Artikel "Pendidikan" Terkini
Khat Warisan Teragung Kesenian Islam
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Tulisan kaligrafi atau Khat merupakan seni tertua dan mempunyai keunikannya yang tersendiri dalam ketamadunan Islam.
Malah ia telah tersebar ke seluruh pelusok dunia sejajar dengan perkembangan Islam itu sendiri dari satu zaman ke zaman lain, selain ia menjadi kebanggaan masyarakat Islam sehinga dikagumi di seluruh dunia.
Pendakwah Selebriti, Ustaz Haslin Baharim (Bollywood) berkata, untuk mempelajari tulisan berkenaan sudah tentu memerlukan kepada minat yang mendalam beserta dengan kesungguhan yang jitu.
"Ibnu Muqalah yang menjadi perintis kepada terciptanya pelbagai bentuk khat yang ada pada hari ini.
"Kemudian dikembangkan oleh anak muridnya Abu Al-Hassan atau dikenali sebagai Ibnu al-Bawwab selepas kewafatannya Seterusnya Yaqut al-Musta'simi telah mempercantikkannya lagi,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung, pada Program Munajat Rakyat Terengganu, di TV Darul Iman (TVDI) di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, Khat terbahagi kepada enam Khat Kufi merupakan tertua di dunia telah berkembang di Kufah serta mempunyai nilai yang sangat tinggi.
"Kedua khat nasakh yang digunakan dalam al-Quran di mana ia berperanan memudahkan orang ramai untuk membacanya.
"Khat suluk pula dilengkapi dengan penuh harakat (tanda bacaan), sebagaimana yang terukir di dinding masjid pada hari ini sedikit susah untuk mempelajarinya.
"Manakala pelajar aliran agama pada kebiasaannya menggunakan Khat Riq'ah ketika mengikuti sesi pembelajan dan Khat Farisy serta Diwani pula kebanyakan didapati diguna pakai di Iran, Pakistan juga Turki," katanya.
Katanya, generasi pada hari perlu dipupuk minat mereka untuk menyukai keseniaan Islam berkenaan.
"Memerlukan kepada minat yang mendalam mempelajarinya dengan penuh kesungguhan serta menekuninya.
"Islam dan seni berpisah tiada, dalam bahasa mudahnya ialah ialah Islam menyokong keseniaan dan ia ada terdapat didalam agama ini kerana syariat membenarkannya dalam meraikan fitrah manusia yang sukakan keindahan.
"Apa yang dimaksudkan dengan seni pula ialah segala benda yang halus dan indah berperanan menyenangkan hati manusia samada dalam bentuk lukisan, ukiran kayu dan sebagainya," ujarnya.
04 Jul 21
628
Yayasan Petronas Sumbang Gajet, Data Kepada 735 Anak Terengganu
KEMAMAN, 3 Julai – Seramai 735 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dalam negeri ini telah menerima sumbangan kemudahan pembelajaran berbentuk peranti dan data internet menerusi program CERDIK anjuran Yayasan PETRONAS.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, bantuan itu turut meliputi penyelenggaraan peralatan serta jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun bagi setiap pelajar.
“Kerjasama dan penyaluran gajet tersebut diadakan bersama Pejabat-Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Marang.
“PETRONAS sentiasa komited menyokong usaha kerajaan untuk terus menyediakan pendidikan yang berkualiti, terutama sekali semasa menghadapi cabaran pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 37 peratus pelajar di negara ini tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.
“Sumbangan peranti dan perkhidmatan internet ini diharap dapat membantu mengatasi jurang digital di kalangan pelajar-pelajar yang mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Usaha ini adalah sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan PETRONAS melalui program CERDIK yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh Malaysia," katanya.
Sementara itu, menurut penerima, inisiatif itu sangat membantu dia dan pelajar yang lain untuk belajar.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kerana dengan paparan skrin lebih besar dan jelas ini memudahkan saya belajar dan menyelesaikan kerja kursus.
