langgar Arahan Polis, PAS Gesa Tindakan Tegas
BN Kota Putera Langgar Arahan Polis, PAS Gesa Tindakan Tegas
BESUT, 30 Julai- Belum pun tamat hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN 15), telah ada ketidakakuran yang dilakukan oleh calon yang bertanding, apabila Barisan Nasional (BN) dikatakan mengadakan perarakan bersama calonnya, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof semasa hari penamaan calon bahagian Pilihan Raya N02 Kota Putera, semalam. Calon lawannya dari parti PAS, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan yang jelas melanggar arahan pihak Polis itu. Jelasnya, tindakan melanggar peraturan ditetapkan ketika berkempen tidak wajar dibenarkan sama sekali. “Namun, sekiranya ia dilanggar dan tiada tindakan yang diambil, ia menghantar satu ‘signal’ bahawa peraturan yang dibuat hanyalah sekadar atas kertas dan pihak-pihak bertanggungjawab boleh diperkotak-katikkan,” katanya. Susulan itu, satu laporan Polis telah dibuat oleh Ketua Penerangan PAS DUN Kota Putera, Nik Mazli Mat Yusof berkenaan perkara itu sekitar jam 5.30 petang semalam. Tambah Nurkhuzaini, sebarang peraturan yang digariskan adalah untuk memastikan proses pilihan raya berlangsung secara adil, lancar dan selamat. “Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat bersikap adil dalam perkara ini dan masih menunggu keputusan dari pihak Polis,” katanya. Setakat ini, pihak Polis memaklumkan siasatan masih dijalankan berhubung perkara tersebut di bawah  Seksyen 143 Kanun Keseksaan, iaitu bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang. Sekiranya disabit kesalahan, pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau keduanya sekali.
30 Jul 23
1051
Ghazali Taruhan PAS Tawan Bukit Besi
Ghazali Taruhan PAS Tawan Bukit Besi
DUNGUN, 29 Julai - Ghazali Sulaiman sekali lagi dipertaruhkan PAS bagi menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi melawan Calon Barisan Nasional, Dato' Din Adam. Kedua-dua mereka disahkan layak bertanding setelah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azrul Faiz Shairudin. Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Besi diadakan  di Dewan Al-farabi, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dengan tempoh masa diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi calon bertanding mengemukakan kertas penamaan calon masing-masing. Terdahulu, Din menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi diikuti Ghazali pada jam 9.11 pagi. Pertembungan dijangka sengit memandangkan sebelum ini Din pernah menjadi ADUN Bukit Besi selama dua penggal dari 2008-2013. Manakala Ghazali hanya kalah tipis sebelum ini kepada calon BN, Roslee Daud pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu dengan majoriti 46 undi. Sebelumnya, kedua-dua calon diiringi ratusan penyokong yang memenuhi perkarangan Pusat Penamaan Calon. Paling mencuri tumpuan adalah penyokong dari PAS yang paling ramai dengan 700 lebih mengiringi calon dengan perarakan sambil mengalunkan zikir munajat, selawat serta doa.
29 Jul 23
747
Lima Tahun Tidak Duduk Diam, Ghazali Yakin Diterima Rakyat
Lima Tahun Tidak Duduk Diam, Ghazali Yakin Diterima Rakyat
DUNGUN, 31 Julai - Kekalahan dalam penampilan pertama sebagai calon daripada PAS tidak mematahkan semangat Ghazali Sulaiman, sebaliknya sepanjang tempoh lima tahun beliau tidak berdiam diri dalam mengerakkan segala gerak kerja kebajikan untuk rakyat. Selain itu katanya, tindakan segera yang diambil apabila berlaku bencana seperti ribut dan banjir menjadi nilai tambah untuk dirinya semakin dikenali oleh rakyat menjadikan dirinya optimis pada kali ini mampu menang di DUN Bukit Besi. ''Bermakna telah lama kita gerakkan strategi untuk menambat hari rakyat dan membawa mesej bahawa PAS adalah relevan untuk semua rakyat di sini.  ''Semua penduduk saya utamakan tanpa mengira parti, jika ada yang berhadapan masalah atau petaka saya akan pastikan saya orang terawal yang sampai bagi menghulurkan bantuan. ''Pantang mendengar ada yang sakit, kita akan pergi menziarahi mereka dan mengenal pasti apa keperluan mereka apabila menderita sakit di mana kita menyediakan kerusi roda, katil pesakit dan sebagainya,''ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Proses Penamaan Calon bagi DUN Bukit Besi, di Dewan Al Farabi, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini, pada Sabtu. Tambah beliau, selain bergerak aktif dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk rakyat beliau juga sentiasa memberi tumpuan pendidikan kepada anak-anak di DUN berkenaan. ''Antaranya kita mengadakan tuisyen rakyat secara percuma untuk mereka hampir setiap tahun serta meraikan mereka yang berjaya menyambung kemana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan mengadakan