lightning-solid
Berita :
Dari Sisa Jadi Baja: Primula Beach Hotel Rintis Projek Hijau
Dari Sisa Jadi Baja: Primula Beach Hotel Rintis Projek Hijau
Mastura Jamal Din
19 Oct 25
94

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Dari dapur hotel ke ladang tanaman, itulah inovasi hijau yang  direalisasikan melalui kerjasama antara Primula Beach Hotel dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi projek penghasilan baja kompos daripada sisa buangan makanan.

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata majlis berkenaan dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuhkan hubungan antara industri dan institusi pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan teknologi hijau.

Menurutnya, inisiatif baja kompos ini dijalankan sepenuhnya oleh pasukan dalaman hotel dengan kerjasama penyelidik dari UniSZA sekali gus menjadikan Primula antara hotel perintis di negeri ini dalam pengurusan sisa makanan secara mampan,

“Kita buat sendiri, kumpul setiap hari yang mana proses ini mengambil masa antara sebulan hingga tiga bulan.Sekitar 40 kilogram lebihan makanan dikumpulkan setiap hari daripada operasi dapur hotel, khususnya daripada bufet yang dihidangkan kepada tetamu.

“Dulu, semua lebihan makanan ini dibuang begitu saja kerana tidak boleh disalurkan kepada mana-mana pihak. Sekarang, kita guna balik dan jadikan baja untuk tanaman di kawasan hotel,” ujarnya.

Menariknya, beliau berkata projek itu tidak menggunakan mesin khusus sebaliknya, bahan sisa dimasukkan ke dalam tabung bersama bahan tambahan semula jadi seperti baja asas dan sejenis mikroorganisma tempatan dikenali sebagai 'black soldier fly larva' yang membantu mempercepatkan proses pereputan.

"Selepas tiga bulan, hasil kompos tersebut digunakan untuk tujuan fertigasi dan penyelenggaraan landskap hotel, sekali gus menjadikan Primula antara hotel perintis di negeri ini dalam pengurusan sisa makanan secara mampan," ujarnya lagi.

Tambah Suaibah, sebagai organisasi di bawah Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Primula Beach Hotel komited menyokong agenda negeri dalam pelancongan lestari dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Melalui projek seperti Baja Kompos ini, kami bukan sahaja mengurangkan sisa makanan yang berakhir di tapak pelupusan, tetapi menukarkannya menjadi sumber bermanfaat kepada komuniti dan sektor pertanian,” katanya. 

Beliau juga  yakin, dengan kepakaran UniSZA, projek ini mampu menjadi model kerjasama universiti–industri (U–I Collaboration) yang memberi impak positif kepada ekonomi hijau negeri Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan