lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

103,709 Murid Terengganu Kembali Ke Sekolah Hari Ini
103,709 Murid Terengganu Kembali Ke Sekolah Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Seramai 103,709 murid Tahun 5, Tahun 6 serta Tingkatan 1 hingga 4 di seluruh negeri Terengganu kembali semula ke sekolah hari ini untuk meneruskan pembelajaran mereka setelah hampir empat bulan terhenti akibat COVID-19. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani berkata, jumlah tersebut membabitkan seramai 41,882 murid sekolah rendah dan 61,827 murid sekolah-sekolah menengah harian serta pelajar Tingkatan 4 Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN) dari semua kawasan. Melalui tinjauan yang dilakukannya pagi tadi, beliau berpuas hati melihat persiapan semua pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa untuk pembukaan semula sekolah secara berperingkat tersebut. Salim Ab Ghani. "Alhamdulillah saya berpuas hati dengan kesiapsiagaan semua pihak terutamanya pihak sekolah dalam menerima kemasukan pelajar-pelajar kita hari ini selepas hampir empat bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). "Bagaimanapun kita mengharapkan kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sekolah-sekolah ini sentiasa dipatuhi dan dijalankan secara berterusan. "Sehingga kini kita masih menanti kemasukan pelajar Tahun 1 hingga 4 yang berjumlah seramai 85,748 orang yang akan kembali pada 22 Julai ini. Manakala seramai 7,461 murid Tingkatan 1 hingga 3 daripada SBP, SMKA, SABK, SSM dan SSN dijadualkan kembali pada 3 Ogos ini. "Justeru saya mengharapkan pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa sentiasa berwaspada tentang keselamatan masing-masing terutamanya melibatkan pelajar-pelajar," katanya pada satu sidang media selepas meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, di sini. Hadir sama, Guru Besar SK Seri Budiman, Salleh Mokhtar dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah, Saadiah Abdul Rahman. Jelasnya, disebabkan ruang dan kapasiti setiap sekolah adalah berbeza, pengoperasian juga perlu dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan berbeza mengikut kapasiti dan keupayaan sekolah. "Selepas mengambil kira aspek penjarakan sosial, ada sekolah yang dapat menampung kehadiran murid seperti biasa dan ada juga yang sebaliknya. Di Terengganu, kita mempunyai dua sekolah yang mengikuti Model Dua Sesi, satu di Dungun dan satu di Kemaman. "Model kedua ini adalah untuk sekolah sedia ada yang beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial," katanya. Untuk rekod, seramai 195 murid Tahun 5 dan 173 murid Tahun 6 SK Seri Budiman memulakan pembelajaran mereka bermula hari ini. Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan akan bermula pada 22 Julai bagi murid Tahun 1 hingga 4. Tarikh pembukaan penuh sekolah itu membabitkan semua sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. "Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan," katanya dalam sidang media khas.
15 Jul 20
1097
Yayasan Terengganu Agih RM13.73 Juta Biasiswa Untuk Pelajar Cemerlang
Yayasan Terengganu Agih RM13.73 Juta Biasiswa Untuk Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Yayasan Terengganu melalui Program Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang mengagihkan sejumlah RM13.73 juta kepada 1,081 pelajar di negeri ini sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke pelbagai universiti di dalam dan luar negara. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu membabitkan peruntukan RM10 juta bagi peringkat persediaan dan ijazah  pertama (Dalam dan Luar Negara), RM2.5 juta bagi Biasiswa Peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah serta RM1.26 juta bagi Biasiswa Persijilan ACCA (The Association of Chartered Certified Accountants). Katanya, kerajaan menganggap pemberian biasiswa itu satu pelaburan bijak untuk generasi akan datang dan mereka yang terpilih sewajarnya memanfaatkan pemberian itu dengan sebaiknya. “Kita juga berharap ia dapat menaikkan semangat anak-anak Terengganu untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik,” katanya. Beliau berkata demikian kepada  pemberita selepas Majlis Apresiasi Penerima Skim Pelajar Terengganu 2020, di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Dalam majlis itu, seramai 13 pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di luar negara dan dalam negara hadir menerima biasiswa.   Dr Samsuri turut memberitahu, kerajaan negeri turut menyediakan pinjaman pendidikan bagi pelajar meneruskan pengajian di Institut Pengajian Tinggi dan Program Sijil Kemahiran Malaysia yang keseluruhannnya melibatkan lebih RM20 juta. “Pada masa sama mengagihkan Hadiah Kecemerlangan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2019 membabitkan peruntukan RM280,400 kepada 580 pelajar cemerlang,” katanya.  
