Artikel "Pelancongan" Terkini
Resort, Hotel Di Terengganu Dibuka Kembali
KUALA NERUS, 10 Mac - Hampir 80 peratus Resort dan Hotel di Terengganu mula dibuka kepada pelancong tempatan susulan bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata sektor pelancongan antara yang teruk terkesan sepanjang PKP ini, jadi pembukaan semula aktiviti pelancongan itu dapat memulihkan kembali industri terbabit.
"Alhamdulillah rentas daerah sudah dibenarkan, kebanyakan pengusaha menarik nafas lega dengan pengumuman ini dan mula membuka sektor pelancongan termasuk resort dan hotel di negeri ini.
"Selepas ini kita harap agar kerajaan akan membenarkan rentas negeri pula dalam tempoh terdekat bagi memastikan industri pelancongan negara termasuk di pulau-pulau peranginan yang kini tenat kembali bernafas.
“Pihak kami akan memastikan semua peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dipatuhi asalkan sektor pelancongan dapat dibuka semula seperti biasa,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Lawatan Ke Produk Pelancongan 'Community Based Tourism' di sekitar Kuala Nerus petang semalam.
Sementara itu, Ariffin berkata pulau-pulau peranginan di Terengganu juga dibuka kembali kepada pelancong bermula pada awal bulan ini dengan sasaran 30 peratus kedatangan pelancong tempatan selepas ditutup berikutan musim tengkujuh dan pelaksanaan PKP 2.0.
Tambahnya, namun masih ada sebahagian pengusaha resort di pulau peranginan masih belum membuka pintu kepada pengunjung di negeri ini kerana masih dihimpit kebimbangan perniagaan mereka akan terus merudum.
“Mereka menangguhkan dahulu hajat untuk menerima pelanggan hingga ke bulan depan bagi mengelak menanggung kerugian lebih besar berikutan kedatangan pengunjung yang suram,”katanya lagi.
Menurut rekod, Terengganu berada pada kedudukan keempat sebagai negeri popular pilihan pelancong untuk bercuti mengikut data kadar purata penginapan pelancong pada tahun lalu.
Data yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bermula Januari hingga November 2020 itu menunjukkan Terengganu naik tujuh anak tangga berbanding kedudukan ke-11 pada tahun 2019.
10 Mar 21
733
Melancong Antara Negeri PKPP Dibenar Bersyarat
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan aktiviti pelancongan antara negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasaran, mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti tersebut tertakluk dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“la juga perlu menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC seperti bas pelancongan manakala dengan kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan.
“Pergerakan kenderaan dengan agensi pelancongan itu juga perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis.
“Kenderaan pelancongan juga dilarang singgah ke negeri di bawah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi pergerakan yang perlu melintas negeri tersebut," katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petang tadi.
Tambah Ismail Sabri, kelulusan MOTAC juga mesti diperoleh sektor penginapan dan premis pelancongan serta tiada pergerakan percutian dari negeri PKPB ke negeri PKPB yang lain.
Sehingga kini, tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini.
Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat teknikal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) semalam turut bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi daripada PKPB kepada PKPP bermula esok.
“Langkah ini setelah hasil cadangan kerajaan negeri Kedah memandangkan daerah pulau ini sudah jadi zon hijau dengan dua kes terakhir direkodkan pada 20 Februari lalu.
“Kelonggaran ini berdasarkan model gelembung pelancongan, tetapi Kedah masih lagi berstatus PKPB seperti tujuh negeri lain dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelasnya.
Maklumat lanjut mengenai segala SOP yang terperinci boleh dirujuk menerusi laman sesawang rasmi pihak kementerian berkenaan dan MKN.
09 Mar 21
684
Terramalai, Bakal Jadi Produk Pelancongan Terbaharu Di Terengganu
KUALA NERUS, 9 Mac - The Land of Malaya Architecture (Terramalai)yang berkonsepkan senibina Rumah Tradisional Melayu bakal menjadi tarikan terbaharu kepada pelancong apabila dibuka kepada orang ramai Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kesenian rumah-rumah tradisional yang dipamerkan adalah sangat unik kerana ia mewakili setiap negeri di Malaysia.
