Oleh: Fatimah Din
MARANG, 28 Julai - Golongan muda digalak untuk meneroka penternakan ikan kelah yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
Seorang penternak ikan kelah, Kamarudin Yunus, 54, berkata, penternakan ikan kelah sebenarnya mampu menjana pendapatan yang lumayan memandangkan harganya boleh mencecah ribuan ringgit.
Kamarudin berkata, pada awalnya dia hanya membela ikan tersebut secara kecil-kecilan sahaja di rumahnya di Kampung Gondang di sini.
"Apabila nampak berjaya, jadi saya perbesarkan ternakan ikan kelah sehinggalah hari ini, selain itu ada juga ikan talapia yang pelbagai saiz dari kecil, sederhana dan besar, insya Allah akan diperbesarkan masa akan datang,
"Pesan saya kepada generasi muda yang ingin menceburi bidang penternakan supaya cari ilmu dahulu dan perlu disertai dengan minat supaya apa yang diusahakan berjaya," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) daerah Marang.
Katanya, generasi muda perlu ada cita-cita untuk menternak ikan kelah yang merupakan khazanah negara agar ianya tidak pupus disebabkan pencemaran .
"Dulu ikan kelah hanya ditemui di tasik atau jeram, tetapi hari ini ianya berada di persekitaran kita. Ikan kelah ini ada yang mengatakan susah untuk dipelihara, tetapi sebenarnya boleh diternak sendiri di rumah.
"Matlamat utama saya adalah untuk memperkenalkan khazanah negara kita," ujarnya.