Artikel "Ekonomi" Terkini
Karnival Penjana Pekerjaan Tawar Lebih 7,000 Jawatan Kosong
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Karnival Penjana Pekerjaan Negeri Terengganu 2020 yang dijadualkan berlangsung 10 hingga 11 Oktober ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri bakal membuka lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program tersebut adalah satu inisiatif kerajaan Terengganu dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memulihkan kembali ekonomi negara dan negeri.
Katanya, ia juga diyakini mampu memperkukuh pasaran buruh Malaysia pasca COVID-19.
''Penjana Pekerjaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari pekerja tempatan," ujarnya dalam wawancara di Wisma Darul Iman semalam.
Jelasnya. proses temuduga dan pengambilan pekerja akan berlangsung pada Karnival Penjana Pekerjaan itu dengan banyak penawaran jawatan kosong yang menanti.
"Suka saya nyatakan bahawa, karnival ini adalah yang terbesar pernah dianjurkan dalam PASCA COVID-19 di mana lebih 7,000 jawatan ditawarkan oleh 100 majikan dari pelbagai bidang," tambah beliau.
01 Oct 20
1247
Kopi Tokkikiter, Minum Secawan Pasti Jatuh Cinta
Bagi peminat kopi panas, yang dibancuh pekat, dinikmati pula dengan biskut kering di petang hari sambil duduk di pangkin bawah pokok, dalam tidak sedar mungkin mampu menghabiskan lebih dari dua cawan kopi dihadapan mata.
Kata sesetengah orang pula, kopi mampu menghilangkan ketegangan di kepala dan penolong disaat menghadapi bebanan tugas di rumah atau di pejabat.
Justeru itu, bagi penggemar Kopi Tokkikiter pasti telah menikmati aroma rasa secawan kopi pertama mereka dan sudah tentu terjatuh cinta dengan kehalusan, haruman semerbak dan kepekatannya. Selain jenama, keunikan serbuk campuran kopi yang telah berada di pasaran tempatan sejak 1986 pada kesegarannya.
Pengurusnya, Humairah Mohd Nasir, 34 memberitahu, biji kopi yang digunakan beliau adalah jenis robusta dari Indonesia kerana rasanya adalah lebih menepati citarasa tempatan.
“Datuk saya, Seman Ibrahim, 86, membuat kopi sejak sedekad lalu, ramuan membuat kopi diwarisi secara turun temurun dan sejak saya ambil alih pada 2016, kami akan terus pertahankan warisan ini selagi masih diberi kesihatan.
“Dahulu pada tahun 1986, datuk membuat kopi mengunakan kaedah tradisional iaitu membakar biji kopi menggunakan kayu api, tumbuk menggunakan lesung sebelum mengadunkannya dengan bahan lain bagi menghasilkan kopi pracampuran yang lazat,”ujarnya yang dibantu oleh suami tersayang Mohd Mustakim Mohd Kasturi, 35.
Tambah ibu kepada dua anak ini, memproses biji kopi menjadi serbuk memerlukan kemahiran terutamanya dalam menentukan sukatan setiap adunan yang perlu dimasukkan.
“Biji-biji kopi pada mulanya dipanggang sehingga sempurna dan selepas itu, proses karamel biji kopi menggunakan resepi turun temurun tokki kemudiannya dikeringkan sebelum dimasukkan ke dalam mesin pengisar untuk dihancurkan dan dibungkus,”jelasnya lagi yang turut mempunyai Ijazah dan Sarjana Bioteknologi dari Universiti Malaysia Terengganu(UMT).
Kini setelah 30 tahun bertapak di pasaran, diberi nafas baharu dari segi pembungkusan dan penjenamaan semula, kopi Tokkikiter terus mengorak langkah ke hadapan untuk menembusi pasaran-pasaran dengan menu baharu seiring dengan permintaan semasa.
Bagi Humairah, adalah menjadi impiannya untuk memperluaskan pasaran produknya ke seluruh negara pada masa hadapan.
