KEMAMAN, 13 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan agar semua pihak tidak bersikap angkuh atau menolak peranan masyarakat dalam menangani isu keselamatan pelajar, susulan kejadian rogol membabitkan pelajar sekolah menengah di Melaka baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, insiden tersebut menjadi isyarat jelas bahawa sekolah tidak lagi boleh dianggap sepenuhnya selamat tanpa pengawasan dan kerjasama masyarakat sekeliling.
Katanya, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan memberi ruang kepada pemimpin tempatan dan wakil rakyat untuk kembali terlibat secara langsung di sekolah sebagai pembimbing sisi, membantu, menasihati dan memantau keadaan di sekolah dari luar struktur pentadbiran.
“Jangan sombong menolak penglibatan masyarakat. Ibu bapa, pemimpin tempatan dan komuniti setempat perlu diberi ruang untuk membantu pihak sekolah, bukan disisihkan,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.
Razali berkata, pendidikan dan keselamatan pelajar bukan tanggungjawab sekolah atau kementerian semata-mata, sebaliknya amanah bersama seluruh rakyat.
"Saya menyeru agar pendekatan baharu dirangka dengan melibatkan agensi agama, pertubuhan masyarakat serta pihak berkuasa tempatan bagi memperkukuh nilai moral dan keselamatan di sekolah.
“Kita tidak boleh berdiam diri apabila anak-anak menjadi mangsa di tempat mereka sepatutnya dilindungi. Masa untuk berubah dan bertindak sudah tiba,” ujarnya.
Terdahulu, menurut laporan Bernama, empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) direman selama enam hari kerana disyaki merogol secara berkumpulan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di dalam kelas.
Menurutnya, tragedi menyayat hati tersebut berlaku di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, pada 2 Oktober lalu sekitar jam 2.50 petang.
Seterusnya, kejadian itu turut dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit beberapa suspek.
Semua pelajar terbabit telah dikenakan tindakan disiplin buang sekolah oleh pihak berkuasa pendidikan.
Kementerian Pendidikan Malaysia turut memberi jaminan perlindungan serta sokongan emosi kepada mangsa, sementara siasatan polis masih dijalankan.