lightning-solid
Berita :

Artikel "Pertanian" Terkini

Pasangan OKU Penternak Ikan Keli
Pasangan OKU Penternak Ikan Keli
KEMAMAN, 16 Oktober - Sepasang suami isteri yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) Fizikal menjadi penternak ikan keli bagi mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup dan membantu meringankan bebanan keluarga. Muhammad Firdhaus Hasan, 27, dan pasangannya, Nurul Jannah Roh, 25, yang tidak mampu berjalan dan bergantung dengan bantuan kerusi roda itu memulakan perniagaan tersebut sejak bulan Mac yang lalu. Firdhaus berkata, mereka memulakan penternakan tersebut dengan membeli segala peralatan dan kelengkapan yang berkaitan dengannya serta membeli anak ikan keli sebanyak 1,000 ekor daripada pembekal di Kuantan, Pahang. "Pada awalnya kami juga menghadapi masalah dan cabaran apabila sebahagian daripada jumlah anak ikan kami itu mati.  "Namun begitu, setelah mendapat bantuan daripada keluarga dan ilmu penternakan yang betul daripada seorang abang yang merupakan pesara di Jabatan Perikanan Malaysia, penternakan ikan keli kami ini mula berjalan dengan baik dan lancar serta kini saiznya mula membesar sehingga kami sudah mula mampu menjualnya  kepada pelanggan," ujarnya. Ikan keli yang merupakan baka Afrika ini dijual dengan harga RM10 untuk 4 ekor bersaiz sederhana. Ianya turut dibersihkan dan disiang terlebih dahulu sebelum dijual kepada pelanggan.  Pasangan ini juga turut mencari pendapatan sampingan dengan berniaga secara kecil-kecilan seperti menjual minuman kopi, dadih, kuih dan sebagainya pada setiap hujung minggu (Jumaat dan Sabtu) di Pekarangan Pantai Teluk Mak Nik.  Jelas Firdhaus, isterinya juga turut mengadakan perkhidmatan rawatan resdung tanpa asap, spa dan kecantikan di rumah mereka.   Apabila ditanya bagaimanakah perasaan mereka setelah menjalani kehidupan sebagai pasangan OKU, beliau menjelaskan perkahwinan tersebut dibina atas dasar cinta antara satu sama lain. Apabila melihat pada kekurangan yang ada, ianya bukan sesuatu yang mudah. Namun, mereka menerima takdir ini sebagai ketentuan dari Ilahi.  "Bagi meneruskan kehidupan ini, memang sangat mencabar terutama dalam mencari rezeki. Setiap ujian dan dugaan yang kami hadapi ini sebenarnya menandakan yang Allah S.W.T sayangkan kami. Kami perlu berfikiran positif dan semangat perlu kuat. Segala kesukaran kami hadapi bersama. InsyaAllah, semoga rumahtangga yang dibina ini sampai ke akhir hayat," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, semalam. Pasangan istimewa yang melangsungkan perkahwinannya pada Julai 2018 ini turut mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Mereka merupakan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 seorang. Mereka juga pernah menerima sumbangan berbentuk kewangan, beras dan barangan dapur daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Abd Razak Ibrahim. Kepada mereka yang ingin mengetahui kisah dan melihat bagaimana perjalanan hidup pasangan ini, boleh menonton di Channel Youtube mereka sendiri, "JannatulFirdhaus TV". Manakala kepada mereka yang ingin membeli ikan keli, mendapatkan rawatan resdung, spa dan sebagainya boleh ke rumah mereka beralamat 111 Kampung Tanjung Bukit Mentok, 24000 Kemaman, Terengganu atau hubungi mereka di talian 012-9453435 / 0111- 1401043.
16 Oct 20
5705
OKU Nikmati Hasil Melon Manis
OKU Nikmati Hasil Melon Manis
Walaupun dilahirkan sebagai orang pekak, ia tidak menghalang 25 ahli Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) untuk mengusahakan projek tanaman tomato ceri dan Melon Manis Terengganu (MMT).  
