lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Pesta Maing Ujang Tarikan Baharu Ke Setiu
Pesta Maing Ujang Tarikan Baharu Ke Setiu
SETIU, 18 Januari - Setiu kini mempunyai satu lagi daya tarikan baharu iaitu menerusi penganjuran Pesta Maing Ujang Sesohor Setiu yang berlangsung 9 sehingga 11 Febuari depan. Penolong Kanan Pegawai Daerah Setiu, Raja Faisal Raja Haron berkata, pesta yang julung kali diadakan itu bakal menjadi tarikan pengunjung ke daerah ini. "Kita akan mengadakan 'Setiu Monsoon Fest' pada 9 & 10 Febuari di Setiu Wetland dengan pelbagai aktiviti menarik seperti 'Monsoon River Cruise', Monsoon Survival Camp', 'Tourism Village Fun Race in The Rain', pameran kraftangan dan pesta jualan makanan tradisional. "Di Setiu Adventure Park Ulu Kasar pula kita perkenalkan program 'Camping in The Rain' pada 10 dan 11 Febuari. Peserta akan bertanding khemah terbaik selain menikmati 'stargazing' dan busking campfire' pada waktu malam. "Peserta juga berpeluang menjalankan aktiviti 'flying fox', river tubing, 'river trekking', 'cup cross kampung style' dan kayak", tambahnya ketika dihubungi wartawan pagi tadi. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata aktiviti tersebut sebenarnya menambah daya tarikan kepada kawasan pantai dan sungai yang menjadi nadi kekuatan Setiu dalam menarik kedatangan pengunjung dari seluruh negara. Katanya, penganjuran aktiviti ini berpontensi dijadikan sebagai program tahunan sekiranya sambutan menggalakkan dan diharap dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat yang menjalankan perniagaan.
18 Jan 24
336
Bina Tembok Penghadang Ombak Selamatkan Perigi 101 Tahun
Bina Tembok Penghadang Ombak Selamatkan Perigi 101 Tahun
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Satu  tembok penghadang ombak akan dibina dalam tempoh terdekat bagi menyelamatkan perigi lama berusia lebih seratus tahun di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit di Kuala Nerus daripada musnah akibat masalah hakisan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata beliau difahamkan masalah hakisan pantai yang berlaku semakin kritikal sehingga mengubah struktur tanah di sekeliling kawasan perigi itu. "Sebagai langkah awal, kita akan bina sebuah tembok penghadang di kawasan perigi ini secepat mungkin bagi melindungi ia kekal pada kedudukan asal dan tidak dihanyutkan ombak. "Proses pembinaan tembok itu akan diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri, GPQ Sdn Bhd di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan anggaran kos perbelanjaan sebanyak RM30,000," katanya ketika dihubungi. Menurut Razali, cadangan pembinaan tembok penghadang itu telah dipersetujui oleh syarikat berkenaan yang terlibat dalam industri pembinaan. "Mereka telah bersetuju untuk membina tembok penghadang yang bersesuaian untuk memastikan struktur perigi lama itu kekal dan tidak terjejas apabila berdepan masalah hakisan yang semakin kritikal ketika ini," ujarnya. Difahamkan, sekitar awal tahun 1970-an, perigi lama itu berada pada kedudukan antara 100 hingga 200 meter dari pantai. Kawasan di sekitar perigi yang dipercayai dibina mengikut kalendar Islam pada 1345 Hijrah itu semakin terhakis sehingga mencecah dasarnya sejak musim tengkujuh melanda bermula hujung November tahun lalu. Perigi sedalam kira-kira lima meter itu akan runtuh sepenuhnya sekiranya banjir melanda dan berlaku perubahan cuaca akibat Monsun Timur Laut (MTL) jika tiada usaha segera dilakukan bagi memulihara segera bahan peninggalan sejarah itu.  
