lightning-solid
Berita :
Bantuan Diagih Tanpa Mengira Warna Politik
Bantuan Diagih Tanpa Mengira Warna Politik
Hidayah Azlin
16 Oct 25
270

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa agihan pelbagai bentuk bantuan dan geran hanya diberikan kepada penyokong parti, kerana prinsip keadilan untuk semua rakyat telah lama menjadi amalan pentadbiran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, menegaskan bahawa setiap penerima bantuan merupakan rakyat Terengganu yang layak, tanpa mengira latar belakang politik.

“Jangan mudah-mudah kata kerajaan negeri hanya bagi bantuan kepada orang parti tertentu.

“Setiap program agihan bantuan seperti bantuan pertanian, penternakan, perikanan dan pelbagai lagi termasuk agihan geran tanah team media akan mengambil gambar setiap penerima secara ‘close up’,” jelas beliau.

Menurut Dr. Azman, semua proses agihan bantuan direkodkan secara teliti dan rapi.

Pihaknya turut meneliti latar belakang setiap penerima bagi memastikan setiap program dilaksanakan secara telus, menyeluruh, dan bukan sekadar bersifat ‘Touch and Go’.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menerbitkan gambar penerima di bawah kategori politik seperti 'Penerima Bantuan dari Kalangan BN/PH' kerana perkara itu dianggap tidak relevan dan tidak perlu diperbesarkan.

“Mereka semua adalah rakyat kita yang berhak menerima bantuan. Tak perlu diungkit dan diperbesarkan. Perangai agih bantuan berdasarkan warna politik sudah lama kita kuburkan,” tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu juga meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang masih beranggapan bahawa agihan bantuan dilakukan atas dasar politik, sedangkan realitinya jauh berbeza.

“Cuma begitulah psikologi manusia, bila awak pernah buat begitu kepada orang maka awak ingat orang lain juga akan buat begitu kepada awak. Keluarlah dari zaman kelam ke dunia yang lebih cerah dan terbuka,” ujarnya memberi peringatan.

Dr. Azman turut menjemput orang ramai untuk meneliti sendiri bukti di laman Facebook beliau yang memaparkan pelbagai gambar penerima bantuan daripada pelbagai latar belakang.


Tag :

Artikel Berkaitan