Artikel "Ekonomi" Terkini
PNK Besut Terima Bot Bubu, Sasar Pendaratan Lebih Banyak
BESUT, 15 Ogos - Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut menyasarkan lebih banyak pendaratan ikan dengan menggunakan bot bubu baru yang diterima persatuan itu melalui Skim Pinjaman Pembangunan Institusi Nelayan (SPIN) di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), hari ini.
Pengerusinya, Tengku Harun Tengku Ismail berkata, bot Kelas C itu ibarat satu bonus kepada nelayan-nelayan di PNK Besut berikutan ia berkemampuan digunakan pada musim tengkujuh nanti.
Tengku Harun.
"Terima kasih kepada LKIM kerana mengeluarkan pinjaman ini. Kami telah buat perancangan jadi kami yakin bahawa dari segi sektor perikanan bot bubu ini kami boleh mencapai penghasilan lebih banyak dan boleh menjana penghasilan kepada persatuan.
"Sebelum ini, kami sudah ada sebiji bot yang menjadi 'batu loncatan' untuk memperolehi bot kedua ini. PNK Besut menyasarkan untuk mendapatkan tiga bot bubu keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bot Bubu PNK Besut di Komplek LKIM daerah itu, hari ini.
Penyerahan tersebut disampaikan oleh Pengerusi LKIM, Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal yang hadir bersama Ketua Pengarah LKIM, Othman Abdul Latif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.
Syed Abu Hafiz (berbaju biru) melekatkan no pendaftaran bot diperhatikan Tengku Zaihan (kanan) dan Othman (dua dari kiri).
Dalam pada itu, Syed Abu Hussin memaklumkan bahawa pihak LKIM menyediakan dana untuk mereka yang berusaha menambah bot baru ke dalam industri.
"Tahun lepas, kita memperuntukkan sebanyak RM7 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di mana kita mendapat dana keseluruhan berjumlah RM34 juta.
"Pada tahun ini, kita ada RM6 juta dan kita sudah keluarkan sebanyak RM2.2 juta untuk pembinaan empat buah bot bagi nelayan di Terengganu dan Kedah," jelasnya.
Menurutnya lagi, bot yang diserahkan kepada PNK Besut merupakan bot kedua mereka di bawah skim berkenaan melalui pinjaman sebanyak RM550,000 dengan kadar faedah terendah iaitu dua peratus daripada LKIM dengan pembayaran selama enam tahun.
Slipway di LKIM Besut.
"Faedah yang rendah ini sebagai galakan kepada industri perikanan.Dana SPIN merupakan sokongan kepada persatuan nelayan.
"Tahun ini sahaja kita telah menerima lebih 20 permohonan bantuan pinjaman bot, namun kita baru luluskan empat. Kebanyakannya untuk pembaikan dan menaik taraf bot-bot," katanya.
Tambahnya, LKIM memerlukan lebih banyak lagi pendaratan untuk menjamin keperluan protein rakyat Malaysia.
"Kalau untuk kegunaan rakyat, kita memerlukan setahun 1.4 juta tan dan sekarang kita mencapai angka tersebut. Cuma kita mahu kawal supaya tidak berkurang," katanya.
15 Aug 20
2202
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Pantau Projek ECRL
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan negeri menubuhkan pasukan pemantau di peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mendapat manfaat secara menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, beliau akan memastikan rakyat di negeri ini akan mendapat peluang pekerjaan daripada serendah-rendah jawatan iaitu sebagai buruh sehingga ke peringkat profesional.
“Pada masa yang sama mampu membuka peluang perniagaan baharu dan pertumbuhan bandar-bandar kecil di kawasan sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Katanya, kerajaan memandang serius perkara itu dengan turut mengadakan beberapa langkah lain
“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi memastikan pelbagai peluang yang bakal perolehi.
“Perbincangan turut dibuat antara tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan untuk menjadikan kita ini pasukan yang kuat bagi tujuan yang sama,” katanya.
