Artikel "Wanita" Terkini
'Alamanda Fun Run' Tarik Lebih 500 Peserta
Program larian kaum wanita, 'Alamanda Fun Run' melibatkan laluan sejauh lima kilometer berjaya menarik lebih 500 peserta.
26 Jul 22
168
2,820 Wanita Terengganu Terima Manfaat WCaRe
Seramai 2,820 wanita negeri ini menerima manfaat melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sempena Sambutan Hari Ibu peringkat negeri pada tahun ini.
02 Jun 22
0
2,820 Wanita Terengganu Terima Manfaat WCaRe
KUALA NERUS, 29 Mei - Seramai 2,820 wanita negeri ini menerima manfaat melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sempena Sambutan Hari Ibu peringkat negeri pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kesemua penerima tersebut akan menerima peruntukan sehingga RM200,000 untuk menjalani saringan HPV DNA bagi mengesan kanser serviks dan mammogram untuk pengesanan awal kanser payudara.
"Kempen pada kali ini Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mempakejkan gerak promosi dengan mengabungkan dua perkhidmatan iaitu Program Subsidi Mamogram dan Pemeriksaan Papa Smear.
"Ia bertujuan untuk memberi pengetahuan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita, dengan fokus utamanya adalah kepada aspek pencegahan kanser reproduktif di kalangan wanita pada peringkat awal," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu dan Kempen Kesedaran dan WCaRe, di Taman Tasik Kuala Nerus, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah LPPKN, Muhamad Noh Abdullah dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan W\anita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa, justeru beliau menyeru kepada semua kaum ibu dan wanita Terengganu agar menjalni ujian saringan terbabit.
"Saya turut difahamkan LPPKN telah beranjak kepada kaedah 'Liquid Base Cytology (LBC) secara spesifik, rapi dan mudah di mana klien sendiri melakukannya dengan tunjuk ajar daripada jururawat terlatih.
"Kaedah ini sudah tentu lebih mudah, dan langkah diperkenalkan ini menjadi pilihan ramai terutama kepada wanita yang masih berasa malu untuk melakukan ujian sebagaimana sebelum ini.
"Perkhidmatan ini disediakan secara percuma di tiga buah Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut,"ujarnya.
Mengenai sambutan hari ibu peringkat negeri itu, jelasnya sangat bermakna kerana pada tahun ini dapat disambut secara fizikal.
"Kasih Ibu Selamanya, itulah tema yang dipilih untuk sambutan pada tahun ini, untuk mengajak pelbagai lapisan masyarakat untuk menghargai dan memberi tumpuan kepada peranan ibu dan bapa dalam memastikan keluarga terus sejahtera, terutamanya dalam kesihatan mental dan keselamatan keluarga agar kekal harmoni walaupun berdepan pelbagai cabaran.
"Kesejahteraan keluarga bermula dengan ikatan kasih sayang yang erat daripada seorang ibu dan disusuli dengan kepimpinan unggul oleh seorang bapa, kedua-duanya merupakan tunggak kekuatan bersama dalam sesebuah keluarga,"ujarnya.
Untuk rekod Program sambutan hari ibu pada kali ini telah berjaya mengumpulkan 300 kaum ibu beserta ahli keluarga dari seluruh negeri dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, senaman tai chi batik, demo makanan sihat, sudut bergmbar bersama ibu.
Antaranya lagi ialah permainan keluarga, pertandingan untuk ibu dan anak serta kembara kaunseling dan juga Mama Care.
29 May 22
600
Nasib Ibu Tunggal 'Dianiaya' Bekas Suami Terbela
KUALA TERENGGANU, 28 April - Nasib 31 ibu tunggal yang teraniaya akibat bekas suami tidak membayar nafkah, terbela hari ini apabila mereka menerima Dana Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd Hakim, berkata untuk itu Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM62,500 di bawah asnaf miskin.
Katanya, golongan terbabit tidak mampu meneruskan kelangsungan hidup dan menyara kehidupan anak dengan pendapatan sedia ada setelah bekas suami cuai menjalankan tanggungjawab.
"Terutama setelah berkahwin lain, lelaki tersebut lebih menumpukan perhatian untuk menjaga anak dan isteri baru.
"Selain itu antara faktor yang menyebabkan bekas suami tidak mampu membayar nafkah ialah tidak mempunyai pendapatan tetap," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Anak Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Sumai Garden Hall, Sumai Hotel Apartment, di sini, pada hari ini.