14 Oct 20
203
Gajah Air Putih Dapat Perhatian Ahli Parlimen Kemaman
Gajah Air Putih Dapat Perhatian Ahli Parlimen Kemaman
KEMAMAN, 14 OKTOBER - Gajah di Air Putih mendapat perhatian Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dalam pertemuan bersama Pegawai Perhilitan Negeri Terengganu diwakili Timbalan Pengarah, Shaary Awang Besar. Pertemuan diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Kemaman pagi ini membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu gajah di Air Putih. Pada Khamis lepas sekumpulan gajah liar masuk ke kawasan tanaman sawit penduduk kampung dan memusnahkan kesemua anak pokok di ladang sawit milik penduduk kampung. Di Kemaman kumpulan gajah liar terbahagi kepada 3 kumpulan dan telah dibagi ‘ID’ oleh Pejabat Perhilitan Negeri iaitu ‘ID’ Hutan Simpanan Cherul, ‘ID’ Bandi dan ‘ID’ Tebak kesemua gajah anggaran 60 ekor atau lebih bercakap Timbalan Pengarah dalam pertemuan bersama Ahli Parlimen Kemaman. Ujarnya lagi aduan gajah untuk di Terengganu, Kemaman adalah daerah terbanyak aduan gajah liar yang meroskkan tanaman. Ini berikutan kemerosotan hutan simpanan atau tempat tinggal habitat ini telah diganggu. Kamarulzaman Mat Seri menunjukkan lokasi hidupan gajah di Kemaman Berikutan pertemuan ini, Che Alias Hamid akan membawa persolan ini di parlimen yang akan mula  bersidang pada 2 November dan akan mengaturkan pertemuan antara jabatan perhilitan dengan penduduk secepat mungkin bagi mendapat kerjasama yang baik. Pihak perhilitan negeri juga telah mengadakan operasi bermula ahad dan berakhir esok  dan sehingga kini belum dapat menjejaki haiwan tersebut. Dari masa kesemasa kerjasama antara penduduk kampung dan pihak jabatan adalah perlu bagi meyelesaikan masalah ini.  “Tangkapan terakhir yang telah dibuat oleh pihak jabatan sekitar Ogos  2018 dan Oktober  2020 isu gajah ini timbul kembali”, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim yang turut bersama dalam pertemuan pagi ini. Kerajaan Negeri Terengganu adalah salah satu negeri yang telah menubuhkan tabung amanah perhilitan bagi membantu Jabatan Perhilitan Terengganu beroperasi di Negeri Terengganu mengikut aduan-aduan yang telah dibuat. Turut bersama dalam pertemuan ini bagi mencari jalan penyelesaian Ketua Perhilitan Daerah Kemaman, Kamrulzaman Mat Seri dan Penyelia Pusat Khidmat Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam.
14 Oct 20
628
Dedak Isirung Sawit Jimat Kos Industri Ternakan
Dedak Isirung Sawit Jimat Kos Industri Ternakan
KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Dedak isirung sawit (PKC) mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan digunakan secara meluas dalam industri makanan haiwan memandangkan kelebihannya dari sudut kandungan nutrien dan kos yang kompetitif. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam penyediaan makanan haiwan, kos penggunaan PKC berbanding rumusan konvensional mampu dijimatkan sebanyak 15.42 peratus dengan nilai RM83.75 juta bagi sektor ruminan dan 22.53 peratus dengan nilai RM182.18 juta bagi sektor unggas pada 2019. Menurut beliau, kelebihan tersebut adalah dari sudut penjimatan kos yang dijangka akan melonjakkan industri ternakan negara. “Dalam hal ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sedang menyediakan Dasar Penggunaan PKC sebagai langkah untuk memastikan industri tersebut berkembang selain bagi menjamin bekalan berkenaan di dalam negara. Dasar ini juga penting bagi memastikan kawal selia PKC dari sudut pengeluaran dan penggunaannya adalah stabil. “Untuk itu, satu mekanisme berdasarkan kuota bagi tujuan eksport akan diperkenalkan bagi menjamin produk ini sentiasa terdapat di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan media. Mohd Khairuddin menambah, pasaran Malaysia hanya memerlukan bekalan PKC sebanyak 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluarannya. Beliau memberitahu, sehingga Jun 2020, pengeluaran PKC adalah sebanyak 1,165,588 tan dinggarkan bernilai RM686.7 juta berdasarkan harga purata selama enam bulan iaitu RM556 setiap tan. “Daripada jumlah itu, sebanyak 1,199,912 tan PKC bernilai RM667.8 juta telah dieksport antaranya ke New Zealand, Pakistan, Korea Selatan, China, Arab Saudi, Australia dan lain-lain negara,” jelasnya. Mohd Khairuddin berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus menguar-uarkan secara meluas tentang kelebihan PKC dalam penyediaan makanan haiwan terutamanya kepada penternak ruminan. Beliau menjelaskan, kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan bekerjasama dengan MARDI dan lain-lain agensi berkaitan untuk melaksanakan promosi bagi meningkatkan permintaan PKC. “Selain itu, MPOB dengan kerjasama pihak swasta juga telah membangunkan PKC Premium (PURAFEX) yang terhasil dengan menggunakan PURAFEX sebagai bahan asas sesuai sebagai makanan kepada ayam dan itik,” katanya. Mohd Khairuddin berkata, PURAFEX yang dihasilkan menggunakan PKC mempunyai kandungan nutrisi tinggi selain tawaran pilihan harga yang lebih murah. Ia dapat dihadam bukan sahaja oleh haiwan ruminan malah boleh dimakan oleh unggas selain dapat mengurangkan kebergantungan bahan asas import seperti jagung dan soya. - PNBBC Portal
