lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

228 Calon SPM DUN Rantau Abang Sertai Tuisyen Rakyat
228 Calon SPM DUN Rantau Abang Sertai Tuisyen Rakyat
DUNGUN, 24 Januari - Seramai 228 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dalam Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang menyertai Tuisyen Rakyat sebagai persiapan menghadapi peperiksaan yang akan diadakan awal Februari nanti. Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata SPM adalah ujian penting bagi seseorang pelajar untuk menentukan pencapaian dalam akademik dan arah tuju masa depan.  "Tentunya peperiksaan adalah fasa penting dalam kehidupan selepas seseorang pelajar bertahun-tahun menghabiskan masa di sekolah untuk menimba ilmu dan pergaulan sosial bersama rakan sebaya serta guru," katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas ketika meninjau perjalanan Program Tuisyen Rakyat peringkat DUN berkenaan yang diadakan selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu, 20 dan 21 Januari lalu.  Program ini diadakan di tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Pulau SERAI, SMK Tengku Intan Zaharah serta SMK Padang Pulut dan membabitkan tiga mata pelajaran iaitu Sejarah, Bahasa Melayu dan Matematik yang dikendalikan oleh guru-guru pakar.  Alias turut berharap program pecutan akhir persediaan SPM itu digunakan sebaiknya dan digunakan sebagai nilai tambah untuk menjawab soalan peperiksaan nanti. "Buatlah bersungguh-sungguh dan tanamkan azam nak hadiahkan kejayaan SPM untuk ibubapa dan guru-guru sebagai memberikan kegembiraan buat mereka yang selama ini banyak berkorban untuk anak-anak semua," katanya sambil mendoakan  kejayaan sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. 
24 Jan 23
266
Islam Mesti Memimpin Demi Perpaduan Yang Adil
Islam Mesti Memimpin Demi Perpaduan Yang Adil
MARANG, 23 Januari - Agama Islam hendaklah menjadi tonggak dan memimpin bagi mewujudkan perpaduan yang adil bagi seluruh rakyat lebih-lebih lagi masyarakat majmuk di Malaysia ini. Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata Islam mesti memimpin kerana dalam Islam terdapat perhitungan dosa dan pahala bagi setiap perkara. "Bukan sahaja dalam masalah amalan-amalan ibadah sahaja malah termasuk dalam bidang pentadbiran juga terdapat pembahagian dosa dan pahala. "Kita lihat bagaimana keluarga Cina boleh hidup dengan aman dan harmoni di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Tidak berlaku masalah-masalah perkauman di negeri-negeri ini," katanya pada program Semarak Gelombang Rakyat Bersama Perikatan Nasional, di sini, baru-baru ini. Justeru beliau mengharapkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) serta parti-parti gabungan seperti GERAKAN dapat memainkan peranan untuk mengubah pemikiran pengundi-pengundi bukan Islam. "Apa yang penting kita manfaatkan gelombang perubahan PRU15 untuk kita tawan kesemua 6 negeri dalam PRN akan datang," katanya. Sementara itu, dalam majlis berlainan keesokannya Presiden PAS itu bersama pimpinan utama Perikatan Nasional menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Perikatan Nasional di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia, semalam. Beliau tidak terkecuali turut sama merasai tradisi masyarakat Cina yang menarik iaitu tradisi makanan Yee Sang yang disajikan sebagai hidangan pembuka dan dianggap sebagai simbol penyatuan, kemakmuran dan lambang kemurahan rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun tersebut. Turut hadir ialah kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) iaitu Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Ho Chai dan Setiausaha Agung PN YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin selain Setiausaha Agung Pas YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta sayap pemuda dan wanita parti komponen PN.    
