lightning-solid
Berita :
Agihan Tidak Seimbang Jejaskan Sektor Pelancongan Terengganu
Agihan Tidak Seimbang Jejaskan Sektor Pelancongan Terengganu
Zuhdi Abdullah
19 Oct 25
418

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Sektor pelancongan Terengganu yang sepatutnya menjadi pemacu utama ekonomi negeri itu didakwa terus terbantut ekoran dasar kewangan yang lemah serta agihan peruntukan tidak seimbang daripada Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, berkata perkara itu dapat dilihat menerusi jumlah peruntukan promosi pelancongan yang diterima Terengganu yang rendah dua tahun berturut-turut, termasuk dalam Belanjawan 2025 yang lalu.

Menurutnya, Terengganu hanya diperuntukkan RM470,000 untuk promosi pelancongan, jauh lebih rendah berbanding negeri lain seperti Wilayah Persekutuan (RM1.33 juta), Selangor (RM1.26 juta) dan Sabah (RM1.07 juta).

“Jurang ini amat ketara dan menunjukkan kegagalan kerajaan dalam mengurus dana secara adil antara negeri maju dan negeri yang masih memerlukan sokongan pembangunan.

“Pelancongan adalah nyawa ekonomi Terengganu, tetapi dana yang disalurkan seolah-olah tidak mencerminkan potensi besar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, dasar semasa menetapkan 50 peratus hasil cukai pelancongan antarabangsa perlu dikembalikan kepada negeri, namun Terengganu hanya menerima sekitar RM5,000 pada tahun 2023 berbanding Johor (RM160,000).

Dalam masa sama katanya, sektor pelancongan Terengganu turut berdepan masalah kemudahan asas yang semakin uzur, termasuk penutupan Jalan Aring 8 – Tasik Kenyir – Kuala Jeneris (FT036) akibat tanah runtuh sejak tahun lalu.

Kerajaan negeri sebelum ini memohon RM36 juta bagi kerja-kerja pembaikan dan pembinaan jambatan baharu, namun walaupun dilaporkan diluluskan pada Julai lalu, kerja pembaikan masih belum bermula.

Ujarnya, penduduk serta pengusaha pelancongan di sekitar Tasik Kenyir meluahkan rasa kecewa kerana kelewatan itu menjejaskan aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, di Setiu, Jeti Merang yang menjadi pintu masuk utama ke Pulau Redang pula berdepan masalah muara cetek kronik yang menjejaskan laluan bot dan keselamatan pelancong.

Kemudahan di Jeti Pulau Redang juga dilaporkan belum dinaik taraf sepenuhnya meskipun jumlah pelancong meningkat saban tahun.

Komuniti pelancongan negeri mendesak Kerajaan Persekutuan agar menyemak semula dasar agihan peruntukan serta mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur utama bagi memastikan sektor pelancongan Terengganu kembali berdaya saing.


Tag :

Artikel Berkaitan