lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Peruntukan Tambahan RM3.385 Juta Untuk Sekolah Agama, Pondok
Peruntukan Tambahan RM3.385 Juta Untuk Sekolah Agama, Pondok
KUALA TERENGGANU, 9 September - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM3.385 juta kepada sekolah pondok, sekolah agama rakyat (SAR), pusat tahfiz dan institusi pendidikan agama persendirian di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata inisiatif itu dibuat bagi membolehkan setiap pusat pendidikan terbabit meneruskan kelangsungan mendidik modal insan. Katanya, ia sekali gus menzahirkan komitmen kerajaan dalam menjadikan sektor pendidikan agama sebagai pelaburan yang berbaloi dengan melahirkan modal insan berkualiti. "Sebanyak 140 institusi pendidikan dalam kategori itu yang mendapat manfaat terbabit untuk tahun 2021.  "Ia bagi memastikan kesemua 140 institusi terdiri daripada pondok-pondok, Sekolah Agama Rakyat, Tahfiz dan juga institusi pengajian agama yang ada dalam negeri ini terus bernafas dalam suasana yang penuh mencabar ini," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Untuk rekod, sebelum ini kerajaan juga telah mengagihkan bantuan kepada guru agama melalui Skim Al-Ghazali. “Dengan memberi insentif secara bulanan kepada guru-guru sekolah agama swasta dan seumpamanya. “Kita telah memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta daripada awal Januari sehingga Disember iaitu seorang guru menerima sebanyak RM900,” katanya. Tambahnya lagi, bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah RM1.14 juta dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga turut berperanan memastikan institusi pendidikan agama terus berkembang.
09 Sep 21
881
Kompleks Terbiar Dibaik Pulih Jadi Kampus KQT
Kompleks Terbiar Dibaik Pulih Jadi Kampus KQT
KUALA TERENGGANU, 8 September - Kerajaan negeri sedang membaik pulih Kompleks Agensi Kerajaan di Pengkalan Gawi yang terbiar sejak 2015 untuk dijadikan kampus sementara Kolej al-Quran Terengganu (KQT) pada Januari tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, ini kerana institusi yang sedia ada di Padang Midin tidak lagi dapat menampung jumlah pelajar yang ramai. Katanya, ini juga sebagai persediaan ke arah menaik taraf KQT kepada kolej universiti. "Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mengembalikan semula institusi kerajaan negeri yang kita miliki sendiri sebagaimana Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dahulu, walaupun kita terpaksa bermula dari awal semula tetapi kita yakin usaha dan komitmen ini akan membuahkan hasil pada masa akan datang. "Sekarang ini kita cuba untuk menyiapkan serta baik pulih bangunan ini dalam menyediakan suasana pembelajaran yang sewajarnya sebelum Januari, insya-Allah kita akan cuba sebaik mungkin," katanya. Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika melakukan tinjauan ke kompleks berkenaan, pada hari ini. Mengulas lanjut katanya, pihak kerajaan sebenarnya telah meluluskan tapak 300 ekar di Durian Mentangau untuk tujuan pembinaan kolej universiti berkenaan yang kini sedang digerakkan proses untuk disiapkan dalam memastikan apa yang menjadi hasrat selama ini melalui sektor pendidikan dapat dicapai. "Untuk dinaik taraf ada syarat-syarat Malaysian Qualifications Agency (MQA) yang mesti dipenuhi, untuk sementara kita tempatkan pelajar di sini dahulu khusus untuk pengambilan pelajar peringkat ijazah dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Beliau berharap agar penglibatan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), pihak KQT, Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN) dan sebagainya akan dapat melancarkan segala urusan berkaitan. "Melalui kerjasama yang baik ini, akan dapat menyelesaikan beberapa permasalahan untuk kita percepatkan perjalanan pembangunan pendidikan ini. "Terima kasih kepada semua pihak khususnya pihak kawasan setempat, jadi kita berharap ia akan dapat menghidupkan kawasan sekitar, dengan adanya institusi pengajian ini," katanya. Untuk rekod, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini memaklumkan kolej berkenaan sedang melalui proses transformasi untuk dijadikan sebagai sebuah Kolej Universiti menjelang tahun 2025 melalui peruntukan sebanyak RM11 juta. Ia melibatkan kerja menaik taraf cawangan di Pengkalan Gawi serta pembinaan kampus baru di Durian Mentangau yang akan melalui proses transformasi bertahap selama empat tahun bagi memenuhi keperluan sektor pendidikan di negeri ini.      
