lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

Jadikan Al-Quran Sebagai Peneman Setia
Jadikan Al-Quran Sebagai Peneman Setia
DUNGUN, 20 Mac - Umat Islam diseru untuk menjadikan Al-Quran sebagai peneman setia dalam kehidupan seharian, bukan sekadar bahan bacaan tetapi sebagai panduan dan pedoman dalam setiap langkah kehidupan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kepentingan Al-Quran sebagai sahabat sejati yang akan menemani umat Islam di dunia dan Akhirat. “Di dunia ini, kita sibuk mencari peneman setia. Tetapi jangan lupa bahawa di Akhirat kelak, Al-Quran lah sahabat sejati yang akan menemani kita,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perasmian Madinah Ramadan dan Majlis Khatam Al-Quran peringkat Dungun yang berlangsung di Masjid Jamek Paka baru-baru ini. Beliau turut mengingatkan bahawa Al-Quran bukan sekadar bacaan harian, tetapi menjadi hujah dalam setiap amalan yang dilakukan oleh umat Islam. “Jika kita berpegang teguh padanya, ia akan menjadi peguam bela yang membela kita di hadapan Allah. Namun, jika kita mengabaikannya, ia boleh menjadi saksi yang menuntut kita atas kelalaian sendiri,” tambahnya lagi. Majlis yang penuh bermakna itu dihadiri oleh para qari, qariah, serta masyarakat setempat yang turut mengambil bahagian dalam sesi khatam Al-Quran. Program ini bertujuan untuk menyemarakkan budaya membaca dan memahami Al-Quran dalam kalangan umat Islam, khususnya di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Selain itu, beliau turut mengajak semua pihak untuk menjadikan Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi kehidupan seharian. “Pilihan di tangan kita sama ada menjadikan Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi kehidupan atau membiarkannya menjadi bukti kealpaan kita. Semoga kita tergolong dalam golongan yang mencintai, memahami, dan mengamalkan ajarannya,” ujarnya.  
18 Mar 25
108
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Peristiwa Penting Nuzul Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Kerajaan Terengganu mengajak rakyatnya untuk sama-sama menghayati peristiwa penting Nuzul Al-Quran serta Badar Al-Kubra yang penuh bersejarah. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bersempena dengan peristiwa agung itu maka diadakan Majlis Perasmian Nuzul al-Quran Peringkat negeri di Madinah Ramadan, semalam. Ujarnya, tema Madinah Ramadan pada tahun ini amat bertepatan dengan kedua peristiwa besar tersebut iaitu 'Ramadan Bulan Kemenangan'. "Maka hari ini teramat patut untuk setiap umat Islam mengingati peristiwa ini terutama apabila kita melihat apa yang berlaku terhadap masyarakat Islam di serata dunia. "Khususnya apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin, mereka diuji dengan kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis yahudi yang dilaknat oleh Allah SWT," ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut. Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyempurnakan Majlis Perasmian Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Nara Setia  Dalam pada itu, Muhammad Khalil turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato' Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri yang sebelumnya telah menyampaikan ceramah perdana bersempena sambutan Nuzul Al-Quran itu. "Akhirnya, saya mendoakan agar seluruh rakyat Terengganu dikuniakan rahmat pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini," ucap beliau.  