09 Jan 24
624
Terengganu Sasar Terima Kunjungan 4.5 Juta Pelancong
Terengganu Sasar Terima Kunjungan 4.5 Juta Pelancong
HULU TERENGGANU, 18 Disember - Kerajaan Terengganu menyasarkan kehadiran 4.5 juta pelancong ke negeri ini pada tahun hadapan selepas berjaya mencatatkan kunjungan lebih 3.5 juta pelancong tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, sasaran itu mampu dicapai apabila pertumbuhan ekonomi negara akan sedikit pulih berbanding pada tahun ini di samping kerajaan negeri telah memulakan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung domestik dan antarabangsa. "Saya minta di Tasik Kenyir ini kita sasarkan satu juta pengunjung, kalau semua agensi ataupun pelbagai sektor terlibat berusana memanggil (menarik) pelancong hadir ke negeri Terengganu target kita akan sampai. "(Kerana) kita bukan hanya ada Tasik Kenyir, juga memiliki pulau, 'rainforest' yang cantik di samping kita akan rancakkan lagi dengan beberapa aktiviti yang baru (bagi) menukar persepsi dimana apabila musim tengkujuh Terengganu tidak boleh dikunjungi. "Tetapi sekarang kita telah buktikan (Terengganu boleh dikunjungi) dengan adanya International Moosoon Casting Tournament (IMCT), di Setiu Wetland pula kita akan adakan aktiviti mandi hujan dan kita akan banyakan lagi program di bulan tengkujuh antara november hingga Disember," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas menyempurnakan Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah IMCT, di Dapur Kenyir, Tasik Kenyir, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut Razali berkata, pada tahun hadapan promosi menarik pelancong dari luar negara tidak hanya bertumpu negara Eropah sebaliknya turut menyasarkan pelancong dari Timur Tengah. "Kita hendak ramaikan pelancong muslim datang ke negeri Terengganu kerana kita hendak tunjukkan bahawa kita mesra muslim dan mesra syariah, di samping itu kita mendapat statistik yang baru bahawa pelancong dari negara China yang beragama Islam ramai datang ke negeri ini. "Dengan pengecualian visa yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan kita sangat mengalu-alukan supaya pelancong yang mendapat pengecualian visa ini datang seberapa ramai mungkin," ujarnya. Dalam pada itu katanya, bagi mendapat data yang lebih tepat mengenai kehadiran pelancong ke negeri ini kerajaan negeri akan bangunkan satu sistem web bermula tahun hadapan bagi mendapatkan jumlah pengunjung yang lebih tepat.  
18 Dec 23
334
Tasik Kenyir 'Syurga Kaki Pancing' Bertaraf Antarabangsa
Tasik Kenyir 'Syurga Kaki Pancing' Bertaraf Antarabangsa
HULU TERENGGANU, 18 Disember - International Moosoonn Casting Tournament (IMCT) 2023 yang bermula 15  hingga 18 Disember baru-baru ini berjaya menarik minat 250 'kaki pancing' bukan sahaja dari dalam negara, bahkan dari Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, China, Thailand dan Indonesia. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, program yang  telah memasuki edisi ke-14 sejak mula diperkenalkan pada tahun 2009 berjaya mengangkat imej Kenyir di persada antarabangsa. Ujarnya, dengan kejayaan tersebut, kerajaan negeri berhasrat  menyenaraikan program berkenaan di dalam kalendar pelancongan pada tahun hadapan. "Alhamdulillah saya melihat program ini cukup berjaya walaupun penyertaan agak kurang  berbanding tahun lepas tetapi ia meriah dengan acara yang melibatkan kepelbagaian segmen yang dilakukan oleh sekretariat IMCT. "Saya melihat dengan adanya penyertaan dari luar negara ianya bertaraf antarabangsa, dan saya mencadangkan agar ia diperkasakan lagi di peringkat global bagi memperkenalkan Tasik kenyir berupaya membawa kepuasasan kepada kaki pancing di seluruh dunia," ujarnya, Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup International & Penyampaian Hadiah IMCT 2023, di Dapur Kenyir, di sini, hari ini. Tambah Razali, penganjuran IMCT itu juga memberi banyak manfaat terutama kepada pengusaha 'houseboat', pemandu bot Tasik Kenyir dan juga penduduk kampung yang turut mendapat limpahan ekonomi secara langsung kesan kehadiran pengunjung ke tasik buatan itu. Sementara itu, bagi memberi kepuasan kepada peserta, sejumlah 2,200 anak ikan lampam hasil sumbangan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu turut dilepaskan sebagai usaha mengalakkan pemancing meraih kemenangan, sekali gus menggalakkan perkembangan pembiakan sepesies ikan air tawar di Kenyir Geopark. Untuk rekod, bermula IMCT  2015 hingga tahun lalu sejumlah 800,000 anak benih ikan spesies eksotik tempatan asli, termasuk Temoleh, Lampam, kelah, Jelawat, Kerandang dan Sebarau telah dilepaskan.  