08 Sep 21
3485
Terengganu Beri Penerangan, Penjelasan Didik Guru Enggan Divaksin
Terengganu Beri Penerangan, Penjelasan Didik Guru Enggan Divaksin
KUALA NERUS, 8 September – Kerajaan negeri mengambil pendekatan mendidik, memberi penerangan dan penjelasan dari semasa ke semasa dalam menangani isu segelintir guru-guru sekolah di negeri ini yang enggan divaksin. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, hanya minoriti kecil sahaja yang masih belum atau memilih untuk tidak disuntik vaksin COVID-19. “Angka mereka yang tergolong dalam kategori ini tidak ramai dan tiada angka tetap, namun menerusi mesyuarat bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), isu ini akan ditangani sebaik mungkin. “Setakat ini, tiada keputusan drastik diumumkan seperti pengasingan daripada pengajaran, kita tunggu keputusan peringkat Kementerian Persekutuan bagi tindakan sewajarnya. “Walaupun, usaha pemberian dos suntikan tidak dipaksa, namun ia memberi kebimbangan kepada orang sekeliling terutamanya pihak ibu bapa dan pelajar,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air di di Dewan Serbaguna Tepoh, pagi semalam. Tambah Satiful, antara faktor yang mungkin membawa kepada wujudnya golongan sedemikian adalah pengaruh media terutamanya di media sosial. “Kebanyakan maklumat diterima adalah fakta tidak berasas, apa dibuat kerajaan adalah berdasarkan data dan dasar betul seiring dengan perkembangan,” katanya lagi. Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan bahawa guru-guru yang enggan divaksin akan diberikan tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka kelak yang bukan melibatkan aktiviti pengajaran di dalam kelas secara bersemuka dengan pelajar. Penjelasan itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa guru-guru berkenaan tidak perlu mengajar serta terlibat dalam sesi persekolahan yang akan dibuka pada 3 Oktober depan.
08 Sep 21
1169
Pelajar SPM, STPM Terengganu Dijangka Selesai Vaksin Sebelum Oktober
Pelajar SPM, STPM Terengganu Dijangka Selesai Vaksin Sebelum Oktober
KUALA NERUS, 8 September – Kerajaan negeri akan memastikan sektor pendidikan selamat sepenuhnya sebelum dibuka kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan melengkapkan proses vaksinasi terhadap golongan terbabit sebelum Oktober. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kebanyakan guru dalam negeri sudah lengkap divaksin dan akan diikuti pelajar yang bakal mengambil peperiksaan awam berumur 17 hingga 18 tahun. Katanya, pihaknya turut memberi kemudahan khususnya buat pelajar-pelajar yang ingin menyambung pengajian terutamanya di luar negara pada bulan September walaupun berusia bawah 18 tahun untuk menerima vaksin. “Permohonan khas boleh diteruskan kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) daerah masing-masing ataupun Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masing-masing, para pelajar boleh juga hadir bersama ibu bapa,” katanya. Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air di di Dewan Serbaguna Tepoh, pagi tadi. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai Khas (Hal-Ehwal Bukan Islam), Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan. Mengulas tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa pembukaan sekolah akan datang, Satiful menjelaskan, pihaknya akan berpandukan kepada panduan peringkat Kementerian Pendidikan. “Bagi kawasan terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih tidak boleh beroperasi,” katanya lagi. Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 pada minggu depan bermula dengan di Sarawak. Dalam masa sama, seramai 95,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini layak menerima vaksinasi Covid-19 sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong.  