Untuk rekod, sebagai komitmen yang berterusan, MAIDAM juga telah bersetuju meluluskan Bantuan Pendahuluan Nafkah kepada Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu sebanyak RM200,000 melalui peruntukkan asnaf miskin.
Mengulas lebih lanjut, Wan Mohd Zakri berkata, mengikut statistik dari tahun 2019 sehingga kini seramai 1,616 bekas suami berhadapan tuntutan nafkah anak.
"Sebelum ini telah ada peruntukan supaya mana-mana suami yang gagal melunaskan tuntutan boleh dipenjarakan tetapi ia tidak memberi kesan yang baik.
"Terbaharu melalui satu prosiding, pihak mahkamah syariah telah mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan bank membekukan sejumlah wang yang ada dalam akaun.
"Termasuk bank Tabung Haji digunakan untuk dibayar kepada anak-anak mereka mengikut jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah syariah, itu perkembangan terkini," ujarnya.
Sementara itu, Shaikh Harun memberi jaminan pihaknya akan cuba memastikan pungutan zakat melalui Kumpulan Wang Amanah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Terengganu akan terus dikekalkan untuk diagihkan kepada ibu-ibu dan anak-anak yang mengalami masalah tunggakan nafkah.
"Isu pengabaian nafkah ini walaupun nyata adalah tanggungjawab para bapa atau suami, ia tidak semudah kita bercakap kerana ia melibatkan aspek kemampuan kewangan sehingga ramai yang dipenjarakan akibat ingkar perintah mahkamah.
"Jadi disinilah wujudnya peranan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dan MAIDAM untuk menyalurkan bantuan kepada yang layak," katanya.
Beliau berharap agar penerima bantuan menggunakannya dengan sebaik mungkin dan memanfaatkannya untuk membeli keperluan anak-anak.
28 Apr 22
1538
Caruman PERKESO Buat Suri Rumah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Zuraida mengulangi saranan agar kerajaan negeri dapat meneliti cadangan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat suri rumah di Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berharap agar cadangan yang pernah dilontarkan olehnya dalam Sidang yang lalu, akan segera diperhalusi dan diluluskan.
Beliau meletakkan pengharapan yang tinggi agar pihak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya agar kebajikan golongan suri rumah terjamin dan terbela.
"Peratus komuniti suri rumah di Terengganu mencatat angka 53 peratus di mana peratusannya lebih tinggi berbanding wanita yang bekerja.
"Di sini dapat kita lihat betapa golongan suri rumah ini perlu disantuni dan dibantu agar institusi kekeluargaan yang harmoni dapat diwujudkan sekaligus komuniti suri rumah dapat turut menyumbang kepada kemajuan negeri," ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Ucapan Perbahasan menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku al-Sultan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Beliau berpandangan bahawa para suri rumah harus didedahkan dengan ilmu kemandirian agar lebih bersedia sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti perceraian atau kematian suami.
"Untuk makluman ahli dewan, Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah adalah Mercu Tanda PITAS2030 (Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030) di bawah Teras Strategik 7; Keterangkuman Kebajikan Rakyat dan Peningkatan Kedayaan Wanita.
"Saya ingin mencadangkan kepada semua pihak agar dapat memberi sokongan dalam usaha menjayakan Modul Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah," ulasnya lagi.
Zuraida menambah bahawa aplikasi modul Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah ini juga wajar diberikan kepada golongan lelaki yang merupakan ketua keluarga.
Justeru itu, beliau mencadangkan agar elemen kesedaran dan tanggungjawab para suami dalam menguruskan rumahtangga dimasukkan ke dalam siri teks khutbah Solat Jumaat.
23 Mar 22
912
Hiwalah Solusi Masalah Pengabaian Nafkah
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Pelaksanaan hiwalah boleh menjadi sebagai salah satu cara penyelesaian terhadap masalah pengabaian nafkah oleh bekas suami terhadap keluarganya.
Hiwalah merujuk kepada proses pemindahan wang atau hakmilikan melalui akaun bank atau institusi kewangan bekas suami atau bapa yang culas dalam pemberian nafkah oleh pihak Mahkamah Syariah, untuk digunakan bagi melunaskan tuntutan nafkahnya.
Hal ini bagi memastikan hak nafkah dan mut’ah bekas isteri serta anak-anak tidak diabaikan oleh seorang bekas suami atau bapa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata dengan adanya perintah hiwalah, nasib wanita bergelar isteri serta anak-anak lebih terbela.