Dr Mamad turut memberitahu, disebabkan peruntukan untuk membina jajaran projek ECRL itu dikecilkan daripada RM66 bilion kepada RM44 bilion, Stesen Bukit Besar berkemungkinan dibatalkan dan dicadangkan dipindah ke Durian Guling.
"Oleh kerana stesen Pengkalan Berangan dekat dengan Durian Guling maka Stesen Pengkalan Berangan dipindahkan ke Bandar Permaisuri.
“Perbincangan dengan MRL sudah dibuat supaya ada kemudahan sistem pengangkutan canggih antara Bukit Besar dan Durian Guling,”katanya menjawab soalan tambahan ADUN Seberang Takir, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
11 Aug 20
1700
YPU Sasar Perniagaan Emas Sebagai Hasil Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) berhasrat untuk menceburi perniagaan emas secara khusus bagi menjana pendapatan negeri pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, usaha tersebut sedang dinilai berikutan harga emas yang kini melonjak tertinggi dalam sejarah.
"Pada peringkat awal ini tidaklah, tetapi penglibatan awal adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawab YPU. Sekiranya ia baik untuk kerajaan negeri, pelan ini akan dibentangkan.
"Ketika ini, perniagaan ini diusahakan oleh syarikat Terengganu Metal Ex-Trade Sdn Bhd (TMEx) dan YPU menyokong serta bersetuju menawarkan seorang pegawai kanan sebagai ketua pegawai eksekutif bagi memandu TMEx," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
ADUN Kota Putera itu turut menjelaskan modal berbayar YPU dalam syarikat itu ialah sebanyak RM1 juta dengan pegangan saham 20 peratus bernilai RM200,000.
Terdahulu, harga emas mencapai harga tertinggi dalam sejarahnya sendiri dan bernilai RM275.51 hari ini, meningkat lagi berbanding RM274.96 semalam.
10 Aug 20
1003
Kadar Pengangguran Di Terengganu Terus Berkurang
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Kadar pengangguran di Terengganu terus berkurang kepada 3.3 peratus pada suku pertama tahun ini iaitu sehingga Mac 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan memperlihatkan kadar pengangguran itu berkurang 0.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 2019.
“Pada tahun 2018 kadar penganguran di Terengganu adalah 4.8 peratus, kemudian pada tahun 2019 ia terus menurun kepada 3.5 dan suku pertama tahun ini sebanyak 3.3 peratus.
“Untuk tahun ini, Jabatan Perangkaan telah mengeluarkan data pengangguran untuk suku pertama sahaja, data bagi suku kedua dijangka akan dikeluarkan pada Ogos,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Abd Rahman pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
10 Aug 20
977
Dana Khas Galak Industri Hiliran Getah Ambil Pekerja Tempatan
KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Majlis Getah Malaysia (MRC) akan menubuhkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah mengambil lebih ramai pekerja tempatan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penubuhan dana itu adalah sejajar dengan dasar baharu kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
"Kita sediakan subsidi upah sebanyak RM300 untuk seorang warga tempatan bagi tempoh 12 bulan, yang diambil bekerja di dalam sektor hiliran ini.
"Kita harap dengan dana ini kita berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada 10,000 rakyat Malaysia bagi menggantikan 10,000 warga asing yang bekerja di sektor hiliran getah terutama untuk sarung tangan getah," katanya.
MRC adalah agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang bertanggungjawab untuk mempromosikan produk getah berkualiti Malaysia di pasaran dunia, khususnya bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana.
Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah.
Dana khas itu akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi pengambilan pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021.
Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, MRC telah dijenamakan semula daripada Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia bagi mencerminkan peranan agensi yang lebih luas dalam pembangunan industri hiliran berasaskan getah, modal insan dan adaptasi teknologi termaju serta promosi pelaburan industri getah negara.