majlis. ''Dari situ saya berjaya menjalinkan hubungan baik dengan mereka, malah mereka datang berjumpa saya apabila pulang ke kampung semasa cuti semester, saya bagi mereka seperti seorang ayah. "Tiada apa yang kita harapkan melainkan ingin melihat mereka ini berjaya dalam pelajaran bagi mengubah nasib keluarga,''ujarnya. Dalam pada itu katanya, pengalaman menjadi Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi selama ini juga membantunya dalam melakukan perancangan apabila dipilih menjadi ADUN nanti. ''Fokus saya ingin menggalakkan anak muda melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan kalau dilihat pusat pelancongan di sini semakin terkenal, saya melihat ia memberi suatu impak yang positif kerana itu kita wujudkan 'kiosk' setakat ini kita telah bina dua iaitu di Pasir Raja dan juga di tempat perkelahan di Sungai Kelemin. ''Malah saya juga telah memperelokkan infrastruktur serta kemudahan di lokasi perkelahan ini dengan menaik taraf jalan melalui tempat ini, menyediakan tandas awam dan sebagainya kita bagi 'comel' sepanjang lima tahun ini,''ujarnya. Tambahnya lagi,PN mampu melakar kejayaan cemerlang pada kali ini kerana yakin dengan gelombang anak muda serta rakyat yang telah melihat kerajaan ditadbir PAS adalah lebih baik berbanding sebelum ini. ''Kerana itu pada PRU peringkat parlimen kita mampu menang hampir 3,000 untuk DUN, melihat keadan semasa yang berlaku di peringkat nasional dan juga prestasi ditunjukkan kerajaan negeri selama ini saya merasakan majoriti itu akan bertambah,'' ujarnya lagi.
29 Jul 23
255
Rakyat Mahu Ahmad Samsuri Kekal di Ru Rendang
Rakyat Mahu Ahmad Samsuri Kekal di Ru Rendang
Oleh : Fatimah Din MARANG, 29 Julai - Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang mahu Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar terus mewakili mereka di kawasan itu. Zainun Mansor, 53, berkata Naib Presiden PAS itu perlu dikekalkan di DUN terbabit atas prestasi cemerlangnya dalam membela nasib rakyat. "Rakyat setempat juga berharap supaya seluruh DUN di Terengganu ini dimenangi oleh PAS, 32 dibalas 0 untuk parti lawan," katanya ketika ditemui pemberita ketika proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Marang di sini hari ini. Sementara itu, Hanim Sofia Mohd Zuhur, 25, berkata dia berharap agar Ahmad Samsuri berjaya mengekalkan kerusi itu pada 12 Ogos nanti. "Saya juga menyeru pada anak muda dan perantau supaya undilah PAS dan baliklah mengundi kerana mengundi ini lima tahun sekali sahaja," katanya. Terdahulu, perarakan calon PAS bagi DUN Ru Rendang bermula pada 8.45 pagi dengan kehadiran hampir tiga ribu penyokong. Perarakan bermula di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ru Rendang Kampung Kijing sehingga ke Pejabat Tanah Daerah Marang.  Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas, DUN Ru Rendang mempunyai lebih 25,999 pengundi dengan lebih 90 peratus daripada pengundi adalah melayu. Ketika itu, Ahmad Samsuri telah berjaya menewaskan calon BN iaitu Dato' Nik Dir Nik Wan Ku dengan majoriti 6,028 undi.
29 Jul 23
304
PRN15: Kota Putera Saksi Pertembungan Dua Mantan Penyandang
PRN15: Kota Putera Saksi Pertembungan Dua Mantan Penyandang
BESUT, 29 Julai- Penyandang kerusi Bahagian Pilihan Raya N02 Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dijangka berdepan tentangan sengit apabila lawannya dari Barisan Nasional (BN), Dato' Muhammad Pehimi Yusof kembali bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini. Pehimi pernah menyandang kerusi berkenaan selama sepenggal pada tahun 2008-2013, sebelum menduduki kerusi DUN Jertih selama dua penggal. Dalam proses penamaan calon pagi ini, Nurkhuzaini tiba di sekitar Pusat Penamaan Calon (PPC) dan sempat menunaikan solat sunat hajat bersama penyokong PAS/ Perikatan Nasional (PN) pada jam 8.00 pagi. Beliau berarak ke perkarangan PPC diiringi kira-kira 1,200 penyokong dan memasuki PPC pada jam 9.03 pagi. Manakala, Pehimi tiba di kawasan PPC pada jam 8.30 pagi. Beliau berarak bersama 1,000 penyokongnya dan memasuki PPC pada jam 9.03 pagi. Nurkhuzaini selesai mengemukakan borang penamaan calon pada jam 9.05, manakala Pehimi selesai seminit kemudian sebelum pegawai pengurus bahagian Pilihan Raya N02 Kota Putera, Mohd Ridhuan Muhammad Nor mengisytiharkan waktu penerimaan kertas penamaan calon ditamatkan pada jam 10.00 pagi. Mohd Ridhuan mengesahkan dan mengumumkan kedua-dua calon layak dan diterima bertanding sebelum kedua-dua calon beredar dari PPC sekitar jam 10.40 pagi. Berdasarkan rekod, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memenangi DUN Kota Putera pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menewaskan calon BN ketika itu, Mohd Mahdi Musa dengan majoriti 1,181 dalam pertembungan tiga penjuru.  
