lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

47 Pelajar 'Straight' A SPM DUN Sura Dirai
47 Pelajar 'Straight' A SPM DUN Sura Dirai
DUNGUN, 11 Jun - Seramai 47 pelajar cemerlang dari DUN Sura yang memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 telah diraikan dalam satu majlis penghargaan khas yang berlangsung di Rumbia Villa Resorts, hari ini. Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura itu diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada para pelajar yang menunjukkan prestasi luar biasa, selain menghargai usaha, pengorbanan dan sokongan daripada ibu bapa serta para pendidik di sebalik kejayaan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, kejayaan pelajar yang mendapat semua A ini adalah bukti bahawa usaha yang bersungguh-sungguh tidak akan sia-sia. “Kita raikan mereka bukan hanya kerana huruf A di atas kertas, tetapi kerana di sebalik A itu ada air mata, ada keletihan, kurang tidur, dan ada doa ibu bapa serta sokongan masyarakat sekeliling,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut. Menurut beliau, program ini bukan sahaja untuk meraikan kecemerlangan, malah menjadi satu dorongan kepada generasi muda DUN Sura agar terus berusaha dan menanam cita-cita tinggi dalam pendidikan. “Kita mahu semua anak DUN Sura rasa dihargai, tidak kira latar belakang mereka. Hari ini kita sambut yang dapat semua A, insya-Allah 25 Jun nanti kita akan raikan pula pelajar yang memperoleh keputusan 6A ke atas,” tambah beliau. Beliau turut berpesan agar pelajar yang berjaya terus melangkah dengan hati yang rendah, kerana kejayaan bukan tiket untuk bermegah, tetapi amanah untuk dimanfaatkan kepada masyarakat dan agama. Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada semua pelajar yang diraikan, serta kehadiran ibu bapa sebagai tanda sokongan.    
12 Jun 25
53
Kebajikan, Pendidikan Agenda Utama Kerajaan
Kebajikan, Pendidikan Agenda Utama Kerajaan
KEMAMAN, 1 Jun – Kebajikan rakyat dan pendidikan generasi muda menjadi dua agenda paling utama dalam dasar pentadbiran negeri. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dasar yang memberi kesan terus kepada rakyat sentiasa menyentuh jiwanya, terutamanya dalam perkara yang mampu meringankan beban hidup rakyat. "Daripada keseluruhan dasar yang kita rancang, antara perkara terpenting ialah melibatkan inisiatif kebajikan kepada rakyat. "Untuk meringankan bebanan kepada rakyat, itu ada nilai sentimental kepada saya," katanya dalam Majlis Bicara Santai Pimpinan semasa program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, di sini, baru-baru ini. Menurut beliau, selain kebajikan, inisiatif Pendidikan menjadi perkara kedua untuk membina kehidupan berdikari dan bukan sekadar pemberian sementara. "Saya lihat, manusia ini kalau kita beri ikan, maka dia bolehlah makan ikan tersebut. "Tapi kalau kita beri joran kepada dia, maka dia boleh berdikari, kita ajar pula cara nak guna joran itu, akhirnya dia mampu untuk cari ikan sendiri," jelasnya. Ahmad Samsuri yakin, pendidikan ialah pelaburan jangka panjang yang akan mencorakkan masa depan rakyat dan negeri. "Inilah konsep pendidikan kepada rakyat, saya percaya kalau buat begitu, kita menyediakan kehidupan mereka di masa akan datang. "Mungkin 10 hingga 20 tahun akan datang, anak muda inilah yang akan meneruskan agenda kita di masa kita sudah tiada," ujarnya.
01 Jun 25
133
ADUN Bukit Besi Taja SSPN-i Buat Pelajar Cemerlang SPM
ADUN Bukit Besi Taja SSPN-i Buat Pelajar Cemerlang SPM
DUNGUN, 1 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menyediakan inisiatif istimewa berupa pembukaan akaun SSPN-i (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) sebanyak RM200, buat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di DUN berkenaan baru-baru ini. Dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apreasiasi SPM 2024 bagi DUN Bukit Besi yang berlangsung pada Rabu, seramai 20 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 7A dan ke atas menerima tajaan tersebut. Selain tajaan itu, sumbangan wang tunai serta cenderahati turut disampaikan kepada setiap pelajar yang hadir. "Sumbangan ini merupakan salah satu usaha meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa dalam persediaan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. "Saya berpendapat bahawa seharusnya diwujudkan satu tabung pendidikan yang dimulakan sejak usia kecil lagi. Ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dan keluarga mereka dalam perancangan pendidikan jangka panjang," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu berucap semasa majlis berlangsung. Beliau turut menyatakan harapan besar agar para pelajar terus berusaha mencapai kejayaan ke menara gading dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan DUN Bukit Besi khususnya, yang terletak di kawasan pedalaman Hulu Dungun sebuah lokasi yang dikenali dengan potensi pelancongan dan sumber mineralnya. Tambahnya, pihaknya akan cuba untuk terus mengadakan program penghargaan kepada pelajar apabila mereka menamatkan pengajian di universiti kelak. Majlis juga berkesempatan memberikan penghargaan kepada para guru dan ibu bapa yang menjadi tonggak kejayaan pelajar-pelajar berkenaan melalui sokongan dan dorongan berterusan.