18 Dec 23
358
Terengganu Tawar Pelabur Bangun Pulau Bayas
Terengganu Tawar Pelabur Bangun Pulau Bayas
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan Terengganu menawarkan peluang kepada mana-mana pelabur yang berhasrat untuk membangunkan Pulau Bayas bagi merancakkan pembangunan industri pelancongan di Tasik Kenyir Hulu Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri  mengalu-ngalukan mana-mana pelabur yang berhasrat berkerjasama dengan kerajaan untuk membangunkan pulau tersebut dan permohonan mereka akan dberikan pertimbangan sewajarnya. "Kerajaan negeri membuka peluang seluas-luasnya untuk membuat 'joint venture' atau 'smart partnership' dengan agen-agen ataupun GLC negeri Terengganu untuk mempastikan pembangunan di Pulau Bayas diteruskan," katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.   ADUN Telemong Zawawi Ismail dalam soalan asalnya ingin tahu status terkini Zon Bebas Cukai di Tasik Kenyir Hulu Terengganu dan perancangan kerajaan negeri di masa hadapan. Razali yang juga ADUN Kijal berkata kerajaan negeri juga merancang untuk membuka peluang kepada pelabur-pelabur yang mengemukakan cadangan pelaburan di Pulau Bayas, Tasik Kenyir serta memperomosikannya tasik itu sebagai 'Geo-Park' bertepatan dengan pengiktirafan Jawatankuasa Geo-Park Kebangsaan pada 30 Mei 2023 yang lalu. Menjawab soalan tambahan ADUN Kuala Berang berkaitan pencawang elektrik ke Pulau Bayas Datuk Razali berkata kerajaan negeri sedang mengkaji proses penyiapan projek berkenaan. "Kita (kerajaan negeri) telah menerima beberapa syarikat yang berminat dan kita akan teruskan seperti mana cadangan Yang Berhormat Kuala Berang," jelasnya. Untuk rekod banyak projek di Pulau Bayas terpaksa dihentikan kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
30 Nov 23
1833
Pembuatan Bot Tradisional Pulau Duyong Akan Kembali Bersinar
Pembuatan Bot Tradisional Pulau Duyong Akan Kembali Bersinar
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri memberi jaminan perusahaan pembuatan bot tradisional di Pulau Duyong akan kembali bersinar. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha membangunkan semula perusahaan warisan itu akan dibuat melalui pelan penyelarasan kolaborasi produk-produk pelancongan pesisir sungai Terengganu. "Termasuklah Shah Bandar, Pesisir Payang, Seberang Takir, Pulau Duyong, Pulau Warisan, Kampung Budaya Terengganu, Taman Tamadun Islam dan lain-lain. "Bagi memartabatkan industri pembuatan bot tradisional di negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Ariffin berkata kerajaan negeri turut mempunyai perancangan untuk menyediakan latihan dan kursus bagi pembuatan bot tradisional bagi memastikan lebih ramai yang akan terlibat dalam industri terbabit. Katanya, kerajaan negeri juga turut merancang untuk berkerjasama dengan Jabatan dan Kementerian Pelancongan serta Malaysian Timber Industry Board (MTIB) bagi penyediaan latihan serta kursus-kursus yang berkaitan pembuatan bot tradisional. "Buat masa ini kerajaan negeri telah menyediakan latihan ukiran kayu di Desa Ukiran Kayu, Besut. "Bagi Tabung Pusingan Modal, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) ada menawarkan skim pembiayaan tanapa riba di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) dengan had maksima sebanyak RM50,000 tertakluk kepada terma dan syarat. "Antara skim pembiayaan dan perniagaan yang boleh dipohon termasuklah Sektor Warisan (Pembuatan Bot Tradisional)," katanya.  