"Secara teorinya kaedah ini sangat bagus untuk membantu mengurangkan atau menyelesaikan masalah nafkah tertunggak, namun untuk pengetahuan sidang hadirin hadirat sekalian proses hiwalah ini agak sulit dilaksanakan kerana kesukaran untuk mendapatkan maklumat pihak suami dari institusi kewangan.
"Oleh itu, suka untuk saya mencadangkan agar kaedah hiwalah ini mendapat perhatian pihak yang terlibat, dan memohon agar prosesnya dipermudahkan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, kelmarin.
Walau bagaimanapun masih ramai wanita dari kalangan ibu tunggal yang belum mendapat pendedahan mengenai alternatif bagi menuntut hak mereka dari sudut nafkah.
Zuraida mencadangkan agar turut diadakan sebaran ilmu literasi undang-undang bagi memastikan keadilan kepada wanita-wanita Terengganu dapat ditegakkan.
Menurut beliau lagi, perintah hiwalah bukanlah semata-mata ingin menghukum bekas suami, namun bersifat mendidik supaya para suami tidak mengambil ringan perihal nafkah dan supaya mereka menjadi lebih bertanggungjawab.
Cadangan pelaksanaan hiwalah ini mendapat respon yang positif daripada Kerajaan Negeri Terengganu.
23 Mar 22
527
Galak Wanita Ceburi Bidang Sains, Kejuruteraan
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kaum wanita digalakkan untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih aktif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata peratus keterlibatan wanita dalam bidang tersebut jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kaum lelaki.
Menurut beliau, data daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendedahkan lebih 70 peratus penyelidik dalam STEM adalah lelaki manakala wanita pula kurang 30 peratus.
"Begitu juga di peringkat pengajian tinggi, direkodkan hanya 30 peratus pelajar perempuan memilih untuk menceburkan diri dalam bidang STEM.
"Saya mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan kewujudan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan merangka program yang bersesuaian, yang mana kumpulan fokusnya adalah wanita dengan mengambil model daripada MOSTI untuk turut diaplikasi di PSKT.
"Suka saya mencadangkan satu insentif khas diberikan buat wanita Terengganu yang menceburi bidang ini," tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika dalam berucap dalam Perbahasan Ucapan Titah Tuanku dalam Sidang DUN di Wisma Darul Iman, sebentar tadi.
Zuraida menegaskan bahawa perlunya wujud usaha untuk menarik wanita bagi menceburi bidang STEM.
"Saya teguh dengan pendirian sepertimana yang telah dilontarkan dalam sidang yang lalu, mereka ini wajar mendapat galakan serta diberi bimbangan sebagai pemangkin untuk menceburi bidang ini," ulasnya lagi.
23 Mar 22
395
Kerajaan Digesa Tubuh Pusat Pemurnian Akidah, Akhlak
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Cadangan penubuhan Pusat Pemurnian Akidah dan Akhlak, Baitul Iman akan membantu mengatasi masalah ketiadaan pusat pelindungan kepada pesalah syariah wanita Negeri Terengganu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, Mahkamah Syariah memerintahkan pesalah ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan oleh Majlis selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Namun, masalah utamanya adalah sehingga kini, masih belum ada mana-mana pusat atau rumah yang diluluskan bagi tujuan tersebut dalam Negeri Terengganu.
"Sekiranya Mahkamah Syariah Terengganu memutuskan pesalah dikenakan tahanan di pusat pemulihan atau rumah diluluskan, maka pesalah akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor.
"Manakala bagi pesalah lelaki, mereka akan dihantar ke Baitul Iman, Hulu Yam, Selangor," ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika dalam berucap dalam Perbahasan Ucapan Titah Tuanku dalam Sidang DUN di Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Kata Zuraida Kos untuk menghantar pelatih ke sana akan ditanggung oleh pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), dengan kadar RM7,080 bagi tempoh enam bulan untuk seorang pelatih.
"Antara rasional mengapa perlunya pusat ini diwujudkan di Terengganu ialah kerana pesalah wanita akan ditempatkan ke pusat pemulihan yang terletak di Selangor yang sudah tentu akan memakan masa perjalanan yang panjang dan jarak yang jauh serta pesalah juga terpaksa dimasukkan ke lokap sebelum dibawa ke pusat pemulihan.
"Di samping itu, pesalah berhadapan dengan risiko kemalangan di jalan raya kerana menggunakan pengangkutan darat selain kos tanggungan dapat dijimatkan.
