Artikel "Pendidikan" Terkini
UC TATI Terajui Pelaksanaan Data Raya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Kolej Universiti TATI (UC TATI) mendapat kepercayaan kerajaan negeri untuk meneraju pelaksanaan Data Raya (Big Data) bagi Negeri Terengganu sekaligus menambahbaik penyampaian kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, menerusi penubuhan Big Data Institute Terengganu (BDIT) bertempat di kampus universiti milik kerajaan negeri itu, ia menjadi tempat penyelidikan komputeran yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menerokai cabaran Revolusi Industri 4.0.
“Selain itu, objektif penubuhan BDIT ini juga sebagai pusat kecemerlangan akademik iaitu kemudahan dan kepakaran kakitangan UC TATI akan digunakan untuk tujuan pengajaran
dan pembelajaran dalam program pengkomputeran terutamanya bagi pelajar institusi berkenaan.
“Institut ini juga akan menawarkan perkhidmatan analisis data kepada pihak kerajaan dan swasta bagi membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Big Data Antara UC TATI Dan Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Pada majlis itu, Kerajaan Negeri Terengganu diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zainal Abidin Mohamed sementara UC TATI diwakili Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad dan Pendaftar UC TATI, Mohd Shafaruddin Mustaffa.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Zuwislan Awang.
Ariffin berkata, kerjasama yang dijalinkan antara BPTM dan UC TATI itu sangat bertepatan dalam memenuhi kehendak kerajaan negeri bagi mendapatkan data yang berintegriti, bersih dan memudahkan pentadbiran kerajaan negeri membuat perancangan dan keputusan masa depan.
Katanya, sebanyak RM600,000 diperuntukan kerajaan negeri kepada UC TATI untuk pelaksanaan Data Raya ini.
Menurut Ariffin, Data Raya telah digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk kerajaan, perbankan, komunikasi, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain.
“Antara kelebihannya termasuklah penjimatan kos melalui kaedah yang lebih efektif bagi menjalankan aktiviti seharian, penjimatan masa melalui sumber data baharu dan menyokong proses pembuatan keputusan yang lebih bermaklumat, pembangunan produk dan memahami keadaan semasa melalui analisa sentimen pengguna dan pasaran,” ujarnya.
Sementara itu, Anuar berkata, pelaksanaan Big Data Analytics ini melibatkan tenaga kerja kakitangan UC TATI sendiri yang berkelayakan PhD termasuk seorang kakitangan yang menyambung pengajian PhD di Mie University, Jepun.
“Kakitangan tersebut akan menjalani latihan tertentu supaya memenuhi keperluan Analytics.
“UC TATI telahpun membuat pembangunan segera Big Data Product pada Ogos lalu dan dijangka berupaya memberi perkhidmatan Big Data Analytics sepenuhnya pada akhir tahun pertama penubuhannya,” ujar beliau.
14 Oct 20
1168
PSMZA Anjur 'E-Sport', Tarik 259 Peserta
DUNGUN, 7 Oktober - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah menganjurkan E-Sport Vibrant ICT Exploration (VICTEX’20) atau sukan elektronik dan berjaya menarik sekitar 259 peserta.
Pengarahnya, Mohd Fikri Ismail berkata, ia merupakan acara dalam format elektronik yang memerlukan strategi dan daya tahan tinggi dalam masa yang sangat singkat.
"Program hasil kerjasama antara Jabatan Sukan, Kokurikulum Dan Kebudayaan(JSKK) dan Jabatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (JTMK) telah berjaya menarik minat seramai 259 orang pelajar yang telah berentap dengan keupayaan dan kemahiran masing-masing sepanjang empat hari bermula 4 hingga 7 Oktober 2020, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup VICTEC´20 E-Sport dan Pelancaran Hari Riadah PSMZA yang berlangsung di Dewan PSMZA. hari ini.
Dalam ucapan tersebut, beliau turut menyentuh objektif pelaksanaan Hari Riadah PSMZA yang akan diadakan pada setiap hari rabu.