“Kini kopi kami boleh boleh didapati di seluruh pasaraya Sabasun, kedai runcit di seluruh Terengganu dan juga di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Kedah termasuk melalui agen-agen yang yang dilantik.
“Impian saya untuk tahun depan, pasaran kopi Tokkikiter akan lebih meluas dan yang terbaharu kami berjaya memasuki pasaraya Lesung Mart,” tambahnya yang turut dibantu oleh dua orang pekerja.
Beliau juga berkata, kopi Tokkikiter mampu mencapai kadar pengeluaran kopi sebanyak 200 kilogram sebulan termasuk yang dipasarkan dalam bentuk biji kopi, serbuk dan uncang yang mampu menjana pulangan sehingga RM8,000 sebulan.
Katanya, selain usaha keras, kejayaan mereka hari ini adalah hasil sokongan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Yayasan pembangunan Usahawan (YPU) yang memberi bantuan mesin dan sebagainya,
Humairah dan suami turut berhasrat mewujudkan pusat sehenti kopi yang dilengkapi ladang, pusat pemprosesan, pusat jualan dan kafe pada masa akan datang.
Jelasnya, ia bagi membolehkan pengunjung mempelajari proses pembuatan kopi di samping menikmati kopi yang dihasilkan syarikat itu
30 Sep 20
906
Subsidi Upah Dilanjut, Usahawan Terus Bernyawa
SETIU, 30 September - Ahli Parlimen Setiu menzahirkan rasa syukur apabila cadangan bagi melanjutkan Program Subsidi Upah yang telah dijalankan dibawah skim PENJANA dilanjutkan tempoh pendaftarannya.
Menurut beliau, syarikat kecil dan pengusaha Industri Kecil Serdahana (IKS) yang mendaftar selepas 1 April akan dapat menarik nafas lega dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN atau KITA PRIHATIN baru-baru ini.
"Kenyataan Perdana Menteri beberapa hari lalu yang melanjutkan tempoh pendaftaran sekali lagi membuktikan Kerajaan benar-benar prihatin dan serius dalam memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasar.
"Saya yakin program yang menelan kos sehingga RM2.4 billion mampu memberi harapan baru terutama kepada usahawan-usahawan atau peniaga dari Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik," ujar beliau dalam satu kenyataan media semalam.
Shaharizukirnain juga meminta agar pihak majikan mendaftar syarikat mereka agar dapat menikmati bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan ini.
"(Saya) menyeru kepada semua majikan terutama usahawan PKS agar segera membuat pendaftaran dan menggunakan peluang kedua yang diberikan kerajaan sebaik mungkin agar bantuan ini betul-betul dapat dinikmati oleh segenap masyarakat," jelasnya.
PSU adalah salah satu usaha kerajaan bagi syarikat-syarikat mengekalkan pekerja dan membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh krisis COVID-19.
29 Sep 20
740
Pajak Tanah Bina Kilang Pemprosesan Bijih Besi
KUALA TERENGGANU, 28 September- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Terengganu Metal Ex-Trade Sdn. Bhd. (TMEX) bersetuju menandatangani perjanjian pajakan tanah industri di Jalan Bukit Anak Dara, Kawasan Perindustrian Teluk Kalung, Kemaman.
Kawasan seluas 23.114 ekar itu diberi pajakan kepada TMEX dengan tempoh pajakan 30 tahun, berakhir pada 31 Ogos 2050 dengan nilaian pajakan RM10.7 juta
TMEX merupakan sebuah organisasi perniagaan yang didaftarkan sebagai anak syarikat dibawah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dengan jumlah pelaburan RM50 juta.
Pengerusi TMEX, Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata pihaknya bersama 'Rakan Strategik' dalam sektor perkilangan industri Petrokimia dan Metal akan membangunkan kilang pemprosesan bijih besi kepada 'Pig Iron' bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Katanya, pada masa sama, berperanan sebagai pembekal bahan bakar utama kepada perusahaan itu iaitu Petrol Coke dan Gas Asli untuk membolehkan proses peleburan dan pencairan besi.
