Artikel "Ekonomi" Terkini
Terowong ECRL Di Terengganu Siap Enam Bulan Awal
DUNGUN, 10 April - Terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Paka di sini mencapai kemajuan 98.5 peratus dan siap enam bulan lebih awal daripada jadual asal.
Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan, infrastruktur sejauh 1.1 kilometer itu adalah antara 59 terowong di laluan projek ECRL dalam Malaysia.
“Pencapaian ini merupakan hasil usaha selama 620,000 jam bekerja dengan perlaksanaan kaedah gerudi dan letup terowong menembusi batu sederhana luluhawa granit di bawah kontraktor utama ECRL China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL).
“Pelbagai cabaran dihadapi seperti penangguhan kerja-kerja pembinaan selama 9 bulan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat semasa pandemik COVID-19 yang telah mengurangkan tenaga dan tempoh bekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara letupan terakhir di Terowong Paka yang terletak lebih kurang 42 meter dari penghujung portal terowong (portal selatan), petang semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRL. Dato' Sri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan CCC-ECRL Bai Yinzhan.
Menurut Ketua Setiausaha Negara itu, Terowong Paka dibina untuk mengelakkan penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan.
"Terima kasih juga kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam meluluskan dan memberi kerjasama menjayakan projek ini," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh yang hadir sama berkata, kerajaan Terengganu berbangga dengan kejayaan menjayakan projek tersebut tanpa sebarang masalah keselamatan.
“Dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter, terowong ini adalah pertama yang siap di Malaysia dan seterusnya terowong kedua di Terengganu dijangka akan membuat penembusan pada pertengahan bulan Jun 2021.
“Ini setelah Terowong Dungun yang mempunyai 871 meter panjang kini mencapai tahap kemajuan lebih daripada 760 meter bagi kerja-kerja penggalian
“Kerajaan Negeri Terengganu memberi sokongan dan komitmen penuh terhadap ECRL dan CCC-ECRL dalam penyiapan projek ini,” jelasnya.
09 Apr 21
4302
HDC-UMT Tubuh Pusat Inovasi Halal Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 April - Halal Development Corporation Berhad (HDC) hari ini mengadakan usaha sama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menubuhkan Pusat Inovasi Halal di negeri Terengganu.
Majlis memeterai perjanjian antara pihak HDC dan UMT itu disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. HDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari manakala UMT diwakili Naib Kanselornya, Prof Dato Dr Nor Aeni Mokhtar.
Dalam pada itu, Nurkhuzaini menyifatkan perjanjian yang julung kali termeterai tersebut merupakan suatu usaha yang dipuji kerajaan negeri.
"Terengganu adalah negeri pertama yang dipilih dalam siri Jelajah Halal Malaysia di mana HDC dan UMT bekerjasama dalam meningkatkan penyelidikan dan pembangunan halal dan seterusnya mewujudkan Pusat Inovasi Halal di Terengganu.
Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
"Justeru saya mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas kerjasama dan sokongan padu yang diberikan oleh semua pihak bagi meningkatkan kedudukan ekonomi syarikat-syarikat IKS (Industri Kecil dan Sederhana) melalui agenda industri halal.
"Dengan adanya kerjasama strategik di antara kerajaan negeri, pihak HDC serta rakan-rakan strategik yang lain, ianya akan dapat membantu menggerakkan pembangunan industri halal sekali gus membuka pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Halal Malaysia di sini pagi tadi.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi HDC, Dato’ Mahmud Abbas dan Ketua-ketua Jabatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari percaya, ramai pengusaha di negeri berkenaan dapat mengambil peluang berkenaan dan mampu memajukan perniagaan mereka.
Jelasnya, agenda pembangunan Halal Malaysia mampu memberi nilai tambah kepada agenda pertumbuhan sosio ekonomi negara.
06 Apr 21
617
Kerajaan Negeri, Perkeso Bantu Pemburu Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 April – Kerajaan Terengganu akan meneruskan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dalam negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, cadangan tersebut tercetus hasil sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setelah 936 orang berjaya mendapat temuduga kedua dalam Karnival Penjana kelmarin.
