Artikel "Kebajikan" Terkini
Tujuh Keluarga Terima Rumah daripada Kerajaan Terengganu
Oleh : Suhaimi Taib dan Muhammad Zamarul Hisyam
HULU TERENGGANU, 16 Januari - Tahun baharu pastinya memberi kenangan yang cukup manis buat tujuh keluarga di Dewan Undangan Negeri Ajil apabila menerima kunci rumah kediaman daripada kerajaan negeri hari ini.
Rofeah Razali, 45, yang merupakan salah seorang penerima melahirkan rasa syukur kerana dapat memiliki rumah sendiri.
Menurutnya, sudah lebih lima tahun dia menunggu untuk detik bermakna itu.
"Impian kami sekeluarga akhirnya tercapai juga pada awal tahun ini.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ustaz Maliaman Kassim serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bantuan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) ini," katanya kepada pemberita.
Dia berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci PPTS di Bukit Che Amin, Kampung Tok Randok Ajil di sini hari ini.
Sementara itu, Maliaman berkata, usaha seperti akan diteruskan bagi meringankan beban rakyat miskin.
Katanya, Kerajaan Negeri dijangka berkolaborasi dengan Skuad Prihatin (PRIHATIN) untuk melaksanakan projek perumahan rakyat dengan harga RM50,000 sebuah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu berkata kos berkenaan termasuk perabot dan kelengkapan lain.
Jelasnya, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan kewangan dengan jumlah tersebut manakala PRIHATIN menyediakan tenaga buruh binaan untuk menyiapkan rumah berkenaan.
"Kolaborasi itu masih di peringkat perancangan dan pelaksanaannya akan disegerakan tidak lama lagi," katanya.
Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, kerajaan negeri berhasrat memperkasakan program negeri berkebajikan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti bersama rakyat negeri itu termasuk membina rumah percuma untuk rakyat.
"Melalui program tersebut rakyat (yang prihatin) membantu orang ramai sama ada secara individu atau melalui badan bukan kerajaan (NGO).
"Saya sedang menyusun satu program untuk selaraskan portfolio kebajikan dengan NGO untuk membina rumah rakyat.
"Saya telah berbincang dengan Skuad PRIHATIN untuk membantu membina rumah rakyat dengan cara kolaborasi dengan kerajaan," jelasnya.
Menurutnya melalui program itu kerajaan bersama NGO membantu rakyat yang memerlukan bantuan bukan kerajaan sahaja berbuat demikian.
Walau bagaimanapun ujarnya, program berkenaan akan dilaksanakan dengan syarat tertentu termasuk memiliki tanah sendiri dan tidak pernah menerima rumah bantuan kerajaan.
16 Jan 24
585
Golongan Asnaf Mendapat Perhatian Ahli Parlimen Marang
Oleh : Abay Cik / Mohd Fauzi Mat Adam
MARANG, 14 Januari - Bagi meringankan beban sara hidup yang dialami oleh golongan asnaf di negeri ini ,Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberikan perhatian yang berterusan termasuk mengagihkan 600 kampit beras 10 kilogram (KG) kepada 60 penduduk di daerah ini.
Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Marang, Harun Yusof berkata, ia bagi meringankan bebanan yang dialami golongan terbabit.
"Agihan bekalan beras ini dilaksanakan secara berkelompok mengikut Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) iaitu setiap JPKK 10 ketua keluarga terpilih.
"Kita sentiasa ambil berat terhadap golongan yang hidup dalam kesusahan dan ini tanda prihatin Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang," ujarnya ketika ditemui pemberita, di sini, baru-baru ini.
Ujarnya, melalui Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Marang itu juga turut memberi peluang kepada pelbagai pihak untuk turut tampil menghulurkan sumbangan dalam memastikan bekalan makanan ruji itu tidak terputus.
Dalam pada itu, Harun mengharapkan agar sumbangan berkenaan sedikit sebanyak akan dapat meringkan bebanan asnaf dalam menjalani kehidupan seharian.
