lightning-solid
Berita :

Artikel "banjir" Terkini

Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Badan Bukan Kerajaan Khidmat Malaysia Kuala Terengganu (KMKT) menganjurkan inisiatif Dapur Rakyat bagi membantu meringankan beban mangsa banjir. Ketua Kebajikan KMKT, Azizah Mahmood berkata langkah itu menyasarkan penduduk di kawasan yang paling terkesan, khususnya mereka yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Paloh dan Sekolah Kebangsaan Bukit Losong. “Kami di Khidmat Malaysia Kuala Terengganu amat memahami kesukaran yang dihadapi penduduk selepas bencana. “Dapur Rakyat pada kali ini menyediakan kira-kira 800 pek makanan tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas. “Termasuk mereka yang berada di PPS dan penduduk dari lima buah kampung yang teruk dilanda banjir iaitu Pulau Rusa Hilir, Paloh, Losong Dato’ Amar, Losong Haji Long, dan Losong Panglima Perang,” kata beliau. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Wakaf Mempelam, di sini semalam. Tambah Azizah, Dapur Rakyat dijayakan dengan komitmen 50 petugas wanita dan 30 lelaki yang bertugas sebagai sukarelawan untuk menyediakan dan mengagihkan makanan. “Kami pastikan makanan ini sampai kepada semua yang memerlukan, termasuk mereka yang berada di kawasan terjejas lain yang memerlukan bantuan segera,” jelasnya. Beliau juga menambah, Ops Bersih telah dijalankan di SK Pulau Rusa dengan kerjasama pihak Bomba, guru-guru sekolah, JPKK Pulau Rusa Hilir, dan pasukan dari Khidmat Malaysia Dun Wakaf Mempelam. Azizah turut menyeru lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan. “Kami masih mengalu-alukan sumbangan daripada para dermawan, sama ada dalam bentuk tenaga, wang ringgit, atau apa sahaja bentuk bantuan untuk mangsa banjir,” ujar beliau. Beliau turut menegaskan bahawa bencana ini tidak hanya memberi kesan kepada Kuala Terengganu, tetapi juga banyak kawasan lain di seluruh negeri. “Banjir kali ini sangat besar, Khidmat Malaysia Negeri Terengganu amat menghargai sokongan dari dalam dan luar negeri. “Kami sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi ini, dan semoga usaha kita semua diberkati serta menjadi amal jariah yang berkekalan,” katanya.  
05 Dec 24
453
Fenomena Luruan Monsun, Penumpuan Angin Dijangka Landa Pantai Timur
Fenomena Luruan Monsun, Penumpuan Angin Dijangka Landa Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca aktif bakal melanda kawasan Pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, bermula petang 3 Disember hingga awal pagi 4 Disember.  Fenomena penumpuan angin di kawasan ini dijangka membawa hujan lebat berserta ribut petir. Menurut hantaran di Facebook rasmi MetMalaysia pada 2 Disember, fenomena luruan monsun pula dijangka berlaku antara 8 hingga 14 Disember 2024.  Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung, yang boleh meningkatkan risiko banjir di beberapa lokasi. Sebagai makluman, luruan monsun sering berlaku pada bulan November, Disember, dan Januari, fenomena ini terjadi apabila kawasan tekanan rendah dan pusaran terbentuk berhampiran rantau negara.  Pada masa yang sama, udara sejuk dari Siberia meluru ke arah Malaysia akibat letusan udara bertekanan tinggi di kawasan tersebut.  Apabila luruan udara sejuk dari Siberia bertembung dengan angin timuran dari Pasifik, ia bergerak ke rantau kita, mencetuskan hujan lebat, angin kencang, dan ombak besar, terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung. Orang ramai disarankan agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan merancang aktiviti harian dengan teliti, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah atau mudah terjejas.  Pastikan anda mendapatkan maklumat yang sahih melalui laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, atau media sosial rasmi MetMalaysia. Peringatan ini dikeluarkan untuk memastikan semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.  Kekal tenang, utamakan keselamatan keluarga dan komuniti, serta ikuti arahan pihak berkuasa jika diperlukan.
03 Dec 24
601
Banjir: Peniaga Diharap Tidak Ambil Kesempatan Naikkan Harga
Banjir: Peniaga Diharap Tidak Ambil Kesempatan Naikkan Harga
Kerajaan memberi amaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga barangan keperluan asas terutamanya ketika musim tengkujuh yang masih melanda Terengganu ketika ini.