18 Mar 25
270
Pelita Raya: Terima Kasih Atas Teguran Rakyat
Pelita Raya: Terima Kasih Atas Teguran Rakyat
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menzahirkan rasa terima kasih atas teguran dan pandangan yang diberikan oleh rakyat Terengganu berkaitan program Pelita Raya dan Pesta Moreh di negeri tersebut. Menurutnya, kerajaan negeri menghargai setiap maklum balas yang diberikan demi memastikan keharmonian serta keberkatan bulan Ramadan dan agenda Indahnya Hidup Bersyariah terus terpelihara. "Pelita Raya, yang bertujuan untuk memeriahkan suasana Ramadan dan mengangkat budaya warisan Melayu Islam Malaysia, menerima aduan berkaitan persembahan yang dikatakan kurang sesuai dengan sensitiviti bulan yang mulia ini. "Kami mengambil serius perkara ini dan akan memperhalusinya agar sebarang pengisian serta perjalanan acara selari dengan nilai-nilai Islam serta budaya masyarakat. Ini juga seiring dengan usaha kerajaan negeri yang sedang dalam proses menambah baik garis panduan kebudayaan dan hiburan. "Bagi Pesta Moreh pula, kami menyedari peranannya dalam membantu ekonomi peniaga serta menambah pendapatan rakyat. Walau bagaimanapun, aduan mengenai lambakan lokasi moreh yang menimbulkan kegusaran sehingga ada yang merasakan Ramadan lebih dilihat sebagai pesta makanan berbanding pesta ibadah. "Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan berbincang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari pendekatan terbaik untuk menambah baik pengisian di kawasan moreh," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook miliknya, sebentar tadi. Dr. Khalil menjelaskan, antara cadangan yang sedang diteliti adalah menambah slot keagamaan seperti tazkirah pendek atau aktiviti kerohanian di lokasi moreh agar keseimbangan antara keperluan fizikal dan spiritual dapat dicapai. "Ini sebenarnya telah dilaksanakan di beberapa lokasi moreh di Terengganu. Kami komited untuk memastikan setiap program yang dianjurkan sepanjang Ramadan bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi rakyat tetapi juga memperkukuh nilai-nilai Islam dalam masyarakat. "Di kesempatan ini, saya mengajak seluruh rakyat Terengganu untuk sama-sama memeriahkan Madinah Ramadan yang sedang berlangsung di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu. "Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan menjadikan Ramadan di Terengganu lebih bermakna buat semua. Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan seluruh masyarakat," tambahnya.  
17 Mar 25
172
Istiqamah Dalam Membaca al-Quran Walaupun Selepas Ramadan
Istiqamah Dalam Membaca al-Quran Walaupun Selepas Ramadan
DUNGUN, 24 Mac – Umat Islam diseru agar terus istiqamah dalam membaca al-Quran walaupun selepas Ramadan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat mengingatkan hadirin agar amalan membaca al-Quran tidak hanya terbatas kepada program tadarus yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan. “Harap walaupun takda program-program tadarus al-Quran, kita masih kekal bertadarus di rumah dan terus istiqamah walaupun selain Ramadan,” katanya. Beliau menyampaikan perkara ini dalam tazkirah sempena program tadarus al-Quran yang dianjurkan oleh Muslimat Paka di Surau Ibadurrahman, Paka. Selain itu, beliau turut menekankan bahawa membaca al-Quran bukan sekadar satu ibadah, tetapi juga satu bentuk komunikasi dengan Allah SWT. “Kita baca al-Quran ni ialah kita sedang baca utusan yang disampaikan oleh Allah SWT,” jelasnya. Dalam pada itu, beliau berkata, al-Quran merupakan panduan yang diturunkan oleh Allah untuk membimbing kehidupan manusia. Beliau memberikan perumpamaan mudah tentang kepentingan mengikuti panduan dalam kehidupan seharian. “Sebab itu Allah SWT ciptakan kita dan jadikan al-Quran sebagai panduan." "Kita beli mesin basuh, dalam kotak mesti ada buku panduan." "Dalam buku tu ada terang cara guna supaya tidak salah guna,” katanya. Beliau menegaskan bahawa manusia juga mempunyai ‘buku panduan’ tersendiri yang tidak lain adalah al-Quran. “Begitu juga dengan manusia. Buku panduan bagi manusia ialah al-Quran. Baca dan cubalah fahami maksud di setiap ayat yang kita baca,” tambahnya lagi.
16 Mar 25
79
Empty Image
"Akhlak Anak Muda Dalam Dunia Tanpa Sempadan Membimbangkan"-Satiful
DUNGUN, 20 Mac  – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, menyuarakan kebimbangan terhadap akhlak generasi muda dalam dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar. Beliau menegaskan bahawa dunia yang semakin bebas dan tanpa kawalan boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak muda. “Apabila disebut tentang akhlak, kita sangat bimbang dengan dunia sekarang. Dengan dunia tanpa sempadan sekarang, anak-anak muda makin mudah untuk terjebak dengan perkara yang negatif dan rasakan dunia ini bebas untuk buat apa sahaja,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tazkirah Ramadan di Masjid Lama Tebing Tembah, Paka baru-baru ini. Di samping itu, beliau turut menegur budaya penggunaan media sosial yang berlebihan dalam kalangan remaja pada masa kini. “Hari-hari masa diluangkan untuk scroll Facebook, YouTube, TikTok lah. Kadang-kadang kandungan yang disiar tu bukanlah memberi faedah sangat. “Bahkan ada yang terjebak dengan trend-trend, content-content dan prank yang boleh menjerumus khusus anak muda untuk ikut,” tambahnya. Dalam pada itu, beliau berkata, sempena bulan Ramadan, beliau menyeru masyarakat Islam untuk saling menegur dan mengingatkan antara satu sama lain agar tidak terleka dengan hiburan yang melalaikan. “Sama-samalah kita saling menegur sesama kita lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam. “Ibu ayah, selalulah pantau anak-anak kita. Walaupun dia duk kurung dalam bilik sehari-hari, jangan biarkan mereka habiskan masa dengan telefon bimbit,” pesannya.