14 Jan 24
93
Pusat Autisme Terengganu Capai Matlamat
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Pusat Autisme Sejahtera Terengganu yang dirasmikan setahun yang lalu terus mengorak langkah dalam membantu anak-anak autisme dalam Negeri Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata Pusat Autisme Sejahtera Terengganu itu telah hampir genap setahun usia pelancarannya,
Pelancaran Pusat Autisme Terengganu pada 25 Julai 2023 yang lalu.
"Setelah empat tahun kita bertungkus-lumus untuk menubuhkan pusat ini akhirnya, Allah mengizinkan jua untuk pusat ini berdiri megah.
"Baru-baru ini, kami telah pun selesai permukiman (retreat) Pusat Autisme Sejahtera Terengganu untuk kita perincikan gerak kerja, meliputi pelan tindakan strategik juga program-program yang bakal dilaksanakan," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Zuraida turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang kepada pusat tersebut.
Peserta pemukiman Pusat Autisme Sejahtera Terengganu.
"Saya sangat terhutang budi kepada semua individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penubuhan pusat ini.
"Kesemua kesusahan dan kesulitan kita harungi bersama, elemen inilah yang menjadi penaut kepada kita untuk terus kuat bersama.
"Insya-Allah, kita cuba bantu ibubapa yang mempunyai anak autisme untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik," ulasnya lagi.
09 Jan 24
406
17 Rumah Terkena Ribut Dibaik Pulih
MARANG, 28 Disember - Sebanyak 17 buah rumah di Kampung Jambu Bongkok, Marang yang dilanda ribut ahad lepas kini sedang dalam proses pembaikan sejak semalam.
Dalam kejadian ribut itu, penduduk kampung yang terperangkap terkejut apabila angin kuat tiba-tiba melanda hingga menerbangkan bumbung rumah.
Azmi Abd Rahman Timbalan Pengerusi JPKK Jambu Bongkok Pantai
Timbalan Pengerusi JPKK Jambu Bongkok Panti, Azmi Abd Rahman berkata, angin kuat tiba-tiba melanda kampungnya sekitar jam 3 pagi dan ia mendatangkan kerugian kepada mangsa.
"Bencana angin kuat ini berlaku dengan tiba-tiba kira-kira jam 3 pagi dan menjejaskan bumbung di sebanyak 17 buah rumah selepas angin kedua yang datang secara berpanjang bermula jam 12.00 tengahari sehingga 4.00 petang.
"Sekarang kami sedang berusaha untuk memasang bumbung rumah mereka dengan seberapa segera," Jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, merakamkan ucapan dukacita kepada semua mamgsa dan menyuarakan rasa syukur kepada semua yang terlibat dalam usaha pemulihan.
"Terima kasih buat semua yang terlibat, JPKK, pemuda, dan komuniti setempat yang berusaha untuk menyiapkan pembaikian ini. InsyaAllah semoga semuanya dipermudahkan," katanya.
Sulaiman Sulong.
Usaha pembaikan ini dilihat sebagai langkah positif dalam memulihkan kehidupan penduduk yang terjejas.
Pembaikan bumbung rumah-rumah tersebut dijangka dapat diselesaikan dengan cepat demi memastikan kestabilan hidup komuniti yang terjejas.
28 Dec 23
158
767 Orang Lantikan Baharu JPKK di Kemaman
KEMAMAN, 18 Disember - Seramai 767 orang Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) merupakan lantikan baharu bagi sesi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata manakala seramai 1,076 orang kekal daripada lantikan sesi yang lalu menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1,843 orang.
Katanya, JPKK merupakan tunjang utama serta barisan hadapan di peringkat kampung masing-masing.
"JPKK perlu menjadi mata dan telinga kerajaan dimana setiap permasalahan dan keluhan masyarakat hendaklah sentiasa ditangani dengan baik.
"Kalian merupakan cerminan kerajaan serta memainkan peranan penting dalam melaksanakan amanah dalam menjaga nama baik daerah dan kerajaan negeri amnya," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi dan Ahli JPKK yang berlangsung di Bilik Syarahan, Pejabat Daerah Kemaman, semalam.
