Artikel "Pendidikan" Terkini
Komited Lengkapkan Kaum Hawa Dengan Ilmu
KUALA NERUS, 25 Jun - Kerajaan negeri komited melengkapkan diri dalam kalangan kaum wanita Terengganu dengan pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang cukup bagi membolehkan mereka bersaing menghadapi kehidupan.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, rakyat perlu peka perkembangan semasa kerana pada zaman era yang serba moden sekarang banyak berlaku isu-isu berkaitan sosial dalam masyarakat.
"Jadi kita bawakan ustazah dan asatizah yang hebat untuk kita dengar kalam-kalam mutiara ilmu untuk ambil jadikan pedoman dalam kehidupan kita seharian.
"Kita juga tak boleh menolak pentingnya peranan wanita yang menjadi tunjang dalam sesebuah keluarga untuk membentuk satu keluarga yang harmoni dan sejahtera," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Suara Hati Wanita di Dataran Pasar Malam, Gong Badak, pada hari ini.
Menurutnya, seramai 600 orang kaum hawa hadir dalam program sebegini.
Beliau menambah, pihak kerajaan begitu komited mendekatkan agensi kerajaan bersama masyarakat setempat.
"Dalam karnival untuk slot wanita ini ubtiuk angkat martabat dan institusi kekeluargaan yang berprinsipkan keluarga Islam," ujar Sakinah.
Justeru itu, beliau berharap setiap program yang dilaksanakan dapat kaum Hawa mengambil peluang dan manfaat serta fokus apa yang dikongsi.
25 Jun 22
112
'Terengganu Turtle Camp 2022' Didik Pelajar Kepentingan Ekosistem
KEMAMAN, 17 Jun- Program 'Turtle Camp 2022' mampu memupuk kesedaran kalangan pelajar tentang kepentingan menjaga ekosistem marin yang akan memberi manfaat kepada seluruh kehidupan.
Ketua Pegawai Eksekutif WWF, Sophia Lim berkata, di Terengganu acara terbabit melibatkan seramai 30 mahasiswa membabitkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti TATI, Institut Latihan Pendidikan (RANACO) dan Universiti Zainal Abidin (UniSZA).
"Ia telah diadakan sejak tahun 2015 untuk mendidik para pelajar ini bahawa penyu bukan sahaja merupakan warisan semula jadi dan ikon negeri Terengganu tetapi juga mempunyai peranan penting dalam ekosistem marin.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara penutup program berkenaan.
Kem itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar neger, Dr Azman Ibrahim, di Santuari Penyu Ma'daerah sini, pada semalam
Ujar Sophia, pewartaan pantai Ma'daerah sepanjang 1.7 kilometer dan tanah pamah bersebelahan sebagai santuari penyu adalah penting.
"Keunikan yang ada di sini seharusnya dipelihara dan dilindungi, dan kepelbagaian biodiversitinya dihayati melalui program-program strategik seperti 'Terengganu Turtle Camp' ini," katanya.
Dalam pada itu WWF turut mengiktiraf Geng Plastik Ija (GPI) sebagai pejuang baru komuniti di Terengganu dalam kempen mengutamakan kebersihan pantai.
17 Jun 22
661
Cabaran PdPR Tak Patahkan Semangat Raih Keputusan Cemerlang Dalam SPM
HULU TERENGGANU, 16 Jun – Wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia, dan mengubah segalanya termasuk kaedah pembelajaran dan pendidikan tidak pernah melemahkan semangat Muhammad Khairul Faiz Othman, 18 sehingga berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Mlaysia (SPM) 2021.
Menurutnya, dia tidak pernah terbayang akan berada dalam sesi pembelajaran tanpa bersua muka dengan rakan sekelas seperti kebiasaan dan akhirnya pada penghujung tahun perlu menduduki peperiksaan yang terbesar dalam hidup.
“Sepanjang dua tahun yang mencabar menempuhi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), habis segala usaha dilakukan dan tawakkal sahaja dengan segala apa jua keputusan.
“Alhamdulillah berkat kesabaran dan kesungguhan dalam menempuhi cabaran tersebut, membuahkan hasil pada hari ini dengan memperolehi keputusan 11A,"ujarnya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu Pengetua SM Imtiaz YT Kuala Berang, Suzaiki Ali mengumumkan keputusan peperiksaan SPM Pelajar SM Imtiyaz YT Kuala Berang yang memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) 2.19 dengan seramai 63 orang calon SPM yang menduduki peperiksaan tersebut.
Turut hadir Bersama, YDP PIBG SM Imtiyaz YT Kuala Berang, Muhyidin Abdul Rashid merangkap Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu.
Bagi Abdul Muiz Mohd Hashim yang turut memperolehi 11A, dia menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T dan berterima kasih kepada ibubapa dan guru-guru yang banyak membantu dan menyokongnya selama ini.
“Berkat saya menjaga adab dengan guru selain tidak meninggalkan bacaan Al-Quran, amalan sunat, banyakkan membuat latihan soalan peperiksaan tahun lepas, memohon doa dan memohon restu dari ibu ayah serta guru,"ujarnya.
Dalam pada itu, salah seorang calon SPM yang mendapat 12 A, Nur Syamimi Mohd Nizak berkata kejayaan yang dikurniakan oleh Allah ini adalah hadiah teristimewa buat kedua ibubapa dan guru-guru.
“Pelbagai ujian terpaksa dihadapi sepanjang tempoh pandemik dan disaat sekolah mengalami banjir yang luar biasa dua hari sebelum peperiksaan SPM sebenar berlangsung sehingga terpaksa berpindah ke pusat alternatif untuk menduduki peperiksaan sangat menguji fizikal dan mental saya serta kawan-kawan.
"Saya sangat bersyukur atas keputusan luar jangka dan ingin melanjutkankan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini,"katanya lagi.
16 Jun 22
367
Tak Lokek Kongsi Ilmu Kunci Kejayaan Nadhirah
KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Tidak lokek berkongsi ilmu dengan rakan-rakan menjadi kunci pelajar Sekolah Menengah Agama (A) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) mendapat 10 A+ dalam SPM 2021.
Nurul Nadhirah Husna Shahmuzir, 18, bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa dan guru kerana sentiasa memberi sokongan serta dorongan.
"Antara kunci kejayaan saya adalah sentiasa berkongsi ilmu dengan rakan-rakan seperti mengajar mereka dalam pelajaran, kerana melalui kaedah itu kita akan menguasai lebih lagi sesuatu ilmu.
"Setiap hari walaupun cuti jangan tinggalkan membaca al-Quran kerana ia penting untuk membentuk rohani kita ke arah yang lebih baik dan memudahkan lagi untuk ilmu masuk ke dalam diri kita," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertempat di SMAASZA Batu Buruk di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.
Sementara itu, Muhammad Hanif Hishamuddin, 18, turut melahirkan rasa syukur kerana penat lelah sepanjang belajar pada musim pandemik Covid-19 berhasil memberi kejayaan dalam hidupnya.
"Sentiasa mengulangkaji dan menyiapkan kerja sekolah kerana melalui itu kita akan mendapat keberkatan seterusnya berjaya dalam peperiksaan.
"Kunci kejayaan saya ialah menghormati ibubapa dan guru kerana itu adalah sangat penting untuk mendapat restu daripada mereka," katanya.
16 Jun 22
2054
Terengganu Bina Pusat Tafaqquh Tok Syeikh Duyong
KUALA TERENGGANU, 12 Jun- Pembinaan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyong bernilai RM7 juta di Taman Tamadun Islam bakal memartabatkan ilmu turath dalam usaha melahirkan lebih ramai ilmuan dan ulama di Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penubuhan kampung ilmu itu juga adalah manifestasi kerajaan negeri bagi memperkasakan dan mengembangkan bidang pengajian Islam di negeri ini sama ada dalam pengajian secara moden atau tradisional.
"Terengganu mempunyai susur galur ulama yang berperanan bukan saja di peringkat negeri Terengganu, bahkan di peringkat antarabangsa. Peranan mereka dalam masyarakat begitu banyak sejak sebelum kita merdeka lagi.
"Oleh itu, kerajaan negeri memikirkan inilah masanya untuk kita mengangkat kembali nama-nama besar seperti Tok Syeikh Duyong umpamanya sepertimana hari ini, kita buat seminar mengenai peranan mereka dalam negeri Terengganu.
"Ini salah satu cara yang kita laksanakan untuk mengembangkannya ke dalam masyarakat kita. Jika tidak anak-anak kita yang ada, generasi sekarang ini mereka akan lebih mengenali penyanyi-penyanyi moden, penyanyi daripada barat, Jepun tetapi tidak mengenali ulama-ulama tersohor ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Ulama Terengganu : Sumbangan Tok Syeikh Duyong kepada Negeri Terengganu dan Majlis Pecah Tanah Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyong di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini semalam.
Ahmad Samsuri berkata, fasa pertama iaitu pembinaan yang bermula hari ini dijangka siap dalam tempoh kira-kira setahun enam bulan.
Beliau berkata, pembinaan kampung ilmu itu akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan tiga fasa melibatkan kawasan seluas 19 ekar.
Pusat pengajian itu juga bakal memuatkan bangunan kediaman dan pengajian bagi 100 pelajar selain bangunan komersial seperti chalet, restoran serta kompleks warga emas.
12 Jun 22
909
Tahajud Kunci Kejayaan Tokoh Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Istiqamah mendirikan solat tahajud menjadi kunci kejayaan dua pelajar yang mendapat Anugerah Tokoh Ulul Albab dan cemerlang menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Muhammad Hidayatuliman Che Mohamad Zulkifly,18, bersyukur di atas kejayaan yang diperolehi dan berterima kasih kepada ibu bapa serta rakan-rakan kerana membantunya mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.
“Kita mestilah pandai membahagikan masa belajar dengan aktiviti lain dan hendaklah ‘work smart’ ketika belajar supaya memperolehi hasil yang memberangsangkan.
“Di samping itu, semua perkara yang kita lakukan hendaklah secara istiqamah dan amalan istiqamah yang saya lakukan adalah solat sunat tahajud, hajat dan istikharah kerana hidup ini setiap perkara adalah pilihan yang baik mahupun buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu bertempat di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu semalam.
Bagi Anis Nafesa Alias,18, beliau bersyukur serta gembira kerana dapat membawa ibu dan kakaknya untuk naik ke atas pentas menerima Anugerah Tokoh Kecemerlangan Ulul Albab tersebut.
“Sistem belajar saya bermula daripada tingkatan satu iaitu sentiasa mempelajari dan membiasakan diri untuk mempelajari sesuatu yang baru.
“Amalan istiqamah yang saya lakukan melalui tunjuk ajar daripada guru-guru saya iaitu setiap pagi sebelum mempelajari sesuatu yang baru mesti memperbetulkan niat.
"Selain itu, dengan mengamalkan solat sunat dhuha, tahajud dan hajat secara istiqamah," katanya.
Ibunya, Nor Haslida Mohamad, 54, turut melahirkan rasa syukur di atas kejayaan anaknya dan merasakan berbaloi dengan usaha anaknya selama ini yang sentiasa mengutamakan pelajaran berbanding dengan perkara lain.
08 Jun 22
1780
666 Pelajar Dirai Dalam Majlis Graduasi Dan Anugerah Hafazan Imtiaz
KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Seramai 666 pelajar diraikan sempena Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2021.
Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu merupakan majlis tahunan yang diadakan bertujuan memberi penghargaan serta meraikan pelajar Tingkatan 5 yang akan menamatkan pengajian mereka di Imtiaz.
Katanya, majlis tersebut juga bertujuan menzahirkan pengiktirafan Kerajaan Negeri dan Yayasan Terengganu kepada para pelajar yang telah berjaya menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran, selaras dengan prinsip Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 iaitu Pembentukan Modal Insan Berkualiti.
"Alhamdulillah, hari ini kita meraikan 529 orang pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu yang telah berjaya menamatkan pengajian setelah lima tahun di Imtiaz serta 453 merupakan pelajar yang terdiri daripada Tingkatan 2, 4 dan 5 yang telah khatam 30 juzuk al-Quran.
"Buat julung-julung kali juga, majlis ini diadakan untuk meraikan pelajar Tingkatan 6 Tahfiz yang turut sama bergraduasi," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2021 yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Taman Tamadun Islam, hari ini.
Katanya, diantara anugerah yang disampaikan pada majlis tersebut adalah Anugerah Quranik, Anugerah Ibnu Sina, Anugerah Al Fateh, Anugerah Al Farabi, Anugerah As Syafie dan Anugerah Tokoh Ulul Albab.
"Jadikan segala ilmu serta pengalaman di Imtiaz sebagai panduan hidup bagi menempuh perjalanan dalam meneroka ilmu pengetahuan ke peringkat yang lebih tinggi selepas daripada ini.
"Tahniah dan syabas saya ucapkan, juga kepada Hafiz dan Hafizah yang telah khatam 30 juzuk al-Quran dimana meraka juga menerima sijil hafazan berserta wang tunai berjumlah RM1,000 bagi setiap seorang," ujarnya.
07 Jun 22
1200
PT3 Dimansuhkan Mulai Tahun Ini
PUTRAJAYA, 2 Jun - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan bermula tahun ini Ujian Pentaksiran Tigkatan Tiga (PT3) dimansuhkan.
Perkara berkenaan telah diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr.Radzi Jidin pada sidang akhbar khasnya hari ini.
Sebelum ini ia ditangguhkan selama dua tahun sejeka 2020 akibat pandemik Covid-19.
02 Jun 22
544
Inovasi Tempatan Tembusi Peringkat Global
KUALA NERUS, 2 Jun- Banyak produk Inovasi tempatan berjaya menembusi pasaran di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ramai pencetus inovasi dari negeri Terengganu mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Kita sentiasa ada wakil dari Terengganu yang memenangi 'award' di peringkat antarabangsa seperti kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut yang memenangi Pertandingan Pendidikan Sains dan Teknologi Nuklear di Austria.
“Begitu juga, kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam yang telah memenangi pertandingan Inovasi di peringkat dunia seperti Romania dan lain-lain.
“Dengan ini, menunjukkan bahawa kita tidak lagi ketandusan bakat dengan tanggungjawab yang kita laksanakan di Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) bukan sekadar membangkitkan minat namun kita juga melihat pencapaian dan kejayaan mereka di peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Malaysia Techlympics Zon Timur Kuala Nerus di sini hari ini.
Ahmad Amzad berkata program seperti itu akan diteruskan lagi supaya mereka yang terlibat dalam bidang ini dapat menjadi pencipta produk inovasi yang berwibawa bukan sahaja ketika masih muda bahkan dapat menyumbangkan kemampuan dan bakat mereka kepada negara pada masa akan datang.
02 Jun 22
215
KQT Lahirkan 'Hamalatul Quran'
KUALA TERENGGANU, 31 Mei- Kolej Al-Qur'an Terengganu (KQT) terus berperanan melahirkan hamalatul (penghafaz) Al-Quran sebagai modal insan yang menjadi harapan kerajaan negeri bagi menjadi penerus kesinambungan kepimpinan dan pembangunan negara pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, seramai 400 pelajar yang berjaya menamatkan pengajian pengajian diploma dalam bidang Tahfiz al-Qur'an dan Bahasa Arab, Tahfiz Al-Qur'an dan Qiraat serta graduan Kuliyyah Al-Furqan, masing-masing adalah menjadi kebanggaan kerajaan negeri.
"Kejayaan menjadi 'hamalatul Quran' pada zaman yang penuh mencabar ini bukan suatu yang mudah, Hanya insan yang nekad dan mampu memikulnya sahaja akan memperolehi nikmat dan kelebihan ini, adalah diharapkan agar kejayaan yang dicapai pada hari ini menjadi titik pencetus semangat buat para graduan untuk kelestarian hidup dan kerjaya.
"Sebagai umat Islam, mempelajari ilmu ini adalah wajib dan perlu diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan jika kita bercita-cita mahu kembali mencapai tahap kegemilangan sebagaimana yang pernah dicapai oleh tamadun Islam pada kurun dahulu.
"Kehebatan tamadun dunia sama ada yang berkembang berkurun dahulu ataupun yang wujud mutakhir ini terletak pada kehebatan bangsa dalam mengilmukan budaya dan membudayakan ilmu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Imaratul Ilmi Ke-3 KQT, di Pusat Konvokesyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola KQT, Maliaman Kassim dan Ketua Eksekutif KQT. Prof Madya Dr. Mohd Safri Ali
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan pelbagai inisiatif bagi merealisasikan hasrat memacu kejayaan demi kejayaan dalam bidang pendidikan terutamanya untuk mentransformasikan KQT menjadi sebuah Kolej Universiti menjelang tahun 2025.
"Kampus baharu di Durian Mentangau sedang dalam proses untuk dibangunkan demi pembelajaran yang kondusif untuk anak-anak jati Terengganu khususnya dan anak-anak keluarga Malaysia secara amnya untuk menimba ilmu dalam pelbagai lapangan.
"Saya akan memastikan KQT akan terus menjadi perhatian daripada pihak kerajaan kerana peranan besar yang telah dimainkan oleh institusi ini dalam meningkatkan ilmu pengetahuan rakyat daripada kumpulan B40 dan M40 melalui penawaran peluang pendidikan dalam bidang yang berteraskan agama ke arah melahirkan masyarakat yang memenuhi sifat-sifat dan ciri-ciri masyarakat madani," katanya.
30 May 22
417