“Insya-Allah dengan Perkeso, kerajaan negeri akan cuba bantu mereka yang sudah sebelah kaki untuk dapat kerja, kalau dapat lagi separuh (peserta) mungkin akan tolong 1,500 orang mendapat pekerjaan.
“Perkeso boleh cadangkan untuk panggil majikan bagi pemusatan kerja temuduga, alternatifnya kita boleh diteruskan padanan kerja secara bentuk maya, ia boleh ditingkatkan kerana data pencari kerja sudah ada.
“Pihak kami melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) akan bersedia untuk menyokong usaha sebegini jika dapat direalisasikan,” jelasnya semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam.
Perkara sedemikian turut disuarakan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusman yang menceritakan pelbagai inisiatif karnival kerja dijalankan pihaknya dalam bentuk fizikal dan maya.
“Jika hasrat ini diteruskan di Terengganu, pihak kami boleh aturkan sokongan kewangan dan tenaga dengan setiap program temuduga kerja pada setiap suku tahun,” jelasnya.
Mengulas lanjut berkenaan usaha Perkeso berkenaan temuduga secara maya, ia melibatkan dalam lingkungan 40 majikan dengan satu pegawai Perkeso mendidik beberapa calon untuk ditemuduga.
“Setiap hari, sebarang kekosongan akan dipromosikan dalam portal Perkeso, manakala setiap minggu pihak kami adakan temuduga kecil bersama majikan dan pekerja (mengikut jadual dan kekosongan),” ulasnya.
Untuk maklumat lebih lanjut, boleh layari https://www.myfuturejobs.gov.my/ atau laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my.
06 Apr 21
1420
Hampir 40 Peratus Pengunjung Karnival Kerjaya Dapat Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 April - Hampir 40 peratus daripada bilangan calon yang hadir ke temuduga Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 mendapat kerja setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, selama dua hari program itu berjalan padanan pekerjaan berjaya adalah sebanyak 839 orang .
Katanya, peratusan tersebut adalah indikator utama kejayaan program daripada bilangan pendaftaran pengunjung mencecah hampir 3,000 pengunjung.
“Bilangan temuduga dijalankan berjumlah 3,665 iaitu seorang calon lebih satu temuduga, manakala jumlah yang berjaya untuk temuduga kedua adalah 936 orang atau 42.6 peratus.
“Kejayaan penempatan pekerjaan yang berlaku akan memberi 'spill over economics effect' atau limpahan ekonomi yang sangat baik kepada negeri dan negara," katanya
Tambahnya lagi, kesan limpahan ekonomi yang bakal wujud bermula bulan hadapan adalah sebanyak RM750,000 iaitu RM1,500 didarabkan dengan 500 orang.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam.
Turut hadir, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Mohd Sahar Darusman Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin.
Sementara itu, Nurkhuzaini turut mencadangkan agar ada lanjutan program kepada peserta yang berjaya ke temuduga kedua.
"Ini boleh dilakukan melalui kerjasama dengan PERKESO untuk latih dan sediakan mereka langkah seterusnya.
“Bagi mereka yang tidak dapat, jangan berputus asa, mungkin PERKESO akan adakan program sebegini di negeri terdekat serta usaha secara maya melalui pertubuhan tersebut juga boleh dilakukan.
Seorang pemburu kerja, Suhaimi Ghani, 36 yang juga seorang penghantar barang di Manir menyifatkan usaha pihak penganjur amat membantunya dalam mencari pekerjaan baharu dalam bentuk ‘one-stop center’.
“Saya telah bertemu dengan tiga majikan, walaupun tiada jawapan lagi namun rezeki peluang cerah, orang macam saya tak perlu lagi pergi jauh-jauh mencari kerja kerana pelbagai jenis majikan ada di sini,” katanya selepas ditemu bual di meja SAA Engineering dan Marine Sdn Bhd.
Nurkhuzaini beramah mesra bersama Suhaimi di salah satu booth
05 Apr 21
793
Wanita Bekerja Sendiri Diseru Rebut Dana RM10 Juta
KUALA TERENGGANU, 5 April – Golongan wanita kategori orang bekerja sendiri (OBS) daripada pelbagai sektor diseru agar merebut faedah di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Prihatin Wanita (SPW).
