lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang Terima Elaun RM200 Sebulan
Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang Terima Elaun RM200 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Pengayuh beca dan pemandu bot penambang di negeri ini akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 bermula bulan depan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif kerajaan negeri itu berikutan kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap golongan terbabit. Katanya, sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada 57 pengayuh beca dan 18 pemandu bot yang telah direkodkan. “Bantuan berjumlah RM15 ribu sebulan yang akan berjalan sehingga Disember nanti itu juga bertujuan untuk mengekalkan nostalgia dan nilai warisan pelancongan negeri yang dibawa oleh mereka. “Fokus sekarang adalah bagi mengenalpasti jumlah sebenar mereka yang beroperasi dalam sektor ini kerana sesetengah kalangan penggiat berumur lebih daripada 80 tahun, Insya-Allah kita akan perincikan kembali data senarai tersebut. "Saya turut menyarankan kepada mereka supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar nasib mereka terbela sebaiknya," katanya ketika ditemubual di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak. Tambah Ariffin, beliau turut berterima kasih kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab yang sentiasa berhubung dengan pihaknya bagi menyalurkan maklumat berkait nasib golongan itu. Pada masa yang sama, Ariffin turut menyampaikan bantuan RM2,000 dan barangan keperluan harian kepada 10 wakil penarik beca dan persatuan bot penamban. Untuk rekod, pada awal bulan ini, pengayuh beca dan pemandu bot penambang telah menerima elaun bulanan sebanyak RM300 seorang daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Ketengah berkata, pembayaran elaun khas selama tiga bulan itu bertujuan meringankan bebanan mereka yang terkesan susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP). "Golongan ini adalah ikon kepada sektor pelancongan di Terengganu dan khidmat mereka perlu dihargai. "Kebanyakan pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang berusia antara 70 tahun dan 85 tahun menghadapi kesukaran mencari rezeki berikutan ketiadaan pelanggan," jelasnya.
14 Jun 21
886
Pelita Raya Kampung Budaya 'Terpadam', Sambutan Masih Luar Biasa
Pelita Raya Kampung Budaya 'Terpadam', Sambutan Masih Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 di Kampung Budaya, Muzium negeri terpaksa menutup tirai awal semalam berbanding tarikh asal iaitu 11 Mei selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga 6 Jun. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan tersebut mengambil kira pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan keadaan penularan COVID-19 yang meningkat, baru-baru ini. “Namun begitu, hasil ‘walkabout’ menyaksikan sambutan sepanjang program amat luar biasa dengan had pengunjung 300 orang pada satu-satu masa dan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard oleh penganjur ke atas pengunjung. “Pihak kami tidak merasa kesal malah menyambut baik sekatan penularan untuk kebaikan kita semua,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, semalam. Sementara itu, keputusan pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 kategori daerah dan atas-talian akan diumumkan selepas hari raya. Ketika bertanya tentang konsep penganjuran tersebut, Ariffin menjelaskan, pelita raya melambangkan suasana lebih 50 tahun dahulu yang tiada elektrik. “Kebanyakan rumah guna pelita dan apabila masuk malam tujuh likur Ramadan, cahaya api menerangi laluan sepertimana asas dilakukan orang terdahulu. “Penganjuran di Kampung Budaya juga adalah unik kerana suasana budaya dan rumah-rumah lama ditambah seri dengan cahaya pelita menggamit suasana tradisional,” tambahnya.  
