lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

Jual Arak Di Premis Terbuka : Nga Kor Ming Perlu Hormati Hak Majoriti
Jual Arak Di Premis Terbuka : Nga Kor Ming Perlu Hormati Hak Majoriti
BESUT, 2 Februari - Permintaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menilai semula sekatan jualan arak di kawasan majoriti Islam adalah tidak wajar. Malah ia juga disifatkan tidak menghormati hak majoriti rakyat negara beragama Islam sekali gus akan menimbulkan keadaan hura-hara serta kacau-bilau. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tidak dinafikan rakyat dalam negara terdiri daripada masyarakat majmuk namun perlu ditegaskan bahawa Malaysia adalah negara umat Islam sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan. "Maka masyarakat bukan Islam perlu menghormati umat Islam dalam negara ini apabila kita bercakap mengenai hak ia bukan sahaja membabitkan hak minoriti tetapi majoriti dalam negara yang merupakan umat Islam. "Kalau kita hendak berikan kebebesan supaya arak oleh dijual secara terbuka, semua premis boleh jual arak atas orang hendak pergi beli atau tidak itu merupakan hak masing-masing jadi ia tidak kena daripada sudut 'Maqasid Syariah'. "Jika hendak mengambil logik sebegitu, kalau kita izinkan semua orang jual dadah, ganja, pil kuda dan lain-lain, tidak perlu ada undang-undang dan peraturan yang menghalang penjualan perkara yang memudaratkan tersebut, sudah tentu masyarakat akan jadi kacau bilau, jadi sebagai masyarakat bertamadun perlu mempunyai peraturan dan undang-undang,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Peringkat Daerah Besut, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini, semalam Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata Islam merupakan agama yang memandu kepada kehidupan bertamadun, sebab itu arak diharamkan secara jelas kerana boleh menimbulkan perkara yang memudaratkan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang ramai. "Jadi masyarakat bertamadun adalah masyarakat yang mempunyai peraturan dan undang-undang, kadang-kadang saya pelik dengan menteri dalam Kerajaan Madani ini mereka sendiri pun tidak faham apa maksud madani. "Madani itu maksudnya masyarakat yang memiliki undang-undang adil di situ kita lihat perlu ada di sana peraturan khusunya dalam konteks penjualan arak di premis-premis perlu ada kekangan sebagaimana yang diamalkan serta perlu diperkasakan lagi. "Alhamdulillah, kita di negeri Terengganu menitik beratkan perkara ini dan ada Enakmen Jenayah Syariah yang meletakkan hukuman ke atas mereka yang meminum minuman kerasan dengan batasa had 356 sebagaimana yang kita maklum,"tegasnya.
02 Feb 25
193
Terengganu Terus Didik Rakyat Selami Keindahan Syariat Islam
Terengganu Terus Didik Rakyat Selami Keindahan Syariat Islam
BESUT, 1 Februari - Kerajaan Terengganu terus mendidik rakyat negeri ini memahami syariat Islam melalui program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan di setiap daerah. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui karnival yang diadakan itu ia menjadi kesungguhan kerajaan negeri untuk mendidik rakyat secara berterusan agar memahami bahawa syariat Islam bukanlah bertujuan menyusahkan kehidupan manusia sebaliknya memandu mereka ke arah yang lebih baik. "Kita hendak mendidik rakyat Terengganu bahawa syariat Islam ini merupakan satu perkara yang indah, penting untuk diamalkan dalam kehidupan kerana ia mudah, senang, diturunkan oleh Allah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam anggota masyarakat. "Ia juga selari dengan dasar dan polisi kerajaan negeri yang meletakkan agenda Islam sebagai perancangan utama dalam pentabiran dan insya-Allah kita akan meneruskan karnival ini di setiap daerah yang lain serta akan disusuli di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas hadir merasmikan program karnival Indahnya Hidup Bersyariat, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjur Dr. Muhammad Khalil berkata pendidikan kepada masyarakat merupakan perkara subjektif yang perlu diusahakan secara berterusan bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi melibatkan semua pihak termasuk individu, keluarga dan seluruh anggota masyarakat. "Jadi bila kita buat (karnival Indahnya Hidup Bersyariat) ia akan menjadi satu syiar dalam masyarakat, apabila begitu dengan sendirinya akan dirasai oleh mereka bahawa negeri Terengganu ini penuh dengan program-program yang berlandaskan Islam. "Bertujuan untuk mendidik rakyat Terengganu ke arah rakyat yang beriman dan berpegang kepada ajaran Islam,"ujarnya. Dalam pada itu beliau menyeru agar rakyat di negeri ini untuk memberikan sokongan dan hadir beramai-ramai ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di setiap daerah kerana ia sesuai untuk seluruh lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, wanita dan anak muda. Pelbagai segmen yang diadakan pada karnival itu antaranya pengisian agama melalui kuliah perdana, forum, Pahlawan Subuh, selain itu adanya pameran dari agensi dan jabatan serta jualan Pasar berkat yang menawarkan segala barang keperluan dengan harga yang rendah serta berpatutan.  