29 May 25
73
42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
HULU BESUT, 27 Mei – Seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Hulu Besut yang berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna. Majlis yang diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar yang memperoleh keputusan 7A hingga 12A ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan dan wang saguhati sebagai tanda pengiktirafan atas kecemerlangan mereka. Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang selama ini telah berusaha gigih, menunjukkan ketekunan serta semangat juang yang tinggi sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan. "Saya amat berbangga dengan pencapaian adik-adik kita ini, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pelajar, ibu bapa, guru dan seluruh warga sekolah yang tidak pernah berputus asa memberikan sokongan,"katanya ketika berucap di majlis tersebut yang diadakan di Dewan Warung Ramai, Alor Keladi, di sini. Dalam pada itu,penghargaan khas turut diberikan kepada pelajar istimewa, Surya Aidil Zawawi dari kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Putra, yang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan tersebut. "Pencapaian adik Surya Aidil adalah luar biasa dan wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,"ujar beliau. Dalam pada itu, Husaimi turut menyeru para pelajar agar terus berusaha dan berdoa untuk mencapai kejayaan lebih besar di masa hadapan, sambil menekankan pentingnya menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia serta memberi manfaat kepada masyarakat.    
27 May 25
2405
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 20 Mei – Tatkala sebahagian anak muda masih tercari-cari arah hidup, seramai 47 anak asnaf berjaya menamatkan latihan teknikal dan industri dalam Program Oil and Gas Wakalah TVET (OGWTP) di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), sekali gus membuka jalan keluar dari belenggu kemiskinan menuju masa depan yang lebih terjamin. Program selama enam bulan itu bukan sahaja membekalkan mereka dengan kemahiran dalam bidang mekanikal serta elektrikal dan instrumentasi, malah menyediakan pensijilan industri bernilai tinggi yang laku keras dalam sektor minyak dan gas, satu peluang yang sebelum ini hanya menjadi angan-angan bagi mereka yang datang dari rumah-rumah serba sederhana. Mohammad Nasrul Nafie Mohd Nasran, salah seorang graduan program, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai program latihan yang disifatkannya sebagai luar biasa.  "Sepanjang enam bulan ini, kami menempuh pengalaman yang tak pernah kami bayangkan, dan amat bermakna," katanya penuh terharu. Bagi Iman Hakim Mohd Firuz, 24, dari Kampung Pelandan, Kuala Berang, keputusan menyertai OGWTP adalah satu anjakan besar dalam hidupnya.  "Saya mula berminat dalam bidang ini semasa kerja dulu. "Bila tahu sijil INSTEP sangat bernilai, saya terus mohon," katanya, sambil berkongsi bahawa minatnya disemai oleh pengalaman kerja serta sokongan ayahnya. Kisah Amer Mustaqim Kamaruddin, 22, dari Kampung Raja, Besut, pula mencerminkan kecekalan seorang anak buruh yang menjadikan minat terhadap kerja tangan sebagai motivasi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.  "Saya minat baiki motor sejak sekolah.  "OGWTP ini bagi saya peluang belajar betul-betul," ujarnya. Program OGWTP adalah hasil kolaborasi INSTEP bersama Yayasan Pendidikan MAIDAM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dibiayai sepenuhnya melalui dana zakat wakalah berjumlah RM2 juta.  
