Artikel "Kebajikan" Terkini
Masyarakat Tanjung Teruskan Tradisi Edar Makanan Percuma
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Masyarakat Tanjung di daerah ini masih meneruskan tradisi mengedar 200 bungkus makanan iftar percuma kepada orang awam sekali gus memupuk semangat hidup dalam komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata usaha PAS Cawangan Tanjung wajar dipuji kerana mereka mengambil inisiatif mencari dana, bergotong-royong memasak dan mengedarkan juadah berbuka puasa tanpa sebarang upah.
“Kebiasaanya mereka dapat menyiapkan 170 hingga 200 bungkus lauk pauk beserta kuih muih.
“Kesemua juadah ini diedarkan kepada tiga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terdekat iaitu Kolam Nesan 4, Tanjung Pantai dan Paya Bunga,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika melihat persiapan PAS Cawangan Tanjung menyediakan juadah berbuka puasa di Kampung Tanjung di sini petang semalam.
Tambah Ahmad Shah, program tersebut diadakan bagi membantu meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan.
“Di samping, mengajak orang ramai membuat kebaikan yang setiap amalan akan dilipat gandakan pada bulan ini.
"Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan untuk juadah berbuka puasa boleh terus salurkan ke akaun, 563064177285 (MAYBANK) pemilik Pusat Dakwah Al-Huda," ujarnya.
24 Mar 24
691
130 Asnaf Dun Bandar Terima Bantuan Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Seramai 130 orang dari keluarga yang kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar menerima bantuan Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata kesemua mereka diraikan dalam majlis di Mydin Mall pagi semalam.
Katanya, pihak pejabat DUN telah memberikan sumbangan wang tunai untuk membeli pakaian bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Walaupun kerajaan negeri Terengganu tidak semewah tahun lalu akibat royalti yang belum dilunaskan oleh kerajaan pusat.
“Namun, kita tidak pernah mengabaikan golongan mereka (asnaf) dan semoga Allah terima segala amalan kita pada bulan ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Mydin Mall petang semalam.
Tambah Ahmad Shah, program ini merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bandar.
“Saya berharap majlis meraikan anak-anak ini sedikit sebanyak akan menceriakan dan menggembirakan sambutan Syawal yang menjelang tiba,” ujarnya.
23 Mar 24
210
Petronas Bantu 400 Keluarga 'Sambut' Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - 400 keluarga berpendapatan rendah (B40) dari Kuala Terengganu, Kemaman, Hulu Terengganu dan Besut menerima bantuan dari Yayasan Petronas bagi melengkapkan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohamad Ahmad Shazly Ramli berkata pihaknya menyampaikan sumbangan itu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Program Memacu Kehidupan : Hari Raya Aidilftri.
"Program ini merupakan salah satu komitmen berterusan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.
"Kenaikan harga barangan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah terutamanya di musim perayaan.
"Oleh itu, kami berharap sumbangan asas ini mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan di samping membantu memeriahkan lagi sambutan Hari Raya yang bakal menjelang," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Program Yayasan Petronas Memacu kehidupan Aidiltri yang diadakan sekali dengan majlis berbuka puasa, di Dewan Gamelan 1, Primula yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.
Mengulas lebih lanjut, Shazly berkata melalui program berkenaan, seramai 1,350 keluarga kurang bernasib baik yang turut membabitkan Kelantan dan Pahang telah menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM1 juta.
"Ini merupakan sebagaian daripada fokus Yayasan Petronas kepada aspek kesejahteraan dan pembangunan komuniti yang dianjurkan bersempenan dengan perayan-perayaan utama di Malaysia.
"Di dalam usaha Petronas menyokong, menyemarakkan keceriaan serta membangkitkan perasaan kasih sayang sempena musim perayaan di kalangan rakyat yang selari dengan agenda kelestarian Petronas dan Matlamat pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.
Untuk rekod,dalam majlis berkenaan setiap keluarga selain menerima barangan makanan asas harian mereka juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti beras pulut, kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang.
Bagi menyemarakkan lagi lebaran yang bakal menjelang itu, Petronas turut menyampaikan biskut raya yang disediakan oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat).
20 Mar 24
423
Politeknik Dungun Ceriakan Anak Yatim Dan Pelajar Kurang Mampu
DUNGUN, 19 Mac- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin(PSMZA), Dungun teruskan tradisi menceriakan anak yatim dan pelajarnya yang kurang berkemampuan untuk berhari raya.
Pengarahnya, Zamra Derahman berkata program meraikan golongan berkenaan sudah menjadi antara program utama di PSMZA apabila menjelang bulan Ramadan.
"Ini dapat mengurangkan beban keluarga terutama ibu-ibu tunggal yang mempunyai kekangan dalam membesarkan anak-anak mereka bersendirian," ujarnya.
Zamra berkata demikian dalam satu siaran media yang keluarkan oleh Unit Komunikasi dan Korporat PSMZA, di sini.
Seramai 11 orang anak yatim dari Asrama Pra-Tahfiz Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA) Daerah Dungun dan 10 orang pelajar kategori kurang berkemampuan dari politeknik tersebut telah diraikan dalam Program Selaut Kasih, Seindah Harapan anjuran bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) PSMZA yang diadakan di Gedung Tekstil, Jakel Kuantan, semalam.
Tambah beliau yang juga Pengerusi PUSPANITA PSMZA, PERKAYA dipilih sebagai antara target kelompok untuk diraikan kerana pihaknya mahu mereka juga dapat merasa pengalaman membeli dan memilih baju raya sendiri seperti anak-anak yang lain.
“Mereka yang kita raikan pada hari ini kelihatan sangat ceria dan gembira apabila diberi peluang untuk memilih sendiri pakaian hari raya mereka di Jakel, ” katanya teruja dengan keceriaan mereka.
Hadir sama, pemilik gedung Jakel Kuantan, Suhaimi Abdul Aziz yang berbesar hati menyampaikan sumbangan duit raya buat para pelajar.
Katanya, disamping itu, 7 Eleven Chengal Lempong, Kuantan juga turut tidak ketinggalan berkongsi rezeki dengan menyumbang pek makanan ringan untuk diagihkan kepada mereka.
"Program ini sebenarnya membuka dan memberi peluang buat semua untuk menyumbang,
"Berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan, semoga sumbangan yang kita perolehi dapat memberi kegembiraan buat mereka dalam menyambut hari raya yang bakal tiba," jelasnya lagi. .
18 Mar 24
600
1,000 Pek Bubur Lambuk Percuma di ‘Drawbridge’
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Pengguna Jambatan Angkat (‘Drawbridge’) di sini dirai dengan 1,000 pek Bubur Lambuk percuma menjelang awal Ramadan semalam yang ditaja oleh Duyong & Marina Resort dan TI Properties Sdn Bhd (TI Properties).
Pengurus Besar Duyong & Marina Resort, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata bubur berkenaan di masak di dapur Duyong & Marina Resort dan beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TI properties, Awasi Mohamad serta kira-kira 30 kakitangan dari kedua-dua anak syarikat kerajaan Terengganu itu membahagi-bahagikan makanan tersebut kepada orang ramai di jambatan terebut bermula jam 4.00 petang sehingga habis jam 5.30 petang.
Menurutnya aktiviti itu bukan pertama kali diadakan kerana bulan puasa tahun lalu Duyong & Marina Resort turut berbuat demikian untuk meraikan pengguna Jambatan Sultan Mahmud di sini..
"Ini adalah aktiviti CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) kami di samping turut mempromosikan pakej buffer dan sewaan bilik dengan harga berpatutan menjelang Ramadan tahun ini.
"Semua maklumat berkiatan boleh didapati di laman web Duyong & Marina Resort dari sekarang," katanya ketika ditemui di jambatan tersebut semalam.