23 Jan 23
311
Pelajar Tercicir Perlu Dibantu
Pelajar Tercicir Perlu Dibantu
KUALA TERENGGANU, 30 November - Pelajar yang keciciran dalam bidang pendidikan perlu diberi perhatian dan dibantu dengan bersungguh-sungguh. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, berdasarkan dapatan data dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, faktor utama berlakunya keciciran ini adalah disebabkan isu kemiskinan keluarga. "Pelajar mencari pekerjaan untuk menyara diri sendiri dan keluarga, selain murid hilang minat untuk belajar. "Ada juga dibuang sekolah disebabkan masalah disiplin serta ketidakhadiran ke sekolah dalam tempoh yang panjang. "Secara peribadi, sejak  kebelakangan ini saya juga kerap menerima aduan tentang anak-anak pelajar kita yang tercicir dalam pelajaran dan membuat keputusan untuk berhenti sekolah di usia yang sangat muda,"  katanya. Zuraida mengulas perkara tersebut dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. semalam. Beliau berharap agar pelajar yang tercicir ini dibantu sehingga dapat menyambung kembali pelajarannya yang tergendala, bukan sekadar selesai hanya dengan membuat laporan semata-mata. Antara lainnya, pemantauan yang berterusan perlu dilakukan kepada para pelajar tersebut. "Sentiasa bertanya khabar dan mengetahui keadaan semasanya, kita tidak mahu segala usaha ini berakhir dengan sia-sia. "Permasalahan ini tidak seharusnya dibebankan kepada guru dan pihak sekolah semata-mata. "Saya cukup yakin, dengan kerjasama yang erat antara pihak JPKK, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), NGO-NGO Kebajikan dan masyarakat setempat insyaAllah mampu menyelesaikan isu ini dengan baik," akhirinya.  
30 Nov 22
275
Ragbi Bawa Gadis Terengganu Ke Azerbaijan
Ragbi Bawa Gadis Terengganu Ke Azerbaijan
KUALA TERENGGANU,5 November- Tiga pemain ragbi wanita Terengganu mencipta sensasi dalam perkembangan sukan ragbi tempatan apabila berjaya memecahkan dominasi pemilihan skuad wanita tujuh sepasukan kebangsaan (7s) setelah layak secara merit untuk menyarung jersi Bunga Raya 7s bagi siri Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20 di Uzbekistan yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini. Nur Alyia Nabila Samsubahari, 18 tahun, Aida Wardini Mohd Lazim (19 tahun) dan Siti Nursyamimi Tajudin (19 tahun) kini merupakan pemain ragbi wanita pertama kelahiran Terengganu layak untuk mewakili pasukan ragbi wanita kebangsaan bagi menyertai perlawanan-perlawanan antarabangsa. Malah ketiga-tiga mereka juga merupakan pemain skuad SUKMA 2022 yang telah muncul juara di Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan 2022,di Ipoh pada Julai lalu. Menurut Yang DiPertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu, Amir Amri Mohamad, perkembangan ini memberi satu penanda aras baru bagi program pembangunan ragbi yang telah dilaksanakan khususnya melibatkan pemain-pemain ragbi wanita dari negeri ini. “Program pembangunan ragbi wanita dari peringkat akar umbi telah bermula secara agresif sejak SUKMA 2018 melabuhkan tirai yang mana kita memberi fokus sepenuhnya penglibatan anak jati negeri ini bermula dari bangku sekolah lagi. “Sehingga kini sebanyak tujuh sekolah dalam negeri Terengganu menjalankan program pembangunan ragbi wanita dan dua darinya  turut mendapat perhatian Program Pembangunan Ragbi Malaysia(NRDP), satu inisiatif oleh Majlis Sukan Negara(MSN) bersama Kesatuan Ragbi Malaysia(KRM) sejak 2016. “Kejayaan ini bukan hanya untuk mereka, tetapi sekaligus menjadi penanda aras terbaik buat jurulatih-jurulatih tempatan yang terdiri daripada guru-guru sekolah dari luar bandar dalam menghasilkan pemain-pemain berkualiti setanding negeri-negeri lain yang mempunyai program pembangunan lebih bagus dari kita," katanya. Beliau berharap, pencapaian ketiga-tiga pemain ragbi wanita itu dapat dijadikan contoh terbaik buat bakat-bakat muda ragbi wanita di Terengganu untuk  membuktikan yang mereka juga setanding seperti yang lain. Buat ketua jurulatih ragbi wanita Terengganu, Asaari Abdullah pula, perkembangan tersebut melahirkan rasa bangga dan syukur setelah anak didiknya layak secara merit untuk menyarung jersi kebangsaan. “Rata-rata pemain ragbi wanita negeri ini adalah mereka yang bersekolah di kawasan luar bandar dan sering berasa kurang keyakinan diri untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi khususnya di peringkat antarabangsa. Namun, kini mereka menjadi contoh terbaik untuk membakar semangat buat generasi - generasi seterusnya di sini. “Kredit juga harus diberikan kepada jurulatih di sekolah masing-masing yang bersungguh-sungguh mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan," katanya. Tambahnya, usaha berkenaan bukan mudah buat mereka dari sekolah luar bandar kerana pendedahan sukan ragbi tidak seperti di negeri-negeri pantai barat yang sering mendapat tumpuan. Skuad Bunga Raya 7s Wanita U20 akan berentap bersama-sama pasukan tuan rumah, United Arab Emirates(UAE), India dan Thailand bagi memburu kejuaraan Kejohanan Ragbi Asia 7 Sepasukan Wanita U20.