Hanafiah ketika menyampaikan watikah kepada Pengerusi JPKK Mak Lagam
Tambah Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata setiap jawatan yang disandang bukanlah satu keistimewaan, kelebihan atau kemegahan.
Tambahnya lagi katanya, tanggungjawab itu merupakan sangat berat dan memerlukan pengorbanan tinggi serta kerja keras secara bersungguh-sungguh.
"Ia bertujuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dijaga dengan baik," ujarnya.
Hanafiah ketika berucap merasmikan program tersebut
18 Dec 23
3496
Mangsa Kebakaran di Kemaman Terima Bantuan Baiki Rumah
KEMAMAN, 16 Disember – Mangsa yang terlibat dengan kebakaran di Kampung Batu 14, Seberang Tayor baru-baru ini telah menerima bantuan baiki rumah dan keperluan asas oleh kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata sumbangan tersebut disegerakan sebaik sahaja proses penilaian selesai dibuat.
Katanya, bantuan seperti toto, bantal, dan makanan telah diberikan kepada keluarga mangsa melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih semalam.
“Semoga sumbangan awal ini dapat meringankan dan dapat membantu sedikit sebanyak dalam musibah yang dialami oleh keluarga mangsa” katanya ketika ditemubual pemberita semalam.
Sementara itu, Suhaimi Awang, 60, yang merupakan pemilik rumah terbakar itu melahirkan rasa syukur atas sumbangan dari pihak kerajaan dan agensi terlibat.
Selain itu, dia berharap agar bantuan baik pulih rumah dapat dipercepatkan untuk kemudahan, keselamatan dan perlindungan buat keluarganya.
15 Dec 23
202
Tindakan Pantas Jiran Halang Kebakaran Merebak
KEMAMAN, 14 Disember – Tindakan pantas beberapa penduduk berhampiran berjaya membantu menghalang api daripada terus merebak dalam satu kebakaran di sebuah rumah di kampung batu 14, Kemaman, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Hafiz Adam berkata ketika dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, beberapa penduduk bertungkus lumus menyimbah air ke kawasan yang ada nyalaan api sebelum Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia sampai ke tempat kejadian.
"Anggota yang bertolak dari Chukai itu sampai ke tempat kejadian kira-kira jam 1.50 petang dan api dapat dipadam sepenuhnya," katanya selepas tinjauan ke tempat kejadian pada hari ini.
Tambah Hafiz, sumbangan akan dihantar secepat yang mungkin kepada keluarga mangsa terutama barangan asas.
Beliau berkata pihaknya juga telah berhubung dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan PKM Dun Air Putih bagi menyalurkan bantuan selanjutnya.
Sementara itu, Suhaimi Awang, 60, yang merupakan pemilik rumah terbakar itu berkata, kebakaran yang berlaku itu berpunca daripada panahan petir yang kuat dalam keadaan hujan lebat.
“Alhamdulillah, dalam kebakaran tersebut tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa.
Ketika kebakaran berlaku, isteri, anak dan cucu berada di dalam rumah tersebut," ujarnya.
14 Dec 23
421
Ibu Tunggal Terharu Dapat Pembelaan
MARANG, 29 November - Seorang ibu tunggal di Kampung Kubu, Azizah Samirah Setapa yang tinggal dalam keadaan ketakutan terharu apabila mendapat pembelaan sewajarnya daripada wakil rakyat.
Azizah berkata, rumahnya ditimpa pokok getah menyebabkan dia keluarga bimbang dengan keselamatan diri.
Namun dia bersyukur kerana tindakan pantas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menyebabkan mereka berasa lega.
"Insiden tragis ini berlaku di kawasan tersebut, mengakibatkan kerosakan terhadap atap rumah saya.
"Saya yang tinggal bersama beberapa anaknya yang lain, masih terkejut dengan kejadian yang menyebabkan keresahan dan kebimbangan dalam keluarganya," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Menurut Azizah, kerosakan atap rumahnya tidak hanya menyebabkan mereka terdedah kepada cuaca, tetapi juga menimbulkan ketakutan dan kegelisahan dalam diri Azizah dan anak-anaknya.