“Dengan pelaksanaan pembangunan ini, pihaknya memberi komitmen sepenuhnya dengan menawarkan sekurang-kurangnya 200 peluang pekerjaan kepada anak Terengganu, “katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjanjian Panjakan Tanah antara PMINT dan TMEX di B’Benteng, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini
.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.
Wan Adnan berkata, PMINT selaku agensi di bawah kerajaan kegeri yang diberi tanggungjawab membangunkan ekonomi dan pertumbuhan pelaburan di Negeri Terengganu akan memastikan tanah yang diberi pajakan ini dibangunkan sepenuhnya mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
“Sebagaimana yang dirancang selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang terbuka untuk menarik pelabur berusniaga di negeri ini,” katanya.
28 Sep 20
3832
Kerajaan Negeri Bantu Promosi Produk Anak Syarikat
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kerajaan negeri membantu mempromosikan produk anak syarikatnya untuk industri pembinaan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, pihak Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan akan membuat satu polisi di mana kontraktor atau pemaju projek perumahan mestilah membeli produk berasaskan cermin dan aluminium ini dgn kilang Golden Pharos (GP) Glass.
"Satu mekanisma dan garis panduan akan dibincang dan dimuktamadkan di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu. Menerusi lawatan ini secara tidak langsung akan dimanfaatkan kepada usahawan ataupun pembekal tempatan yang akan bernaung di bawah kilang GP Glass ini," ujarnya.
Lawatan kedua ke kilang IBS Acotec bagi membuka minda kontraktor dan perunding pembinaan rumah berkenaan beberapa teknologi yang lebih maju dan efisien dimana dengan menggunakan teknologi IBS ini proses pembuatan rumah lebih cekap dan kos lebih murah daripada kaedah biasa.
Beliau berkata, teknologi ini akan diguna pakai bagi projek perumahan Taman Putera Rahman di Tembila yang dimajukan oleh pihak Wanland Metro Sdn Bhd.
Lawatan bermaklumat itu turut dihadiri pemaju dan kontraktor perumahan Negeri Terengganu serta pasukan perunding projek yang terdiri dari arkitek dan juru ukur bahan.
27 Sep 20
2275
TDM Berhad Kongsi RM1 Juta Keuntungan Kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 September - Kumpulan TDM Berhad telah membuat pembayaran perkongsian keuntungan sebanyak RM1,048,928 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) hari ini di Wisma Darul Iman.
Cek pembahagian keuntungan telah diserahkan kepada Setiausaha LTAWNT, Abd Razak Abd Rahman oleh Pengarah TDM Berhad, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar.
Pembayaran keuntungan itu adalah hasil daripada usaha sama syarikat tersebut.
Pendapatan perniagaan bahagian perladangan mendatar pada RM188.4 juta tetapi mencatatkan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (PK) yang lebih tinggi pada tahun 2019 berbanding tahun 2018, di mana masing-masing adalah sebanyak 15 peratus dan 13 peratus.
Walau bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi dengan harga jualan purata CPO dan PK yang lebih rendah iaitu sebanyak 8 peratus dan 32 peratus.
Pengerusi TDM, Yang Mulia Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin berkata, pembayaran keuntungan adalah bagi membuktikan komitmen syarikat untuk memberikan sumbangan yang berterusan kepada pemilik tanah, hasil daripada tanah yang diuruskan.
"LTAWNT memiliki 1,336 hektar ladang kelapa sawit yang dibangunkan oleh TDM Berhad melalui usaha sama yang ditubuhkan sejak tahun 1996," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan, dan kumpulan pengurusan TDM.