10 May 21
1238
Pelita Raya, Kembalikan Suasana Nostalgia
Pelita Raya, Kembalikan Suasana Nostalgia
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Program Pelita Raya di Kampung Budaya, Muzium Negeri di sini yang berkonsepkan perkampungan asli dalam norma baharu  berjaya mengembalikan nostalgia Aidilfitri tahun ini meskipun dalam keadaan dunia dilanda COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, program tahunan sehingga 11 Mei tersebut menyerlahkan suasana budaya lama ditambah lagi dengan pelbagai rumah dan tema tradisional. Katanya, antara replika pelita raya dihasilkan oleh pejabat tanah dan daerah (PTD) adalah seperti replika sotong (Marang), kapal terbang (Kuala Nerus), penyu (Dungun) dan lain-lain lagi iaitu simbolik dengan tarikan di daerah tersebut. “Pengunjung boleh datang setiap malam dari pukul 9 malam hingga 12 tengah malam tanpa cas kemasukan dan boleh menikmati suasana dihasilkan tujuh daerah yang terlibat dalam pertandingan ini. "Daerah Besut dikecualikan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 20 Mei, walaupun PTD tersebut belum terkesan akibat penularan virus,” katanya. Beliau berkata demikian semasa program Walkabout Pelita Raya di Musium Negeri Terengganu, malam semalam. Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah. Mengulas tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) di tarikan tersebut, Ariffin menjelaskan, had pengunjung adalah 300 orang pada satu-satu masa hasil saranan Majlis Keselamatan Negeri (MKN). “Kami sedar akan peningkatan kes positif COVID-19 baru-baru ini dan hasilnya SOP ketat diaplikasikan di sini. “Walaupun dengan peraturan sedemikian, namun kemeriahannya masih ada,” jelasnya. Seorang pengunjung, Saifol Nahrain Hashim, 43, berkata, program pelita raya mengembalikan kenangan nostalgik pada sewaktu dahulu yang menggunakan pelita sebagai sumber cahaya. Saifol Nahrain Hashim bersama keluarganya melihat replika Drawbridge Kuala Terengganu “Saya bawa isteri dan tiga anak untuk tunjuk kepada mereka bagaimana seronoknya malam raya pada zaman saya dahulu. “Ini memperkenalkan generasi muda kepada kehidupan sebelum elektrik, Kampung Budaya ini juga sesuai untuk pertunjukkan seperti ini,” katanya yang datang dari Rhu Rendang, Marang.  
08 May 21
1559
'Maghi Candat Sotong' Kembali Dengan Norma Baharu Ketat
'Maghi Candat Sotong' Kembali Dengan Norma Baharu Ketat
KUALA NERUS, 3 Mei - Kerajaan negeri melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu sedang berbincang mengenai pelaksanaan dan kaedah sesuai bagi penganjuran Program Maghi Candat Sotong pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, program tersebut berikutan musim mencandat sotong bermula April hingga September ini akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19. Katanya, peraturan dan prosedur akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut keadaan semasa untuk memastikan pelancong domestik boleh datang bagi menyertai aktiviti tahunan tersebut. "Antaranya pengusaha bot bagi aktiviti perairan ini bersedia untuk mengurangkan kira-kira 50 peratus jumlah peserta berbanding musim biasa. "Tahap ketersediaan pengusaha terlibat semuanya dalam keadaan baik dalam pematuhan-peraturan yang ditetapkan supaya aktiviti mencandat berjalan tanpa sebarang masalah. "Berkaitan SOP bagi sesebuah bot, jumlah kapasiti peserta akan dikurangkan kepada 12 orang berbanding 20 orang bergantung kepada muatan dan saiz bot," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis moreh bersama media, malam semalam. Mengulas lanjut berkenaan pemeriksaan terperinci peserta yang akan terlibat, Ariffin memaklumkan, pihaknya akan menjalankan tindakan sesuai bagi memastikan risiko penularan dikurangkan. "Tambah lagi, kita juga akan meneliti aspek kebenaran penyertaan sama ada hanya boleh diberikan kepada mereka yang sudah lengkap menerima dos vaksin, atau telah menjalani ujian calitan dan disahkan sihat sebelum memasuki Terengganu," jelasnya. Untuk rekod, Program Maghi Candat Sotong merupakan program pelancongan pertama di Terengganu selepas diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada Julai tahun lepas.