"Guna ‘handphone’ memang susah sikit bila sedang belajar,” luah Nasrin Syasya Mazlan Abdul Khabir, 15, apabila ditanya mengenai pengalaman beliau mengikuti kelas PdPR.
03 Jul 21
500
PNGK Nasional STPM 2020 Meningkat 0.01 Peratus
PUTRAJAYA, 1 Julai - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.78, meningkat 0.01 peratus berbanding 2.77 pada tahun sebelumnya.
Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Wahid Razzaly, berkata seramai 741 calon memperoleh PNGK 4.0 dengan 554 daripada mereka adalah golongan B40.
Namun, katanya, bilangan calon meraih PNGK 4.0 pada kali ini, menurun berbanding 802 dalam STPM 2019.
"Sukacita dimaklumkan PNGK Nasional STPM meningkat daripada 2.77 pada 2019 kepada 2.78 (peningkatan 0.01) pada 2020.
"Bagaimanapun secara keseluruhan, pencapaian calon STPM 2020 dianggap masih sama dengan STPM 2019 kerana perbezaan sangat kecil, iaitu hanya meningkat sebanyak 0.01 mata.
"Perbezaan peningkatan ini tidak menggambarkan signifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2020 secara keseluruhan berbanding calon STPM 2019," katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2020 secara maya, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Eksekutif MPM, Mohd Fauzi Mohd Kassim.
Wahid berkata, calon STPM 2020 boleh menyemak keputusan peperiksaan, bermula tengah hari ini.
--BERITA HARIAN
01 Jul 21
209
54 Pelajar Cemerlang SPM Di Jabi Terima Imbuhan
SETIU, 30 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim tidak terlepas untuk meraikan kejayaan 54 pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 meskipun dalam suasana Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 1.
Menurut Dr Azman, individu yang mendapat keputusan 6A dan ke atas tetap diraikan walaupun berdepan dengan keadaan yang sangat mencabar di era pandemik Covid-19 ini.
"Walau apa pun situasi, kita tetap perlu kuat untuk mengembirakan orang lain. Sejak dua hari lepas, alhamdulillah hari ini telah selesai masuk kampung seluruh DUN untuk berjumpa dengan anak-anak SPM 2020 dan menyampaikan sedikit hadiah kepada mereka.
"Terdapat seorang pelajar cemerlang Terengganu dengan keputusan 12 A, pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Besut dari Kampung Tempinis, Jabi.
"Bersedialah untuk memulakan alam baru lepas SPM. Perjalanan masih sangat jauh lagi," katanya selepas mengagihkan sumbangan penghargaan kepada pelajar cemerlang SPM, di sini.
Bercakap mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih disambung di Terengganu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata Kerajaan Negeri telah memberikan hujah-hujah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar rakyat Terengganu boleh keluar dari fasa satu ke fasa dua.
"Rakyat Terengganu juga telah berusaha sebaiknya untuk patuh kepada ‘Standard Operating Procedure’ (SOP). Peningkatan kes baru di negeri kita antara yang terendah selepas Perlis.
"Program vaksinasi mendapat sambutan hangat sampai tak cukup vaksin. Paling penting kita nak rakyat boleh kerja cari makan semula. Tapi Majlis Keselamatan Negara (MKN) ada ukuran dan pertimbangan yang diguna pakai, antaranya kadar peratusan rakyat Terengganu yang telah menerima dua dos vaksin masih lagi belum mencapai tahap 10 peratus," jelasnya.
Tambahnya, rakyat hari ini sudah terlalu tertekan dengan situasi sekarang. Kerana itulah Kerajaan Negeri telah dan akan terus berusaha sebaiknya untuk keluar dari sekatan itu.
30 Jun 21
365
31 Pelajar Cemerlang SPM DUN Langkap Diraikan
SETIU, 25 Jun - Pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap kini mampu tersenyum lebar selepas usaha keras mereka mereka dihargai.
Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof berkata, mereka yang berjaya meraih keputusan 6A dan ke atas diberikan hadiah sebagai menghargai jasa mengharumkan nama DUN.
"Setakat data yang kita perolehi seramai 31 orang daripada DUN ini berjaya memenuhi syarat kelayakan bagi menerima hadiah dan sumbangan daripada Pusat Khidmat DUN Langkap.
"Jumlah ini agak besar dan membanggakan, membuktikan pelajar daripada luar bandar mampu bersaing dengan mereka daripada kawasan bandar.
"Hadiah seperti hamper dan sumbangan wang tunai kita sampaikan kepada mereka, ini sebagai tanda ingatan daripada kami kepada pelajar-pelajar ini yang telah bertungkus-lumus untuk berjaya.
"Hari ini kita sampaikan kepada tiga orang pelajar terlebih dahulu dan selebihnya kita akan serahkan secara berperingkat. Kita akan hadir sendiri ke rumah pelajar bagi tidak menyusahkan mereka hadir ke pejabat," kata beliau kepada UPDI.
Dalam pada itu, menurut pelajar cemerlang, Nik Muhammad Zulhilmi Mat Ali daripada SMK Bukit Nenas yang meraih keputusan cemerlang 8A merasa gembira dengan sumbangan yang diterima.
Pegawai Penyelaras DUN Langkap Azmi Maarof menyerahkan sumbangan hamper dan wang tunai kepada Nik Muhammad Zulhilmi
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat DUN Langkap yang hadir sendiri bagi menyampaikan hadiah ini," katanya ketika ditemuramah di rumah beliau di Kampung Baru Bukit Nenas.
Anak muda dari sekolah sukan Terengganu ini berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pengajian Sultan Idris dalam bidang Kejurulatihan dan Sains Sukan.
25 Jun 21
586
TrenglishxCommunity Tawar Program Bahasa Inggeris Percuma
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Program bahasa Inggeris ‘TrenglishxCommunity’ (TxC) kini membuka pendaftaran bagi sesi bulan Julai hingga Ogos dengan menawarkan pelbagai aktiviti pembelajaran menarik secara percuma.
Penolong Pengurus TxC, Muhammad Najib Ahmad berkata, acara atas talian itu menawarkan suasana pembelajaran secara tidak formal dan menyeronokkan bagi mengalakkan penggunaan serta penguasaan Bahasa Inggeris dalam komunti negeri ini.
“Ia juga berperanan sebagai penambahbaikan dan sokongan kepada pembelajaran sedia ada di sekolah, namun begitu, terdapat juga kelas buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kumpulan masyarakat lain.
“Ada sepuluh aktiviti #TxCr2 termasuk Fun English Class For All (FECFA) dan Songs to Soul yang ditawarkan secara percuma, manakala hanya dua aktiviti iaitu Better in Speaking (BESPEAK) dan Enrich Your English (EYE) mengenakan bayaran yuran minimum iaitu RM10," katanya ketika dihubungi UPDI.
Sementara itu, Pengurus Program TxC, Cik Ani Aiza Ashaari memaklumkan, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama dalam menganjurkan aktiviti TxC seperti aktiviti English : The Next Level untuk pelajar sekolah yang dianjurkan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Manir, Mohd Shaheer Ibrahim serta aktiviti My Hub English yang menyasarkan pelajar Maahad Tahfiz terpilih.
“Dengan tenaga 50 pembantu guru Bahasa Inggeris (T-HELP), sasaran penyertaan program selama dua bulan ini adalah seramai 250 orang, kekangan COVID-19 bukan penghalang dalam membangunkan keyakinan diri dalam ‘speaking’.
“Dengan pelaksanaannya juga, diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan membangunkan keupayaan berbahasa inggeris, jadi penyertaan seluruh warga Terengganu amat dialukan,” katanya lagi.