14 Oct 20
1616
DUN Air Putih Sumbang Mesin Pam Air Dan Paip Poly Kepada Peserta Tanaman Berkelompok
DUN Air Putih Sumbang Mesin Pam Air Dan Paip Poly Kepada Peserta Tanaman Berkelompok
KEMAMAN, 12 Oktober - Seramai 25 orang peserta tanaman berkelompok dari Kampung Seberang Tayur Hulu telah menerima sumbangan berupa 5 buah mesin pam air dan 2 gulung paip poly daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih baru-baru ini. Penerima sumbangan terdiri daripada peserta projek tanaman jagung, kacang dan timun halus di tapak Tanaman Berkelompok, Teluk Romania, Kampung Seberang Tayur. Mesin pam air yang berfungsi untuk menyedut air sungai ini akan menyalur dan menyiram air ke atas tanaman di tapak projek tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim turut turun padang ke tapak projek berkenaan bagi menyampaikan sumbangan kepada para peserta. “Diharapkan dengan adanya tambahan mesin pam air ini, hasil tanaman dapat dipertingkatkan memandangkan sebelum ini para peserta perlu bergilir-gilir menggunakan mesin pam air yang sedia ada dan terhad” ujar beliau sewaktu menyerahkan sumbangan. “Semoga beban para peserta sedikit sebanyak dapat diringankan kerana mesin ini juga dapat membekalkan air yang mencukupi kepada tanaman untuk bertahan lebih lama dan tidak mudah rosak,” tambah beliau lagi. Beliau juga berpeluang melihat sendiri bagaimana mesin-mesin ini berfungsi di samping mendapat serba sedikit penerangan daripada para peserta. Rata-rata para peserta menzahirkan rasa terharu atas kecaknaan YB Razak terhadap petani seperti mereka yang mana bercucuk tanam merupakan sumber rezeki mereka bagi menyara keluarga masing-masing terutama di dalam keadaan pandemik covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.
12 Oct 20
755
Tak Salah Ternak Lembu
Tak Salah Ternak Lembu
KEMAMAN, 11 Oktober - Minat yang mendalam dengan bidang penternakan membuatkan seorang anak muda sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat swasta dan kini memberikan sepenuh masa dan tumpuan dalam bidang penternakan lembu.  Ahmad Safwan Syukri Saderi, 23, yang tinggal di Kampung Geliga Pantai mula menceburi bidang penternakan lembu sejak Februari 2018.  Safwan berkata pada mulanya dia membeli seekor lembu betina daripada rakannya. Setelah itu dia mula merasakan minat dan melihat potensi dalam bidang ini dan mula membeli beberapa ekor lembu lagi. Sejak daripada itu, lembunya semakin bertambah.  "Setakat ini hanya saya saja yang menternak lembu di kampung ini. Saya ingin membuktikan kepada remaja dan orang sekeliling di mana bidang penternakan seperti ini mampu menjana pendapatan yang lumayan untuk jangka mangsa panjang. Penjagaan lembu ini sebenarnya sangat mudah. Ianya tidak seperti menternak binatang lain seperti kambing dan lain-lain yang lebih sukar dan memerlukan lebih tumpuan dalam beberapa perkara," ujarnya. Apabila ditanya, tidak malukah memilih kerjaya ini, beliau mengingatkan kepada golongan muda agar tidak perlu malu untuk memilih bidang penternakan seperti ini.  "Buanglah sifat malu. Saya sangat menggalakkan anak muda yang masih mengganggur, agar menceburi bidang perternakan seperti ini. Marilah kita sama-sama majukan bidang penternakan yang juga merupakan salah satu cabang di bawah skop pertanian," katanya lagi.  Anak sulong daripada lima adik-beradik ini turut menerima banyak tunjuk ajar dan  khidmat nasihat daripada Jabatan Veterinar Kemaman. Beliau juga telah menerima sumbangan sebuah kenderaan roda tiga daripada Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid untuk memudahkan urusannya mengangkut rumput untuk makanan lembu dan sebagainya. Beliau juga pernah menerima sumbangan dan tajaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat bagi membina pagar kandang lembunya itu.  Beliau turut berharap dan berazam suatu hari nanti dapat memperbesarkan lagi penternakan lembu yang beliau usahakan sekarang ini.  "Sekarang ini kita lebih banyak 'import' lembu dan saya juga berharap suatu hari nanti saya dapat menjadi salah seorang penternak yang mampu bersaing di pasaran dan memenuhi permintaan daging lembu di dalam negara kita ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kandang lembu miliknya itu, baru-baru ini.