"Kita komited untuk memperkasakan lagi MRC menerusi satu projek yang boleh meningkatkan kepenggunaan getah dalam negara kita sendiri dan memperkasakan industri tayar di pasaran Malaysia. Industri tayar ini sangat berdaya saing, yang mana, ia bernilai AS$66.6 bilion (RM281.4 bilion) di pasaran global.
"Secara umumnya, Malaysia mengeksport sebanyak AS$300 juta (RM1.27 bilion) sedangkan nilai import kita adalah AS$600 juta (RM2.5 bilion). Ini ketidakseimbangan yang harus kita betulkan dan kita melihat pemerkasaan industri tayar, boleh menyeimbangkan nilai import dan eksport industri tayar negara," tambahnya.
MRC akan mengukuhkan hubungan dengan organisasi pembangunan antarabangsa untuk meningkatkan hubungan dagang bagi industri getah negara, katanya.
Ketika ini, Malaysia menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dan dijangka akan terus kekal sebagai pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan. - BERNAMA
05 Aug 20
897
TDM Umum Tidak Lanjut Tarikh Jual Beli
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - TDM Berhad hari ini mengumumkan untuk tidak melanjutkan tarikh akhir pelaksanaan Perjanjian Jual Beli Bersyarat ('CSPA') atas pelupusan dua anak syarikatnya di Kalimantan.
Syarikat terbabit adalah PT Rafi Kamajaya Abadi ('PT RKA') dan PT Sawit Rezki Abadi ('PT SRA') kepada PT Aragon Agro Pratama ('Aragon').
Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato' Idris Raja Kamarudin pada 29 Mei 2020, berkata TDM turut mengumumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah telah bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir perlaksanaan CSPA kepada 31 Julai 2020.
“Pada 28 Februari 2020, TDM telah mengumumkan penerimaan Surat Tawaran dari Aragon untuk mengambilalih keseluruhan ekuiti TDM di PT RKA dan PT SRA dengan jumlah tunai keseluruhan sebanyak RM210 juta.
“Sejak pengumuman itu, TDM dan Aragon telah bekerjasama bagi memastikan CSPA tersebut dapat dilaksanakan,”katanya dalam satu kenyataan.
Namun begitu, katanya setelah menimbang tara tentang tarikh CSPA yang telah dipanjangkan beberapa kali dan juga ketidakpastian wabak global COVID-19 ini yang secara langsung telah mempengaruhi kedua-dua pihak dalam menyelesaikan CSPA.
“Ahli Lembaga Pengarah TDM memutuskan untuk tidak memanjangkan lagi tarikh akhir pelaksanaan CSPA,” katanya.
Idris berkata, TDM bersama penasihat tetap komited untuk melupuskan aset tersebut dan akan terus mengenal pasti pembeli yang sesuai agar dapat menyelesaikan proses ini secepat mungkin.
“Pihaknya akan membuat pengumuman yang relevan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad sesuai dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama apabila ada perkembangan maklumat.
“Penamatan pelupusan ini tidak mempunyai kesan kewangan yang ketara terhadap aset bersih, pendapatan, hutang, modal saham dan pemegang saham majoriti pemegang saham,” katanya.
04 Aug 20
1239
Ta Win-PMINT Bangun Kawasan Industri Logam Bukan Ferus Pertama Di Asia Tenggara - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Ta Win Holdings Berhad (Ta Win) hari ini mengadakan usaha sama perjanjian dengan kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bagi membangunkan kawasan perindustrian logam bukan ferus pertama di Asia Tenggara (Terengganu Ecocyle).
Majlis memeterai perjanjian antara pengilang terkemuka produk tembaga Malaysia dan PMINT itu disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ta Win diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung manakala PMINT diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Wan Adnan Wan Derahman.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar menyifatkan pemeteraian tersebut merupakan suatu pencapaian yang besar buat kerajaan negeri.