03 May 21
395
Taman Kucing Destinasi Pelancongan Baharu
Taman Kucing Destinasi Pelancongan Baharu
DUNGUN, 14 April - Taman Kucing yang terletak di Bukit Bauk, Dungun bakal menjadi tarikan baharu pelancong untuk datang ke daerah dan negeri ini. Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli memuji usaha murni Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengumpulkan kucing-kucing jalanan yang ditemui di pasar, kedai makan dan tempat-tempat awam di Bandar Dungun sehingga berjaya mewujudkan Taman Kucing. "Saya dimaklumkan oleh pihak MPD, taman ini telah beroperasi sepenuhnya bermula 2 November 2020 dengan menempatkan 30 ekor kucing dan alhamdulillah kini terdapat peningkatan menjadikan 90 ekor," ujarnya. Ustaz Wan Hassan berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Taman Kucing di sini baru-baru ini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan Yang Dipertua MPD, Lizan Che Mat. Wan Hassan(tiga dari kiri) bergambar selepas melancarkan Direktori Daerah  Taman itu turut dilengkapi dengan ruang Unit Rawatan Rapi, Unit Pemulihan, Wad Rawatan Ibu dan Anak dan Wad Keluarga Bahagia serta beberapa ruang lagi.  Direktori Dungun yang akan menjadi rujukan pengunjung turut dilancarkan dalam majlis tersebut. Ujar Wan Hassan, beliau menghargai usaha penyumbang-penyumbang yang membantu MPD menyelenggara taman tersebut.  "Dengan sumbangan ini, kita mencari kebaikan, dengan adanya pusat jagaan ini, insya-Allah, Allah Subhanahu Wa Ta'ala berjanji, rezeki kita tetap ada jika kita sentiasa membantu, (rezeki) untuk kesihatan kita, untuk kemudahan urusan kita," jelasnya. - Foto Oleh : Amirullah Mansor dan Mohd Afiq Fahmi
14 Apr 21
840
Peruntukan RM10 Juta Bangunkan Pelancongan Terengganu
Peruntukan RM10 Juta Bangunkan Pelancongan Terengganu
KUALA NERUS, 8 April - Terengganu menerima peruntukan lebih RM10 juta bagi membangunkan industri pelancongan negeri ini untuk tempoh dua tahun iaitu 2020 dan 2021. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu merangkumi satu projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK-12 iaitu empat projek penyelenggaraan kemudahan pelancongan termasuk pemuliharaan bangunan warisan tahun 2020. "Beberapa projek lagi berjalan tahun ini termasuk penyelenggaraan program homestay Malaysia dan tambahbaik infrastruktur serta promosi kampung budaya," katanya. Beliau berkata demikian ketika hadir ke Siri Jerayawara (Roadshow) Dasar Perlancongan Negara (DPN) 2020-2030 Zon Pantai Timur di Hotel Raia, di sini, hari ini. Siri Jerayawara DPN 2020-2030 melibatkan penggiat industri di Terengganu, Kelantan dan Pahang merupakan sesi ketiga diadakan selepas Sarawak pada Februari dan Zon Selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor pada Mac. Menurut  Nancy, Pulau Bidong Terengganu dipilih sebagai lokasi Mercu Tanda Mini Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) Bawah Air Pertama yang akan dilancarkan pada Jun depan. Katanya, pelancaran mercu tanda itu akan diadakan sempena penganjuran ASEAN Seminar on The Preservation and Protection of Underwater Cultural Heritage pada 15 hingga 19 Jun nanti. "Projek di bawah Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memaparkan 11 monumen mercu tanda dari setiap negara ASEAN yang ditempatkan di dasar laut pada kedalaman 10 hingga 15 meter. "Antara monumen itu adalah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur-KLCC (Malaysia), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Cambodia), Patuxai Monument (LAOS), Indonesia National Monument (Indonesia) dan Shwedagon Pagoda (Myanmar). "Turut dipaparkan nanti adalah Joe Rizal Monument (Republik Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand), Tran Quoc Pagoda (Vietnam) dan ASEAN Secretariat (ASEAN)," katanya. Jelas Nancy, projek yang menelan kos sebanyak RM265,000 di bawah pembiayaan Tabung Kebudayaan ASEAN itu akan menjadi platform bagi perkongsian ilmu dan pertukaran budaya di antara negara-negara ASEAN.  "Ia juga bakal menjadi produk pelancongan budaya baharu yang akan merancakkan ekonomi dalam sektor pelancongan dan kebudayaan di samping meningkatkan lagi visibiliti dan imej Malaysia di mata dunia," katanya.