Katanya, ia bertujuan untuk meningkatkan kecergasan fizikal kakitangan dan pelajar agar dapat mengurangkan tekanan emosi dan mental.
"Isu kesihatan pekerja merupakan impak tersembunyi yang dibimbangi akan membawa kesan yang buruk sekiranya tidak ditangani dengan baik," ujarnya lagi.
07 Oct 20
816
Kemasukan Pelajar Ditangguh, UMT Sedia Kemudahan Bagi Pelajar Terkandas
KUALA NERUS, 4 Oktober – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan sedia ada, Sesi 2020/2021 ke kampus pada 3 sehingga 8 Oktober untuk mengelakkan penularan COVID-19.
Naib Canselor universiti itu, Prof Dato' Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata, langkah berkenaan selaras dengan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal pelajar-pelajar baharu pada 2 Oktober lalu.
“Dengan pendaftaran jumlah pelajar baharu seramai 2,480 pelajar, Minggu Jalinan Mesra (MJM) serta Majlis Ikrar Pelajar Baharu telah berjaya dilaksanakan pada akhir bulan September secara maya yang dihadiri oleh lebih daripada 2,000 pelajar, Dekan-dekan dan Pegawai-pegawai Utama UMT.
“Pada masa sekarang, UMT telah menerima sebanyak 12 orang pelajar yang telah mendaftar di Kolej Kediaman UMT dan daripada jumlah tersebut, dua orang pelajar telah memilih untuk tinggal di Kolej Kediaman. Manakala seramai 623 pelajar dalam kalangan pelajar Asasi STEM, Diploma, pelajar antarabangsa dan pemimpin pelajar masih berada di kolej kediaman," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambahnya, pihak universiti turut melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi semua program pengajian akan bermula pada 11 Oktober hingga 31 Disember 2020.
"UMT dengan kerjasama Yayasan YTL telah menyediakan inisiatif pelan data secara percuma kepada semua pelajar baharu dan bantuan tambahan kepada 300 pelajar lain yang tiada kemudahan peralatan pembelajaran secara maya,” ulasnya.
Bercakap mengenai kebajikan pelajar, Dr Nor Aieni berkata, UMT turut menyokong usaha KPT dalam berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan berkenaan penjadualan semula tiket penerbangan serta tiket bas bagi pelajar yang terkesan daripada penangguhan itu.
“Selain itu, kemudahan cafeteria dan koperasi untuk pembelian makanan dan keperluan harian disediakan bagi pelajar yang berada di kampus.
“Usaha lain seperti peruntukan RM0.667 juta untuk kebajikan pelajar golongan B40 dan golongan asnaf juga akan disalurkan dalam masa terdekat. Tambahan lagi, talian khidmat kaunseling untuk kesihatan emosi pelajar turut dibuka,” katanya.
04 Oct 20
642
Pasar Buku Ganu, Pupuk Budaya Membaca
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Terengganu Development Management (TDM) Berhad menjadi pelopor dalam membudayakan amalan membaca dengan penganjuran Pasar Buku Ganu yang julung kalinya diadakan di Bandaraya Kuala Terengganu ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, program sebegini banyak manfaatnya kepada warga masyarakat dalam memupuk budaya cintakan membaca terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan juga para remaja.
"Indeks kekerapan membaca di India adalah sebanyak 10 jam per minggu berbanding di negara kita yang hanya 3 jam per minggu.
"Oleh kerana itu, program sebegini sangat bermanfaat bagi mengembalikan semula minat serta budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Kanak-kanak sekarang pun sudah ramai yang mula leka dengan permainan atau pun video-video dalam gajet," jelasnya.
Justeru ujar beliau lagi, program ke arah kesedaran seumpama ini dan kepelbagaian acara santai yang bersesuaian seperti pertandingan dan sebagainya amat perlu diadakan demi untuk melahirkan generasi baharu yang tidak lagi terasing dengan budaya membaca.