Katanya, walaupun Terramalai milik persendirian tetapi kerajaan negeri sentiasa memberi galakan kepada sesiapa sahaja pemain industri untuk melaksanakannya asalkan ia boleh majukan Terengganu.
"Saya difahamkan pemilik Terramalai sedang berusaha mendapatkan semua rumah tradisional seluruh negara untuk dibawa ke sini, dan membangunkan semula lima buah istana lama.
"Kalau tempat ini siap, ia akan menjadi tarikan baharu atau lebih tepat sebagai kampung budaya kedua," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Lawatan Ke Produk Pelancongan Community Based Tourism Ke Lokasi-Lokasi Sekitar Kuala Nerus di sini hari ini.
Sementara itu, pemiliknya , Alex Lee berkata idea untuk membina Terramalai lahir selepas kejayaan Terrapuri Heritage Village di Kampung Mangkuk, Setiu.
Beliau berkata jika di Terrapuri mempamerkan keindahan istana zaman silam jadi mengapa dia tidak mewujudkan satu warisan untuk rumah tradisional secara setempat di tanah seluas 1.012 hektar di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit.
"Untuk permulaan, tiga buah Rumah Tradisional Purba Melayu sedang dibina iaitu rumah berserambi satu dan bertanjung (rumah negeri Sembilan), rumah berserambi berpelah (Kelantan) dan rumah potong Belanda (Terengganu).
"Selain itu juga terdapat lima buah istana lama Terengganu yang digabungkan dengan menggunakan konsep berangkai Istana Tengku Mariam Kembang Puteri (Istana Terengganu) sebagai muzium," ujarnya lagi.
Menurut Alex, sehingga kini kos pembinaan tiga rumah tersebut melibatkan RM1.5 juta termasuk kelengkapan perabot antik yang didatangkan mengikut negeri masing-masing.
09 Mar 21
6474
Kawasan Pendaratan Tuntung Jadi Pusat Pelancongan Komuniti
HULU TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan kawasan pendaratan tuntung di Kampung Temir sebagai pusat pelancongan berteraskan komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa pelancongan Kebudayaan dan Teknologi negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu bagi memastikan lebih ramai pengunjung datang ke negeri ini apabila aktiviti rentas negeri dibenarkan.
Katanya, usaha itu juga diyakini mampu memelihara spesies haiwan yang kian pupus terbabit.
"Kalau dahulu di Rantau abang ada tempat penyu bertelur yang mana sekarang ini masih ada tapi bilangannya sedikit sangat.
"Sebenarnya pelancong sama ada dari luar atau dalam negeri kita sendiri pun ada yang tidak pernah kenal tuntung, maka ia dijadikan 'edutourism', memberi pendidikan kepada seluruh masyarakat, sama ada anak-anak, pelajar-pelajar untuk mengenali tuntung ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada UPDI ketika mengadakan lawatan ke Kampung Temir bagi aktiviti melihat tuntung bertelur dan aktiviti konservasi, di daerah ini, semalam.
Ariffin berkata, usaha yang dilakukan Jabatan Pelancongan negeri itu melibatkan kerjasama Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara, Persatuan pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
"Usaha yang dilakukan ini juga adalah untuk memberi manfaat dan kesedaran kepada masyarakat agar tidak berlaku sebarang pencemaran yang boleh merosakkan khazanah alam semula jadi terutama di kawasan pasir Temir ini.
"Dalam mesyuarat exco bulan lepas banyak permohonan-permohonan pasir yang dibuat telah ditolak oleh kerajaan dalam usaha pemeliharaan tuntung dimana dalam radius 4 kilometer di kawasan ini, kita tidak dibenarkan aktiviti pengorekan pasir.
"Kerana kita bimbang aktiviti ini jika diteruskan boleh menjejaskan jangka hayat tuntung ataupun kita tak dapat melihat lagi apa yang kita lihat sekarang ini. Ini yang menjadi kesungguhan kerajaan negeri dalam hal ini," katanya.
Selain itu sebarang aktiviti memancing, menjala atau yang boleh mengganggu habitat berkenaan terutama pada Februari hingga Mei setiap tahun di waktu tempoh haiwan itu bertelur di kawasan berkenaan adalah dilarang.
