KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi memberi amaran bahawa gencatan senjata di Gaza berisiko mempercepatkan tercetusnya perang baharu antara Israel dan Republik Islam Iran.
Beliau berkata, meskipun negara-negara Eropah bersepakat agar konflik Gaza ditamatkan, tekanan terhadap Iran sebagai pendokong utama perjuangan Palestin dijangka diteruskan.
"Jika perang Gaza berjaya dihentikan, maka fasa kedua perang antara Republik Islam Iran dan Israel boleh meletus pada bila-bila masa.
“Tidak mustahil Benjamin Netanyahu akan mengambil kesempatan ini untuk meraih sokongan Barat khususnya Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab bagi melancarkan serangan terhadap Iran,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.
Menurutnya, kedua-dua pihak kini sedang mempersiapkan kekuatan ketenteraan, dan peperangan seterusnya dijangka menjadi pintu kepada agenda 'Israel Raya' yang diidamkan Zionis.
“Petanda jelas menunjukkan Timur Tengah akan terus bergolak malah boleh mencetuskan pertembungan lebih besar membabitkan kuasa dunia seperti Eropah, Rusia, China dan Amerika Syarikat,” ujarnya.
Bagaimanapun, Dr. Khalil menegaskan bahawa umat Islam mesti yakin dengan perancangan Allah.
“Mereka merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.
"Yakinlah masa depan milik Islam,” katanya.