30 Nov 23
595
Terengganu Berpotensi Terima Pelancong Lebih Ramai
Terengganu Berpotensi Terima Pelancong Lebih Ramai
KUALA TERENGGANU, 28 November- Terengganu berpotensi menerima lebih ramai pelancong dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) melalui pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India bermula 1 Disember ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, pengumuman itu disambut baik dan Terengganu bersedia menerima peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini pada bila-bila masa.  "Ia dilihat berupaya mengubah persepsi pelancong yang sebelum ini melihat Terengganu tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh.  "Disebabkan bulan Disember musim tengkujuh di Terengganu dan persepsi pengunjung tidak sesuai untuk mereka ke sini pada waktu ini. Namun sebenarnya, kedatangan pelancong ke Terengganu sangat diperlukan ketika ini.  "Jadi, kita minta kerajaan persekutuan untuk promosikan juga musim tengkujuh dan (MTL) di Terengganu untuk dikunjungi oleh pelancong, " katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, kebanyakan pengusaha resort di pulau-pulau memutuskan untuk tidak beroperasi musim ini atas faktor keselamatan.  Bagaimanapun, katanya, terdapat pelbagai lagi destinasi menarik yang boleh dikunjungi oleh pelancong di Terengganu.  "Musim tengkujuh ini di laut sahaja dan di darat kita ada homestay dan macam-macam lagi untuk ditawarkan kepada pelancong seperti di Tasik Kenyir dan Setiu Wetland.  "Setiu Wetland juga ketika ini sedang menawarkan pakej 'Main Hujang' atau mandi hujan sehingga Februari tahun depan khusus untuk pengisian semasa musim monsun ini.  "Kedua-dua destinasi ini adalah amat sesuai untuk dilawati orang luar pada musim tengkujuh. Tasik Kenyir misalnya ada houseboat dan ia sesuai untuk pencinta dunia memancing sebab ketika ini ikan-ikan di sana 'galak' dan saya pasti ianya amat mengujakan para pemancing," katanya.  Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Putrajaya mengumumkan pengecualian visa buat pelancong dari China dan India ke Malaysia. Sebelum ini, negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait dan Oman serta lapan lagi negara ASEAN turut dibenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.
28 Nov 23
214
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Rasmi 'The Payang Hotel'
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Rasmi 'The Payang Hotel'
KUALA TERENGGANU, 21 November - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat merasmikan pembukaan 'The Payang Hotel', di Kampung Cina, hari ini Turut berangkat, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba Baginda turut diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Ab. Rasid Jusoh dan Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia. Sementara itu, Pengarah The Payang Hotel, Azizatul Asma Tan Sri' Dato Abdullah berkata, sempena dengan pembukaan hotel tersebut, pihaknya menawarkan harga bilik yang cukup istimewa antara RM130 hingga RM250. "The Payang Hotel menawarkan 44 bilik merangkumi penginapan perseorangan hingga keluarga dan promosi ini hanya dalam tempoh tertentu sahaja,"ujarnya. Berkongsi tentang keunikan dan keistimewaan 'The Payang Hotel', Azizatul berkata orang ramai akan merasai pengalaman yang unik sebaik sahaja melangkah masuk hotel tersebut. "Berkonsepkan 'chinese colonial' ditambah pula dengan seni bina Terengganu, dua elemen ini dapat dilihat di setiap penjuru hotel, membuatkan tetamu seolah-olah masuk ke dalam ruangan privasi yang penuh dengan keunikan budaya dan seni bina halus pada setiap sudut. "Peralatan yang digunakan juga mempunyai harga premium hingga 'luxury'. Kami menjanjikan sebuah eksplorasi budaya dari sudut penginapan hinggalah kepada makanan yang disajikan," katanya.  
