lightning-solid
Berita :
Gotong-royong Kacau Bubur Asyura Rapatkan Ukhuwah Penduduk DUN Ladang
Gotong-royong Kacau Bubur Asyura Rapatkan Ukhuwah Penduduk DUN Ladang
Mohamad Farhan Anam
20 Jul 25
42

KUALA TERENGGANU, 21 JULAI – Semangat gotong-royong mengacau bubur asyura terus disemarakkan penduduk Dewan Udangan Negeri (DUN) Ladang apabila menganjurkan program tradisi itu di tiga lokasi di DUN berkenaan secara serentak, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, program mengacau bubur asyura yang diadakan Pusat Autism Terengganu di Bukit Besar, Pasti Panji Alam dan perkarangan Masjid Khalifah Jalan Pusara itu secara tidak langsung dapat memupuk semangat kerjasama dan merapatkan ukhuwah di kalangan penduduk.

Menurut beliau, aktiviti yang dijalankan secara gotong-royong itu bermula dengan penyediaan bahan, proses mengacau bubur asyura secara bergilir-gilir dan pengagihan kepada masyarakat sekitar.

"Program seperti ini wajar diteruskan kerana bukan sahaja memelihara budaya warisan, malah mampu memperkukuh jalinan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat.

“Ia turut menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Hijrah, bahkan mendidik masyarakat tentang nilai tolong-menolong, kerjasama dan kasih sayang sesama insan,” ujarnya kepada pemberita selepas mengunjungi ketiga-tiga lokasi tersebut.

Dalam pada itu, Zuraida turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program itu.

"Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini serta berusaha mengekalkan tradisi mengacau bubur asyura sebagai sebahagian daripada identiti komuniti DUN Ladang," ujarnya.

 


Artikel Berkaitan