KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menegaskan bahawa kerajaan perlu memberikan jaminan keselamatan siber yang kukuh sebelum meluaskan kutipan data biometrik rakyat melalui Rang Undang-Undang (RUU) Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025.
Berbahas di Dewan Rakyat petang semalam, beliau berkata pindaan terhadap Seksyen 6(2) memperluas kuasa menteri daripada hanya gambar dan cap jari kepada data biometrik yang merangkumi lebih banyak ciri fisiologi individu.
“Apabila skop data peribadi yang boleh diambil menjadi lebih luas, risikonya kepada privasi dan keselamatan data rakyat juga semakin besar.
“Sebelum ini sudah banyak kali berlaku kebocoran data, malah laporan CyberSecurity Malaysia menunjukkan sektor kerajaan sendiri banyak terdedah kepada kebocoran maklumat,” katanya.
Beliau mempersoalkan langkah kerajaan memperkenalkan pindaan ini sedangkan isu keselamatan siber masih belum ditangani secara tuntas.
“Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap kebocoran data sebelum ini dan tindakan apa yang telah diambil?
“Jangan sampai rakyat menjadi mangsa penipuan kewangan atau pencerobohan privasi akibat kelemahan kawalan data kerajaan sendiri,” tegasnya.
Che Mohamad Zulkifly turut membangkitkan kelemahan mekanisme hukuman terhadap kesalahan kebocoran data di sektor awam berbanding sektor swasta.
“Tahun lalu, kita meluluskan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) yang menaikkan kadar denda hingga RM1 juta, tetapi ia hanya terpakai kepada sektor swasta.
“Bagaimana pula dengan agensi kerajaan yang memegang data paling kritikal? Tambahan Seksyen 6A dalam RUU ini hanya menyebut kompaun tidak lebih 50 peratus daripada denda maksimum, tanpa kenaikan denda seperti PDPA. Seolah-olah ada ruang kompromi jika kebocoran berlaku di sektor awam,” jelasnya.
Beliau berkata pindaan ini juga kelihatan terburu-buru kerana kerajaan sedang mengejar sasaran pelaksanaan MyDigital ID, sedangkan kesiapsiagaan infrastruktur digital negara masih dipersoalkan.
“Insiden gangguan sistem Autogate di Kompleks CIQ Johor Bahru menunjukkan kerentanan infrastruktur digital negara. Bagaimana kerajaan boleh menyatakan pindaan ini tidak membawa implikasi kewangan, sedangkan infrastruktur biometrik dan MyDigital ID jelas memerlukan pelaburan besar?,” soalnya.
Che Mohamad Zulkifly menggesa kerajaan memperincikan langkah keselamatan dan kawalan perkongsian data biometrik, mekanisme perekodan, pengurusan penggunaan kad pengenalan, serta usaha mengatasi masalah kad pengenalan palsu.
“Kalau rakyat mempersoalkan aspek keselamatan kad pengenalan atau data biometrik, apakah mereka akan dipanggil memberi keterangan atau lebih buruk, ditangkap? Soalan ini perlu dijawab secara telus,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan wajar meletakkan mekanisme pencegahan yang tegas dan memastikan keselamatan data rakyat menjadi keutamaan, sebelum sebarang pindaan diluluskan.