"Ini bertepatan dengan Akta Hidupan Liar 2010 yang melarang mana-mana pihak untuk menangkap, memakan menjual tuntung dan telurnya.
"Pada tahun 2021 sebanyak 50 ekor telah direkodkan setakat 13 Februari 2021. Purata kutipan telur di kawasan Pasir Temir ini pada tahun 2021 sebanyak 500 biji yang mana telur ini telah dipindahkan ke Pusat Konservasi Tuntung Bukit Paluh untuk proses pengeraman selama 85 hari sehingga proses penetasan tuntung," ujarnya.
Katanya lagi, kawasan tuntung bertelur tersebut bukan merupakan produk baru tetapi ia kembali digilap bagi menyesuaikannya mengikut perkembangan produk pelancongan kontemporari pada waktu ini.
08 Mar 21
1850
Pelancongan Komuniti Tingkat Ekonomi Rakyat
HULU TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan negeri akan mewujudkan lebih banyak Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) di setiap daerah bagi meningkatkan ekonomi rakyat setempat khususnya masyarakat kampung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknolgi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak 40 lokasi CBT sudah dikenalpasti dan akan dibangunkan sepenuhnya dalam beberapa masa lagi.
"Paling minima kita nak wujudkan 10 CBT yang kita sedang buat antaranya di Pengkalan Warisan, Banggol Cempedak, Pengkalan Setar kemudian yang terbaru di kedai Buluh iaitu adanya zoo kampung.
"Di Pulau Redang yang masih dalam proses, sebenarnya banyak lagi yang mana sebahagiannya kita dah kenal pasti tetapi kita belum sempat pergi melawat lagi, insya-Allah semua tempat-tempat ini kita akan umumkan kemudian," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada lawatan ke Kampung Temir bagi aktiviti melihat tuntung bertelur dan aktiviti konservasi, semalam.
Mengulas lanjut Ariffin berkata, bagi memastikan kehadiran pelancong ke negeri ini terus meningkat sebagaimana yang dihasratkan, beberapa usaha turut dilakukan dengan memohon kebenaran agar aktiviti rentas negeri dilonggarkan.
"Supaya apabila dibenarkan aktiviti rentas negeri membolehkan pelancong luar untuk datang ke tempat-tempat menarik di Terengganu ini. Memang itulah yang menjadi harapan kami," ujarnya.
08 Mar 21
375
Pura Tanjung Sabtu Bangkit Kembali Sebagai Produk Pelancongan Komuniti
KUALA NERUS, 1 Mac - Kerajaan negeri sedang dalam kerja membangun kembali potensi Pura Tanjung Sabtu dan lain-lain lokasi pelancongan di Buluh Gading sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) yang mampu menjana ekonomi bagi penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri bersama sokongan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah mengambil inisiatif melalui peruntukan pembangunan infrastruktur dan kebersihan serta sedang giat melestarikan lokasi seperti di Pura Tanjung Sabtu.
"Alhamdullilah, pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu turut bekerjasama dalam bergotong-royong di sini yang juga kelihatan seperti rumah tradisional antik dan pernah tular di media sosial.
"Konsep CBT ini mesti melalui usaha bersama JPKK, kerana mereka juga pemegang taruh dalam sektor pelancongan dalam komuniti mereka sendiri.
“Dengan harapan supaya masyarakat di sini terlibat sekali dan mendapat manfaat daripada peningkatan pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke lokasi CBT di Buluh Gading, baru-baru ini.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa mencari potensi baharu bagi menambahkan lagi lokasi menarik sebagai lubuk pelancongan, dan kertas kerja telah dimaklumkan dan akan dibincang di peringkat negeri dari semasa ke semasa.
Turut hadir, ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin.
Sementara itu, Ariffin turut menceritakan lokasi lain seperti tokong Sampohkong Keramat Cheng Ho yang merupakan tempat persinggahan Laksamana Cheng Ho dan Kampung Tanjung Bunut.
“Seperti difahamkan Laksamana Cheng Ho merupakan seorang tokoh pelaut tersohor yang dipercayai juga seorang muslim pada abad ke-15, lokasi ini dengan nilai sejarah tersebut mampu menjadi tarikan kepada pelancong terutamanya warga Cina.