"Saya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Ustaz Satiful Bahari Mamat bercadang untuk membina pusat pemulihan akhlak dan aqidah di Marang dan saya mencadangkan agar pusat tersebut turut membawa fungsi sebagai Pusat Pemurnian Aqidah dan Akhlak untuk pesalah wanita, dengan cadangan nama Baitul Iman," katanya.
23 Mar 22
580
YPK Serius Bentuk Usahawan Ibu Tunggal
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) serius mahu melahirkan usahawan daripada kalangan ibu tunggal.
Timbalan Pengarah YPKT, Kamarulzaman Awang berkata bahawa aspek disiplin sangat dititikberatkan sepanjang peserta armalah (ibu tunggal) menyertai kursus usahawan di bawah kendalian YPKT.
"Kami menyediakan sejumlah pinjaman kepada ibu tunggal yang mahu menjalankan perniagaan tetapi dengan syarat, mereka perlu melalui kursus-kursus yang telah kami tetapkan.
"Kami akan letakkan peserta-peserta secara berkumpulan, tiga orang satu kumpulan dan dari sini kita akan menilai disiplin mereka, dari segi ketepatan masa, kerjasama. Kemudian kita akan nilai bagaimana prestasi mereka." ujarnya.
Kamarulzaman berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (KHAIRUNNISA') dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Kompleks Ibu Tunggal YPKT, kelmarin.
Rombongan Kunjungan Hormat daripada KHAIRUNNISA', USWa dan Pejabat ADUN Wanita.
Kunjung hormat itu diketuai oleh Timbalan Pengerusi KHAIRUNNISA', Zuraida Md Noor yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu.
Turut bersama-sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, Setiausaha Kehormat KHAIRUNNISA' Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din.
Zuraida menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak YPKT yang menerima kunjungan hormat daripada mereka serta berharap agar ada kerjasama yang dapat dibentuk antara pihak yang terlibat dalam program itu.
Zuraida ketika menyampaikan ucapan.
"Saya sangat tertarik dengan produk-produk YPKT seperti Taska Permata Keluarga, Klinik Kaunseling, Skim Permata Sejahtera, Baitul Urus dan lain-lain, yang saya lihat selari dengan objektif YPKT.
"KHAIRUNNISA' dan USWa juga mesti dimanfaatkan untuk menjadi ejen penerangan, berfungsi untuk menyebarkan maklumat dan hebahan mengenai program-program YPKT agar lebih ramai Rakyat Terengganu dapat merasai manfaatnya," tambahnya lagi.
06 Jan 22
1045
NISA’ Santuni Mangsa Banjir Pahang
Foto oleh: 3N NISA' Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Pertubuhan Kasih Nur Insani Terengganu (NISA’ Terengganu) turut sama-sama menyantuni rakyat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab yang ditimpa ujian banjir, baru-baru ini.
Pengarahnya, Tengku Fatimah Tengku Hashim berkata ahli NISA’ dengan 20 anggota dari daerah Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kemaman, Setiu dan Besut telah dihantar untuk sama-sama menyertai Misi Bantuan Pasca-Banjir Pahang dianjurkan kerajaan negeri baru-baru ini.
Sukarelawan NISA' membantu mangsa banjir.
“Tujuan kami turun misi banjir untuk misi pembersihan dan agihan barang. Kami bahagikan kepada kumpulan misi bersih dan kumpulan misi agih.
“Pengagihan Kit Keceriaan Kanak-Kanak sumbangan daripada Ikon Syabab Resorces. Paling utama agihan kami berupa bentuk pakaian dalam wanita yang sangat dinanti-nantikan oleh para wanita di sana.
“Paling seronok masa pengagihan kit keceriaan dan pakaian dalam wanita. Kami santuni anak kecik dan nampak wajah ceria apabila dapat file yang berisi alat tulis dan buku, terus mereka buka dan tulis. Untuk pakaian dalam wanita, kami bawakan beberapa bungkus untuk mereka sendiri pilih mana yang sesuai. Nampak riak gembira sebab ia merupakan bantuan yang jarang-jarang ada,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini.
Fatimah juga turut menzahirkan harapan agar seluruh anak muda wanita tidak merasa serik untuk memberikan sumbangan berupa tenaga, masa dan wang bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.
Sebahagian sukarelawan NISA'.
“Hari ini hari mereka, mungkin esok lusa hari kita. Teruskan melakukan kebajikan untuk dana pahala akhirat kelak.
“Sesiapa yang berminat melakukan aktiviti sukarelawan, boleh sahaja sertai NGO Nisa' di peringkat negeri dan daerah masing-masing,” sambungnya lagi.
04 Jan 22
240