16 Mar 25
55
'Waspada Agenda Pluralisme Agama'
'Waspada Agenda Pluralisme Agama'
KUALA TERENGGANU, 16 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, mengingatkan umat Islam agar berwaspada terhadap agenda pluralisme agama yang semakin merebak kebelakangan ini. Menurutnya, terdapat segelintir pihak sedang giat mempromosikan konsep kesamarataan agama dengan menyatakan bahawa semua agama menyeru kepada kebaikan. "Jangan fikir sifir agama sama seperti sifir Matematik. Sebaliknya, sifir agama mestilah berpandukan petunjuk Allah, bukan sekadar akal semata-mata. "Walaupun semua agama menyeru kepada kebaikan, hakikatnya hanya agama Islam yang diterima oleh Allah sebagai agama yang benar, yang dibawa oleh semua nabi-nabi. "Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Beliau menjelaskan bahawa semua agama yang wujud pada hari ini pada asalnya adalah agama Islam yang dibawa oleh para nabi dalam zaman yang berbeza, namun telah diselewengkan oleh manusia sehingga Islam diperbetulkan kembali melalui ajaran Nabi Muhammad SAW. "Walaupun begitu, Islam tetap menyeru penganutnya untuk menghormati agama lain dan berhujah dengan cara yang baik. "Namun, menghormati agama lain tidak bermakna kita boleh terbabas sehingga melakukan amalan yang bercanggah dengan akidah Islam," tegasnya. Beliau turut menekankan bahawa toleransi dalam beragama tidak bermaksud umat Islam harus menggadaikan prinsip-prinsip Islam yang telah ditetapkan.
16 Mar 25
124
Mencari Kesempurnaan Ibadah
Mencari Kesempurnaan Ibadah
KUALA TERENGGANU, 26 Mac – Masyarakat perlu mementingkan memahami aspek fiqh puasa bagi memastikan ibadah yang dilaksanakan diterima dengan sempurna.  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata mengajak umat Islam untuk memperdalam ilmu berkaitan ibadah ini agar tidak terjerumus dalam kesilapan yang boleh menjejaskan amalan. "Puasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menuntut kita menjaga akhlak, percakapan, dan perbuatan." "Jika kita memahami rukun dan syaratnya dengan betul, insyaAllah ibadah kita akan lebih bermakna serta diterima oleh Allah," katanya Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah Zohor dalam Program Itqan Insani sempena Pembudayaan Indahnya Bersyariat yang berlangsung di Wisma Darul Iman. Selain itu, beliau turut mengingatkan tentang ancaman bagi mereka yang sengaja meninggalkan puasa tanpa uzur syarie. "Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan. Jika kita mengambilnya dengan ringan, kita mungkin termasuk dalam golongan yang lalai. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki ibadah kita agar lebih sempurna," tambahnya lagi. Program yang dihadiri oleh kakitangan kerajaan dan orang awam ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman masyarakat dalam melaksanakan ibadah puasa dengan lebih baik. "Semoga tazkirah ini dapat meningkatkan kefahaman kita mengenai ibadah puasa dan mendorong kita untuk melaksanakannya dengan lebih baik," katanya sebagai penutup.