TDM Berhad menjalankan perniagaan mengikut garis panduan Pematuhan Syariah untuk mengekalkan tahap operasi dan produk yang tinggi serta akan terus memberikan nilai, kualiti, dan kecemerlangan kepada semua pihak yang berkepentingan.
"Syarikat kami menjangkakan akan kembali dalam status Pematuhan Syariah berdasarkan metodologi saringan Pematuhan Syariah dalam penilaian seterusnya pada bulan November 2020," jelasnya.
23 Sep 20
2049
Potongan Harga Barang Sempena Jualan Malaysia Di KTCC Mall
KUALA TERENGGANU, 23 September – Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang akan berlangsung di KTCC Mall bermula 24 sehingga 27 september ini menawarkan potongan harga menarik bagi setiap barangan terpilih.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, PJM dan KBBM berperanan untuk memulihkan dan merancakkan kembali sektor ekonomi terutamanya sektor peruncitan di negara.
"Program ini berkonsepkan pameran dan jualan yang melibatkan 28 usahawan dari Negeri Terengganu. Promosi, diskaun dan tawaran istimewa oleh premis-premis jualan di KTCC Mall berpotensi untuk menarik minat pengunjung untuk datang.
"Selain itu, persembahan buskers dan sesi interaktif bersama pengunjung dan para peserta juga akan dilaksanakan seperti segmen 'Mengopi Bersama Ustaz Azhar Idrus', sembang santai bersama usahawan, taklimat kepenggunaan dan kuiz," katanya ketika bersiaran di Studio TVDI hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, konteks pelaksanaan usaha seperti PJM dan KBBM ini adalah terbuka untuk semua bentuk perniagaan terutamanya dalam sektor peruncitan tanpa mengira saiz seperti di pasar raya, perkakasan rumah, perniagaan atas talian dan sebagainya.
“Banyak sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19 disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikenakan di premis-premis perniagaan serta faktor keselamatan keluarga.
“Oleh itu, kita mahu mempromosikan kembali sektor peruncitan negeri dan membantu semua golongan peniaga domestik.
“Program ini dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Terengganu bersama Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan KTCC Mall," tambahnya.
23 Sep 20
3580
Pasar Terapung Drawbridge Adaptasi Konsep Pulau Suri
KUALA NERUS, 22 September - Pasar terapung yang bakal diwujudkan berhampiran Drawbridge akan menjadikan 'floating market' di Pulau Suri, Kelantan sebagai antara rujukan utama.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan ke pasar itu baru-baru ini bagi melihat bagaimana ia beroperasi dan apa daya tarikan yang ada.
“Pihak Pejabat Daerah kini sedang giat merancang projek pasar terapung di Seberang Takir sebagai produk pelancongan terbaharu Terengganu.
"Di samping pasar tersebut juga mampu membantu penduduk setempat menjana pendapatan lumayan hasil daripada jualan insya-Allah.
"Konsep jualan yang dibuat seakan-akan pasar terapung di negara jiran menghimpunkan pelbagai jualan, khususnya hanya terdapat di sekitar perkampungan termasuk lokan bakar, nasi kerabu dan aneka kuih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pejabat Pusat Khidmat DUN Seberang Takir di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah menghargai usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan pasar.
Katanya, ia bukan sahaja mampu memajukan negeri tetapi turut memberi kesan besar kepada peniaga-peniaga.
"Insya-Allah persiapan telah dirancang dan dijangka bermula awal tahun hadapan," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengasas Pasar Terapung Pulau Suri yang dikenali sebagai Pak Lan berkata, dia bersama dua lagi rakannya membelanjakan RM30,000 untuk membuka pasar terapung itu.
"Bermula dengan 10 buat bot sahaja dan sehingga kini bertambah ke 38 buah bot.
"Selama ini peniaga di sini tidak dapat memasarkan produk mereka ke luar tetapi hari ini mereka boleh tersenyum kerana pendapatan sehari boleh mencecah RM2,000 ke RM3,000," ujarnya ketika ditemui pemberita semasa lawatan di Pasar Terapung Pulau Suri.