13 Jul 20
119
Sekolah Di Pedalaman Kelima Terbaik SPM 2019
Sekolah Di Pedalaman Kelima Terbaik SPM 2019
Oleh: Aminji KEMAMAN, 10 Julai - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cerul dinobatkan sebagai sekolah kelima terbaik di Terengganu dalam pencapaian mata pelajaran SPM pada tahun 2019 dengan pencapaian 13.64 peratus semua A. Ab. Razak Ibrahim berkata, kejayaan yang mereka perolehi tidak dijangka kerana SMK Cerul merupakan sekolah yang berada dalam kawasan felda dan terpencil. Justeru kejayaan tersebut sudah pasti menggembirakan hati semua orang. Mendahului carta Senarai Sekolah Semua A Terbaik tersebut, Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud dan SM Sains Kuala Terengganu di mana masing-masing mengungguli tempat pertama dan kedua. Seterusnya SM Sains Hulu Terengganu di tempat ketiga dan SM Sains Dungun di tempat keempat. Dalam pada itu, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih mengadakan Majlis Kesyukuran Lonjakan SPM 2019 buat semua pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 Sekolah Menengah Cerul, Kemaman, semalam. "Kita menyumbangkan sedikit cenderahati dan wang ringgit kepada semua pelajar SPM 2019 ini tanda ingatan dan penghargaan kepada pelajar tersebut. "Saya berharap agar kejayaan yang diraih ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa dan guru-guru terus bersemangat untuk mengekalkan kejayaan ini," ujarnya. Hadir sama dalam majlis itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin dan Pengetua SMK Cerul, Alias Salleh.
12 Jul 20
824
Manfaatkan Peluang Ke IPTA Dengan Sebaiknya
Manfaatkan Peluang Ke IPTA Dengan Sebaiknya
Oleh : Adli Mohamad DUNGUN, 5 Julai - Para pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) khususnya anak-anak pelajar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi dinasihatkan agar manfaatkan sepenuhnya peluang tersebut dengan belajar bersungguh-sungguh. Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, merekalah menjadi harapan  yang akan membanggakan ibu bapa masing-masing. “Para pelajar perlu berazam dan bertekad untuk mendapatkan keputusan yang baik pada setiap peperiksaan, kerana dengan mendapat keputusan yang baik itulah maka akan melayakkan diri bagi mendapat biasiswa. Dengan biasiswa yang diperolehi sudah tentu akan meringankan beban ibu bapa. “Jangan merasa rendah diri kerana dari pedalaman sebaliknya perlu dibuktikan bahawa anak dari DUN Bukit Besi mampu mencipta kejayaan dan akan menjadi pelapis yang baik di masa akan datang. Saya turut mencabar  mereka dengan segala ilmu yang dipelajari dan dimiliki serta pengalaman yang diperolehi sepanjang pengajian setelah tamat pengajian, digunakan untuk berbakti bagi memajukan DUN Bukit Besi," ujarnya. Beliau berkata demikian ditemui pihak media, selepas menyampaikan sumbangan didalam majlis ringkas meraikan 68 anak-anak Bukit Besi yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA, semalam. Sementara itu, Nur Nazirah Muhamad Din, berkata peluang menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Guru Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai berkata nasihat diberikan Ghazali menyuntik semangatnya untuk belajar dengan baik. “Pelbagai tips motivasi yang diberikan dan sangat berterima kasih diatas sumbangan yang diberikan. Insya-Allah selepas bergelar guru di masa akan datang jika diberikan peluang, memang saya ingin berkhidmat di DUN Bukit Besi,” ujarnya. Bagi Muhammad Aifee Mohamed Shukor yang akan menyambung pengajian ke Politeknik Sultan Ibrahim, Johor Bahru pula sangat bersyukur kerana diraikan didalam majlis berkenaan. “Saya akan memastikan yang saya akan belajar bersungguh-sungguh sebagaimana yang diharapkan,”katanya
06 Jul 20
118
Operasi Taska Di Terengganu Ditangguhkan
Operasi Taska Di Terengganu Ditangguhkan
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Terengganu mengambil langkah untuk menangguhkan sementara operasi Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Left Kol Che Adam A. Rahman berkata, keputusan itu dibuat bagi meneliti beberapa aspek tertentu dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum kebenaran diberi. "Keputusan mesyuarat pada hari ini masih belum membenarkan taska beroperasi atas beberapa perkara. "Kita tangguhkan dahulu sehingga pihak berkuasa negeri memaklumkan status pengoperasian taska pada satu tarikh nanti," ujar beliau ketika dihubungi media hari ini. Semalam, Sinar Harian yang memetik kenyataan Pemangku Pengerusi Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu (PPTNT), Ummi Rahimah Hassan berkata, sebanyak 12 Taska dijangka mula beroperasi di Terengganu bermula esok selepas ia ditutup sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Setakat ini, ada dalam 12 buah Taska telah bersedia untuk kembali beroperasi pada 1 Jun nanti. "Selebihnya ada yang memilih untuk mula operasi semula pada 8 dan 14 Jun," kata Ummi sebagaimana dilapor Sinar Harian.