"Semasa belajar di Jordan dahulu, antara tips untuk kekalkan ilmu yang dipesan oleh guru saya ialah mengajar, menulis dan membaca, di samping amalan membaca al-Quran yang dijadikan rutin harian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Pasar Buku Ganu yang berlangsung di dataran bersebelahan bangunan TDM Berhad, semalam.
03 Oct 20
459
Astaka ESEmBAS Terengganu Tersergam Indah Selepas 22 Tahun
KEMAMAN, 2 Oktober - Tersergam indah bangunan Astaka Serba Guna Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah (BAS) atau lebih dikenali panggilan ESEmBAS setelah penambahbaikan struktur atap Astaka sedia ada hanya mempunyai lantai yang belum siap.
Penantian 22 tahun akhirnya diselesaikan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid setelah peruntukan RM41,000 dikeluarkan bagi menyelesaikan pembinaan Astaka ESEmBAS sehingga ianya dapat dimanfaatkan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah akan datang.
“Kemudahan astaka yang siap sepenuhnya akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti dengan jayanya dan lebih bersemangat dalam latihan kokurikulum sekolah,” ujar Pengetua SMK BAS, Mohd Anuwa Hamzah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Astaka Serba Guna SMK BAS di Dewan Serba Guna, semalam.
Sementara itu, menurut Che Alias Hamid, SMK BAS adalah sekolah kedua selepas SMK Air Puteh yang dapat disiapkan sepenuhnya pembinaan Astaka bagi kegunaan aktivti-aktiviti kokurikulum.
"ESEmBAS juga adalah sekolah ‘top” di daerah Kemaman dalam pendidikan,” tambahnya dalam ucapan ketika penyerahan astaka.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Abu Hurairah Abu Bakar.
01 Oct 20
2315
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan ZSR Vortices Dan SRC Global Resources
KEMAMAN, 1 Oktober - Kolej Universiti TATI (UC TATI) hari ini menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan industri untuk memantapkan lagi kualiti pendidikan, penyelidikan dan inovasi pusat pengajian itu.
Bagi tujuan tersebut, UC TATI telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan ZSR Vortices Sdn. Bhd. sebuah syarikat yang dilesenkan oleh PETRONAS untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan dalam industri minyak dan gas untuk sektor ‘upstream’ and ‘downstream’.
UC TATI turut menjalinkan kerjasama dengan SRC Resources Sdn Bhd sebuah syarikat yang memberikan khidmat dalam latihan dan perundingan terutamanya berkaitan industri minyak dan gas.
Bagi kedua-dua MoU itu, UC TATI diwakili Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad, manakala ZSR Vortices Sdn. Bhd. diwakili Pengarahnya, Abdul Rahim Pazikadin dan SRC Global Resources Sdn Bhd. pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Hisham Mohd Ariffin.
Dr. Anuar berkata, kedua-dua perjanjian persefahaman ini merupakan satu langkah dominan yang memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
“ZSR Vortices Sdn Bhd sebelum ini telahpun menjalinkan kerjasama dengan pihak UC TATI dengan menerima pelajar praktikal di syarikatnya seramai tiga orang.
“Keyakinan syarikat ZSR terhadap kualiti graduan UC TATI telah membawa kepada penawaran tujuh kekosongan jawatan jurutera dan 25 jawatan pembantu teknik di syarikat mereka kepada graduan UC TATI,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara UC TATI Dengan ZSR Vortices Dan SRC Global Resources di Dewan Al-Jazari, UC TATI, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan UC TATI, Prof. Madya Ts. Dr. Rosliza Ramli dan Pendaftar UC TATI, Shafaruddin Mustafa.
Tambahnya lagi, kakitangan UC TATI juga akan mendapat manfaat dari segi penglibatan dalam projek penyelidikan dan komersial melalui perjanjian persefahaman ini.
