lightning-solid
Berita :
Jangan Hanya Padam 'Posting' Kritik Kerajaan, Buang Juga Kandungan Tak Elok
Jangan Hanya Padam 'Posting' Kritik Kerajaan, Buang Juga Kandungan Tak Elok
Muhammad Aqil Mat Ali
19 Oct 25
48

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid (PN), menyelar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat dengan mendesak agensi itu supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada kandungan berunsur kritikan terhadap kerajaan semata-mata.

Beliau menegaskan, cabaran sebenar yang perlu diberi perhatian MCMC ialah pengaruh media sosial yang semakin meluas, khususnya terhadap golongan pelajar sekolah.

Rosol mendakwa MCMC gagal melaksanakan tanggungjawab dengan seimbang serta terlalu memberi tumpuan kepada satu bentuk kandungan sahaja.

“MCMC khususnya, jangan duduk turunkan posting-posting yang menghantam kerajaan sahaja,” tegasnya, membayangkan wujud elemen pilih kasih dalam penguatkuasaan.

Beliau turut mendedahkan insiden melibatkan rakannya yang berdepan tindakan apabila telefon mereka dirampas selepas menerbitkan podcast bersifat kritikal terhadap kerajaan.

Bekas Timbalan Menteri KPDNHEP itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengaruh besar pelbagai platform digital seperti WhatsApp, Facebook, Roblox, YouTube dan Netflix yang semakin meresap ke dalam kehidupan pelajar.

Menurut beliau, kandungan yang disebarkan melalui platform-platform ini, termasuk podcast, amat memberi kesan terhadap sikap dan disiplin pelajar.

Menutup ucapannya, Rosol menggesa Menteri yang bertanggungjawab terhadap MCMC supaya mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi menangani isu tersebut.

“Kalau tidak, saya minta Menteri supaya berundurlah kerana kelemahan dalam hal tersebut,” katanya tegas.

Kritikan tersebut mencerminkan kebimbangan blok pembangkang terhadap potensi penyalahgunaan kuasa serta keutamaan yang salah oleh pihak berkuasa komunikasi negara.


Tag :

Artikel Berkaitan