10 Oct 20
5389
Burung Helang Daripada Sabut Kelapa
Burung Helang Daripada Sabut Kelapa
SETIU , 10 Oktober - Kreativiti seorang petani yang mencipta 'burung helang' daripada sabut kelapa mengundang rasa kagum segelintir masyarakat di sini. Petani tersebut, Bidin Salleh, 50, berkata ia bagi menghalau haiwan ternakan memakan padi yang dijemur di halaman rumahnya. Katanya, dia hanya memanfaatkan idea yang terlintas di kepala tambahan pula ia tidak melibatkan sebarang kos. "Hanya menggunakan ranting pokok rambutan, sabut kelapa, tali, dan polisterin, ia dapat menghasilkan seakan-akan seekor burung helang. Matanya pula dicucuk dengan api lidi sahaja, "Kalau 'orang-orang', mungkin sudah menjadi perkara biasa kita lihat. Dalam buku pun ade. Yang ni tiada dalam buku ni, "Burung-burung ini digantung pada tali, diserikan lagi dengan bunyi batu yang diletakkan ke dalam botol. Bila bunyi, ayam itik  pun tak berani nak masuk dekat," katanya kepada pemberita ketika dihubungi semalam. Kaedah ini juga turut digunakan di sawah padi untuk menakutkan tikus.
09 Oct 20
913
Terengganu Jadi Pusat Rujukan Model Ladang Buluh
Terengganu Jadi Pusat Rujukan Model Ladang Buluh
KUALA NERUS, 1 Oktober – Terengganu akan membuka jalan bagi langkah awal pembangunan sektor perladangan buluh di Malaysia melalui pembinaan model ladang buluh di Pusat Latihan Industri Kayu Malaysia (TTITC), Kuala Berang. Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) , Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, majlis pecah tanah dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kementeriannya dengan Kerajaan Negeri Terengganu dalam bidang terbabit akan diadakan pada 4 Oktober ini. “Penghasilan model ini adalah penting sebagai rujukan kepada pemain industri buluh dan para pengkaji supaya dapat membangunkan sektor perladangan buluh. Ini kerana, kepentingan buluh pada masa kini adalah sebagai industri yang berpotensi untuk ke peringkat dunia. “Pasaran global untuk produk buluh kini dianggarkan bernilai USD68 bilion, dan digunakan dalam sektor bahan binaan, perabut, teksil, makanan dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu mulakan dengan kewujudan perladangan kerana kebergantungan kepada sumber hutan amat tidak stabil untuk masa depan. “Kempen memperkasakan buluh di peringkat perladangan dalam skala besar disahut oleh Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perak. Langkah awal bermula dengan pembinaan model di Terengganu dan sekarang penilaian cadangan pelbagai syarikat sedang dibuat untuk meluluskan pinjaman,” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Syarahan Perdana YB Menteri di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus (UniSZA) Kampus Gong Badak, Kuala Nerus malam semalam. Hadir sama, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan. Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, sasaran adalah untuk tiga tahun kehadapan supaya negara mempunyai industri buluh yang mampu membekalkan hasil bagi memenuhi keperluan pasaran seperti ke kilang pulpa kertas berasaskan buluh, kilang arang dan kilang tekstil. “Cabaran buat masa kini dari segi perladangan kerana para pelabur memerlukan sumber pengeluaran yang stabil. “Oleh itu, dalam fasa ketiga tahun 2020 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2025, kita berharap agar ia berjaya bergerak di peringkat sumber,” ulasnya.