29 Jul 23
513
Amzad Yakin Menang Majoriti Lebih Besar
Amzad Yakin Menang Majoriti Lebih Besar
MARANG, 28 Julai - Setelah kembali diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad yakin mampu mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar berbanding sebelum ini 40,907 undi. Beliau yang merupakan Mantan Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi Malaysia itu berkata momentum gelombang rakyat tidak mampu dihalang dengan apa cara sekalipun. ''Saya rasa majoriti rakyat Kuala Terengganu sudah tidak sabar lagi untuk memberikan jawapan yang terang benderang mengenai sokongan (kepada Perikatan Nasional) sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. ''Dengan menatijahkan majoriti yang cukup besar dan kita menjangkakan kemenangan yang lebih besar lagi kali ini,''ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS Terengganu Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) dan PRK Kuala Terengganu, di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, malam tadi. Menjawab dakwaan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyentuh mengenai pembatalan kemenangannya, beliau berkata keputusan penghakiman jelas menyebut Yang Arif tidak menamakan sesiapa terlibat dalam dakwaan rasuah. ''Saya rasa Rafizi malas membaca sepatutnya dia baca tentang kandungan keputusan penghakiman itu ada perkataan oleh hakim bahawa tiada dinamakan mana-mana pihak berhubung isu rasuah. ''Jadi bukan PN, bukan saya dan bukan mana-mana pihak, jadi dia malas membaca (harap) tolong rajin membaca,'' ujarnya. Dalam pada itu ujarnya bagi mengerakkan kempen bagi mendekati pengundi, pihaknya tiada sebarang masalah malah tidak kekok bertemu rakyat kerana itu merupakan rutin harian yang sudah sebati dengan beliau. ''Setiap hari bertemu rakyat cuma dalam rangka kempen saya oleh kerana berlakunya petisyen sebagaimana baru-baru ini sudah tentu semua pihak perlu mengambil langkah berhati-hati. ''Kerana setiap kali berlaku PRK seperti ini ia membabitkan kos yang besar sudah tentu terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan menyusahkan rakyat sebenarnya, jadi sebagai calon kita akan berhati-hati,''ujarnya lagi.
28 Jul 23
218
Ahmad Samsuri Pertahan Kerusi Rhu Rendang
Ahmad Samsuri Pertahan Kerusi Rhu Rendang
MARANG, 28 Julai – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bakal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri, 12 Ogos ini. Seramai lapan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga akan mempertahankan kerusi di DUN masing-masing. Manakala, dua lagi EXCO kerajaan negeri, Dato’ Dr Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang) tidak mempertahankan kerusi berkenaan. PAS juga mengekalkan Datuk Ahmad Amzad Hashim yang akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti. Pengumuman itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Parti Islam Se-malaysia (PAS), Senator Dato’ Husain Awang pada Majlis Pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu di Dewan Rusila, Marang di sini semalam. Turut hadir pada majlis itu, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri ke-14, Ahmad Samsuri menang kerusi di DUN Rhu Rendang dengan jumlah majoriti sebanyak 6,028. Beliau menewaskan pesaingnya ketika itu, Nik Dir Nik Wan Ku (Barisan Nasional-UMNO) dan Zarawi Sulong (Pakatan Harapan-PH).    
28 Jul 23
268
Hanya PAS Tampilkan Calon Wanita di Terengganu
Hanya PAS Tampilkan Calon Wanita di Terengganu
MARANG, 27 Julai - Hanya PAS yang menampilkan calon wanita bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 12 Ogos nanti. Perkara tersebut disahkan selepas semua parti mengumumkan calon masing-masing termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan semua calon lelaki. Sebentar tadi, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Hussain Awang mengisytiharkan Zuraida Md Noor, 43, sebagai calon PAS di DUN Ladang di hadapan 30 ribu penyokong di Dewan Tok Guru, Rusila. Pengisytiharan itu menyaksikan Zuraida bakal menggantikan Dato' Tengku Hassan Tengku Omar yang menjadi wakil rakyat di DUN terbabit pada penggal lepas. Zuraida ketika ditemui media berkata, beliau bertekad untuk meneruskan legasi Tengku Hassan dan menambah baik segala perancangan terdahulu. "Banyak sektor yang akan diberi perhatian, bukan hanya berkait soal wanita, tetapi isu sosial, pendidikan, pekerjaan, kebajikan, agama dan belia," katanya. Mantan ADUN Wanita (dilantik) itu turut berkata, pelantikannya sebagai calon PAS membuktikan parti itu mengiktiraf peranan wanita dalam pentadbiran  "Ini bukti PAS percaya dengan apa yang boleh disumbangkan kaum wanita, PAS mengangkat martabat wanita untuk terlibat sama untuk mengurus kerajaan," jelasnya.
27 Jul 23
321