lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Dijangka 1.5 Juta Pelancong Ke Terengganu
Dijangka 1.5 Juta Pelancong Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Kerajaan negeri menjangkakan 1.5 juta pelancong akan berkunjung ke Terengganu sehingga akhir tahun ini susulan kebenaran pergerakan rentas negeri bermula semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perkembangan berkenaan akan kembali menyemarakkan sektor pelancongan negeri yang selama ini terjejas  akibat pandemik. Sekali gus katanya, ia akan berupaya memulihkannya serta meningkatkan kembali ekonomi. "Kita jangka tempahan menginap di hotel, inap desa dan hostel akan dipenuhi pengunjung terutamanya di Kuala Terengganu.  "Sebagaimana tahun sebelum ini penginapan di Kuala Berang turut mendapat permintaan yang tinggi disebabkan kehadiran berpusu-pusu pelancong masuk ke negeri ini. "Terdiri daripada pelancong dalam negeri juga luar dari negeri ini, dalam masa terdekat kita juga akan menerima kedatangan warga asing ke negeri ini sebagaimana diisytiharkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di mana akan bermula dengan Pulau Langkawi, harapnya dalam waktu terdekat, kita juga akan dibenarkan menerima kehadiran pelancong dari luar negara," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong Royong Mengindahkan Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti Daerah (CBT) di Kalang Warisan, di sini, pada hari ini. Mengulas mengenai kehadiran warga asing katanya, pada kebiasaan pulau-pulau menjadi destinasi pilihan percutian mereka, namun Majlis Keselamatan Negeri (MKN) tidak membenarkannya lagi buat masa ini. "Jadi pihak kerajaan sedang berusaha untuk memancing mereka datang ke 'mainland' dahulu sebab itulah dibangunkan produk-produk pelancongan berasaskan komuniti sebagaimana Kalang Warisan ini yang telah dinaikkan taraf bukan hanya bersifat 'lokal' semata-mata," katanya. Tambah Ariffin, kebanyakan rakyat pada waktu ini teruja untuk melancong ke negeri ini sebagai destinasi pilihan yang menggembirakan bersama keluarga. "Walaupun musim tengkujuh makin hampir, namun beberapa tempat masih dibuka untuk dilakukan pelbagai aktiviti terutamanya di Tasik Kenyir yang terletak di Hulu Terengganu. "Bermula hujung minggu ini kita akan dapat lihat kehadiran mereka dari negeri lain atau anak Terengganu yang berada di perantauan pastinya akan pulang dan akan pergi ke tempat-tempat menarik yang ada dalam negeri untuk bercuti bersama keluarga,"ujarnya lagi. Dalam pada itu, Ariffin berharap agar Prosedur Operasi Standard (SOP) tetap diamalkan sebagai langkah sentiasa berwaspada bagi mengelak jangkitan Covid-19.  
