KEMAMAN,12 Oktober - Seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, ditemui lemas ketika mandi kolam bersama keluarganya di sebuah resort terkenal di Kijal, di sini, petang semalam.
Mangsa, Nurhazwani Abd Halim, 34, yang juga merupakan anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Datuk Abd Halim Jusoh, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 5.30 petang, oleh suaminya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, sebelum kejadian, mangsa tiba di resort tersebut bersama ahli keluarganya kira-kira pukul 4 petang.
“Difahamkan, mangsa bersama suaminya telah mandi di kolam resort tersebut kira-kira pukul 4.30 petang.
“Bagaimanapun, selepas hampir sejam mandi, mangsa tiba-tiba disedari lemas oleh suaminya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Wan Muhamad berkata, mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Kemaman dan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, Adun Kijal, Datuk Razali Idris menerusi perkongsian Facebooknya turut turun bersama isteri menziarahi keluarga mangsa di hospital, pagi ini.
Turut sama menziarahi keluarga mangsa, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.