Namun, jelasnya, Sulaiman Sulong telah memberi perhatian segera terhadap kejadian ini.
Ujar Sulaiman, pihaknya terus mengambil mengambil tindakan segera untuk memastikan bantuan diberikan dengan secepat yang mungkin kepada Azizah dan keluarganya yang terkesan.
"Diharap bantuan ini memberikan sedikit kelegaan kepada Azizah dan keluarganya yang sedang berhadapan dengan cabaran ini," katanya.
29 Nov 23
139
Rakyat Terengganu Sumbang RM2 Juta Lebih Kepada Palestin
KUALA TERENGGANU, 4 November - Rakyat Terengganu sekali lagi membuktikan sikap prihatin terhadap Palestin apabila berjaya mengumpulkan sumbangan RM2,414,300 untuk disalurkan bagi membela nasib umat Islam yang sedang ditindas dan sedang berjuang demi membebaskan bumi al-Aqsa.
Sumbangan orang ramai yang disalurkan melalui Dana #Aid4Palestin yang mula dilancarkan pada 13 Oktober yang lalu pada hari ini telah diserahkan di Masjid Rusila.
"Alhamdulillah! Allahuakhbar! rakyat Terengganu sangat pemurah, cakna dan prihatin kepada saudara kita yang sedang ditindas dan (tengah) berjuang sekarang," ujar satu kenyataan daripada PAS Terengganu semalam.
Memetik ayat daripada Surah Al-Baqarah ayat 274, memberi suntikan semangat kepada rakyat bahawa mereka yang membelanjakan harta akan beroleh pahala, serta tidak akan ada kebimbangan dan tidak pula akan berdukacita.
"Semoga Allah terima segala amal kita dan moga sumbangan ini dapat meringankan beban saudara kita bi bumi Gaza.
"Dengan ini selesai sudah majlis penyerahan dana #Aid4Palestine 2.0. Teruskan berdoa buat saudara kita," ujar kenyataan itu.
04 Nov 23
353
Bantuan Baiki Rumah Terbakar Akan Disegerakan
KEMAMAN, 22 Ogos - Bantuan baiki rumah bagi mangsa kebakaran di Rumah Murah Binjai, Air Putih di sini akan disegerakan sebaik sahaja proses penilaian selesai dibuat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, sumbangan awal bencana kebakaran buat keluarga mangsa telah disampaikan dalam ziarah baru-baru ini.
"Penilaian kerosakan rumah-rumah yang terlibat sedang diproses oleh Pejabat Daerah Kemaman dan permohonan baiki rumah melalui Tabung Darul Iman akan dihantar selesai sahaja nilaian tersebut," katanya ketika ditemui media semasa aktiviti gotong-royong membersihkan rumah terbakar terbabit kelmarin.
"Program Gorong-Royong Bersih Tapak Kebakaran merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Air Putih melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan, sukarelawan serta penduduk setempat yang turut hadir," ujarnya.
Mengulas mengenai program gotong-royong itu, beliau berkata pihaknya turun padang bersama beberapa agensi kerajaan dan sukarelawan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam gotong-royong hari ini antaranya pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang menyediakan peralatan dan membantu dalam urusan kerja-kerja pembersihan.
“Terima kasih juga buat JPKK, Lujnah Kebajikan PAS DUN Air Putih, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan penduduk setempat yang hadir membantu," jelasnya.
Mohd Hafiz berkata, kebakaran rumah itu berlaku dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Katanya, kejadian itu berlaku pada 17 Ogos telah mengakibatkan sebanyak tiga buah rumah mengalami kerosakan yang teruk.
"Semoga Allah SWT membalas kebaikan di atas kerja amal kalian kerana membantu mereka yang sedang ditimpa musibah.
"Moga-moga terubat sedikit kesedihan yang menimpa saudara kita ini," katanya.
22 Aug 23
348