22 Sep 20
6512
Amzad Sokong Cadangan Penuaian Air Hujan KASA
KUALA TERENGGANU, 21 September- Rakyat Malaysia disaran sentiasa ke hadapan dan terbuka menerima teknologi terkini melalui pelbagai cara daripada pembacaan, pengajian, latihan dan kursus atas talian.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata secara peribadi beliau menyokong kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai penuaian air hujan serta menyambut baik cadangan KASA bagi melestarikan penggunaan air selari dengan usaha Sustainable Development Goals anjuran United Nations (UN-SDG 2030) ke arah Positive Carbon Footprint.
“Pelbagai kajian dalam negara dan pelaksanaan di luar negara menunjukkan keberkesanan dan kelestarian penuaian air hujan.
“Antara contoh penuaian air hujan di luar negara ialah pelaksanaan di Frankfurt Airport dan London Olympic Park,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan, pelaksanaan dan kajian dalam negara telah dibuat oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) melalui projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) semenjak tahun 2008 lagi.
Menurutnya, Universiti-universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga telah banyak menjalankan kajian untuk memaksimakan teknologi penuaian air hujan bagi kegunaan domestik, industri dan pertanian.
“Ini kerana, ia merupakan antara inisiatif terbaik untuk kelestarian alam bagi generasi akan datang.
“Saya juga menyokong penuh cadangan Yang Berhormat (YB) Menteri Alam Sekitar dan Air (Dato’ Seri Tuan Ibrahim), mengenai penuaian air hujan dan seterusnya mencadangkan, kita mengukuhkan pelaksanaan dalam negara dengan menggunakan teknologi tempatan yang telah tersedia,” ujarnya.
22 Sep 20
257
Jebat Coffee Mula Beroperasi
Foto oleh : Jebat Photograpicker
KEMAMAN, 20 September - Seperti menjadi ikutan pada hari ini, semakin banyak kedai kopi telah dibuka. Terbaru, sebuah kedai kopi yang dinamakan "Jebat Coffee" mula beroperasi sejak 14 September yang lalu.
Selain rasa kopinya yang enak, Jebat Coffee mempunyai keunikan tersendiri dengan mengekalkan tradisi melayu dengan kakitangan lelakinya yang diwajibkan untuk "Bertanjak" sebagai tema bagi kedai kopi itu.
Pemiliknya, Mohd Hafiz Mahari, 33 tahun memanjat kesyukuran kehadrat Ilahi di atas pembukaan kedai kopinya itu.
"Alhamdulillah, kedai sudah mula beroperasi dan dibuka untuk orang ramai. Saya mengharapkan semua pihak dapat datang ke kedai kami bagi memberi sokongan pada perniagaan yang diusahakan oleh anak muda," ujarnya.
Katanya lagi, pelbagai jenis minuman kopi istimewa yang ada di kedainya seperti kopi jebat, tuah, lekir, lekiu dan kasturi. Manakala makanan yang istimewa iaitu "Char Kuew Teow".
"InsyaAllah untuk masa akan datang kami akan menyediakan dan menambah lebih banyak menu makanan dan minuman.
Semoga ianya memenuhi citarasa pelanggan yang hadir ke kedai kopi kami, seterusnya tidak jemu-jemu untuk terus berkunjung bagi menikmati keistimewaan makanan dan minuman yang ditawarkan di sini," ujarnya ketika ditemui pemberita, semalam.
Beliau yang pernah merangkul pingat emas Sukan SEA ke-25 bagi acara silat olahraga kelas A Putra yang berlangsung di Laos pada tahun 2009 itu turut membuka perniagaan tersebut bersama empat lagi rakan kongsinya.
Kepada peminat kopi yang ingin menikmati keenakan kopi di kedai beliau boleh berkunjung di No 90, Bandar Baru Putra, Kampung Mak Lagam.
22 Sep 20
2879