KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa negeri ini sedang berada di landasan kukuh menuju ke arah ekonomi yang lebih berdikari, dengan hasil negeri yang semakin meningkat saban tahun.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persepsi kononnya negeri terlalu bergantung kepada royalti petroleum adalah tidak berasas, malah tidak adil kepada usaha berterusan yang telah dilakukan oleh pentadbiran negeri.
“Berdasarkan rekod kewangan, purata tahunan hasil cukai dan hasil bukan cukai negeri bagi tempoh 2018 hingga 2024 ialah RM256 juta, meningkat berbanding RM234.9 juta (2014–2017) dan RM189.1 juta (2008–2013),” katanya.
Jelas Ahmad Samsuri, angka ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri konsisten mencari sumber hasil baharu, serta mengukuhkan pentadbiran dan sistem kewangan untuk menjamin kelangsungan pembangunan negeri.
Dalam masa yang sama kata beliau, kebergantungan terhadap Dana Khas Kerajaan Persekutuan (royalti petroleum) turut menunjukkan trend menurun.
"Daripada 83.9 peratus (2008–2013) dan 81.3 peratus (2014-2017) ia telah menurun mendadak kepada 75.7 peratus bagi tempoh 2018–2024.
“Jadi apabila ada pihak menuduh kami tidak berusaha untuk berdikari, ia adalah satu tuduhan tidak berasas. Angka-angka ini bercakap dengan sendiri,” tambah beliau.
Tambah Naib Presiden PAS itu lagi, ekonomi negeri turut berkembang dengan memberangsangkan dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada RM22 bilion (2008–2013) kepada RM35.9 bilion (2018–2023), walaupun berdepan cabaran global termasuk pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan geopolitik.
"Usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kebergantungan kepada royalti dilihat semakin berhasil, melalui pemerkasaan sektor pelaburan, pembangunan industri halal, pelancongan, serta projek-projek berimpak tinggi di peringkat daerah dan negeri," ujar beliau.
Walau bagaimanapun tegas Ahmad Samsuri, tuntutan royalti bermaksud Terengganu terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan, malah dakwaan sedemikian sebagai cubaan memperlekeh usaha negeri.
Katanya, Terengganu akan tetap menuntut royalti hak rakyat.
“Royalti petroleum adalah hasil hak Negeri, bukan ihsan sesiapa," jelas beliau.