Sementara itu Awasi berkata sebagai pengurus jambatan angkat (sejak tahun 2019) TI Properties telah menjalankan aktiviti CSR itu menjelang Ramadan bermula tahun lepas dan ini kali kedua aktiviti tersebut diadakan dengan kerjasama Duyong & Marina Resort.
Katanya, sempena Ramadan bulan yang mulia ini,TI Properties menjemput orang ramai berkunjung ke menara Jambatam Angkat untuk berbuka puasa dengan juadah yang disediakan dengan harga berpatutan.
"Di menara Jambata Angkat ini terdapat galeri 'Skybridge’ yang terletak di menara tinjau jambatan tersebut di samping katering dengan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa di menara bersebelahan," jelasnya.
Katanya aktiviti tersebut juga merupakan aktiviti CSR menjelang Ramadan dan pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuk menyantuni 90 orang anak yatim dari beberapa dearah di negeri ini.
"Orang ramai dijemput hadir untuk menikmati pemandangan cantik di samping melawat galeri serta berbuka puasa bagi merasai kelainan di ‘Drawbridge’ Terengganu tahun ini," ujarnya.
12 Mar 24
201
Aleya Korban 'Masa Enjoy', Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 2 Februari - Tidak sebagaimana remaja lain, Nur Aleya Maisara Abdul Rahman, 20, ternyata berada di 'dunia' berbeza apabila dia sanggup mengorbankan masa bersama rakan sebayanya bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir.
Dia seakan sudah sebati bergelumang dengan keadaan banjir dan lumpur kerana gadis berasal dari Manir, Terengganu kelihatan tidak kekok membersihkan rumah mangsa banjir yang dipenuhi selut di Kampung Pasir Raja.
Katanya, walaupun baru menyertai Pasukan Sukarelawan Terengganu Volunteer ( T-Volt), sebelum ini dia sudah menyertai banyak aktiviti sukarelawan melalui persatuan lain.
Ujarnya, pengalaman yang ada menyebabkan dirinya sudah terbiasa dengan keadaan pasca banjir dan apa yang penting adalah membantu mangsa.
"Selama ini saya selalu merasa kesian melihat bebanan dan penderitaan yang dialami oleh mangsa banjir ini, seringkali saya ikuti di media sosial dan dari situ terdetik di hati saya membantu mereka yang dilanda ujian ini.
"Mendapat tahu mengenai T-Volt ini terus saya menyertainya, jadi peluang dapat menyertai misi membersihkan rumah mangsa banjir ini tidak saya sia-siakan dan saya gunakan peluang ini sehabis baik.
"Tidak merasa penat sebaliknya saya rasa sangat seronok," ujarnya yang merupakan anak sulung daripada lima adik beradik ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika menyertai misi banjir di sini, semalam.
Katanya, ayahnya, Abdul Rahman Mat Yunus, 40, serta ibunya Nor Rohaiza Hamzah, memberi galakan dan sokongan untuknya menyertai aktiviti terbabit.
"Kedua-dua mereka merestui niat saya untuk melakukan kerja-kerja kebajikan ini," ujarnya.
Sementara itu, bagi Nooraini Abdul Razak,52, yang merupakan kakitangan Yayasan Pembangunan Ummah berkata telah lebih 10 tahun dia terlibat dengan misi-misi memabntu mangsa banjir.
"Apabila ditubuhkan T-Volt ini saya terus menyertainya kerana sangat suka dan rasa puas hati dapat membantu serta menolong masyarakat yang terkena musibah seumpama ini.
"Saya selalu ajak anak-anak muda untuk turut terlibat kerana dengan penglibatan seumpama ini akan memberikan keinsafan dan kesedaran kepada kita, memang sangat baik untuk disertai oleh golongan anak-anak muda timba pengalaman untuk terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan seumpama ini," katanya.
Nora Omar, 47, pula berpandangan melibatkan diri dengan aktiviti membantu mangsa banjir ini memberikan satu suntikan motivasi apabila melihat perasaan mereka yang ditimpa ujian.