05 Nov 22
582
Pembinaan KQT, Bandar Baharu Lengkapkan Manifesto Terengganu
Pembinaan KQT, Bandar Baharu Lengkapkan Manifesto Terengganu
DUNGUN, 27 Oktober - Pembinaan kampus tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau melengkapkan pelaksanaan 20 manifesto yang dijanjikan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek KQT itu menelan kos pembinaan sebanyak RM370 juta dan dijangka akan mula dibina selepas majlis pecah tanah hari ini. Kataya, pembinaan kampus tetap KQT itu adalah usaha kerajaan negeri Terengganu untuk mewujudkan kembali institusi pengajian tinggi Islam milik kerajaan negeri atau sebagai ganti Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA). "KQT perlu mempunyai kampus tetap bagi menampung pertambahan jumlah pelajar serta menaiktaraf KQT menjadi Kolej Universiti menjelang tahun 2025.  "Kerajaan negeri juga berhasrat untuk mewujudkan bandar baru lestari di setiap daerah berpandukan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030)," katanya.  Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau, Dungun pada pagi tadi.  Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pendidikan Tinggi negeri, Dato' Haji Satiful,  Bahari Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr. Alias Razak. Jelas Ahmad Samsuri lagi, terdapat dua kawasan yang telah dipilih sebagai lokasi projek printis iaitu Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau dan Bandar Baharu Lestari Bukit Seraya, Kuala Nerus.  "Di Durian Mentangau ini, bandar baharu ini mencakupi keluasan 751.57 hektar dan KQT merupakan sebahagian komponen utama yang menjadi pemangkiun pembangunan keseluruhan bandar tersebut.  "Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) akan dijadikan sebagai hub pendidikan terunggul di Malaysia khususnya dan di peringkat global amnya," tegasnya.  
27 Oct 22
2835
Terengganu Hantar Pelajar ke Bumi Algeria
Terengganu Hantar Pelajar ke Bumi Algeria
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Seramai 10 pelajar berjaya dihantar ke Algeria untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui tajaan oleh Yayasan Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata Kerajaan negeri merakamkan tahniah kepada pihak pengurusan yang bertungkus lumus dalam usaha membawa pelajar ke Algeria. Katanya, program itu dijayakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT). “Pelajar tersebut juga akan diberikan wang saku oleh pihak Yayasan Terengganu sepanjang tempoh pengajian di sana. “Di samping, penginapan tempat, makan minum serta yuran juga telah ditaja dan disediakan justeru pelajar hanya perlu belajar dan tidak perlu memikirkan masalah kewangan ketika berada di sana,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pelepasan Pelajar Terengganu ke Algeria sesi 2022 bertempat di Ruang Pelepasan Aras Dua, Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Yayasan Terengganu, Mohd Azmi Mohamad Daham dan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Lothman Awang. Tambah Satiful, pihaknya berharap agar para pelajar dapat menghabiskan pengajian penuh dan memanfaatkan setiap masa untuk menimba ilmu ketika berada di sana. “Jadikan peluang belajar ini sebagai ‘Jihad Fi Sabilillah’ dengan membawa harapan ibu bapa dan juga amanah belajar yang telah diberikan,” katanya. Sementara itu, ijazah yang akan diambil oleh para pelajar juga telah mendapat kelulusan serta Pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Menurutnya, pelajar-pelajar yang dipilih merupakan yang paling layak melalui syarat serta tapisan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan sendiri.    