08 Sep 21
538
Terengganu Hantar Pelajar Ke Algeria Tahun Depan
Terengganu Hantar Pelajar Ke Algeria Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 7 September - Terengganu akan mula menghantar pelajar dari negeri ini menyambung pelajaran di Algeria  pada tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan telah mengadakan hubungan dengan beberapa negara termasuk Algeria bagi meneroka lebih banyak ruang dan peluang untuk menyambung pengajian ke sana di samping menyediakan pelbagai insiatif. "Untuk makluman kita telah mengadakan pertemuan dengan negara terbabit melalui siri-siri pertemuan. Alhamdulillah pihak Algeria melalui institusi pegajiannya telah bersetuju untuk mengambil pelajar dari negeri ini untuk menyambung pengajian ke sana. "Insya-Allah pada tahun hadapan dengan mengambil kira suasana akibat pandemik telah selasai kita akan mula menghantar pelajar ke 'University Of Algeria'," ujarnya. Beliau berkata demikian pada Majlis Liqa Mahabbah Menteri Besar Bersama Pelajar-pelajar ke Timur Tengah Secara Dalam Talian, baru-baru ini. Program berkenaan telah dirasmikan oleh, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Dalam perkembangan yang sama, Satiful juga berkata bagi membuka ruang lebih banyak dan besar turut diusahakan kerjasama dengan negara Maghribi. "Biasanya mereka memberikan kuota seramai 15 orang sahaja dari negara ini pada setiap tahun sedangkan pelajar kita semakin hari, makin bertambah bilangan menyatakan minat untuk belajar ke sana, jadi kita akan memohon untuk menghantar lebih ramai pelajar," ujarnya. Katanya, kerajaan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dengan penyediaan biasiswa untuk membuka peluang belajar ke negara-negara terbabit kerana merupakan satu pelaburan yang mendatangkan pulangan lumayan pada masa akan akan datang. "Bermula tahun ini juga akan diselaraskan pendaftaran dengan penyediaan dokumen pelajar dilakukan di Kuala Lumpur dan menguruskan kemudahan tiket, dimana Jabatan Pendidikan Islam negeri (JAPINT) berhasrat memudahkan ibu bapa. "Dengan turut membantu melakukan proses pedaftaran kursus-kursus pendidikan sehingga mereka ke sana," ujarnya. Sementara itu, Samsuri menyampaikan pesanan pada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di negara yang melahirkan para ulama dan tokoh-tokoh penting itu agar cekal sepanjang tempoh pengajian. "Mengembara ke negeri atau ke rantau orang merupakan tradisi sejak zaman berzaman bahkan ulama besar dunia Islam adalah mereka mengembara untuk mencari ilmu. "Pengajian ke Timur Tengah telah mahsyur tidak terhitung berapa ramai ulama, tidak terkecuali Malaysia dan khususnya dari Terengganu.Justeru kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), Yayasan Terengganu dan lain-lain meletakkan pendidikan sebagai fokus utama. demi mehirkan pewaris, pimpinan dan ulama ke arah Negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya. Justeru katanya, para pelajar perlu menguatkan semangat dan tidak mudah berputus asa. "Peluang berada di bumi orang, jauh dari kampung halaman dan keluarga, tidak semua orang boleh mendapatkannya, janganlah sia-siakan.Letak dalam minda kita untuk menjadi orang yang terbaik dalam kalangan yang terbaik, belajarlah dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh," ujarnya.        