11 Oct 21
315
Hutan Berusia Lebih 200 Tahun, Tarikan Pengkaji Dan Pencinta Alam
Hutan Berusia Lebih 200 Tahun, Tarikan Pengkaji Dan Pencinta Alam
DUNGUN, 10 Oktober – Dengan jarak 20 kilometer dari pesisir Pantai Dungun, terdapat sebuah hutan berusia lebih 200 tahun dengan flora dan fauna jarang disentuh pembangunan serta pencerobohan manusia di Pulau Tenggol. Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Roslan Rani berkata, hutan simpan tersebut telah diwartakan sejak tahun 1941 merupakan antara 44 hutan simpan kekal di dalam negeri dengan keluasan 207 hektar. “Dari segi flora dan fauna di sini, terdapat pelbagai jenis pokok dan tumbuhan seperti di sebelah timur menghadap Laut China Selatan diatas geologi batu batan dengan tumbuhan renek. “Manakala di sebelah barat kita lihat kawasan hutan amat baik dengan pelbagai pokok Balau Laut dan Meranti bersaiz lebih 120 cm lebar dianggarkan berusia lebih satu abad. “Dari segi petak, kita mempunyai satu petak hutan simpan dara (VJR) yang boleh dibuat kajian spesis-spesis asal untuk rujukan ekologi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini. Tambahnya, antara spesis herba yang terdapat di lantai hutan seperti Tongkat Ali, Bogak (kawasan berbatu) dan lain-lain sesuai bagi kerja kajian. Menjelaskan perancangan jabatannya, Roslan mencadangkan supaya dipasang papan tanda tentang jenis-jenis tumbuhan serta maklumat tentang larangan ‘Do’s and don’ts’ bagi mendidik pengunjung tentang hutan perlindungan tersebut. Sementara itu, pemilik bersama Tenggol Coral Beach Resort, Galaxxy Siew berkata, kewujudan hutan simpan tersebut juga merupakan satu daripada daya tarikan pelancong ke pulau itu terutama pencinta alam semula jadi. "Kita memang sangat berharap kawasan hutan di Pulau Tenggol ini sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti pembangunan kerana ia memberi satu lagi nilai tambah kepada Pulau Tenggol kerana bukan sahaja golongan penyelam malah mereka yang sukakan tumbuh tumbuhan juga akan suka datang ke sini. "Kewujudan hutan simpan yang mengelilingi kawasan pulau juga menjadikan cuaca di sini sentiasa redup dan teduh. Jadi, pelancong dapat mandi di pantai tanpa rasa panas walaupun pada waktu tengah hari," katanya. Dalam pada itu, Siew berkata bagi menggalakkan pengunjung lebih menghargai Hutan Simpan Pulau Tenggol, pihaknya menyediakan laluan pendakian di sebuah bukit berhampiran resort itu yang kira-kira 100 meter. Beliau berkata apabila berada di puncak bukit tersebut. para pendaki bukan sahaja disajikan dengan pemandangan Laut China Selatan malah mereka akan dapat menikmati kehijauan kawasan Hutan Simpan Pulau Tenggol yang terletak di bahagian belakang bukit.
10 Oct 21
434
Kenali Tenggol, Mutiara Tersembunyi Di Terengganu
Kenali Tenggol, Mutiara Tersembunyi Di Terengganu
DUNGUN, 4 Oktober – Walaupun tidak menonjol seperti Pulau Redang atau Pulau Perhentian, Pulau Tenggol tetap mempunyai keistimewaan tersendiri seperti keindahan memukau permukaan pasir putih dan lautan hijau hingga mampu membuatkan penggemar snorkeling serta skuba terpesona. Pengerusi Persatuan 1 Malaysia Divers, Noor Fadzli Shah berkata, antara keunikan utama pulau peranginan tersebut adalah hidupan laut yang amat menakjubkan untuk dirasai melalui aktiviti rekreasi dalam air. “Pada hari ini sahaja, sekumpulan ikan lumba dapat dilihat berenang semasa menghala ke Pulau Tenggol, fenomena yang jarang berlaku di tempat lain hanya dapat berlaku di sini,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini. Sementara itu, Pengusaha Tenggol Coral Beach Resort (TCBR), Siew Kam Heong menceritakan, kepelbagaian hidupan marin amat meriah berbanding pulau lain. “Antaranya seperti species Whale Shark, Manta Ray, Leopard Shark dan lain-lain lagi dapat ditemui disini dengan lebih 25 lokasi menyelam dan snorkeling terbaik. “Hidupan terumbu karang turut mewarnai dasar laut, lebih mekar berbanding di perairan lain di Pantai Timur kerana jarang diusik tangan manusia dan bot berbanding pulau peranginan tumpuan ramai,” jelasnya. Menurut pengusaha juga, selain bot kayak, aktiviti rekreasi daratan juga didapati di pulau tersebut dengan aktiviti trek hutan atau ‘Jungle Trekking’ ke puncak bukit di tengah-tengah pulau berketinggian 800 kaki sesuai bagi melihat matahari terbenam setiap waktu petang. Bagi penggemar aktiviti selam skuba, keistimewaan di Pulau Tenggol adalah perkhidmatan bertaraf lima bintang bagi mereka yang baharu dan veteran dalam rekreasi tersebut. Tambah seorang lagi pengusaha Joe Tan Kean Koo, kelebihan TCBR adalah bagi pelajar yang ingin mengambil lesen skuba, proses akan mengambil masa selama empat hari dengan kursus ditemani pakar professional di setiap langkah. “Para penyelam tidak perlu risau untuk mengangkat peralatan dan tangka berat ke bot dan sebagainya, kita akan memberi layanan kemudahan bagi memudahkan aktiviti lautan ini, kita tidak mengambil jalan pintas untuk mendapat kelulusan ini,” tambahnya. Jelas Noor Fadzli lagi, pengusaha resort tersebut amat menjaga perkhidmatan di pusat selaman disamping mengambil inisiatif sendiri dalam memelihara kelestarian taman lautan di Tenggol.  