01 Feb 25
314
Tadabbur Al-Quran 'Resipi' Umat Cemerlang
Tadabbur Al-Quran 'Resipi' Umat Cemerlang
DUNGUN, 24 Januari - Ayat-ayat al-Quran bukan sekadar hikmah, sebaliknya ia merupakan panduan yang membawa kesejahteraan di dunia dan Akhirat. Demikian titah disampaikan KDYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin sewaktu berkenan mencemar duli mewakili KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dan membaca teks titah ucapan KDYMM seri paduka ayahandanya. "Beta menyeru hadirin-hadirat dan rakyat jelatan keseluruhannya agar tidak hanya menjadikan al-Quran sebagai bacaan, tetapi menghayati dan mentadabbur isi kandungannya. "Marilah kita terus berusaha mempraktikkan ajaran-ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian. Semoga dengan berpegang teguh kepada wahyu Ilahi, kita mampu menjadi umat yang cemerlang. "Beta mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), atas usaha berterusan qari dan qariah berkualiti serta hafiz dan Hafizah yang unggul," titah Baginda ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutup Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Negeri Terengganu di Arena Merdeka, di sini semalam. Terdahulu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu, diiringi adindanya Tengku Sri Setia Mahkota Raja pada jam 9.00 malam disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah dan isteri. Hadir sama menyambut keberangkatan tiba ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia dan isteri, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham dan isteri, serta Penasihat Undang-undang Negeri, Mohd Nawawi Ismail dan isteri. Majlis dimulakan dengan persembahan ucapan Menteri Besar dan persembahan bacaan al-Quran oleh bekas pemenang qari dan qariah antarabangsa kelahiran Terengganu iaitu Ahmad Tarmizi Ali dan Nor Hidayah Abd Rahman. Tengku Muhammad Ismail seterusnya berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada para pemenang sebelum berangkat pulang pada sekitar jam 10.30 malam.
24 Jan 25
260
Terengganu Tubuh Akademi Al-Quran
Terengganu Tubuh Akademi Al-Quran
DUNGUN, 22 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu  (JHEAT) dalam perancangan untuk menubuhkan Akademi Al-Quran yang bakal menjadi mercu tanda dalam memartabatkan syiar Islam secara konsisten. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, akademi itu ditubuhkan sebagai inisiatif menjadikan pendidikan berasakan al-Quran sebagai fokus utama agar dapat dihayati dengan baik. "Akademi ini bertujuan untuk memberikan pendekatan yang lebih sistematik dan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran. "Sekali gus memperkukuhkan penghayatan terhadap wahyu ilahi dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Arena Square, di sini, semalam. Mengulas mengenai tilawah dan hafazan yang diadakan bermula semalam itu, Ahmad Samsuri berkata ia merupakan manifestasi kecintaan terhadap al-Quran terhadap wahyu ilahi yang menjadi sumber inspirasi dan pedoman hidup. "Penghayatan al-Quran, tidak seharusnya terhad kepada pembacaan atau hafazan sahaja, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan berkerajaan, bermasyarakat, hubungan merentasi kaum dan agama, berurus niaga, berkeluarga dan akhlak yang mulia. "Majlis (seumpama ini) memberikan peluang kepada kita untuk lebih memahami keindahan seni bacaan al-Quran namun ia juga mengingatkan kita bahawa intipati sebenarnya adalah seruan kepada kebenaran, keadilan dan kasih sayang," jelas beliau.    
22 Jan 25
519
Terengganu Rancakkan Program Indahnya Hidup Bersyariat di Setiap DUN
Terengganu Rancakkan Program Indahnya Hidup Bersyariat di Setiap DUN
SETIU, 10 Januari - Kerajaan negeri serius dalam membiasakan masyarakat hidup dengan syariat di negeri ini melalui pelaksanaan program ‘Karnival Indahnya Hidup Bersyariat’. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Sri Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar sangat menekankan agenda pelaksanaan syariat. “Pada penggal ini, kami (kerajaan negeri) membawa satu kelainan di mana kami mengetengahkan satu tema, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ bertujuan untuk mendidik rakyat negeri Terengganu bahawa syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW perlu kita laksanakan. “Dalam tempoh setahun ini, Insya-Allah kita akan buat di peringkat DUN pula selepas ini. Dengan pengisian lain selain kuliah dan forum bagi merangkumi semua aspek-aspek yang lain supaya kita dapat menyantuni masyarakat di bawah. “Ini juga bertujuan untuk kita membuang persepsi buruk musuh-musuh Islam yang menggambarkan syariat Islam sebagai melampau, ganas, mundur ke belakang dan lain-lain lagi perkara negatif yang seolah-olah mengekang kehidupan kita," katanya. Muhammad Khalil berkata demikian dalam ucapan perasmiannya bagi program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) peringkat daerah Setiu yang bertempat di Masjid Kg. Putera Jaya, Setiu semalam. Tegasnya lagi, ajaran Islam merupakan ajaran yang fleksibel dan mudah, ia tidak sewenang-wenangnya melarang umatnya dalam melakukan sesuatu melainkan jika ia mendatangkan mudarat. “Contohnya mengenai makan dan minum, kita hanya dilarang untuk memakan daging khinzir, minum arak, bangkai dan juga apa jua yang boleh memberikan mudarat. “Selain daripada itu, semua boleh dimakan. Yang penting, ia halal lagi baik. “Sama juga dalam bab pemakaian dan pergaulan. Semuanya begitu mudah untuk kebaikan manusia,” ujar beliau. Jelas beliau, walaupun dengan keterbatasan kuasa pada masa ini, kerajaan negeri akan terus berkomitmen untuk memperkasakan syariat Islam di dalam hukum-hakam terutamanya bagi perihal berkaitan dengan perundangan. Kerajaan negeri juga menyeru masyarakat untuk menghayati peristiwa Israk dan Mikraj sempena bulan Rejab.   Pelancaran sulung yang bertempat di daerah Setiu dan Hulu Terengganu, itu juga telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat setempat. Kata Dr. Muhammad Khalil, ia menunjukkan sokongan mereka yang jitu terhadap usaha kerajaan negeri dalam pembawaan tema hidup bersyariat. “Saya dapat perhatikan kehadiran yang sangat memberangsangkan daripada masyarakat setempat dan juga penyertaan daripada jabatan dan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan lain-lain lagi turut memeriahkan lagi suasana. Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis perasmian program itu.  
11 Jan 25
220
Rakyat Gusar Kerajaan Madani Dedah Identiti Sebenar
Rakyat Gusar Kerajaan Madani Dedah Identiti Sebenar
SETIU, 10 Januari- Rakyat di negara ini gusar dengan sikap Kerajaan Madani yang sengaja tidak memaparkan masjid di dalam video montaj 'Visit Malaysia 2026' sekali gus mendedahkan identiti sebenar mereka selama ini tidak menjaga sensitiviti umat Islam dalam negara. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada pandangannya parti yang memerintah negara pada hari ini bersikap kononnya mahu meraikan semua agama dan anutan sebaliknya terpesong jauh daripada prinsip Islam. "Ia adalah satu dasar yang jauh daripada prinsip Islam, sehingga dalam perkara asas, Masjid yang menjadi salah satu syiar Islam tidak ditunjukkan. "Dia (Kerajaan Madani) tidak menjaga sensitiviti umat Islam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, di sini, semalam. Tambah Muhammad Khalil, sewajarnya masjid menjadi sebahagian daripada video montaj itu kerana mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.  "Salah satunya mereka datang untuk melihat seni bina Masjid dan juga konsep pengurusan institusi itu sendiri kerana memiliki keunikanya yang tersendiri berbanding negara-negara lain," ujarnya.  
10 Jan 25
334
BPIM Bertepatan Teras Strategik PITAS2030, Mengukuh Pembangunan Insan
BPIM Bertepatan Teras Strategik PITAS2030, Mengukuh Pembangunan Insan
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj (BPIM) bertepatan dengan teras yang terkandung dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) iaitu mengukuhkan pembangunan insan bagi melahirkan masyarakat beragama, bermasyarakat dan berkebajikan. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun ia dijenamakan semula dari Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) yang dilaksanakan sebelum ini namun masih memiliki matlamat yang sama. Ujarnya, sambutan rakyat terhadap pelancaran BPIM itu jelas membuktikan rakyat negeri ini menyambut baik setiap usaha dilakukan oleh kerajaan negeri melalui setiap pelaksanaan yang dilakukan mencapai objektif yang dihasratkan. "Ini menandakan bahawa rakyat Terengganu memang dahaga dan cintakan ilmu. Masing-masing berlumba untuk hadir ke (setiap) majlis-majlis ilmu yang dianjurkan. "Insya-Allah sepanjang bulan ini, kerajaan negeri akan menganjurkan pelbagai program yang telah dirangka dan disusun. "Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat mengambil bahagian dalam setiap program yang dilaksanakan pada kali ini," ujarnya menerusi satu hantaran, di facebooknya, semalam. Tambah beliau, adalah menjadi harapan agar matlamat mengukuhkan pembanguan insan itu akan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT. "Sekalung penghargaan juga kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus  untuk menjayakan program BPIM yang diadakan sepanjang bulan ini,"ujarnya.