"Kita sangat berbesar hati Ta Win memilih negeri Terengganu bagi projek seumpama ini. Ianya adalah suatu pencapaian yang besar bagi kerajaan negeri terutama dalam keadaan COVID-19 yang belum reda.
"Kerajaan negeri berterima kasih dan sangat mengalu-alukan minat dan kerjasama pelabur-pelabur luar. Dijangkakan sebanyak 7,000 peluang pekerjaan akan dibuka kepada rakyat dalam tempoh sembilan tahun melalui usaha sama Ta Win dan PMINT ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) PMINT Bersama Ta Win di Primula Beach Hotel di sini hari ini.
Hadir sama menyaksikan MoU tersebut, Pengarah Eksekutif Ta Win, Tan Poo Chuan dan Pengarah Bersekutu Ta Win, Dato' Dr Rashdan Salleh.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Holdings Berhad, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung berkata, Terengganu Ecocycle akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 500 hektar.
"Seluas kira-kira 500 ekar tanah yang terletak di Kawasan Lembah Perasing, Mukim Hulu Jabor, Kemaman, Terengganu Darul Iman akan dibangunkan bagi projek ini. Terengganu Ecocycle akan dikembangkan dalam empat fasa dalam tempoh sembilan tahun, dengan jumlah kos pembangunan yang dianggarkan berjumlah RM2.4 bilion.
"Ia akan merangkumi zon teknologi teras, zon teknologi sub-teras dan sokongan zon teknologi, di mana masing-masing berukuran kira-kira 85 ekar, 250 ekar dan 165 ekar.
"Kami dengan senang hati memulai usaha sama ini dengan Kerajaan Negeri Terengganu. Dengan Terengganu Ecocycle akan menjadi yang pertama seumpamanya di Rantau Asia Tenggara, kita akan dapat mendorong perkembangan industri logam bukan ferus," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Terengganu Ecocycle diilhamkan oleh Projek Eco-Town Kitakyushu Jepun, yang berjaya menggabungkan pemuliharaan alam sekitar, promosi industri dan dasar kesejahteraan masyarakat tempatan, ke arah tujuan negara mewujudkan masyarakat berasaskan kitar semula sumber yang mampan.
29 Jul 20
6595
Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap 776 pemilik tanah perindustrian di seluruh Terengganu yang telah dikenal pasti tidak mengusahakan tanah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, antara tindakan yang bakal dikenakan termasuk merampas kembali tanah tersebut untuk diberikan kepada pengusaha industri yang benar-benar layak.
Menurutnya, sehingga kini pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 776 pemilik tanah yang tidak melakukan sebarang aktiviti perindustrian di tanah milik mereka.
"Melalui Kanun Tanah Negara, kerajaan berhak mengambil balik, atau merampas (tanah), kalau tidak diusahakan dalam tempoh yang telah diberikan.
"Jadi, sekarang kita sedang meneliti untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang gagal untuk mematuhi syarat ini, supaya boleh diberi peluang kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Tengku Hassan menghadiri Majlis Menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Bersama Ta Win Holdings Berhad di Primula Beach Hotel di sini.
Majlis memeterai perjanjian itu adalah untuk memperingati usaha sama bagi pembangunan Terengganu Ecocyle dan disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Holdings Berhad, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.
Justeru, beliau mengingatkan kepada pemilik tanah agar mengusahakan industri di tanah milik mereka atau berdepan tindakan dilucutkan hak terhadap pemilikan tanah.
29 Jul 20
6239
Golden Pharos Rangka Strategi Tangani Impak COVID-19
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Anak syarikat Kerajaan Terengganu, Golden Pharos Bhd (GBP) merangka tiga strategi utama bagi menangani impak COVID-19 terhadap perniagaan syarikat terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Dato’ Nadza Abdul berkata, langkah pertama adalah dengan memaksimakan penggunaan Program Subsidi Upah (PSU) Perkeso yang berjumlah RM1.6 juta kepada 446 pekerja bagi tempoh enam bulan membabitkan lima anak syarikat.
