KEMAMAN, 20 Oktober – Suasana harmoni dan semangat perpaduan kaum jelas terpancar di Taman Perasing Jaya apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, berkunjung ke rumah penganut Hindu sempena sambutan Hari Deepavali hari ini.
Kunjungan beliau ke kediaman Timbalan Pengerusi JPKK Taman Perasing Jaya, Siva Kumar a/l Sri Raman menyerlahkan keakraban masyarakat pelbagai bangsa di kawasan itu.
Siva Kumar menzahirkan rasa gembira atas sambutan meriah tersebut apabila rakan-rakan daripada pelbagai kaum, Melayu, Cina dan India hadir bersama keluarga masing-masing untuk memeriahkan suasana perayaan.
“Saya amat gembira menyambut Deepavali tahun ini kerana rakan-rakan daripada pelbagai kaum datang memeriahkan suasana. Mereka turut dijamu dengan hidangan tradisional India seperti tosai, maruku dan kuih-muih perayaan.
“Kehadiran mereka mencerminkan semangat perpaduan yang kekal utuh walaupun berbeza bangsa dan agama,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hafiz menyifatkan suasana harmoni yang dizahirkan pada majlis rumah terbuka itu sebagai contoh terbaik nilai kebersamaan yang wajar dicontohi seluruh rakyat Malaysia.
“Saya sangat teruja dapat hadir ke sambutan Deepavali yang penuh semangat perpaduan seperti ini, khususnya di DUN Air Putih,” ujar beliau.
Beliau menegaskan, semangat kerjasama dan keharmonian masyarakat berbilang kaum perlu terus dipupuk kerana ia mencerminkan identiti sebenar dan kekuatan negara.