“Produk pelancongn lain seperti ‘river trail’ atau bot menyusuri dua sungai iaitu ke Kuala Berang ke Kuala Terengganu dan Sungai Nerus juga akan diperkembangkan supaya ia menyusuri lokasi-lokasi sedemikian dalam satu pakej,” tambahnya.
Menurut ADUN kawasan tersebut, Ridzuan Hashim, beliau memaklumkan antara kerjasama terlibat bersama tiga JPKK iaitu JPKK Tanjung Sabtu, JPKK Tanjung Bunut dan JPKK Teluk Pasu.
“Secara tidak langsung, masyarakat setempat juga boleh meraih peluang ekonomi ini dalam menjana pendapatan di dengan komuniti sendiri,” katanya.
01 Mar 21
4525
Pengusaha Pelancongan Perlu Kreatif Tarik Pengunjung
HULU TERENGGANU, 25 Februari- Penggiat industri pelancongan di Tasik Kenyir harus tampil lebih kreatif dengan pakej pelancongan yang boleh memenuhi kehendak pelancong disaat sektor ini terjejas akibat wabak pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata pandemik yang berlaku telah mengubah kehidupan masyarakat setempat dan pengusaha pelancongan sepertinya perlu menerima keadaan baharu itu dengan melakukan perubahan strategi pemasaran.
Katanya, cadangan yang masih di peringkat perancangan itu dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang melihat keunikan Tasik Kenyir.
"Inisiatif seperti menawarkan pakej pelancongan pada kadar harga lebih rendah kepada pelancong tempatan boleh dibanyakkan, memandangkan sempadan negara masih ditutup akibat pandemik COVID-19.
"Sehubungan itu, penggiat industri pelancongan seperti pengusaha rumah bot dan bot laju wajar merebut peluang dalam menarik lebih ramai pengunjung termasuk menyediakan pakej istimewa ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Penyampaian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu BERKAT (sektor pelancongan) kepada wakil pemandu bot dan pengusaha houseboat serta malim gunung di Tasik Kenyir, disini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 230 pemandu bot dan pengusaha houseboat serta 33 malim gunung mendapat bantuan secara one-off berjumlah RM300 setiap seorang, melibatkan kos keseluruhan bantuan bernilai RM78,900.
Menurutnya lagi, bantuan ini akan diagihkan kepada penerima secara berperingkat dengan disalurkan terus ke dalam akaun penerima.
25 Feb 21
476
Jambatan Ikonik Tasik Kenyir Beroperasi Mei Ini
HULU TERENGGANU, 25 Februari - Jambatan Ikonik yang kini dalam proses akhir pembinaan pastinya menjadi kebanggaan penduduk daerah ini apabila beroperasi sepenuhnya pada pertengahan Mei 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jambatan yang dibina di Pulau Poh, Tasik Kenyir itu merupakan sebahagian daripada skop projek pembangunan Pusat Bebas Cukai Tasik Kenyir menelan kos RM107 juta.
"Mercu tanda ini bakal mencipta sejarahnya tersendiri sekali gus dilihat menjadi tarikan baharu pengunjung ke tasik buatan manusia yang sememangnya terkenal dalam kalangan pelancong luar dan dalam negara.
"Dengan bermotifkan kepala bangau, jambatan ikonik ‘cable stayed’ sepanjang 133 meter dengan empat lorong dua hala itu menelan kos sebanyak RM107 juta kini dalam proses sentuhan akhir sebelum dibuka pertengahan Mei nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Penyampaian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu BERKAT (sektor pelancongan) kepada wakil pemandu bot dan pengusaha houseboat serta malim gunung di Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Ariffin turut berkata Projek pembangunan Pusat Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pulau Poh yang sedang berjalan kini hampir seratus peratus siap.
"Antaranya melibatkan pembinaan Terminal Utama Jeti Penumpang, Jeti Kargo, Pembinaan Kawasan R&R, Tempat Letak Kenderaan, Pembinaan Sistem Perparitan.