02 Dec 24
99
Tiada Keperluan Isytihar Darurat Banjir
Tiada Keperluan Isytihar Darurat Banjir
SETIU, 1 Disember – Pengisytiharan darurat bencana banjir tidak diperlukan buat masa ini, meskipun lebih 150,000 mangsa terjejas di 10 negeri. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan situasi banjir masih berada dalam kawalan dengan seluruh agensi keselamatan dan jentera kerajaan berfungsi dengan baik. “Berdasarkan laporan Pasukan Keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), darurat tidak perlu diisytiharkan.  “Jentera keselamatan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta agensi kerajaan Persekutuan, Negeri, dan Daerah, berjaya menguruskan situasi dengan cekap,” jelas beliau. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan dan santuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini hari ini. Turut mengiringi beliau Menteri Besar Terengganu; Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir Anwar turut memuji keberkesanan operasi pasukan keselamatan yang telah bertungkus-lumus memastikan keselamatan mangsa banjir dan kelancaran proses pemindahan. “Semua pihak telah menunjukkan kerjasama luar biasa.  “Kesungguhan dan komitmen mereka jelas membantu mengawal situasi tanpa memerlukan pengisytiharan darurat,” tambahnya.
01 Dec 24
251
Bot Hanyut, Nelayan Rugi Hampir RM1 Juta
Bot Hanyut, Nelayan Rugi Hampir RM1 Juta
SETIU, 1 Disember – Kampung Telaga Papan dilanda tragedi meruntun hati apabila beberapa bot termasuk bot gentian kaca milik nelayan tempatan dihanyutkan ombak besar hingga mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta. Seorang pemilik bot yang terkesan dengan kejadian itu, Jamaludin Mohamad, 57, berkata tragedi itu dipercayai berpunca daripada tekanan air banjir dan ombak besar yang menyebabkan tebing pecah pada tengah malam tadi. “Saya hanya tahu tentang musibah ini pada awal pagi tadi selepas dimaklumkan oleh adik saya, yang juga tekong bot.  “Beliau menyedari kejadian itu sekitar jam 6 pagi ketika rutin harian untuk memeriksa bot,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pesisir pantai Kg Telaga Papan, di sini hari ini. Tambah Jamaludin, sebaik tiba di jeti yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai, dia terkejut dan sedih apabila melihat semua bot milik nelayan kampung telah hilang.  “Tali pengikat bot-bot itu putus, menyebabkan semuanya dihanyutkan ombak.  “Saya terus ke pantai, dan apa yang saya lihat amat memilukan, bot-bot bersepah-sepah seperti sampah yang dibawa arus,” katanya. Jamaludin, yang memiliki dua bot kelas A, satu bot kelas B, dan beberapa bot gentian kaca, menganggarkan kerugiannya lebih daripada RM200,000. Meskipun begitu, dia merasa sedikit lega kerana kesemua bot yang hanyut berjaya diselamatkan.  “Semua bot dapat diselamatkan, tetapi kebanyakan daripadanya perlu dibaiki.  “Apabila bot keluar dari muka kuala, ia berlanggar dengan ombak besar yang menyebabkan bahagian bot banyak yang pecah dan rekahan berlaku.  “Mungkin, proses membaikinya akan memakan masa hampir setahun, kos membaikinya sangat tinggi dan memerlukan kerja yang amat memakan masa,” jelas beliau dengan kesedihan terbayang di wajahnya. Seorang lagi mangsa, Khairul Hassan Mohamad, 54, turut berkongsi kisahnya dengan penuh kesedihan.  “Air malam tadi sangat besar, dengan ombak setinggi 2.7 meter.  “Bot-bot yang berjaya diselamatkan selepas tersadai di pantai pun banyak yang rosak teruk, terutama pada badan dan enjin.  “Sebuah bot saya hancur sepenuhnya, dan kos untuk membaikinya sangat tinggi. Ia akan mengambil masa yang panjang untuk dibaiki,” luahnya.  
01 Dec 24
257
Banjir : Peruntukan Tambahan RM25 juta untuk Terengganu, Kelantan
Banjir : Peruntukan Tambahan RM25 juta untuk Terengganu, Kelantan
SETIU, 1 Disember – Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM25 juta, bagi bencana banjir untuk Terengganu dan Kelantan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu adalah tambahan kepada RM50 juta yang telah diluluskan sebelum ini melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). “Kita akan beri kerjasama penuh dan bantuan menyeluruh untuk Kelantan dan Terengganu. “Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, RM50 juta telah diluluskan. Namun, selepas menilai keperluan terkini dan mendapati jumlah mangsa terjejas lebih besar daripada jangkaan awal,” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan dan santuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini hari ini. Turut mengiringi beliau Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. Menurut Menteri Kewangan itu, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan raya, pembentung dan menaikkan aras jalan di kawasan Hulu Besut yang terjejas teruk akibat banjir.  “Selain itu, kerja-kerja pembersihan, termasuk tandas-tandas sekolah, turut dimasukkan dalam peruntukan tambahan. “Kerja-kerja pembersihan ini penting supaya sekolah dapat beroperasi semula tanpa gangguan,” tambah beliau. Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa negeri-negeri lain yang terjejas akibat banjir akan menerima bantuan berdasarkan keperluan masing-masing. “Kita sedang pantau keadaan di negeri-negeri lain.  “Saya jangka keseluruhan bantuan banjir di seluruh negara kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” ujarnya.