06 Jul 20
112
UniSZA Sedia Laksana Konvokesyen Secara Maya
UniSZA Sedia Laksana Konvokesyen Secara Maya
KUALA NERUS, 30 Mei - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menjadi universiti awam pertama dalam melaksanakan majlis konvokesyen secara maya melalui penggunaan teknologi robot dan persidangan video. Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata usaha ini dilihat sangat relevan dengan keadaan dunia pada waktu sekarang yang sedang berusaha melawan penularan wabak virus COVID19 melalui kaedah penjarakan sosial serta pengurangan pergerakan yang tidak perlu. Katanya, melalui alternatif konvokesyen secara maya ini, majlis konvokesyen dapat dilaksanakan dengan selamat dan efektif. Jelas beliau, UniSZA sebelum ini telah mencipta sejarah tersendiri apabila menampilkan robot yang diberi nama ‘Naseem’ ketika menyampaikan skrol pada Majlis Konvokesyen ke-11 pada Oktober 2019. "Kini UniSZA telah berjaya menghasilkan robot kedua yang diberi nama ‘Seebaa’ sebagai pasangan kepada Naseem yang dibangunkan oleh penyelidik-penyelidik UniSZA dari Kumpulan Penyelidikan Mechanical, Electronic, Computing and Arts (MECCA). “UniSZA bersedia memanfaatkan kedua-dua robot ini sebagai alternatif sekiranya majlis konvokesyen secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan. "Dalam majlis Konvokesyen tersebut, Tuanku Canselor akan menganugerahkan skrol kepada robot yang mewakili graduan manakala  graduan akan menyaksikan upacara tersebut secara langsung melalui persidangan video dari tempat masing-masing sama ada mereka berada di dalam negara mahupun di luar negara," ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini. Kesediaan UniSZA melaksanakan konvokesyen secara maya ini telah dibuktikan melalui penularan video simulasi konvokesyen secara maya yang telah dikeluarkan oleh pihak UniSZA. Menerusi video ini, Naib Canselor UniSZA dilihat menganugerahkan skrol kepada dua robot yang mewakili pelajar-pelajar UniSZA yang mana wajah mereka dipaparkan secara langsung melalui persidangan video pada kepala robot tersebut. Malah, beliau juga dilihat dapat berinteraksi secara langsung dengan pelajar-pelajar tersebut.
06 Jul 20
178
Sekolah Dibuka Bermula 15 Julai
Sekolah Dibuka Bermula 15 Julai
KUALA LUMPUR, 1 Julai - Operasi sekolah bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 4, kelas peralihan dan murid Tahun 5 serta 6 akan bermula 15 Julai ini. Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, manakala seminggu kemudian iaitu pada 22 Julai, murid Tahun Satu hingga Tahun Empat pula akan kembali ke sekolah. "Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah sama ada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM). "Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan," katanya pada sidang media hari ini.  