Sementara itu katanya, kerjasama dengan syarikat SRC Resources Sdn Bhd. pula memberi fokus terhadap penyediaan kemudahan latihan di UC TATI dalam bidang 'Scaffolding'.
“Sasaran seramai 20 peserta kursus akan menjalani latihan dalam sebulan di UC TATI. Ini bermakna UC TATI bakal menerima 240 peserta kursus dalam setahun,” ujarnya.
Katanya, kursus ditawarkan iaitu pada tahap asas dan pertengahan yang akan bermula bulan ini telah ditauliahkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
01 Oct 20
1599
Move The HEART Orang Asal Sungai Pergam
KEMAMAN, 30 September - Seminar ‘Move The H.E.A.R.T’ merupakan salah satu program khas di bawah inisiatif Empower ECER (Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur) Kemaman untuk memperkukuh dan meningkatkan prestasi akademik serta peratus kehadiran pelajar Orang Asal ke sekolah.
Program Khas Orang Asal ‘Empower ECER’ memberi latihan akademik memfokuskan pengukuhan asas akademik pelajar Tahun 5 dan 6 melalui pendekatan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan bagi meningkatkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah dan mengikuti program yang dijalankan.
Mengulas mengenai program tersebut, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, dua perkara penting yang perlu menjadi perhatian para pendidik, sama ada ibu bapa atau guru-guru adalah pembentukan sahsiah pelajar.
"Ianya harus dimulakan di rumah dan diteruskan di sekolah serta diberi perhatian yang sebaiknya agar prestasi anak-anak pelajar dalam akademik tidak ketinggalan lebih-lebih lagi dalam subjek yang dipelajari," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar Move The H.E.A.R.T Bersama Orang Asal Sungai Pergam Kemaman anjuran Empower ECER Latihan Akademik.
Program itu dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Seramai 150 orang peserta ibu bapa dan pelajar menghadiri seminar bermula seawal 7.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari dengan pengisian zumba, Pertandingan Pakaian Seragam, Pertandingan Mewarna Tema Hari Malaysia dan Seminar Keibubapaan bersama mantan guru pakar bahasa Inggeris, Habibudin Rejab.
Empower ECER di Terengganu diperkenalkan buat pertama kalinya di daerah Kemaman pada tahun 2011 dan diperluaskan ke daerah Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Setiu, Marang dan Seberang Takir dengan mempunyai seramai 13,751 peserta Program Latihan Akademik dan 5,964 peserta Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang telah dan sedang dijalankan sehingga kini.
Johan Pertandingan Pakaian Beragam, Adik Siti Raudhah (Odah).
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Eksekutif Pejabat ECERDC, Mustafa Emam Mokhtar.
30 Sep 20
1499
150 Mahasiswa Terima Bantuan Awal Pengajian
BESUT, 30 September - Seramai 150 bakal mahasiswa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh menerima bantuan awal pengajian dari Pejabat Penyelaras DUN berkenaan baru-baru ini.
Pegawai Penyelaras DUN, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, para bakal mahasiswa perlu memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk kesejahteraan rakyat setempat.
"Akhlak dan tingkah-laku sepanjang proses pembelajaran berlaku harus dijaga sebaik mungkin bagi memastikan ilmu yang diperolehi diberkati oleh Allah SWT.
"Generasi yang berilmu amat penting bagi memastikan kemajuan dan keamanan sesebuah negara dapat dijaga dengan sebaik mungkin.
"Para bakal mahasiswa perlu belajar dengan bersungguh-sungguh agar tidak menghampakan harapan orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Dewan Komuniti Kampung Padang Luas, Jerteh semasa meraikan kesemua bakal mahasiswa terbabit.
Bantuan awal ini merupakan salah satu usaha Pejabat Penyelaras agar dapat menarik minat orang awam untuk terus belajar menuntut ilmu.
