SETIU, 29 September - Pasukan Kampung Alor Lek muncul juara Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala ADUN Langkap 2025 selepas menewaskan Kampung Rahmat 2-0 dalam aksi final yang berlangsung pada malam 27 September lalu.
Skuad Alor Lek membuka tirai kemenangan melalui jaringan Mohd Shahlan Awang pada minit ke-31, sebelum Aziezul Abdullah menambah gol kedua hanya tiga minit kemudian untuk memastikan kejuaraan milik pasukan mereka.
Dengan kejayaan itu, Kampung Alor Lek membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 berserta pingat dan trofi kejuaraan, manakala naib juara Kampung Rahmat berpuas hati dengan hadiah RM1,000 dan pingat.

Tempat ketiga bersama pula menjadi milik pasukan Chalok Barat dan Bukit Putera selepas tewas di separuh akhir, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500 beserta pingat.
Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu sekali gus menutup tirai kejohanan dengan penuh meriah, selain diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat bola sepak di peringkat kampung.