Sebelum ini, program TRENGLISH di bawah kelolaan Yayasan Terengganu (YT) dengan slogan ‘I am from Terengganu, and I speak English’ itu sebelumnya telah berjaya melaksanakan Sembilan aktiviti dalam fasa pertama program TxC pada Mac-April lalu dengan penyertaan daripada pelajar sekolah sehingga golongan warga emas.
Untuk maklumat lebih lanjut tentang pendaftaran program TxC fasa dua, boleh layari Facebook, Instagram dan Youtube rasmi TxC di @TrenglishCommunity atau ke laman pautan Senarai Aktiviti #TxCR2.
22 Jun 21
570
Teknologi Dan PdPR Atasi Cabaran Belajar Waktu Pandemik
Oleh : Nor Amira Amijudin
BESUT, 20 Jun - Belajar menggunakan teknologi dan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukanlah menjadi halangan yang besar kepada pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) zaman kini, malah ia satu cabaran yang perlu dihadapi oleh mereka di waktu pandemik ini.
Abrisam Hafiz Azhar, 18, dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut berkata, pelajar dan ibu bapa terutamanya mestilah melihat daripada sudut yang positif kaedah PdPR yang sedang berjalan.
Dalam suasana pandemik ini, Abrisam mengingatkan supaya jangan cepat mengeluh kerana kejayaan sebenar baginya adalah apabila mereka sentiasa memanfaatkan masa dan tidak mengeluh dengan apa jua keadaan.
"Semoga dengan kejayaan ini dapat memberi semangat dan motivasi pelajar-pelajar lain insya-Allah," katanya ketika ditemu bual pemberita.
Sementara itu, Ahmad Farhan Abdullah, 18, juga dari SM Imtiaz Besut berkata, pelajar harus memanfaatkan sebaiknya bantuan kerajaan negeri dan teknologi sedia ada.
"Anggaplah teknologi yang ada sekarang ni adalah satu rahmat dari Allah SWT. Maka gunakanlah sebaiknya," katanya.
Ditanya tentang rahsia kejayaannya, Farhan memberitahu, mereka perlu sentiasa mencari sumber motivasi untuk berjaya.
"Bila bosan belajar di rumah, carilah sumber motivasi. Saya selalu bersembang dengan mak saya, sambil minta motivasi dan doa daripadanya," ujarnya.
Kedua-dua mereka merupakan pelajar SPM 2020 yang telah diumumkan sebagai pelajar terbaik SPM di peringkat kebangsaan.
Terdahulu, negeri Terengganu berjaya mencatatkan rekod baharu negeri melalui Prestasi Gred Purata Negeri (GPN) dan Pencapaian Lulus Semua Mata Pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan, baru-baru ini.
Terengganu kekal mengungguli carta negeri terbaik SPM 2020 dengan pencapaian gred purata 4.55, mencatatkan peningkatan prestasi gred sebanyak 0.14, sekali gus merupakan rekod baharu mage widgemage widget
20 Jun 21
479
SRIDI Chukai Dibuka Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bakal membuka sebuah lagi Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai mulai Januari tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, ia menjadikan tambahan kepada sembilan buah SRIDI dan satu buah Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang sudah berjaya ditubuhkan sehingga kini.
"Bagi mengekalkan kecemerlangan sedia ada dan ke arah yang lebih baik, pihak kerajaan memaksimakan manfaat kepada rakyat di samping perkara-perkara yang menjadi keperluan untuk mencapai hasrat dan matlamat kita ke arah tahun 2030.
"Antara manifesto yang kita hasratkan adalah untuk mewujudkan sekolah rendah di setiap DUN iaitu SRIDI. Pada awal tahun hadapan insya-Allah sebuah lagi sekolah ini akan dibuka di daerah Chukai, Kemaman," katanya ketika bersiaran secara langsung di Tv Darul Iman menerusi slot 'Bicara Isu Semasa' sempena Munajat Rakyat Terengganu, semalam.
Turut ditampilkan khas dalam slot tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Sementara itu, menurut Satiful, kerajaan negeri juga sedang melengkapkan lagi manifesto berkenaan dengan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) pula sedang dalam proses kerja-kerja pembinaan tapak.