25 Oct 22
450
Kerana Doa Nenek
Kerana Doa Nenek
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Asbab menjaga neneknya di kampung, Wan Mohamad Alif Wan Abdul Wahid, 26, menerima ganjaran setimpal apabila dinobatkan Pelajar Terbaik Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) dalam Majlis Konvokesyen KKYT Kali Ke-6 baru-baru ini. Kata Wan Mohamad Alif, anugerah itu mungkin 'bayaran' Tuhan buat dirinya yang menolak tawaran dari luar Terengganu demi menjaga neneknya di kampung. "Saya dilahirkan di Terengganu tetapi dibesarkan di Selangor kerana ibu bapa saya bekerja di sana. Demi menjaga nenek, saya menolak semua tawaran pengajian luar negeri Terengganu dan memilih menyambung pelajaran di sini (KKYT). "Sebagai anak sulung daripada empat adik beradik, sudah tentu saya mahu memulakan langkah yang terbaik dalam keluarga serta menunjukkan mampu berdikari apabila berjauhan dengan ibu bapa dalam masa yang sama berbakti kepada nenek yang tinggal bersendirian. "Alhamdulillah kejayaan ini memberi semangat untuk saya menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam. Wan Mohamad Alif yang kini bekerja sebagai juruteknik komputer di Syarikat Integrity Network Sdn Bhd berjaya menamatkan tempoh pengajian selama tiga tahun dalam jurusan Diploma Pentadbiran Sistem komputer. Beliau teruja dengan anugerah tersebut dan menganggap kejayaannya itu datang daripada doa seorang nenek. Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Diploma Pentadbiran Sistem Maklumat, Nur Farihan Romele, 23, pula gembira dengan pencapaiannya itu dan sangat berterima kasih kepada ibunya yang menasihatinya agar memilih KKYT sebagai tempat untuk meneruskan pengajiannya. "Saya sebenarnya pada ketika itu belajar di tingkatan enam, tidak pernah terlintas di fikiran untuk menyambung pengajian di bidang ini kerana minat saya pada awalnya adalah menjadi seorang guru. Akhirnya, saya turutkan juga nasihat ibu saya, dan saya telah melalui suatu pengalaman yang sangat menarik di sini kerana pensyarahnya sangat membantu dalam memberikan tunjuk ajar yang terbaik. "Nasihat saya kepada mereka di luar sana, terutamanya yang tidak boleh ke universiti jangan sedih, boleh menyambung pengajian di sini, insya-Allah dengan menimba ilmu kemahiran ia akan menjamin peluang pekerjaan yang lebih baik," katanya. Bagi Pelajar Terbaik Sijil Operasi Latihan Vokasional, Fatin Ezeanne Yaman Nasir, 26, berkata pilihannya menyambung pengajian di KKYT adalah tepat bagi mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik. "Kualiti pensyarah di sini sangat baik, benar-benar membantu. Walaupun saya agak berusia berbanding pelajar lain, saya tidak peduli kerana bertekad mahu berjaya dalam bidang kemahiran ini. "Pada awalnya ingat nak belajar di tahap dua sahaja, tetapi pensyarah minta saya meneruskan di peringkat yang tinggi, sebagai persediaan untuk saya menempatkan diri sebagai pengajar dalam bidang kemahiran ini," ujarnya. Seramai 144 graduan diraikan dalam majlis yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim.    
25 Oct 22
506
PETRONAS Taja 103 Pelajar Cemerlang Terengganu
PETRONAS Taja 103 Pelajar Cemerlang Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober  – Seramai 103 pelajar di negeri ini yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima penajaan pendidikan PETRONAS melalui Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2022. Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, mereka adalah sebahagian 600 pelajar terpilih daripada 9,000 calon seluruh negara yang memohon penajaan tersebut pada tahun ini. "Petronas kekal komited untuk terus menyumbang kepada pembinaan negara dan pembangunan bakat tenaga kerja kami melalui pelbagai program dan inisiatif selama lebih empat dekad. “Kami percaya bahawa pendidikan berkualiti akan memperkasakan komuniti, seterusnya menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara ke arah masa depan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan di sini. Tambahnya, sejak 1975, lebih 37,000 pelajar cemerlang Malaysia, termasuk 1,720 yang sedang mengikuti program PESP mendapat manfaat daripada tajaan bernilai lebih RM3.5 bilion. “PESP 2022 menyaksikan jumlah tajaan tahunan tertinggi oleh PETRONAS dengan nilai pelaburan melebihi RM340 juta dalam pengajian asasi sehingga ijazah sarjana muda pertama dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, geosains, ekonomi, undang-undang serta kursus lain berkaitan industri. “Mereka ditempatkan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Australia, China, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat,” katanya.