02 Jul 20
85
Shafiq Pelajar Paling Cemerlang SPM 2019 Diraikan
Shafiq Pelajar Paling Cemerlang SPM 2019 Diraikan
Oleh: Ahmad Ezani Razali KEMAMAN, 28 Jun - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Mohamad Shafiq Akram Shafie, 18, diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM & STPM 2019 DUN Cukai, semalam. Beliau merupakan satu-satunya pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 bagi seluruh negeri Terengganu. Beliau ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Pejabat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Cukai yang telah menganjurkan program yang cukup bermakna baginya itu. "Satu nasihat yang ingin saya kongsikan. Ketika hati anda berada di tempat yang betul, tidak ada yang dapat menghalang anda. Itulah kata-kata yang saya ingat daripada seseorang ketika menyertai salah satu kem sebelum ini. "Kata-kata tersebut telah menjadi pembakar semangat saya agar terus berusaha mencapai impian," ujarnya. Shafiq turut mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapanya, guru-guru, rakan-rakan dan semua pihak yang telah membantu dirinya mencapai kejayaan tersebut. Beliau yang bercita-cita menjadi ahli farmasi telah menerima hadiah berbentuk sebuah 'Ipad Air' dan wang tunai yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap ADUN Cukai, Hanafiah Mat. Seramai 32 orang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 157 orang pelajar SPM diraikan dalam majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Mercu, Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, di sini.
02 Jul 20
1036
Kerjasama Guru, Ibu Bapa Lancarkan Pelaksanaan SOP Baharu Sekolah
Kerjasama Guru, Ibu Bapa Lancarkan Pelaksanaan SOP Baharu Sekolah
Oleh : Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berpuas hati dengan usaha dan kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah dan ibu bapa dalam mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib. Sewaktu tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chendering, semalam beliau mendapati kesemua pihak berkerjasama mengamalkan tahap pematuhan ‘Standard Operation Procedure’ (SOP) yang baik dalam sesi pembukaan semula sekolah selepas pandemik COVID-19. “Saya mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah atas persediaan yang rapi dalam menyambut kedatangan para pelajar ke sekolah. "Saya berharap agar para pelajar dapat belajar dengan selesa walaupun di dalam keadaan dan suasana baharu ini. Apa yang penting kita mahu anak-anak kita selamat daripada wabak Covid-19 ini," katanya. Terdahulu, sesi persekolahan di seluruh negara telah bermula pada semalam susulan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin pada sidang media khas baru-baru ini. Sesi persekolahan kali ini hanya melibatkan para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.
02 Jul 20
295
Pelajar Patuh, Biasakan Pembelajaran Dalam SOP Baharu
Pelajar Patuh, Biasakan Pembelajaran Dalam SOP Baharu
Oleh : Pok Abbas MARANG, 24 Jun - Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan mendapati sesi pertama persekolahan pasca COVID-19 hari ini berjalan lancar dengan para guru dan murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Seramai 132 pelajar Tingkatan lima dibahagikan kepada sembilan kelas bagi memastikan jarak sosial sentiasa terkawal dalam kelas. Begitu juga bagi 36 pelajar Tingkatan enam di sekolah berkenaan.   Lebih menarik, pihak sekolah sendiri telah membekalkan alat tulis dan penjagaan kendiri seperti pelitup muka kepada setiap pelajar bagi mengawal pencemaran silang di antara mereka selain menyediakan pencuci tangan di beberapa kawasan sekitar sekolah. Para guru dilihat memulakan pembelajaran dengan taklimat berkaitan penjagaan kendiri serta penerangan berkaitan COVID-19 secara lebih terperinci. Kawasan-kawasan yang berpotensi menjadi tumpuan pelajar-pelajar berkumpul juga rata-rata dikuarantinkan sebagai langkah pencegahan. Hari pertama ini juga menyaksikan sesi awal persekolahan dipantau oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti kekurangan dan menambah baik SOP dari masa ke masa. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar menasihatkan pelajar-pelajar yang terlibat dalam pembukaan semula sekolah supaya lebih bermotivasi meneruskan sesi pembelajaran. "Jadikan hari pertama ini sebagai motivasi buat diri dalam menuntut ilmu dengan lebih bersungguh-sungguh setelah sekian lama tidak dapat ke sekolah. "Di samping itu, ingat dan patuhi SOP yang ditetapkan dengan baik. Jaga penjarakan sosial serta kebersihan diri," tulisnya melalui satu hantaran di akaun Facebook rasminya, pagi ini. Terdahulu Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi jidin telah mengumumkan sekolah dibuka semula  membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.
02 Jul 20
197