KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – “Muka kami dipaksa sujud atas tar di bawah terik matahari,” itu antara detik menyayat hati diceritakan aktivis kemanusiaan Sumud Flotila dari Terengganu, Mohd Asmawi Mukhtar.
Menurutnya, sebaik kapal flotila ditahan, semua aktivis diculik dan diarahkan turun melalui kawasan pelabuhan Israel sebelum diseret kira-kira 200 meter dalam kawalan ketat tentera.
Katanya, tangan mereka ditarik ke belakang dan kepala ditekan ke bawah bagi menghalang sebarang pergerakan.
“Setibanya di satu lokasi khas, tentera rejim mengarahkan semua aktivis 'sujud' di atas permukaan jalan bertar yang panas.
“Saya cepat-cepat letak pasport bawah muka untuk alas.
“Ramai yang tak sempat alas, muka mereka betul-betul ditekap atas tar,” cerita Asmawi.
Katanya, mereka dipaksa dalam posisi itu selama hampir tiga jam, tanpa sebarang perlindungan daripada terik matahari.
Tambahnya, walaupun tangan tidak diikat, semua dikawal ketat oleh komando rejim dan tidak dibenarkan bergerak walau sedikit pun.
“Yang perempuan lebih teruk. Ada yang menangis kesakitan. Tentera langsung tidak ada belas kasihan,” ujarnya lagi.
Selepas tiga jam jelas Asmawi, semua aktivis dibawa ke kawasan lain seperti kawalan imigresen untuk pemeriksaan rapi.
“Tentera Zionis turut merampas semua barang peribadi, termasuk dokumen dan pakaian, kerana mengesyaki sebarang maklumat berkaitan misi flotila,” ujarnya.