15 Mar 25
20
Ramadan Bukan Sekadar Untuk Kurus, Tapi Peluang Perbaiki Diri
Ramadan Bukan Sekadar Untuk Kurus, Tapi Peluang Perbaiki Diri
DUNGUN, 15 Mac - Bulan Ramadan datang bukan sekadar untuk menurunkan berat badan (menjamin kesihatan) tetapi peluang umat Islam memperbaiki diri dan meningkatkan amalan kebaikan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, orang kita apabila sebut sahaja Ramadan, lebih banyak nampak keinginan mahu kurus. "Sedangkan kesihatan itu hanyalah sampingan sahaja. Ada juga orang berpuasa tapi dok turun-turun berat, bahkan makin naik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tazkirah Tadarus al-Quran yang dianjurkan oleh Muslimat Paka bersama jemaah wanita setempat, semalam. Beliau mengingatkan bahawa Ramadan bukan hanya tentang menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga bulan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyakkan ibadah. “Bulan biasa (selain Ramadan) mungkin kita mengaji semuka sehari, tetapi apabila masuk Ramadan kita boleh baca sampai satu juz sehari,” ujarnya, menyeru umat Islam agar mengambil peluang keemasan ini untuk meningkatkan amalan. Tambahnya, Ramadan adalah masa untuk muhasabah diri, memperbaiki kelemahan, membersihkan hati, dan memperbanyakkan amal kebaikan. "Amat rugi dan malanglah kita, Ramadan datang tetapi sama sahaja seperti mana di bulan-bulan yang lain tanpa terasa dalam hati untuk memanfaatkan bulan Ramadan," jelasnya lagi.
15 Mar 25
87
Rebut Peluang Ramadan, Gandakan Amal Ibadah
Rebut Peluang Ramadan, Gandakan Amal Ibadah
DUNGUN, 17 Mac - Dalam bulan Ramadan yang masih berbaki lebih kurang 15 hari lagi ini, umat Islam digalakkan supaya terus meningkatkan amal ibadah. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat menyeru umat Islam agar memanfaatkan sepenuhnya bulan penuh keberkatan ini dengan mempelbgaikan amal ibadah. “Sedar 'dok' sedar, dekat separuh Ramadan 'doh'. Jadi, pakat-pakatlah rebut peluang bulan ini untuk perbanyakkan amal. "Waktu sekarang rasa sekejap sahaja dalam sehari-hari. Pagi tadi baru sahur, pitas-pitas garib buka puasa pulok doh,” katanya ketika menyampaikan Tazkirah Ramadan di Surau Limbong Pak, baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu turut menegaskan tentang kelebihan solat berjemaah, khususnya di bulan Ramadan. “Kita sembahyang di rumah empat rakaat dapat satu pahala. Sembahyang di surau atau masjid, empat rakaat jugok tapi dapat 27 pahala, bahkan lebih lipat ganda lagi di bulan Ramadan.” "Pilihan untuk meraih ganjaran besar ini terletak di tangan setiap individu. Oleh itu, beliau mengajak masyarakat untuk memperbanyakkan amalan kebajikan dan meningkatkan kualiti ibadah sepanjang Ramadan ini," jelasnya.
15 Mar 25
32
Madinah Ramadan Dungun Disambut Meriah
Madinah Ramadan Dungun Disambut Meriah
DUNGUN, 13 Mac – Program Madinah Ramadan yang diadakan di Masjid Al Mustaqim, Paya Pelandang, menjadi acara tahunan yang dinantikan di daerah Dungun. Program ini dilaksanakan dengan penuh meriah bagi bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang keindahan hidup mengikut syariat Islam. Pelbagai aktiviti keagamaan, termasuk ceramah dan pengajian, diadakan untuk memanfaatkan keberkatan bulan ini. Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi berkata, seluruh umat Islam diseru untuk mengambil peluang terbaik dalam bulan Ramadan dengan menambah amal ibadah dan ilmu. "Di saat kita menahan diri daripada makanan jasmani pada siang hari, kita harus mengisi makanan rohani pada saat berpuasa. Itulah sebaik-baik puasa di bulan Ramadan. "Program Madinah Ramadan bukan sekadar memperingati bulan suci Ramadan, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk memperdalam ilmu agama melalui majlis-majlis ilmu yang telah disediakan oleh pihak penganjur," katanya ketika ditemui selepas perasmian Madinah Ramadan daerah Dungun, di sini semalam. Program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menegaskan pentingnya program-program seperti ini dalam memperkukuhkan kefahaman agama dalam kalangan masyarakat dan memupuk semangat perpaduan. Mohd Fadhli turut mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan program Madinah Ramadhan kali ini, dengan harapan agar ia dapat memberi manfaat yang besar kepada semua yang terlibat. Dengan kerjasama padu antara pihak penganjur dan masyarakat, program Madinah Ramadhan di Dungun tahun ini dijangka akan terus memberi impak positif dalam mempertingkatkan kesedaran agama dan sosial dalam kalangan penduduk setempat.
13 Mar 25
120