08 Apr 21
517
Zoo Mini Tok Dir Terima Peruntukan RM10 Ribu
Zoo Mini Tok Dir Terima Peruntukan RM10 Ribu
KUALA TERENGGANU, 7 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM10 ribu bagi pembangunan Zoo Mini Kampung Tok Dir yang kini mula dikunjungi orang ramai. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu diambil untuk menggalakkan penduduk memajukan produk pelancongan komuniti (CBT) sekali gus menjadi sumber ekonomi penduduk sekitar. "Saya bangga dengan usaha Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tok Dir dan orang kampung dalam merancakkan lagi tempat ini sejak diviralkan baru-baru ini. “Walaupun tak sama seperti Zoo Negara atau Zoo Kemaman, namun keunikan suasana kampung sekeliling cukup untuk menarik perhatian pelawat bukan sahaja dari Terengganu, malah di seluruh negara. “Ini adalah contoh baik dalam CBT, di mana komuniti sendiri membina tarikan tersebut, antaranya di kawasan saya di Alor Limbat seperti Pengkalan Warisan dan Dataran Banggol Chempedak,” ucapnya dalam Majlis Perasmian Zoo tersebut di Perkarangan Zoo Kampung Tok Dir, Bukit Payong baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Pengerusi JPKK Kampung Tok Dir, Muda Abdullah. Tambah Ariffin, lokasi strategik zoo tersebut yang terletak di kawasan baruh sawah padi mampu menjadi produk viral seperti dikenali di serata Malaysia seperti Warung Roti Canai Pok Ripin di Padang Maras, Batu Rakit. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang hadir sama berkata, pihaknya menghulurkan sokongan dalam bentuk pembinaan jalan tar bagi memudahkan kemasukan pengunjung ke zoo tersebut. “Hasil komuniti dalam mewujudkan tempat ini memberi kebaikan sebagai pusat rekreasi penduduk sekitar, mudah-mudahan dapat memberi kebaikan dan sumber pendapatan kepada warga Bukit Payong,” jelasnya. Dalam pada itu, pemilik zoo berkenaan, Mohd Hilmie Muda, 30, berbesar hati menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan dia bertekad membangunkan lagi kawasan tanah milik ayahnya itu. “Insya-Allah kita akan naik taraf dan beli binatang spesies lain seperti Rusa Bintik dan burung-burung yang ramai masih tidak kenali,” katanya.  
07 Apr 21
3196
Kejayaan Ariffin Milik Penggiat Pelancongan Terengganu
Kejayaan Ariffin Milik Penggiat Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 April - Kejayaan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman menggondol anugerah 'Malaysia Tourism Hero' 2020 baru-baru ini disifatkan sebagai kejayaan buat semua penggiat industri pelancongan di Terengganu. Jelas Ariffin, anugerah tersebut bukan semata-mata hasil kerjanya seorang sebaliknya usaha dan kerjasama yang diberikan semua pihak. "Terima kasih kepada Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) atas anugerah ini, kejayan ini bukan untuk saya seorang tetapi seluruh warga pelancongan dan jabatan pelancongan negeri (Tourism Terengganu) serta organisasi yang bersama-sama seperti Persatuan Hotel Terengganu (MAH) dan sebagainya. "Tidak lupa juga kepada seluruh penggiat industri di Tasik Kenyir, pulau-pulau dan Kuala Terengganu dan daerah-daerah lain yang mana kita tahu pelancongan ini memberikan impak dan pulangan kepada rakyat secara langsung," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima anugerah berkenaan di Seri Pacific Hotel, baru-baru ini. Dalam majlis tersebut, Ariffin terpilih bersama 17 pemenang lain menerima anugerah sempena Malaysia Tourism Gold Summit 2020 yang telah berlangsung secara maya September lalu. Acara berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Dato' Dr. Ammar Abd Ghapar. Ariffin sewaktu mengulas kejayaan itu menyatakan, dirinya yakin dengan usahasama semua pihak, industri pelancongan di Terengganu akan dapat bertahan meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19 ketika ini. "Saya yakin kita akan bertahan dan akan mencapai kegemilangan selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan rentas negeri nanti. Harapan saya, ketika rentas negeri dibenarkan dan kita telah bersedia," katanya.            