21 Nov 23
7723
Muzium Angkat Martabat Singgang
Muzium Angkat Martabat Singgang
KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) berhasrat mengangkat martabat masakan 'singgang' ke peringkat yang lebih tinggi di samping memastikan warisan nenek moyang itu kekal terpelihara sepanjang zaman terutama dalam kalangan generasi muda hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata usaha dilakukan pihak LMNT dengan mengadakan pertandingan 'Juara Singgang' memberi impak yang sangat baik. "Pertandingan ini bukan sahaja sekadar hencak mencari juara tetapi mengangkat martabat agar ia menjadi tersohor dan mendapat pengiktirafahan. "Pernah dibuktikan melalui kajian di mana rempah ratus serta bahan yang digunakan dalam masakan singgang menjadi ramuan ubatan yang mujarab. "Terima kasih kepada pihak muzium kerana sentiasa berusaha mencari jalan bagi mengangkat martabat 'singgang' ini, bagi memastikan ia mendapat sambutan dan menjadi menu yang popular dan dikenali oleh pengunjung dari luar negeri Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup  Pertandingan Juara Singgang Terengganu 2023, di Dataran Dato' Setia Wangsa, Kompleks Muzium negeri, di sini semalam. Turut hadir Timbalan Pengarah Muzium negeri, Fauzi Muda. Dalam pada itu fauzi berkata berkata program itu julung-julung kali diadakan selain bertujuan bagi mendedahkan bahawa Terengganu memiliki makanan berkhasiat sejak turun temurun. "Pertandingan ini mengumpulkan lapan daerah dalam negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah bagi memasak 'Ikan Singgang Aye Hitam'. "Dengan usaha dijalankan ini kita mengharapkan singgang akan menjadi pilihan pelancong selain daripada nasi dagang. "Pihak muzium akan sentiasa berusaha memelihara warisan nenek moyang ini yang sepatutnya menjadi kebanggaan kepada anak Terengganu," ujarnya. Untuk rekod, Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azizah Mahmod pernah mengeluarkan kenyataan ikan singgang berupaya untuk merawat penyakit Covid-19. "Kerana mengandungi pelbagai ramuan dan bahan yang mampu untuk menghapuskan mikrob," ujarnya pada Mac 2020.  
13 Nov 23
260
TTI Sasar Satu Juta Pengunjung Tahun 2024
TTI Sasar Satu Juta Pengunjung Tahun 2024
KUALA TERENGGANU, 13 November - Taman Tamadun Islam (TTI) menyasarkan kehadiran 1 juta pengunjung pada tahun hadapan. Pengurus besar TTI, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya meletakkan sasaran itu melihat kepada jumlah pengunjung yang dicapai pada tahun ini dari Januari hingga November adalah lebih 600,000. "Kita hendak memastikan TTI ini bukan hanya akan menguntungkan kerajaan Terengganu tetapi turut memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat terutama masyarakat setempat. "Saya melihat ini satu cabaran bagi memastikan TTI ini muncul sebagai hab pelancongan negeri Terengganu yang terkemuka dan menjadi pilihan ramai. "Maknanya bila orang datang Terengganu dia akan terus memilih untuk datang ke sini, saya yakin dan percaya TTI masih dikenali ramai dan untuk memperkasakannya kita akan melakukan sesuatu dan akan memikirkan program yang 'wow', bagi meningkatkan jumlah pengunjung," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semasa hadir pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah sempena Watersport Festival, di sini, semalam. Dalam pada itu, Fadhil berkata adalah menjadi tanggungjawabnya setelah dilantik menjadi pengurus besar baru untuk menaikkan kembali TTI. "Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang telah memberi peluang dan melantik saya sebagai Pengurus Besar dan sudah pastinya banyak cabaran yang perlu saya buat kerana TTI ini namanya cukup besar. "Sudah pasti memerlukan kepada satu perancangan ataupun satu kerja yang perlu difikirkan bersama untuk memastikan ia mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri," ujarnya lagi.
13 Nov 23
256