20 May 25
334
RM2 Juta Bantu Anak Asnaf Terengganu Ceburi Industri Minyak dan Gas
RM2 Juta Bantu Anak Asnaf Terengganu Ceburi Industri Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 18 Mei – Sebanyak RM2 juta dana zakat wakalah dimanfaatkan bagi membiayai latihan teknikal dan penempatan industri selama enam bulan kepada 47 anak asnaf Terengganu, sekali gus membuka peluang kerjaya dalam sektor minyak dan gas. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program Oil and Gas Wakalah Technical and Vocational Education Training Programme (OGWTP) itu khusus untuk membantu golongan asnaf keluar daripada belenggu kemiskinan. "Pelatih yang mengikuti program ini sebahagian besarnya adalah dari kalangan anak asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan menerima bantuan zakat,” kata beliau. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup OGWTP Kumpulan 2/2024 di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM), Norhana Yaakub, dan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli. Beliau turut menjelaskan, peruntukan besar hasil sumbangan zakat kakitangan PETRONAS dan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri menjadi pemangkin kepada kejayaan program tersebut. "Saya ucapkan terima kasih kepada pihak PETRONAS, khususnya INSTEP, dan juga kepada MAIDAM. "Memang kita ada satu bajet zakat daripada MAIDAM, yang sebahagiannya zakat dari para pekerja PETRONAS, juga dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC)," jelasnya. OGWTP Kumpulan 2/2024 yang berlangsung di INSTEP menyaksikan 47 peserta menerima sijil tamat latihan dalam satu majlis penuh penghargaan. "Program ini kali kedua, program pertama selesai tahun lepas. "Seramai 47 orang menerima sijil, berkolaborasi dengan 20 syarikat untuk menawarkan peluang kerja kepada pelatih," ujarnya. Antara nilai tambah program ini ialah pensijilan industri seperti Sijil Kemahiran Pendawaian Kabel, Ujian Tanpa Musnah Tahap 2 (NDT), serta latihan Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Pengetahuan Bantuan Cemas, Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP), dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET), yang diperlukan oleh syarikat industri minyak dan gas. Selain itu, tempoh penempatan industri turut dilanjutkan kepada enam bulan bagi memberikan pelatih pengalaman sebenar bekerja, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor yang sangat kompetitif. Program ini merupakan hasil kolaborasi INSTEP, YPM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dan dijangka terus diperluas demi memberi manfaat lebih besar kepada anak-anak asnaf di seluruh Terengganu.
19 May 25
936
Kuala Terengganu Saji 'Hutan Bandar' di Bidong Flora Fest 2025
Kuala Terengganu Saji 'Hutan Bandar' di Bidong Flora Fest 2025
SETIU, 16 Mei - Pokok-pokok sayuran seperti kobis merah dan Lemon Balm yang dijadikan tanaman pertanian dalam bandar menjadi pilihan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu sebagai salah satu tarikan 'Hutan Bandar' untuk bersaing dalam Bidong Flora Fest (BFF) 2025. Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Mohd Amirul Awang berkata, konsep pertanian bandar ditonjolkan menjadi salah satu dari tiga konsep flora di daerah Kuala Terengganu yang terkenal sebagai ibu negeri dan bandar raya di negeri berkenaan.  "Mengetengahkan konsep taman semula jadi bertemakan Hutan Bandar ini, kita tunjukkan spesies flora yang ada di Kuala Terengganu. "Antaranya ialah kategori pokok-pokok hutan sebagaimana yang terdapat di Taman Botani Bukit Panorama, seterusnya pokok-pokok bunga yang menghiasi landskap di bandar raya ini," katanya ketika ditemui di BFF yang merupakan tarikan utama Karnival Terengganu International Endurance Park(TIEP) di Lembah Bidong, hari ini. Karnival selama empat hari bermula semalam itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu. Karnival tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertunjukan kuda, kereta kuda berhias, pertunjukan payung terjun, perlumbaan motosikal lasak dan Fun Run. Dalam pada itu, Pegawai daerah dan pentadbir tanah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan yang hadir sama dalam program berkenaan betul-betul teruja dengan persiapan dilakukan pasukannya. "Sejujurnya pejabat daerah belum didedahkan dengan program seperti ini, ini satu keunikan baru yang perlu ditonjolkan setiap daerah dan kita perlu fikir untuk ketengahkan. "Bidong Flora Fest (BFF) merupakan satu anjakan baru dengan konsep yang perlu ditonjolkan. "Ia mengubah paradigma kita bahawa dalam membangunkan sesuatu daerah kita tidak boleh tinggalkan lanskap kerana ia paru-paru bagi bandar," katanya. Menurutnya, taman Kuala Terengganu turut mempamerkan sistem penuaian air hujan ringkas serta tanda nama setiap pokoknya, selain menampilkan kumpulan penghibur jalanan sebagai tarikan.                    