01 Dec 24
248
Banjir Landa DUN Ajil, Tiga PPS Dibuka Untuk Mangsa
Banjir Landa DUN Ajil, Tiga PPS Dibuka Untuk Mangsa
HULU TERENGGANU, 20 November - Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di Negeri Terengganu, termasuk di DUN Ajil, dilanda banjir.  Keadaan ini memaksa tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, yang juga merangkap ADUN Ajil, memaklumkan bahawa pihaknya segera turun padang bagi meninjau keadaan semasa dan memberikan sokongan moral kepada mangsa banjir. “Tiga PPS yang telah dibuka ialah PPS Surau Kolam yang menempatkan 6 keluarga, PPS Masjid Hadhari dengan 5 keluarga, dan PPS Masjid Tok Gebok yang menempatkan 3 keluarga,” ujar Maliaman menerusi hantaran di Facebook, semalam. Beliau turut memberi jaminan bahawa Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil akan terus memantau keadaan dan memastikan bantuan segera diberikan kepada semua yang memerlukan. Maliaman turut menyeru orang ramai untuk berdoa agar keadaan kembali pulih dan banjir cepat surut.  “Semoga semua mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” ujarnya dengan penuh simpati. Keadaan banjir yang melanda ini mencetuskan kebimbangan penduduk setempat, khususnya bagi mereka yang terpaksa meninggalkan rumah demi keselamatan.  Penduduk dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikut arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa.
20 Nov 24
135
17 Rumah Terkena Ribut Dibaik Pulih
17 Rumah Terkena Ribut Dibaik Pulih
MARANG, 28 Disember - Sebanyak 17 buah rumah di Kampung Jambu Bongkok, Marang yang dilanda ribut ahad lepas kini sedang dalam proses pembaikan sejak semalam. Dalam kejadian ribut itu, penduduk kampung yang terperangkap terkejut apabila angin kuat tiba-tiba melanda hingga menerbangkan bumbung rumah. Azmi Abd Rahman Timbalan Pengerusi JPKK Jambu Bongkok Pantai Timbalan Pengerusi JPKK Jambu Bongkok Panti, Azmi Abd Rahman berkata, angin kuat tiba-tiba melanda kampungnya sekitar jam 3 pagi dan ia mendatangkan kerugian kepada mangsa. "Bencana angin kuat ini berlaku dengan tiba-tiba kira-kira jam 3 pagi dan menjejaskan bumbung di sebanyak 17 buah rumah selepas angin kedua yang datang secara berpanjang bermula jam 12.00 tengahari sehingga 4.00 petang. "Sekarang kami sedang berusaha untuk memasang bumbung rumah mereka dengan seberapa segera," Jelasnya ketika dihubungi hari ini.  Sementara itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, merakamkan ucapan dukacita kepada semua mamgsa dan menyuarakan rasa syukur kepada semua yang terlibat dalam usaha pemulihan. "Terima kasih buat semua yang terlibat, JPKK, pemuda, dan komuniti setempat yang berusaha untuk menyiapkan pembaikian ini. InsyaAllah semoga semuanya dipermudahkan," katanya. Sulaiman Sulong. Usaha pembaikan ini dilihat sebagai langkah positif dalam memulihkan kehidupan penduduk yang terjejas. Pembaikan bumbung rumah-rumah tersebut dijangka dapat diselesaikan dengan cepat demi memastikan kestabilan hidup komuniti yang terjejas.  
28 Dec 23
157
Kerajaan Siap Siaga Jika Berlaku Banjir Ketika SPM
Kerajaan Siap Siaga Jika Berlaku Banjir Ketika SPM
Kerajaan Terengganu bersiap siaga dengan membuat pelbagai persediaan berkaitan banjir bagi memastikan kelancaran pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
31 Oct 23
83
Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru
Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru
 Pasukan Hoki Terengganu (THT) melakar sejarah 9 tahun penubuhannya apabila muncul juara 'treble' bagi tahun 2023 setelah menang tipis 2-1 ke atas seteru utama, Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2023.
20 Mar 23
234