29 Sep 20
721
PSMZA Adakan Majlis Graduasi Secara Maya, Rai 1,294 Graduan
DUNGUN, 28 September- Seramai 1,294 orang graduan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menerima diploma masing-masing di Majlis Konvokesyen PSMZA Kali Ke-17 yang diadakan secara maya untuk mengelakkan penularan COVID-19.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Yaswadi Mat Yasim berkata, perasmian dan penyampaian diploma tersebut disempurnakan secara maya oleh Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts Dr Mohammad Naim Yaakub.
“Wabak Covid-19 bukan penghalang untuk kita meraikan kejayaan pelajar-pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka dan ini juga menunjukkan keprihatinan kita.
"Majlis graduasi kali ini sedikit berbeza dimana tiada acara penyerahan skrol secara terus kepada pelajar sebaliknya mereka perlu bergambar di 'skrin hijau' seolah-olah sedang menerima skrol daripada TS Dr Mohammad dan gambar tersebut akan 'diedit' seperti dalam majlis graduasi sebenar, " katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Menurut Yaswadi, majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Dagang, PSMZA selama empat hari itu dengan seramai 170 orang graduan akan hadir untuk setiap sesi telah bermula semalam.
"Segala persiapan telah diatur rapi bagi menjayakan majlis konvokesyen kali ini dimana dalam keadaan pergerakan yang terkawal dan perlu mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
"Terima kasih juga kepada semua 'frontliner' PSMZA yang menjayakan Majlis Konvokesyen Ke-17 ini," ujarnya.
28 Sep 20
1352
RM500 Bantuan Pendidikan STPM Kepada Pelajar Tingkatan 6 Atas Terengganu Kekal Relevan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Kerajaan negeri dijangka masih kekal dengan pemberian bantuan pendidikan sebanyak RM500 kepada pelajar Tingkatan 6 Atas 2020 bagi anak Terengganu yang belajar di negeri tersebut.
Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim berkata, bantuan tersebut adalah susulan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu pelajar Tingkatan 6 Atas di seluruh Terengganu yang tidak memperoleh Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP).
"Bantuan BKP dari Kerajaan Pusat ini menyediakan peruntukan bagi pelajar Tingkatan 6 Atas aliran sains dan sastera yang berjaya. Memandangkan tidak semua pelajar akan dapat biasiswa tersebut, maka kerajaan negeri menyalurkan bantuan pendidikan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebanyak RM500 seorang dalam usaha membantu meringankan bebanan pengajian anak-anak Terengganu yang bakal menduduki STPM.
"Jumlah bantuan ini adalah keputusan kerajaan negeri berdasarkan keadaan kewangan semasa negeri yang dibentangkan dalam Bajet 2020 yang lalu. Untuk tahun hadapan, kita sedang dalam proses mengangkat permohonan bantuan yang serupa di mana belum diputuskan lagi jumlah bantuan tersebut berdasarkan kriteria yang dinyatakan.
"Dijangkakan RM500 seorang akan kekal diberikan oleh kerajaan negeri sebagai pemberian bantuan sepertimana yang dinyatakan," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Terdahulu Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri mengharapkan agar insentif dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri akan menambahkan lagi semangat anak-anak pelajar untuk memperoleh kecemerlangan dalam pendidikan sehingga peringkat tertinggi.
"Sudah pasti dengan adanya bantuan sebegini, meskipun jumlahnya tidaklah besar, sedikit sebanyak dapat menampung kos menyediakan kelengkapan pembelajaran atau membayar yuran peperiksaan," katanya.
Selain itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu turut menyediakan Bantuan Persediaan Ke IPT (Institusi Pengajian Tinggi) sebagai pemberian 'one-off' kepada anak Terengganu yang berjaya melanjutkan pelajaran di pelbagai peringkat pengajian.
Bantuan persediaan ke IPT tersebut diberikan sebanyak RM500 bagi peringkat sijil, asasi dan matrikulasi, RM750 bagi peringkat diploma dan RM1,000 bagi peringkat ijazah pertama, master dan PhD.
23 Sep 20
2635