04 Oct 21
738
Terengganu Peruntuk RM800,000 Untuk Pembukaan Sektor Pelancongan
Terengganu Peruntuk RM800,000 Untuk Pembukaan Sektor Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kerajaan negeri telah memperuntukkan dana sebanyak RM800,000 sebagai persediaan untuk membuka sektor pelancongan dengan lebih luas apabila rentas negeri dibenarkan.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata peruntukan yang telah diluluskan pihak kerajaan  tersebut meliputi kerja membaik pulih, menaik taraf kemudahan pelancongan termasuk pusat rekreasi di seluruh negeri ini. "Saya yakin pembukaan menyeluruh paling lewat ialah 1 Januari tahun hadapan, dimana sekarang ini  hampir semua lokasi atau pusat pelancongan sudah kembali beroperasi.Cuma di pulau sahajalah mungkin akan ditutup dahulu  sementara kerana musim tengkujuh laut akan bergelora. "Walaupun ada satu atau dua operator yang bercadang untuk terus buka tanpa tutup. Dalam melakukan persediaan ini Pihak Jabatan Pelancongan turut memberikan peruntukkan tambahan untuk program gotong royong. Di samping turut membangunkan lima hingga 10 produk pelancongan di setiap daerah dalam melakukan persiapan pembukaan. "Bila pelancong datang nanti mereka boleh pergi dari Besut hingga Kemaman, kalau dari Kuala Lumpur boleh singgah Kemaman dahulu, kita jangka dalam sejuta jugalah bajet itu, untuk tahun hadapan akan ada lagi perancangan untuk lebih banyak kelulusan projek pembangunan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada sidang akhbarnya semasa hadir merasmikan pembukaan Perkampungan Budaya, di Muzium Negeri, di sini, semalam. Dimana katanya, Kampung Budaya Terengganu yang menjadi produk baharu pelancongan di negeri ini dibuka bermula semalam dan tiada bayaran masuk dikenakan sehingga 31 Disember.