01 Oct 20
930
JPV Terengganu Bantu Penternak Tangani Masalah Haiwan
JPV Terengganu Bantu Penternak Tangani Masalah Haiwan
KUALA TERENGGANU, 29 September – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPV) sentiasa mengadakan pelbagai inisiatif bagi membantu penternak dalam menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan haiwan ternakan di negeri ini. Pengarah JPV Terengganu, Dr. Mohd Termizi Ghazali berkata, tugas JPV meliputi pengawalan dan pencegahan penyakit haiwan, pemantauan kualiti makanan dan ternakan serta beberapa lagi tanggungjawab berkaitan industri penternakan dan makanan "Kita turut mengkaji penyakit dan melibatkan sembilan jenis bidang perkhidmatan, 33 disiplin dan 112 aktiviti. "Contohnya, untuk meningkatkan liputan dan keberkesanan kawalan penyakit haiwan ternak, tindakan awal sentiasa dibuat seperti Program Mesra Penternak iaitu program sehari bersama enam atau tujuh penternak, serta melawat, merawat dan memberi nasihat berkaitan dengan haiwan ternak mereka. "Selain itu, Program Jenguk-Jenguk Kandang untuk melatih penternak berkaitan topik penjagaan haiwan ternak. Program lain juga seperti Halaqah Veterinar melibatkan perbincangan dua hala bersama penternak tentang isu-isu secara terperinci," katanya ketika siaran langsung di TVDI hari ini. Mengulas lanjut beliau berkata, program tersebut adalah berdasarkan permintaan penternak dan dihebohkan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). "Kerjasama tiada masalah cuma kekangan pertama adalah mencari masa untuk bertemu dengan penternak. Oleh itu, JPV mengambil inisiatif dengan menyantuni golongan penternak di tempat mereka," tambah beliau. Dalam perkembangan lain, Mohd Termizi memaklumkan, program suntikan berkala turut dijalankan secara berperingkat memandangkan jumlah lembu dan kerbau di Terengganu dianggarkan sekitar 95,000 ekor. "Mengikut statistik terkini, suntikan vaksin penyakit kuku dan mulut (FMD) sebanyak 15,000 ekor manakala 11,013 ekor menerima suntikan vaksin hawar berdarah, kalau tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jumlah tersebut mungkin tinggi lagi. "Penvaksinan adalah percuma di seluruh negeri kerana kos vaksin ditanggung kerajaan, jadi tiada sebab untuk tidak mengambil peluang ini. Hanya perlu kandangkan haiwan dan kita suntik," ulasnya lagi.
29 Sep 20
869
Berbaki RM3 Juta, Rebut Bantuan Modal Tani Segera
Berbaki RM3 Juta, Rebut Bantuan Modal Tani Segera
BESUT, 28 September – Rakyat Terengganu yang menceburi sektor pertanian diseru untuk merebut Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dengan segera kerana peruntukan itu masih berbaki RM3 juta. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, SBMT merupakan ‘kail dan umpan’ yang disediakan bagi kesemua peringkat umur rakyat dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani. "Untuk tahun ini, masih berbaki RM3 juta. Pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 yang diberi dalam bentuk barangan. "Barangan apa yang diperlukan boleh dicari sendiri, kerajaan akan bayar terus kepada pembekal. Ini kerana ingin mengelakkan timbul isu barangan yang diterima tidak sama dengan apa yang dimahukan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Al-Furqan, Kampung Pak Demalik di sini semalam. Katanya, dana di bawah kerajaan negeri itu disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). "Sehubungan dengan itu, sesiapa yang berminat perlu mendaftarkan diri sebagai ahli Peladang terlebih dahulu di PPK terdekat. "Sebagai kerajaan kita mahu memudahkan supaya ia tidak membebankan rakyat. Pinjaman patuh syariah, tiada faedah sebab ia bukan hasrat kerajaan untuk berniaga. Cuma bila ia dibayar balik, boleh dibagikan kepada orang lain pula. "Kaedah bayaran balik turut menggunakan kaedah yang tidak membebankan rakyat. Ia bergantung tempoh hasil yang dapat dituai atau diperolehi. RM1 juta sebulan yang perlu dihabiskan sebelum akhir tahun ini," tambah beliau.
28 Sep 20
6745