16 May 25
2133
Bangun Awal Pagi Resepi Cemerlang SPM
Bangun Awal Pagi Resepi Cemerlang SPM
KUALA NERUS, 15 Mei – Sentiasa bangun awal pagi bagi menunaikan Solat Sunat Tahajud dan bermunajat kepada Allah menjadi rahsia Amirul Bukhari Aminuddin memperolehi Keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat 9A. Katanya, itu yang menjadi amalannya selain banyak melakukan ulang kaji secara berkala seperti melakukan latihan berdasarkan semua soalan percubaan tahun-tahun lepada bagi setiap negeri dan juga menyertai kelas tambahan di sekolah. “Saya juga mengikuti kelas tuisyen ‘brick and mortar’ bagi Bahasa Inggeris yang diajar oleh tutuor saya yang pernah mengajar di Terengganu FM melalui rancangan ‘Yes No Alright Thank You’ dan menyertai kelas atas talian bagi subjek Matematik Tambahan dan Prinsip Perakaunan,” ujarnya. Mengulas lebih lanjut, Amirul berkata sebaik menerima Keputusan itu dia sangat terharu dan bersyukur dan sangat menghargai jasa ibu bapanya serta guru-guru yang sentiasa membimbing dan mendoakan kejayaanya selama ini. “Saya merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang Sains Aktuari kerana saya ingin menjadi seorang aktuari sesuai dengan minat saya yang mendalam terhadap Matematik. “Sekarang saya sedang memohon biasiswa dan mencari peluang terbaik untuk meneruskan pengajian,” jelasnya. Dalam pada itu, dia menitipkan pesan kepada pelajar yang masih belum berjaya agar tidak berputus asa. “Kepada yang Berjaya jangan terlalu selesa teruskan usaha kerana ini baru permulaan dan untuk mereka yang belum mencapai Keputusan yang diharapkan, ingatlah bahawa ini bukan penamat. “Kejayaan datang dalam pelbagai bentuk, yang penting bangkit semula, belajar daripada kesilapan dan teruskan berusaha, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” ujarnya. Dalam pada itu, ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat akan mengadakan satu majlis khusus bagi meraikan pelajar yang cemerlang dalam SPM dalam DUN Seberang Takir.
15 May 25
166
Yayasan Terengganu Agih Lebih RM5 Juta Hargai Pelajar Cemerlang
Yayasan Terengganu Agih Lebih RM5 Juta Hargai Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) telah memperuntukkan lebih RM5 juta sebagai anugerah dan hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sejak tahun 1979 sehingga tahun 2023. Nilai tersebut melibatkan seramai 17,439 pelajar cemerlang SPM, 1,532 pelajar STPM dan 693 pelajar STAM dengan jumlah keseluruhan sebanyak 19,664. Bagi penyampaian Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu kali ke-44 yang berlangsung semalam, seramai  758 penerima diberikan anugerah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM416,800. Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melibatkan 527 penerima peringkat SPM dengan empat pelajar cemerlang dianugerahkan Pingat Emas yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 seorang. Manakala, seramai 212 pelajar menerima anugerah bagi peringkat STPM dan 12 pelajar bagi peringkat STAM. Bagi peringkat ijazah pula melibatkan tujuh orang mahasiswa.
07 May 25
716
Pelajar Imtiaz Raih Anugerah Emas di Universiti Vietnam
Pelajar Imtiaz Raih Anugerah Emas di Universiti Vietnam
KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Pelajar sekolah menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berjaya meraih pingat emas kategori Anugerah Inovasi sempena Anugerah Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (ICIA) 2025 yang berlangsung di University of Economics Ho Chi Minh City, Vietnam, baru-baru ini. Kemenangan tersebut diperoleh menerusi inovasi platform pembelajaran interaktif i-Tasheel Arabic Innovation (i-TAR), hasil usaha pelajar Muhammad Hafizin Fahmi Mohd Hamdan, Ahmad Wajdan Mohd Shafiee dan Nik Muhammad Aqil Syauqi Nik Abdul Halim. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berbangga atas kejayaan mereka yang secara tidak langsung membawa nama Terengganu ke peringkat antarabangsa. "Pencapaian cemerlang yang membanggakan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap keupayaan intelektual dan daya inovasi generasi muda Terengganu. "Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak pelajar yang lain serta kebanggaan seluruh warga Negeri Terengganu. "Teruskan mengorak kejayaan dan pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang. Syabas," ucapnya dalam satu hantaran yang telah dimuatnaik melalui laman sosial media rasminya, sebentar tadi. Guru pembimbing pelajar-pelajar tersebut, Muhammad Badruzzaman Hassan berkata,  i-TAR merupakan projek perintis yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang menguasai bahasa al-Quran, iaitu bahasa Arab (Quranik). "Melalui i-TAR, pelajar dapat memperoleh pengetahuan yang mendalam (Ensiklopedik) dalam mengenal pasti tanda-tanda i'rab dan seterusnya menganalisis (Ijtihadik) baris akhir perkataan dalam al-Quran. "persembahan i-TAR yang menyusun kandungan utama daripada buku teks ke dalam bentuk jadual dan animasi membantu meningkatkan kefahaman serta minat pelajar dalam mempelajari tatabahasa Arab (nahu)," katanya kepada sebuah akhbar tempatan, dua hari yang lepas. Tambah Badruzzaman, pasukan di bawah bimbingannya itu turut telah tersenarai dalam 'Top 10 Quality Education Challenge' anjuran Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO).
05 May 25
3632