10 Oct 22
293
Pembudayaan Kehidupan Bersyariat Angkat Identiti Sebenar Terengganu
Pembudayaan Kehidupan Bersyariat Angkat Identiti Sebenar Terengganu
KUALA NERUS, 8 Oktober- Program Pembudayaan Kehidupan Bersyariat yang dilaksanakan Terengganu merupakan satu kesinambungan usaha kerajaan negeri untuk merealisasikan negeri itu sebagai sebuah negeri Maju, Berkat dan Sejahtera. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, membudayakan kembali kehidupan bersyariat merupakan satu jati diri dan identiti kepada kerajaan negeri Terengganu dan seluruh rakyatnya. “Negeri Terengganu kita terkenal dengan negeri yang mengamalkan kehidupan bersyariat sejak sekian lama.  “Ini dibuktikan daripada catatan sejarah yang semua kita sedia maklum dengan penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh, Kuala Berang yang bertarikh pada 702 Hijrah bersamaan 1303 Masihi.  “Peraturan dan undang-undang berasaskan syariat yang terukir pada batu tersebut menggambarkan bahawa rakyat Terengganu telah pun hidup secara bersyariat Islam sejak lebih dari 700 tahun yang lalu,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dataran Masjid Seberang Takir, kelmarin. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi, Dato’ Satiful Bahari bin Mamat dan ADUN Seberang Takir, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Tambahnya, untuk mencapai sebuah negeri yang berkat maka seluruh komponen yang ada dalam negeri iaitu kerajaan, pentadbiran, jentera-jentera, agensi-agensi dan seluruh rakyat mestilah membudayakan syariat Allah SWT. “Semoga Allah SWT memberikan rahmat dan berkat-Nya kepada kita semua dan kekuatan pada kita semua dalam usaha berterusan kita untuk memperjuangkan syariat Allah. “Bukan sahaja di bumi Terengganu kita yang tercinta ini, bukan sahaja untuk negara yang kita kasihi ini, bahkan ke serata dunia. Insya-Allah,” katanya.  
08 Oct 22
408
Terengganu Perkenal Biasiswa Khusus Buat Pelajar B40
Terengganu Perkenal Biasiswa Khusus Buat Pelajar B40
PUTRAJAYA, 21 September – Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) memperkenalkan biasiswa khusus untuk pelajar cemerlang keluarga B40 bagi membolehkan golongan terbabit melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa bebanan kewangan.  Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme tersebut direalisasikan menerusi anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc dengan peruntukan sebanyak RM500,000. Katanya, program itu dijangka akan bermula dengan permohonan atas talian pada 26 September ini buat lepasan STPM, STAM, Matrikulasi dan Asasi mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan. "Kerajaan Negeri menyedari cabaran dihadapi ibu bapa bagi melanjutkan pelajaran anak-anak mereka iaitu kos pendidikan pengajian yang tinggi. Oleh itu, biasiswa ini dibentuk dan merangkumi pelbagai kos pendidikan seperti yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun peralatan dan buku serta pemberian peranti IPad. “Bagi manfaat jangka panjang, tajaan tersebut berperanan untuk pembangunan modal insan dengan bakal melahirkan golongan professional dan mengisi jurang pekerjaan di Terengganu, pada masa akan datang. "Ini adalah kali pertama anak syarikat kerajaan negeri dan YT bekerjasama memberi biasiswa buat pelajar cemerlang, peruntukan ini adalah untuk permulaan,” ujarnya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Terengganu Inc  memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan YT di Le Meridien, Putrajaya hari ini. Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, biasiswa peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda (Ijazah pertama) berkenaan dibentuk bagi memastikan anak Terengganu yang berkelayakan dapat melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. "Biasiswa khas tersebut juga mampu mengurangkan beban kewangan bagi para pelajar yang mengambil jurusan releven seperti bidang Kepintaran Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-undang, Muamalat, Sains Kesihatan (Fisioterapi), Pengurusan Korporat dan Perladangan. "Langkah ini direalisasikan dengan komitmen anak-anak syarikat Kumpulan antaranya TDM Berhad, Golden Pharos Berhad, GPQ Sdn Bhd, Tl Properties Sdn Bhd, Chicken Cottage Limited serta Permodalan Terengganu Berhad," katanya. MoA itu ditandatangani oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun; Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Dr. Mohd Zaki Hamzah; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Azmi Mat Ali; Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Khalilzan Mahmud dan Pengarah Permodalan Terengganu Berhad, Muhammad Ramizu Mustafa yang mewakili Terengganu Inc. Manakala, Yayasan Terengganu diwakili oleh Pengarahnya, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham sambil disaksikan oleh  Ahmad Samsuri, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
21 Sep 22
2406