"Ini termasuk Keperluan Pengurusan Pengawalan Alam Sekitar (EMP), Kemudahan Sistem Rawatan Kumbahan dan hotel 150 bilik bertaraf 3 bintang yang mana kesemuanya telah siap hampir 95 peratus," katanya lagi.
Beliau berkata, apabila kesemua projek di Pulau Poh siap kelak, ia menjadi satu lagi produk
pelancongan tambahan di Tasik buatan terbesar ini, secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada produk-produk sedia ada di sini.
25 Feb 21
6679
Terengganu Mohon Rentas Daerah Dibenarkan
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Kerajaan Terengganu akan memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri pada esok agar rentas daerah dalam negeri terbabit dibenarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, permohonan kelonggaran itu bagi membolehkan sektor pelancongan negeri berjalan seperti biasa bagi menjana kembali pendapatan industri itu yang terjejas teruk akibat COVID-19.
"Kita akan mengesyorkan kebenaran rentas daerah dalam mesyuarat MKN pada esok (Selasa) bagi membantu meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini yang kini dilihat semakin merosot.
"Kita jangka dengan kebenaran rentas daerah yang diberikan ia akan meningkatkan sehingga 30 peratus kadar penginapan hotel berbanding kurang daripada 10 peratus yang diperoleh kesemua pengusaha hotel buat masa ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) PKP 2.0 bagi sektor pelancongan di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri, di sini hari ini.
Menurut Ariffin, kebenaran rentas daerah turut akan memberi harapan baharu kepada pemain sektor berkenaan.
“Permohonan ini dikemukakan memandangkan situasi COVID-19 di negeri ini dilihat semakin stabil, termasuk hanya empat kes dilaporkan hari ini.
Jelasnya, permohonan itu bagaimanapun tidak melibatkan lokaliti di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Jika dilihat sekarang, banyak pengusaha hotel mengambil inisiatif berniaga di tepi jalan untuk memastikan kelangsungan operasi memandangkan kerugian yang dialami.
"Sektor pelancongan antara sektor terjejas teruk sepanjang pandemik. Kita harap kebenaran yang diberikan akan memberikan sinar baharu kepada semua pemain sektor ini," katanya.
22 Feb 21
18658
Kerajaan Optimis Tiada Hotel 'Gulung Tikar'
KUALA TERENGGANU, 17 Februari – Kerajaan Terengganu optimis tiada hotel di negeri ini gulung tikar walaupun sedang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, berbanding dengan negeri sebelah barat bisnes penginapan itu telah banyak ditutup.
“Di Terengganu hotel bajet hingga bertaraf tiga dan empat bintang, tiada yang tutup operasi atau dijual, ia adalah suatu tanda baik dalam menghadapi kemelesetan akibat pandemik.
“Ada juga pengusaha hotel kini mengambil inisiatif mengadakan jualan makanan pandu lalu, penghantaran makanan, hidangan bajet seperti diceburi oleh Duyong Marina & Resort, Grand Continental, Taman Tamadun Islam dan lain-lain lagi,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.
Menjawab persoalan tentang langkah menjual makanan pandu lalu dan berkonsep nasi bajet bakal merugikan peniaga kecil, Ariffin berkata, ia tidak berbangkit.
"Ini kerana ia tidak menjurus kepada keuntungan tetapi memberi semangat kepada sektor perhotelan walaupun tidak mampu liputi kos tahunan.
“Contohnya seperti Primula Beach Hotel melalui Primula Barakah dengan menerima bantuan dana daripada sesiapa sahaja untuk pengagihan makanan bagi mereka yang memerlukan," katanya lagi.
Tambah Ariffin, kerajaan negeri turut memainkan peranan melalui insentif khas buat pengusaha hotel melalui Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Negeri Terengganu yang menerima pengecualian cukai taksiran bagi tahun 2020 yang terjejas akibat PKP.
“Buat masa sekarang, kita sedang dalam proses kajian bagi menyelesaikan beberapa isu dalam melancarkan pelaksanaan kerana ia tidak melibatkan keseluruhan sektor perhotelan dan penginapan dalam negeri.
“Setiap hotel juga berbeza dalam kiraan bayaran cukainya, ada yang RM10,000 dan ada sehingga RM1,000,000,” jelasnya.
17 Feb 21
621