04 Apr 21
2365
Warisan Terengganu Dipelihara Melalui Digitalisasi
Warisan Terengganu Dipelihara Melalui Digitalisasi
KUALA NERUS, 22 Mac - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus bergerak ke hadapan dalam memelihara warisan Terengganu apabila melaksanakan langkah mendigitalkan khazanah negeri tersebut. Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, usaha itu penting bagi mengembalikan semula minat masyarakat khususnya pencinta budaya terhadap wasrisan negeri seiring dengan perkembangan dunia.  Katanya, langkah terbaru yang dilakukan  Pusat Kesenian dan Warisan (PKW) UniSZA ialah mengangkat usaha pendigitalan khazanah berkenaan ke peringkat nasional. "Kita telah menyertai ArtScience di balai Seni 'Maybank's Virtual Reality Gallery' di Kuala Lumpur dan peringkat antarabangsa dengan membuat penyertaan di 'Digital Representation dan Research in Art', 'Humanities and Culture di Centre For Greater China Studies' dan ' The Hang Seng University Of Hong Kong' di China," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada Majlis Perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara universiti berkenaan dengan Husa Network Sdn Bhd serta Avantcom International Sdn Bhd, di sini semalam. Majlis yang telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali itu turut dihadiri oleh Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd ,Ozarizan Mohd Nor, Pengarah Avantsky Sdn Bhd, Wan Akmal Othman, serta Ketua Pegawai Eksekutif Avantcom International Sdn Bhd, Farhana Abdullah. Menurut Dr Hassan, pendigitalan manuskrip mengenai khazanah kesenian dan warisan juga sedang dibangunkan. "Melalui kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP) selain arkib dari negeri ini dikumpulkan, kita juga telah turut menerima 30,000 naskah manuskrip dari luar dan dalam negara. "Perbincangan telah dijalankan dengan beberapa buah negara seperti eropah, timur tengah dan juga dari negara untuk tujuan itu bagi mengikut langkah sebagaimana Perpustakaan di British terkenal kerana menyimpan benda lama seperti manuskrip ini," ujarnya. Dalam pada itu, Dato' Yahaya Ali berkata, usaha dilakukan pihak universiti terbabit diyakini akan mencetuskan kesan yang baik untuk negeri ini. "Perjanjian yang dimenterai itu akan menjadi nilai tambah dalam memperkenalkan seni warisan yang kita ada sekali gus mengalakkan pelancong untuk hadir ke negeri ini. "Kita mahu pembinaan kekuatan yang berkaitan kesenian warisan budaya kita ini akan lebih dikenali, dipandang hebat dan boleh dihayati oleh seluruh masyarakat," ujarnya. Mewakili HUSA Network Sdn Bhd, Ozarizan berkata melalui kerjasama yang telah dimeterai, pihaknya mengambil langkah kehadapan. "Kita akan memberikan kerjasama bagi memastikan hasrat untuk memartabatkan kesenian dapat dicapai melalui penyampaian kandungan berbentuk kesenian dan kebudayaan melalui siaran radio Manis FM yang kita miliki," ujarnya.
21 Mar 21
1082
Terengganu Sedia Bantu Promosi Pelancongan Perlis
Terengganu Sedia Bantu Promosi Pelancongan Perlis
KANGAR, 21 Mac – Terengganu sedia membantu Perlis dalam memajukan industri pelancongan negeri terbabit melalui pelbagai pendekatan termasuk penggunaan teknologi digital. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dari semasa ke semasa dan akan war-warkan keunikan Perlis. “Terutamanya melalui media sosial, masyarakat lebih cepat mendapat maklumat dan kenali perkembangan baharu di situ, bentuk pemasaran ini lebih efektif berbanding dengan kaedah konvensional lain,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat ke delegasi pelancongan Perlis di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer di sini, pagi semalam. Turut hadir,, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof dan Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim. Sementara itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan kunjungan dan sokongan padu kerajaan negeri Terengganu dalam mengiklankan pelbagai tarikan pelancongan yang ada di negerinya. “Di Perlis, fokus adalah alam semula jadi dan eko-tourism, kita sedia maklum bahawa Terengganu terkenal dengan kepelbagaian tempat menarik di sana juga. “Melalui kerjasama pemasaran kedua-dua negeri, secara tidak sengaja kita dapat mempromosikan antara dua negeri,” katanya. Tambah Asmaiza, beliau turut menjemput kedatangan pelancong daripada Terengganu dan menasihati untuk menginap sekurang-kurangnya satu malam bagi pengalaman pelancongan terbaik. “Antara lokasi eko-pelancongan yang boleh dikunjungi seperti Rimba Herba Perlis, Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Taman Rekreasi Tasik Melati, Gua Kelam dan banyak lagi. Jarak diantara tempat ini juga tidak begitu jauh,” katanya lagi. Untuk rekod, pelancongan Terengganu miliki lebih 300 ribu pengikut di media sosial seperti ‘page’ media sosial di Instagram dan Facebook antaranya seperti ‘Page’ Facebook ‘Amazing Terengganu’ dengan ‘like’ mencecah 200 ribu.    
21 Mar 21
509