"SMIDI masih lagi dlm proses persiapan tapak kolej di Ajil yang dimiliki Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu untuk proses melengkapkan infratruktur di SMIDI.
"Pelajar-pelajar SMIDI yang ditempatkan di bangunan Yayasan Terengganu di Bukit Besi sebelum ini akan berpindah di kampus tetap mereka selepas ia siap," jelasnya.
Untuk rekod, antara SRIDI yang berjaya ditubuhkan pada 2020 adalah SRIDI Paka, SRIDI Kijal dan SRIDI Permaisuri ditambah dengan enam SRIDI di kawasan DUN Buluh Gading, Bandar, Ajil, Kota Putera, Bukit Besi dan Pengkalan Berangan pada tahun 2019.
Manakala bagi SMIDI yang berjaya ditubuhkan pada tahun 2020 adalah SMIDI di daerah Dungun.
18 Jun 21
1605
Terengganu Negeri Terbaik SPM 2020, MB Ucap Syabas, Tahniah
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Negeri Terengganu berjaya mencatatkan rekod baharu negeri melalui Prestasi Gred Purata Negeri (GPN) dan Pencapaian Lulus Semua Mata Pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan, hari ini.
Terengganu kekal mengungguli carta negeri terbaik SPM 2020 dengan pencapaian gred purata 4.55, mencatatkan peningkatan prestasi gred sebanyak 0.14, sekali gus merupakan rekod baharu negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM, hari ini.
Mendahului Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik di Terengganu, Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan SM Imtiaz Kuala Terengganu di mana masing-masing mengungguli tempat pertama dan kedua.
Seterusnya SM Sains Sultan Mahmud di tempat ketiga, SM Sains Dungun di tempat keempat dan SM Imtiaz Kuala Berang di tempat kelima.
Ahmad Samsuri tidak lupa mengingatkan pelajar agar menghargai jasa semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan mereka.
"Jangan lupa, tuturkan kata terima kasih kepada ibu ayah serta guru-guru yang telah banyak berkorban dan mendidik kalian.
"Syabas saya ucapkan kepada yang berjaya mencapai keputusan cemerlang. Kepada yang belum berjaya, teruskan melihat dan merebut peluang yang ada di hadapan. Tahniah buat anak-anak pelajar SPM Tahun 2020," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa kebakaran rumah di Kampung Losong Haji Su di sini pagi tadi.
Dalam tumpuan sama, beliau turut menyifatkan pelajar SPM 2020 sebagai individu hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sudah dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik Covid-19.
"Pernah saya katakan dalam suatu majlis di sebuah sekolah, SPM merupakan satu tanda koma dan bukanlah satu titik noktah, perjalanan hidup anak-anak pelajar masih panjang, berjaya atau belum berjaya, yang paling utama adalah jangan sesekali berputus asa," jelasnya.
Terdahulu, seramai 18,743 calon termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2020 di 169 pusat peperiksaan seluruh Terengganu bermula 22 Februari hingga 25 Mac lalu.
Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 yang dicatat bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ia merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila GPN bagi SPM 2016 ialah 5.05, 217 (4.90), 2018 (4.89) dan 2019 (4.86).
10 Jun 21
4755
Pencapaian SPM 2020 Terbaik Sejak 2016
KUALA LUMPUR, 10 Jun - Pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 yang dicatat bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ia merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila GPN bagi SPM 2016 ialah 5.05, 217 (4.90), 2018 (4.89) dan 2019 (4.86).
Selain itu, katanya, seramai 88.68 peratus daripada 401,105 calon berdaftar bagi SPM 2020 layak menerima sijil peperiksaan tersebut.
“Ia tinggi 1.96 peratus berbanding SPM 2019 yang mencatatkan 86.72 peratus,” katanya pada sidang akhbar pengumuman 2020 hari ini.
-- K! ONLINE
10 Jun 21
443