KEMAMAN, 19 Oktober – “Dia gembira sangat hari tu… tak sangka itu hari terakhir kami bersama,” luah Syafiq Azril Mohd Nasis, 40, suami kepada Allahyarhamah Nor Hidayah Zakaria, 39, yang maut dalam tragedi lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, mangsa, Nor Hidayah disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman sekitar jam 5.42 petang, manakala anak saudaranya, Urshia Medina Noor Didi Hilmi, 12, turut terkorban dan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kijal pada jam 5.23 petang.
Tiga lagi anak saudara Nor Hidayah yang berusia lingkungan 14 hingga 20 tahun berjaya diselamatkan hasil bantuan ahli keluarga dan nelayan tempatan yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Suami mangsa, Syafiq Azril berkata mereka sekeluarga baru sahaja selesai mengadakan hari keluarga di Cherating, Pahang, dan singgah ke Pantai Penunjuk kerana isterinya teringin makan ikan celup tepung sebelum pulang ke Kedah.
“Sebenarnya kami tak rancang nak mandi, Cuma nak singgah makan sebab isteri teringin sangat nak makan tepi pantai.
“Lepas makan, ramai yang turun ke air sebab pantai tu cantik dan nampak landai. Isteri pun mandi dengan anak-anak saudara,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kemaman malam tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris bagi melihat ahli keluarga mangsa di hospital berkenaan.

Syafiq berkata, suasana gembira bertukar cemas apabila isterinya menjerit meminta tolong selepas melihat tiga anak saudaranya dihanyutkan ombak ke kawasan lebih dalam.
“Isteri cuba selamatkan mereka dan alhamdulillah, ketiga-tiganya berjaya diselamatkan. Tapi isteri pula semakin jauh ke tengah. Saya terus naik sampan dengan bantuan nelayan, tapi bila sampai, dia dah terapung,” ujarnya.
Nor Hidayah yang juga Penolong Jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah baru sahaja disahkan bebas daripada kanser payudara awal bulan ini selepas hampir setahun menjalani rawatan.
“Dia gembira sangat sebab doktor sahkan dah bebas kanser. Katanya nak bercuti dulu sebelum sambung kerja tahun depan.
“Semua yang dia nak, saya usahakan sebab saya tahu dia banyak berkorban untuk kami,” katanya lagi.
Sementara itu, datuk saudara kepada Urshia Medina, Megat Rosli Megat Dewa, 68, berkata seluruh keluarga tidak menyangka percutian yang dirancang penuh kegembiraan berakhir dengan kehilangan dua insan tersayang.
“Lebih sedih, Medina sepatutnya sambut hari lahirnya hari ini, 19 Oktober. Kami dah sambut awal Jumaat lepas, tapi dia tak sempat nak buka hadiah,” katanya.
Kedua-dua jenazah disempurnakan di Unit Forensik Hospital Kemaman sekitar jam 2 pagi sebelum dibawa pulang ke Kedah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hijrah, Jitra, hari ini.
