KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) berjaya melaksanakan lebih 75 peratus daripada keseluruhan 93 Program Pembangunan Berimpak Tinggi (High Impact Portfolio Programs - HIPP) yang dirancang setakat ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan program tersebut melibatkan pelbagai inisiatif sedia ada serta penambahan baharu yang diselaraskan mengikut portfolio setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
“Sehingga kini, berdasarkan laporan pelaksanaan semasa, sebanyak 32 program (34.4 peratus) telah berjaya disempurnakan, manakala 38 program (40.9 peratus) sedang giat dilaksanakan. Sebanyak 19 program (20.43 peratus) masih berada di peringkat perancangan, dan empat program (4.3 peratus) lagi di peringkat kertas konsep.
“Ini bermakna lebih 75 peratus program sama ada telah siap atau sedang dalam pelaksanaan. Ia membuktikan kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri bersama jentera pelaksana, agensi teknikal dan rakan strategik dalam menjayakan agenda pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 hari ini, yang ingin mengetahui tahap pencapaian PITAS2030 serta sejauh mana keyakinan kerajaan untuk mencapai sasaran pelan itu dalam tempoh lima tahun yang berbaki.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Negeri terus mengambil langkah strategik bagi memastikan PITAS2030 dapat direalisasikan sepenuhnya menjelang 2030, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global.
Antara langkah utama katanya, termasuk pelaksanaan Pelan New Income Terengganu (NIT) bagi meningkatkan pendapatan negeri serta mengaktifkan industri-industri baharu.
“Kerajaan juga memberi tumpuan kepada pengaktifan sektor teknologi hijau menerusi Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITiH) yang diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi hijau mampan dan menjana pendapatan kepada rakyat serta negeri.
“Selain itu, pembangunan sektor Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) akan diteroka secara lestari dan beretika sebagai salah satu potensi sumber pendapatan baharu negeri,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa PITAS2030 bukan sahaja mampu direalisasikan sepenuhnya menjelang 2030, malah sebahagian sasaran utama dijangka dapat dicapai lebih awal daripada jangkaan.