KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, menegur penganjur sebuah majlis rasmi peringkat nasional selepas mendapati penganjuran program tersebut tidak menghormati sensitiviti umat Islam, apabila menghidangkan minuman keras secara terbuka semasa majlis berlangsung.
Beliau yang hadir mewakili kerajaan negeri Terengganu ke majlis tersebut berkata, beliau dijemput untuk tampil di pentas utama bagi mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2026 (COE TM’26).
Namun katanya, beliau memilih untuk beredar lebih awal (‘walk out’) selepas melihat suasana majlis yang mencetuskan rasa kurang selesa.
“Kalau pun hendak minum arak, hormatlah sikit kepada kami orang Islam yang berada dalam majlis rasmi.
“Tambahan pula, ketika itu persembahan kebudayaan sedang berlangsung, dibawa oleh pelajar-pelajar yang segak berpakaian kebangsaan,” katanya.
Razali turut menzahirkan kekesalan terhadap etika penganjuran majlis yang sepatutnya menjadi platform meraikan kepelbagaian budaya secara profesional dan beradab, bukannya mencetuskan ketegangan nilai dan meremehkan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan.
Beliau menegaskan, Terengganu sentiasa mengamalkan prinsip ‘Mesra Muslim’ dalam setiap aktiviti pelancongan dan acara negeri, sambil tetap meraikan kehadiran pelancong bukan Islam dengan penuh keterbukaan.
“Kami tidak menolak kehadiran sesiapa, tetapi biarlah majlis rasmi dijalankan dengan hormat-menghormati, menjaga sensitiviti semua pihak. Lain kali, pohon penganjur mengamalkan konsep ‘Mesra Muslim’ kepada bukan Islam,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak masyarakat untuk datang dan merasai sendiri keunikan negeri Terengganu yang kaya dengan budaya dan keindahan alam semula jadi.
“Pakat mari Terengganu, Negeri bahagia, alam semula jadi cantik, budaya menarik dan insya-Allah, orang-orangnya baik-baik,” tambahnya.