Katanya, selain itu tindakan membekukan sementara segala program bukan kritikal, antaranya Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), pembayaran zakat dan segala aktiviti korporat, termasuk hari keluarga dan jamuan keraian kakitangan turut dilaksanakan.
Pada masa sama, semua kakitangan tidak dibenarkan melakukan kerja lebih masa, tiada elaun bertugas luar kawasan dan pelbagai elaun berkaitan kini dibekukan.
“Langkah ketiga, mengenal pasti beberapa perniagaan baharu dengan mengguna pakai sumber sedia ada di kawasan hutan termasuk menjana tenaga elektrik melalui projek pembinaan mini hidro.
“’Projek itu kini dalam kajian kemampuan gunaan tenaga yang mampu dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan GPB Kali Ke-33 di Primula Beach Hotel di sini hari ini.
Hadir mempengerusikan mesyuarat itu, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri.
Dato’ Nadza turut memberitahu, GPB mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak 18 peratus iaitu RM57.47 juta pada 2019 berbanding RM70.4 juta pada tahun sebelumnya.
Manakala kerugian yang dicatatkan pada 2019 sebelum cukai adalah sebanyak RM 9.98 juta berbanding RM2.3 juta rugi (2018).
“Keadaan itu disebabkan tiga faktor utama iaitu pasaran yang lemah dalam industri kaca, kelewatan dalam aktiviti pembalakan dan penggunaan standard perakaunan yang baharu di bawah Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS).
“Faktor-faktor inilah yang menjadikan prestasi syarikat pada tahun 2019 tidak begitu memberangsangkan,” tambahnya lagi.
28 Jul 20
691
Kerajaan Kukuhkan Semula Industri Start-Up
Oleh : Ahmad Luqman Kamal
KUALA LUMPUR, 16 Julai - Kerajaan Pusat akan membangun serta mengukuhkan semula industri 'start-up' (syarikat pemula teknologi) tempatan bagi memulihkan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19 dengan membuka peluang terutamanya kepada warga belia.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, melalui Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), satu tinjauan telah dilaksanakan untuk memastikan kelestarian perniagaan sepanjang tahun 2020 bagi merancakkan semula inisiatif ini.
“Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah bersetuju memberi peruntukan bagi membiayai program pembiayaan Technology Start-Up Funding Relief Facility (TSFRF) dalam usaha membantu syarikat start-up teknologi yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.
“TSFRF ini terbuka kepada semua syarikat start-up teknologi milikan rakyat tempatan atau tenaga kerja majoriti rakyat tempatan atau majoriti pendapatan dijana dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Dana RM100 juta untuk TSFRF ini adalah tambahan kepada peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi-agensi 'tech-funding' di bawah MOSTI iaitu Malaysia Debt Ventures Bhd, Cradle Fund Sdn Bhd, Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), Kumpulan Modal Perdana dan Malaysian Technology Development Corporation sebelum ini.
"Ia menjadikan keseluruhan peruntukan yang disalurkan kepada syarikat-syarikat start-up dalam bentuk pinjaman, geran, inisiatif pembangunan kapasiti, sokongan operasi, akses kepada pasaran dan lain-lain lagi berjumlah sebanyak RM315 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Amzad berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM100 juta bagi inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
“NTIS dapat memberi manfaat yang besar kepada industri start-up negara dalam mengharungi cabaran ekonomi melalui pendekatan 'sandbox' (pengawalseliaan) untuk mempercepatkan penciptaan.
"Dan juga sebagai usaha menyediakan laluan pengkomersialan pantas bagi teknologi serta inovasi merangkumi semua peringkat pembangunan teknologi," katanya.
Kerajaan katanya, akan terus melaksanakan inisiatif pembangunan kapasiti melalui agensi di bawah MOSTI bagi menyokong kemampanan start-up secara atas talian serta mengembangkan kerjasama dan penglibatan daripada start-up antarabangsa.
16 Jul 20
629