06 Sep 21
329
Yayasan PETRONAS Taja 735 Pelajar Terengganu
Yayasan PETRONAS Taja 735 Pelajar Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Yayasan PETRONAS telah memberikan tajaan kepada 735 pelajar menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) CERDIK bagi membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran secara dalam talian dari rumah. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelajar ini dipilih dari lima buah daerah untuk menjadi penerima iPad, papan kekunci Logitech dan pelan jaringan Maxis dengan pakej pendidikan. "Jumlah keseluruhan sumbangan program CERDIK tajaan Yayasan PETRONAS ini adalah RM1.8 juta untuk negeri Terengganu sahaja," katanya. Jelas Ahmad Samsuri, pembangunan industri ini sekali gus membantu rakyat di negeri ini menikmati limpahan manfaat ekonomi dan kesejahteraan komuniti. "Besar harapan saya agar kerjasama dan hubungan baik antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS ini berterusan ibarat kata orang tua-tua, "pecak boleh dilayangkan, bulat boleh digulingkan, batu segiling pecak setapik", ujarnya setelah Sesi Gimik Sumbangan CERDIK secara atas talian.
12 Aug 21
247
Kerjasama Kerajaan Negeri, PETRONAS, Manfaat Buat Komuniti
Kerjasama Kerajaan Negeri, PETRONAS, Manfaat Buat Komuniti
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerjasama erat antara kerajaan negeri bersama PETRONAS diharap berterusan dalam mengatasi jurang digital serta membantu rakyat di negeri ini menikmati limpahan manfaat ekonomi dan kesejahteraan komuniti. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kolaborasi tersebut mampu membuahkan faedah buat masyarakat seperti penyaluran gajet kepada 735 pelajar dari lima buah daerah (Kemaman, Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Marang). “Jumlah keseluruhan sumbangan program CERDIK tajaan Yayasan PETRONAS ini adalah RM1.8 juta untuk negeri Terengganu. “Besar harapan saya agar kerjasama dan hubungan baik antara ini berterusan ibarat kata orang tua-tua, ‘pecak boleh dilayangkan, bulat boleh digulingkan, batu segiling pecak setapik,” katanya menerusi ciapan di Facebook rasminya, semalam. Terdahulu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, bantuan itu turut meliputi penyelenggaraan peralatan serta jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun bagi setiap pelajar. “Usaha ini adalah sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan PETRONAS melalui program CERDIK yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh Malaysia," katanya.
11 Aug 21
309
ADUN Buluh Gading Rai 96 Pelajar Cemerlang
ADUN Buluh Gading Rai 96 Pelajar Cemerlang
KUALA NERUS, 28 Julai - Seramai 96 orang pelajar berprestasi cemerlang dalam peperiksaan awam tahun 2020 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading tetap disambut di kediaman masing-masing atas hasil prestasi terbaik. Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Ridzuan Hashim berkata, antara yang dirai adalah seramai 13 orang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang meraih keputusan semua A, membawa pulang cenderahati, sijil penghargaan dan saguhati wang tunai. “Selain itu, seorang pelajar berjaya memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 atau juga digelar '4 flat' dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan tiga orang pelajar mendapat keputusan ‘mumtaz’ dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020. “Kebiasaannya kita anjurkan majlis anugerah kecemerlangan untuk mereka di dewan, tetapi memandangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekarang ini tidak membenarkan sebarang majlis diadakan, maka kita hantar anugerah kepada mereka. “Inilah yang kita harapkan, pembangunan modal insan yang berjaya akan melahirkan insan yang berkualiti dari pelbagai segi,” ujar beliau selepas selesai mengagihkan anugerah kecemerlangan, semalam. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri mendoakan agar semua pelajar berjaya dengan cemerlang dalam apa jua aliran dan bidang yang diceburi nanti. “Sangat seronok mendengar mereka bercerita tentang tawaran melanjutkan pelajaran yang mereka perolehi ketika ini. “Seluruh ibubapa dan warga DUN Buluh Gading sangat berbangga dengan pencapaian cemerlang mereka semua,” katanya lagi.