"Hari ini dapat dilihat bagaimana perasaan tuan rumah apabila pasukan sukarelawan ini datang membersihkan rumah mereka, bayangkan tidak mudah untuk mereka lalui kerana banjir di sini pada tahun ini lebih besar berbanding 2014 sehinggakan lumpur memenuhi ruangan rumah.
"Dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapatlah memberikan kelegaan kepada mereka," katanya.
02 Feb 24
133
300 Sukarelawan Turun Padang Hari Keempat Pasca Banjir Hulu Dungun
DUNGUN, 31 Januari - Kira-kira 300 sukarelawan daripada pelbagai agensi termasuk kerajaan, swasta dan Badan Bukan kerajaan (NGO) turun padang membersihkan rumah penduduk Kampung Pasir Raja selepas empat hari kampung itu dilanda banjir lumpur.
Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata siri tersebut menyaksikan tidak kurang daripada 10 buah rumah penduduk yang masih ditenggelami lumpur dan dijangkakan dapat dibersihkan sepenuhnya sehingga Jumaat ini.
Katanya, bencana seumpama itu adalah satu ujian buat semua penduduk di kawasan Hulu Dungun pada gelombang banjir kali keempat yang melanda Terengganu baru-baru ini.
"Saya mengharapkan orang ramai yang mempunyai kemampuan kebendaan yang lebih diminta sama-sama membantu penduduk yang terjejas banjir berkenaan bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka," katanya kepada wartawan UPDI di lokasi salah sebuah rumah yang terkesan banjir lumpur di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau mengharapkan semua penduduk terlibat bersabar menghadapi ujian bencana tersebut dan banyak pihak sedia tampil untuk membantu meringankan beban mereka dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Abd Mutalib Harun, 60, yang merupakan salah seorang penduduk terjejas banjir di kampung berkenaan mengucapkan rasa syukur kerana bantuan yang tidak putus-putus sejak peristiwa itu berlaku.
Dia yang juga seorang pekebun getah dengan rasa gembira bercampur sedih mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua terlibat dengan operasi pasca banjir dan mengharapkan Tuhan membalas jasa baik mereka.
Katanya yang tinggal di situ sejak lahir kebanyakan peralatan rumahnya musnah akibat banjir lumpur yang hampir melumpuhkan kampung mereka.
Tinjauan UPDI mendapati lumpur setebal 0.34 meter memenuhi rumah Abd Mutalib seluas 111.51 meter persegi memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk dibersihkan sepenuhnya dengan peralatan kebersihan yang cukup termasuk penyembur air, penyodok pasir dan sebagainya.
Didapati sukarelawan kekurangan peralatan bagi membantu membersihkan rumah penduduk di situ.
Banjir melanda rumah penduduk baru-baru ini setinggi kira-kira 3 meter disertai dengan lumpur, merupakan satu tragedi mendukacitakan hampir semua penduduk dengan kehilangan harta benda dan kerosakan rumah masing-masing.
Turut terjejas teruk rumah penduduk di Kampung Syukor dan Jongok Batu.
31 Jan 24
198
65 Mangsa Banjir Kampung Shukor Terima Sumbangan
DUNGUN, 1 Februari- Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, melalui Tabung Bencana Banjir DUN Sura menyerahkan sumbangan set kelengkapan memasak kepada 65 buah keluarga mangsa banjir di Kampung Shukor, di sini semalam.
Dr. Fakhruddin berkata, jenis sumbangan yang disampaikan berdasarkan maklum balas daripada mangsa banjir berkenaan keperluan yang diperlukan dalam masa terdekat.
"Sumbangan ini terdiri daripada periuk elektrik, dapur gas, dan juga minyak masak memandangkan ada sesetengah rumah yang sudahpun selesai dibersihkan dan mereka boleh memasak sendiri di rumah.
