KEMAMAN, 18 Oktober – Percutian sekeluarga bertukar tragedi apabila seorang wanita dan anak saudaranya ditemukan lemas ketika mandi di Pantai Penunjuk, Kijal, petang tadi.
Mangsa wanita berusia 39 tahun dari Jitra, Kedah, disahkan meninggal dunia pada 5.42 petang di Hospital Kemaman, manakala anak saudaranya, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dari Ampang, Selangor, meninggal dunia pada 5.23 petang di Klinik Kesihatan Kijal.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli, berkata kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa mandi bersama lima lagi ahli keluarga di pantai berkenaan.
“Ketika mereka sedang mandi, ombak tiba-tiba menarik mereka ke kawasan yang lebih dalam, menyebabkan lima daripada mereka hampir lemas.
“Namun, kesemua lima individu itu berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga serta orang awam yang berada di lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, dua mangsa berkenaan bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam menerima rawatan.
“Kedua-dua mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” jelasnya.