27 Jul 21
310
58 Cemerlang SPM 2020 DUN Seberang Takir Dirai
58 Cemerlang SPM 2020 DUN Seberang Takir Dirai
KUALA NERUS, 26 Julai – Walaupun dalam suasana pandemik COVID-19, seramai 58 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir terus diraikan atas kejayaan hebat tersebut. Pegawai Penyelaras kawasan itu, Mohd Fadhil Wahab berkata, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang menggantikan persekolahan fizikal tidak menjadi penghalang bagi mereka dalam meraih keputusan baik dan ia wajar dipuji dan disambut. Katanya, konsep hantar hadiah rumah ke rumah telah dilakukan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berikutan trend peningkatan kes positif dalam negeri. Sementara itu, Mohd Fadhil turut menceritakan kerjasama pelbagai pihak yang menjayakan sektor pendidikan negeri dalam mengharungi kekangan semasa. “Segala kecaman diterima kerajaan sebelum ini tentang isu kesukaran jaringan internet, peranti serta kekalutan guru dan pelajar mengadaptasikan kaedah PdPR sebelum ini berjaya diselesaikan dengan baik," jelasnya. Menemubual seorang pelajar cemerlang daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Wan Nazatul Wan Bakar, 17, berkongsi rahsianya iaitu amalan kerohanian yang istiqamah termasuk memperbanyakkan solat sunat juga antara faktor kejayaannya. “Hubungan dengan Allah itu amat penting sebelum kita melakukan urusan harian termasuk pembelajaran kita, Alhamdullilah dengan itu saya berjaya mendapat keputusan 6A dalam SPM," katanya yang juga diantara peserta Tuisyen Rakyat. Nazatul yang juga anak kepada penternak lembu memaklumkan bahawa dia berhasrat untuk meneruskan pembelajaran menerusi program pra-universiti.
26 Jul 21
240
Pelajar Cemerlang STPM, STAM Setiu Terima Penghargaan
Pelajar Cemerlang STPM, STAM Setiu Terima Penghargaan
SETIU, 19 Julai - Seramai 98 pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan seorang pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 di sini diraikan Ahli Parlimen Setiu atas kejayaan memperolehi keputusan cemerlang. Kesemua pelajar ini mendapat keputusan 3.0 keatas dan mendapat pangkat ‘Mumtaz' bagi STAM. Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, sebelum ini beliau telah meraikan sejumlah 103 orang pelajar cemerlang bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hari ini kita teruskan dengan meraikan bagi STPM dan STAM pula. "Namun disebabkan kita berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi, kita tidak boleh buat majlis besar-besaran bagi meraikan anda semua. "Cuma saya pergi ke beberapa buah rumah pelajar cemerlang tersebut untuk ucap tahniah sambil bawa sedikit buah tangan. Semoga tahun depan kita boleh buat majlis seperti biasa insya-Allah," katanya baru-baru ini. Menurut Shaharizukirnain, proses pengagihan saguhati telah telah berjalan bermula pertengahan bulan ini mengikut giliran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di dalam Parlimen Setiu.  “Yang saya tidak sempat serahkan kita meminta pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serahkan,” jelasnya. Sementara itu, pelajar cemerlang STPM, Nur Alia Izzah Ghani, 20, yang berasal dari Kampung Sungai Pinang, Chalok berkata dia sangat gembira dan bersyukur kerana memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0. "Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur. Pada mulanya saya terkejut kerana tidak menyangka akan memperolah keputusan yang lebih baik daripada jangkaan saya ini," ujarnya. Alia berkata, rahsia kejayaanya memperoleh keputusan cemerlang kerana dia menumpukan perhatian penuh semasa guru mengajar sama ada di kelas bersemuka mahupun secara dalam talian. "Saya sentiasa berfikiran positif walau dalam apa jua halangan memandangkan sekarang lebih banyak kelas secara dalam talian yang mungkin menjadi sedikit penghalang, namun sekiranya mahu berjaya kita kena berfikiran positif. "Insya-Allah, saya berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia," tambahnya
25 Jul 21
575