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, dengan skim itu, bermula 1 April kerajaan akan membayar 70 peratus daripada pelan caruman berjumlah RM232.80, iaitu sebanyak RM163.
“Sementara para usahawan serta wanita bekerja sendiri hanya perlu membayar RM69.80 iaitu 30 peratus daripada caruman setahun Pelan 2 skim tersebut.
“Ini peluang baik untuk wanita OBS kerana dengan hanya peratusan itu akan mendapat faedah perlindungan setahun
“Contohnya seperti usahawan wanita meniaga atas talian, sekiranya berlaku kemalangan atau tidak mampu bekerja dalam tempoh sakit mereka berhak mendapat faedah, sama seperti kematian boleh mendapat pencen dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, Petang kelmarin.
Tambahnya, permohonan untuk program SPW tersebut boleh dibuat mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.
Mengulas tentang Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso, Farihah memaklumkan, pihaknya menerima pendaftaran 109 OBS di karnival tersebut dan masih mengalukan mereka yang belum mendaftar.
“Sehingga Mac 2021, kira-kira 4,400 OBS telah mendaftar dan kita masih mewar-warkan usaha ini supaya mereka ini mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja,” jelasnya.
Untuk rekod, pihaknya menganggarkan terdapat kira-kira 25,000 individu yang bekerja sendiri di negeri itu.
Untuk maklumat lebih lanjut boleh layari laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my/ atau ke kaunter fizikal di Wisma Perkeso, Kuala Terengganu.
05 Apr 21
9935
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Hasrat SKM Bantu Belia Koperasi
BESUT, 31 Mac - Kerajaan negeri menyokong penuh usaha baik Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu (SKM) menjadikan koperasi sebagai penyumbang ekonomi dan mengharapkan ia dapat direalisasikan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dalam memastikan usaha kerajaan itu berjaya, SKM mengambil inisiatif mengadakan Program Belia Berkoperasi di negeri Terengganu dengan mengumpul belia dan beliawanis di daerah Besut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya di kalangan belia mengenai kewujudan koperasi dan kepentingan golongan iyu dalam membantu menambahkan pendapatan ekonomi masyarakat.
“Matlamat utama adalah mewujudkan koperasi bagi membolehkan mencapai objektif program terutamanya dalam meneraju tranformasi generasi belia melalui Gerakan Koperasi serta dapat menerapkan budaya berkoperasi di kalangan belia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam dalam ucapan perasmiannya di Tanjung Demong Resort, Besut.
Ia selari dengan hasrat kerajaan dan dasar keusahawanan negara yang merupakan suatu garis panduan yang akan menjadi hala tuju kepada agenda pengukuhan keusahawanan peringkat nasional. Ia adalah salah satu usaha kerajaan untuk mempercepatkan kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara khususnya membabitkan penglibatan aktif daripada usahawan koperasi dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan.
"Ia juga akan menjadi pemangkin buat kita untuk mencapai 41 peratus sumbangan sektor keusahawanan kepada pertumbuhan ekonomi negara," jelasnya.
Nurkhuzaini mengharapkan agar gerakan koperasi mampu berjaya menjadi pemangkin serta agen penggerak utama dalam pembangunan ekonomi negara serta membantu rakyat jelata, khususnya di negeri Terengganu.
"Terima kasih SKM kerana menganjurkan program seperti ini dan menatijahkan perkara yang baik," ujarnya.
28 Mar 21
390
TDM Dekati Komuniti, Hulur Bantuan
SETIU, 28 Mac - Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad bersama TDM Plantation meneroka ruang baharu untuk mendekati masyarakat yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19 selepas mengadakan program 'TDM Prihatin Komuniti' semalam.
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif tersebut juga merupakan Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) bagi menjalin hubungan dengan komuniti di Sungai Tong, khususnya di kawasan Ladang Bukit Bidong, Ladang Fikri, Ladang Jaya, Ladang Pelung, Ladang Tayor dan Kilang Kelapa Sawit Sungai Tong.
"Selaras dengan misi syarikat untuk menzahirkan 'Corporate Citizenship' sebagai sebuah organisasi yang sentiasa memberikan nilai tambah yang positif kepada masyarakat.
