DUNGUN, 19 Oktober – Impian lebih 420 keluarga di sekitar DUN Sura untuk memiliki kediaman sendiri kini semakin hampir menjadi kenyataan apabila Projek Perumahan Rumah Mampu Milik Bukit Tebuk dilancarkan secara rasmi hari ini.
Projek pembangunan bercampur bernilai RM78 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas 36.83 ekar dan melibatkan pembinaan keseluruhan 444 unit rumah serta premis komersial yang dijangka siap menjelang tahun 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan projek ini merupakan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat memiliki kediaman selesa dan mampu dimiliki.
“Projek RMM Bukit Tebuk ini bukan sekadar pembinaan rumah, tetapi satu manifestasi kasih sayang kerajaan negeri terhadap rakyatnya.
“Ia melambangkan kesungguhan kita untuk memastikan setiap keluarga mempunyai tempat berteduh yang selesa dan berkualiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Bukit Tebuk di Sura hari ini.

Beliau berkata, pembangunan tersebut merangkumi 120 unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Jenis A berharga RM90,000 seunit, 112 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis B berharga RM185,000 seunit, manakala selebihnya ialah komponen komersial terdiri daripada 140 unit rumah teres setingkat (Jenis C), 38 unit link banglo 1.5 tingkat (Jenis D), 18 unit rumah berkembar setingkat (Jenis E) dan 16 unit kedai setingkat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi pula menzahirkan penghargaan kepada mantan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik atas usaha awal beliau dalam merancang projek tersebut ketika masih berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu.
“Selama empat hingga lima tahun beliau berurusan, berdepan pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19, dan Alhamdulillah hari ini kita dapat menyaksikan permulaan rasmi pelaksanaannya,” katanya.

Menurutnya, projek ini bukan sahaja memenuhi keperluan perumahan rakyat, malah bakal merancakkan aktiviti ekonomi tempatan melalui penyediaan ruang komersial yang dapat membuka peluang pekerjaan serta perniagaan baharu.
“Apabila siap kelak, kawasan ini bukan sekadar menjadi penempatan baharu untuk rakyat, tetapi juga pusat komuniti dan ekonomi setempat yang memberi manfaat kepada penduduk Sura dan Dungun secara keseluruhan,” katanya.