08 Jan 25
103
BPIM Didik Rakyat Capai Kesempurnaan Solat
BPIM Didik Rakyat Capai Kesempurnaan Solat
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) yang merupakan penjenamaan semula program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) bermatlamat untuk terus mendidik dan memotivasikan rakyat ke arah mencapai kesempurnaan mengerjakan rukun Islam kedua itu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, BPIM juga bagi menyemarakkan kesedaran, kepekaan dan solidariti umat Islam terhadap tanah suci Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. "Bertepatan dengan itu, saya ingin mengajak semua rakyat di negeri ini agar menghayati dan mengambil peluang limpahan keberkatan bulan Rejab ini dalam mengetuk pintu hati kita semua dalam menuju 'sayyidus syuhur' (penghulu segala bulan) iaitu Ramadan al-Mubarak. "Dalam meniti bulan Rejab yang penuh keberkatan, kerajaan negeri melancarkan BPIM yang didalamnya penuh dengan takwim pengisian dan aktiviti melibatkan semua peringkat dan segenap lapisan masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Program BPIM Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata sejajar dengan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat pada penggal ini adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan pembudayaan dan penghayatan terhadap pensyariatan kewajipan solat. "Program yang dilaksanakan seperti hari ini turut akan berulang dilaksanakan di setiap daerah termasuk di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam mengambarkan bagaimana kerajaan negeri begitu komited untuk mencapai matlamat Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera. "Sudah semestinya faktor utama pencapaiannya kepada kesempurnaan solat rakyat," jelasnya.  
03 Jan 25
160
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
15,000 Ribu Rakyat Terengganu Bermunajat di Malam Tahun Baharu
KUALA NERUS, 1 Januari - Hampir 15,000 orang ramai menyambut ketibaan tahun baru 2025 di Malam Munajat Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan pelbagai pengisian yang sarat program keagamaan. Yang Dipertua Dun, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, program itu bagi memastikan perjalanan dalam menempuh tahun 2025 akan dapat dilalui dengan baik oleh setiap rakyat. "Malam ini, kita adakan munajat sempena memasuki tahun baharu 2025, kita sama-sama berdoa semoga pada tahun mendatang lebih banyak kebaikan yang kita boleh usahakan. "Semoga diberikan keberkatan kepada negeri dan rakyat Terengganu,"ujarnya ketika berucap merasmikan program Malam Munajat "Indahnya Hidup Bersyariat" di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam. Mengulas lebih lanjut, beliau  juga berkata, ia menjadi impian dan harapan setiap rakyat agar tahun 2025 ini, Malaysia berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini. "Kita juga berhajat agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk terus istiqamah memperjuangkan agama-Nya, insya-Allah," ujarnya.  
01 Jan 25
527
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pugar Pemerkasaan Syariah di Terengganu
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pugar Pemerkasaan Syariah di Terengganu
KUALA NERUS, 1 Januari - Tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diangkat oleh kerajaan negeri merupakan salah satu daripada proses pendidikan dan kempen yang dijalankan dalam memugarkan lagi pemerkasaan syariah di Terengganu. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, proses tersebut  bagi menyedarkan masyarakat ke arah kehidupan mengikut syariah akan dilaksanakan secara berterusan dengan penuh kesabaran dan ketekunan. "Dalam masa yang sama, pada keadaan yang tertentu, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan perundangan yang ada untuk melakukan penguatkuasaan sebagai 'amar makruh nahi mungkar'. "Sebetulnya, masih terlalu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan. Memahami 'waqie' dan 'aulawiyyat', kerajaan negeri mengambil pendekatan secara tadaruj (berperingkat-peringkat) bermula dengan kesedaran dan pendidikan yang berterusan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Munajat Terengganu "Indahnya Hidup Bersyariat", di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam. Tambah Mohd Nor, memperkasakan syariat Islam di Terengganu secara khsusnya perlu berhadapan dengan cabaran fahaman liberal dan sekular yang meresap masuk dalam pemikiran umat Islam yang telah memisahkan kehidupan daripada agama. "Agama atau ibadat hanya dilihat pada hal solat, puasa, zakat dan haji sahaja. "Sekularisme inilah yang perlu dihakis dalam benak pemikiran umat Islam. Lebih mencabar, kita terpaksa bertempur dengan fahaman Islam Liberal yang merungkai satu demi satu tiang asas dalam agama. "Agenda mereka untuk melemahkan akidah umat Islam dengan pelbagai propaganda dan persepsi tidak benar,"katanya. Tegasnya, apa jua cabaran yang datang kerajaan negeri tidak akan berganjak dari usaha untuk memperkasakan syariat di negeri ini dengan mengajak pemimpin dan rakyat seluruhnya untuk tunduk dan taat kepada yang Maha Esa. "Syarat untuk negeri kita diberkati Allah adalah dengan warganya beriman dan bertakwa,"ucap beliau.  
01 Jan 25
206