"Secara tidak langsung turut berperanan dalam memupuk dan menyemai semangat kekitaan didalam komuniti berteraskan konsep perpaduan melalui saling bekerjasama serta sentiasa mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain," ujarnya.
Beliau berkata demikian, pada program tersebut, di kompleks Sungai Tong, di akademi TDM, di sini.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Najman berkata, selain daripada pelbagai aktiviti syarikat bersama komuniti, sumbangan kepada 61 keluarga terpilih turut disampaikan.
"Program ini akan diteruskan pula di tempat yang lain dimana syarikat ini beroperasi iaitu Kompleks Sungai Besi dan kompleks Kemaman menjadi lokasi pilihan untuk bersama -sama dengan komuniti di sana,"katanya.
Sementara itu, Mohd Nor berkata kerajaan negeri sentiasa mencari inisiatif bagi mengadakan program atas tujuan serta hasrat yang murni di dalam memastikan komuniti sentiasa berada dalam keadaan sejahtera.
"Sebagaimana program pada hari ini dapatlah difahami ianya mengandungi objektif yang jelas.
"Secara tidak langsung menjadi diantara salah satu agenda dalam menterjemahkan moto kerajaan iaitu Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera (TMBS)," ujarnya.
28 Mar 21
606
Pendapatan Suku Keempat TDM Melonjak 14 Peratus
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Pendapatan Suku Keempat 2020 TDM Berhad melonjak sebanyak 14 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu kepada RM129.7 juta daripada RM114.1 juta.
TDM dalam satu kenyataan berkata, bagi tahun berakhir 31 Disember 2020, TDM mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM9.1 juta berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“TDM juga merekodkan pendapatan sebanyak RM442.9 juta bagi tempoh 12 bulan, peningkatan sebanyak 4 peratus berbanding RM425.1 juta pada tempoh yang sama di tahun sebelumnya,” jelas TDM.
Sementara itu, hasil perniagaan yang baik bahagian perladangan serta dorongan purata harga CPO dan PK turut menjadi penyumbang peningkatan terbabit.
“Perniagaan bahagian perladangan TDM di Malaysia telah mencatatkan EBITDA sebanyak RM19.5 juta pada suku tersebut, berbanding RM7.8 juta pada suku yang sama tahun lalu.
“Sementara itu, bagi FY2020, perniagaan bahagian perladangan merekodkan pendapatan sebelum cukai sebanyak RM23.3 juta, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM24.5 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini didorong oleh harga CPO dan PK yang lebih tinggi, masing-masing pada kadar 33 dan 29 peratus. Bahagian perladangan mencatat EBITDA sebanyak RM87.4 juta, berbanding RM39.4 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Jelas Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin, pengambilalihan TDM-YT Plantation Sdn Bhd (TDM-YT), telah menyumbang kepada peningkatan jumlah penjualan CPO dan PK pada suku tersebut.
“Pihak pengurusan telah mengenal pasti Pelan Penciptaan Nilai untuk TDMYT dan kini melaksanakan rancangan untuk meningkatkan prestasi ladang tersebut. Pengambilalihan ini telah memberi sumbangan positif terhadap prestasi TDM,” katanya
Sementara itu, meskipun masih berdepan pandemik COVID-19, pemulihan di bahagian penjagaan kesihatan telah membantu meningkatkan pendapatan sebanyak 14 peratus berbanding suku sebelumnya.
Ini adalah disebabkan peningkatan bilangan pesakit luar dan pesakit dalam, masing-masing pada kadar 11 dan 19 peratus lebih tinggi.
“Pihak syarikat akan terus mempelbagaikan tawaran produk dan perkhidmatan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perniagaan berikutan pendemik COVID-19.
“Kami telah merumuskan beberapa strategi bagi mengatasi cabaran melalui pelan kesinambungan perniagaan dan pemulihan perniagaan. Secara keseluruhannya, TDM tetap optimis untuk mencapai prestasi operasi yang memuaskan pada tahun kewangan semasa,” kata Raja Idris.
28 Mar 21
649
Pemilik Ais Kepal FF Lava Fruitti, Dulu Berpayung Kini Miliki Premis
KUALA NERUS, 25 Mac - Mula berniaga dengan hanya beratapkan sekaki payung dan sebuah meja di Taman Rekreasi Kuala Ibai, Kuala Terengganu sejak tiga tahun lalu, pasangan suami isteri ini kini mampu memiliki premis ais kepal FF Lava Fruitti - Bingjoy.