"Untuk pengetahuan, sumbangan ini merupakan hasil daripada Tabung Bencana yang dilancarkan di peringkat DUN Sura baru-baru ini dan kami di peringkat DUN Sura komited untuk meneruskan misi bantuan banjir ini," katanya sewaktu ditemui pemberita usai menyerahkan sumbangan di Dewan Serbaguna Kampung Shukor.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada individu, agensi dan badan bukan kerajaan yang menyumbang dalam misi ini dan menyeru sumbangan dapat terus diagihkan bagi membantu penduduk yang terjejas disini.
"Kalau tidak mampu menyumbang tenaga datang membersihkan kawasan ini, sekurang-kurangnya bantulah dengan wang atau peralatan-peralatan asas kepada mangsa banjir ini memandangkan ada sesetengah mangsa yang tinggal sehelai sepinggang akibat rumahnya dihanyut banjir dan ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua penyumbang dalam misi kali ini," katanya.
Turut hadir bersama menyerahkan sumbangan mantan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
30 Jan 24
279
180 Nelayan DUN Sura Terima Bantuan One Off
DUNGUN, 25 Januari - Seramai 180 orang nelayan yang terjejas teruk akibat musim tengkujuh dapat menarik nafas lega selepas menerima bantuan kewangan dan barang keperluan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata bantuan berkenaan dilaksanakan bagi meringankan beban golongan nelayan yang tidak dapat mencari rezeki di musim Monsun Timur laut atau dipanggil musim tengkujuh.
"Walaupun kita menghadapi kekangan yang pelbagai, kita di peringkat DUN Sura berjaya melaksanakan satu inisiaitif membantu golongan yang memerlukan khususnya, hari ini bantuan disalurkan kepada para nelayan yang menghadapi kesukaran untuk turun kelaut mencari rezeki," kata sewaktu berucap di Majlis Sumbangan Bantuan Nelayan Peringkat DUN Sura, semalam.
Jelasnya, bantuan tersebut merupakan hasil kerjasama dengan sebuah anak syarikat Negeri Terengganu yang menzahirkan sokongan untuk membantu golongan nelayan di DUN Sura.
"Bantuan ini merupakan sumbangan daripada Yayasan Islam Terengganu KETENGAH Perwira," tambahnya.
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YIT Ketengah Perwira atas sumbangan yang disalurkan.
Turut hadir, Pengerusi YIT Ketengah Perwira, Wan Hapandi Wan Nik.
24 Jan 24
138
50 Asnaf Batu Rakit Tersenyum Lebar
KUALA NERUS, 22 Januari - Seramai 50 orang asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang kurang berkemampuan tersenyum lebar selepas menerima sumbangan daripada PAPISMA.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi berkata, penerima dalam kalangan asnaf adalah di Mukim Bukit Cempaka yang menerima sumbangan dapur seperti beras, gula, telur dan gandung.
"Kita harapkan dengan penyampaian agihan sumbangan ini akan memberi sinar kebahagiaan kepada golongan kurang berkemampuan khususnya asnaf fakir dan miskin di Batu Rakit.
"Saya berharap agar agihan sumbangan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat menyinari hidup anda semua bagi menyambut awal tahun dan yang bakal tiba bulan Ramadan nanti," katanya pada Majlis Perasmian Sumbangan Dana Kemanusian PAPISMA (DEKAP) Negeri Terengganu di Dewan Sebaguna Wakaf Catur Maras di sini baru-baru ini.
Sementara itu katanya, beliau sentiasa mengingatkan setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) agar mengambil cakna keperluan penduduk.
"Saya selalu ingatkan kepada semua JPKK supaya memantau serta melihat sekitar kampung agar tiada lagi mereka yang hidup dalam keadaan susah, melarat serta keadaan yang sempit disebabkan masalah tanggungan keluarga.
"Terima kasih kepada Pengerusi JPKK yang sentiasa menghubungi saya sekiranya ada masalah yang dihadapi orang kampung dan kita akan berbincang mencari jalan penyelesaian," ujarnya.
22 Jan 24
1007