Pemilik premis produk berasaskan air minuman itu, Muhamad Hafizol Wahab dan Nur Affiza Sidek mengakui, rutin harian mereka pada ketika itu agak mencabar, terpaksa berdepan cuaca panas dan musim hujan.
Katanya, kini keadaannya berubah selepas mereka berkemampuan menyewa premis perniagaan di Jalan Tengku Intan Zaharah (depan tapak Pasar Malam Pok TuYu, Mengabang Telipot, di sini.
“FF Lava Fruitti - Bingjoy, hasil resepi yang dicipta sendiri tidak dijangka mendapat sambutan pelanggan terutama golongan belia dan ia mendorong saya membuka premis selain menambah menu sedia ada.
“Sebelum ini hanya menjual ais kepal dicampur dengan yogurt, strawberi, mangga, anggur, tembikai susu dan kiwi,” katanya.
Menurutnya, atas permintaan ramai yang mahukan kelainan, resepi itu ditambah baik dengan campuran oreo, pisang, boba madu, cornflake dan gula melaka.
“Alhamdullilah sambutan terhadap semua menu itu terutama ais kepal campuran. yogurt strawberi dan mangga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, manakala ais kepal oreo menjadi pilihan kanak-kanak.
"Harga yang ditawarkan pula sangat berpatutan serendah RM5 sehingga RM10,” katanya yang dibantu enam pekerja.
Muhamad Hafizol juga berhasrat membuka cawangan di Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu berkonsepkan kafe hipster.
“Saya yakin dengan keputusan untuk melebarkan sayap perniagaan ini, pelanggan pasti bertambah.
“Jika sebelum ini FF Lava Fruitti dapat dijual dalam anggaran 450 hingga 500 bekas sehari, jumlah itu insya-Allah pasti berganda,” katanya.
24 Mar 21
2771
Pengangguran Musim COVID-19, Mahasiswa Jangan Memilih
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Para mahasiswa hendaklah mempunyai suatu pemikiran positif dan tidak terlalu bergantung kepada kerja makan gaji semata-mata kerana ia mampu mendorong golongan lepasan universiti samada awam atau swasta ramai mengganggur pada musim COVID-19.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, isu pekerjaan ini berlaku di mana-mana dan menjadi lebih besar dan bersifat global.
“Kepada golongan mahasiswa yang telah keluar ataupun bakal keluar daripada kampus akan menghadapi cabaran yang besar tetapi saya yakin sebenarnya di luar sana banyak peluang-peluang yang boleh diterokai.
“Terutamanya dari segi menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dengan penyesuaian dengan norma-norma baharu yang ada sekarang ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Persona FM di Laman Pusat Kesenian dan Warisan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), baru-baru ini.
Katanya, walaupun negara maju tetapi kadar pengangguran sangat tinggi dan peluang pekerjaan sangat terhad oleh kerana ekonomi transaksi perniagaan tidak berjalan dengan lancar sebagaimana biasa disebabkan pandemik.
Tambah Yahaya lagi, disebabkan itu, mereka yang telah ada pekerjaan tetapi hilang punca pendapatan menyebabkan sedikit sebanyak terjejas sumber rezeki.
“Di peringkat kerajaan negeri kita mempunyai bajet bagaimana untuk meningkatkan skil kemahiran yang ada kepada golongan ini.
"Dengan harapan supaya mereka mempunyai satu persediaan bagaimana mereka boleh terlibat untuk peluang pekerjaan yang seharusnya mereka terokai.
“Salah satu bidang yang kita beri perhatian sekarang ini satu kegiatan ekonomi ialah bidang pertanian,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menyarankan para mahasiswa supaya fokus dan mengambil perhatian berkaitan bidang pertanian moden menggunakan pelbagai teknologi moden.
“Mereka yang keluar daripada kampus apabila terlibat dengan kegiatan pertanian ini mereka boleh bergantung hidup dengan pendapatan yang agak lumayan dalam bidang ini,” katanya lagi.
24 Mar 21
198