04 Oct 21
452
Kampung Budaya Dibuka, Bersedia Tarik Lebih Ramai Pengunjung
Kampung Budaya Dibuka, Bersedia Tarik Lebih Ramai Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kampung Budaya Terengganu dibuka kembali hari ini selepas ditutup pengoperasiannya akibat pandemik Covid-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pembukaan semula itu menawarkan tiket kemasukan secara percuma sehingga 31 Disember untuk menarik lebih ramai pengunjung. Jelasnya, promosi berkenaan juga bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman percutian bersejarah berlatar belakangkan suasana sebenar kehidupan masyarakat melayu lama di negeri ini. "Sebelum ini dikenakan bayaran, jadi untuk merangsang kehadiran lebih ramai pengunjung, kita menawarkan promosi tersebut. Juga dijangka dalam waktu terdekat dengan vaksinasi sudah hampir kepada 90 peratus berkemungkinan apabila dibenarkan merentas negeri akan lebih ramai penduduk dan rakyat Malaysia datang ke Terengganu. "Juga saya yakin pada awal tahun hadapan pelancong asing juga akan dibenarkan untuk datang ke negara atau Terengganu secara khususnya, maka saya mengalu-alukan semua untuk datang ke sini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Perkampungan Budaya, di Muzium negeri di sini hari ini. Mengulas lanjut, katanya, mengambil kira situasi semasa berhubung penularan wabak Covid-19, walaupun sektor pelancongan telah kembali dibenarkan, penting untuk memastikan pengunjung yang hadir telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. "Maka semua pihak perlu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepertimana yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Seperti sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan," ujarnya. Dalam perkembangan yang sama katanya, melalui peruntukan RM5.5 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan hasil kunjungan Menteri Kewangan Malaysia pada tahun lepas,  kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih beberapa bangunan sedang dijalankan. "Ia membabitkan dewan untuk persembahan di samping menyediakan kemudahan infrastruktur yang dijangka akan diselesaikan pada akhir tahun 2022 untuk menjadikan perkampungan ini lebih menarik. "Di mana kita telah berbincang untuk mengekalkan tradisi bangunan asal dan tidak pernah bercadang untuk buat pindaan kepada bangunan tersebut cuma akan melakukan penyelenggaraan bagi menambah baik dari segi persembahan dan acaranya untuk berperanan sebagai muzium 'hidup'," ujarnya. Untuk rekod, antara aktiviti yang terdapat di Kampung Budaya Terengganu adalah lawatan ke lapan hentian yang terdiri daripada rumah-rumah tradisional yang unik dan mempunyai tarikan tersendiri. Di antaranya, Rumah Nelayan, Rumah Bujang Berserambi Selasar, Rumah Bujang Berpeleh Berkembar, Rumah Limas Belanda, Rumah Tele dan sebuah istana yang diberi nama. Istana Tengku Long, selain Kapal Sabar dan Kapal Kemajuan yang ditempatkan di Galeri Pelayaran. Selain itu juga pengunjung berpeluang melihat secara dekat demonstarsi pelbagai aktiviti tradisi yang diusahakan pendudukan tempatan.    
03 Oct 21
1064
Pemain Industri Ambil Inisiatif Hidupkan Kembali Tenggol
Pemain Industri Ambil Inisiatif Hidupkan Kembali Tenggol
DUNGUN, 2 Oktober – Pelbagai pemain industri pelancongan bergabung tenaga memeterai perjanjian bagi menghidupkan kembali Pulau Tenggol sebagai destinasi pilihan bagi aktiviti rekreasi air dan hutan. Promosi 12 bulan oleh BXC Travellers (M) SDN BHD (BXCT) dengan pengusaha pusat peranginan, Tenggol Coral Beach Resort (TCBR) dan Persatuan Penyelam 1Malaysia Diver antara yang diusahakan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU). Pengusaha TCBR, Joe Tan berkata, kerjasama tersebut merupakan acara yang sangat dinanti-nantikan oleh pengusaha di Pulau Tenggol dalam menghidupkan kembali pelancongan domestik setelah dilanda wabak COVID-19. “Diharapkan kolaborasi menjadi pemangkin bagi banyak tempat pelancongan lain di negara ini supaya mereka juga dapat kembali maju melalui kerjasama strategik yang serupa antara pemain industri,” katanya ketika ditemubual pemberita, di Pulau Tenggol, semalam. Sementara itu, Pengarah BXCT, Sophie Ken berkata, pakatan itu turut membuka ruang potensi ‘Edu-tourism’ atau elemen pendidikan dan pembelajaran dalam aktiviti pelancongan buat pengunjung domestic dan antarabangsa. “Kami melihat ini sebagai masa yang tepat untuk mewujudkan semula Pulau Tenggol sebagai salah satu destinasi percutian terbaik termasuk dalam penerapan pengetahuan berkenaan hidupan laut dan ekosistem terumbu karang. “Banyak fauna perairan dapat ditemui di sini dan tidak di pulau lain, yang telah lama menjadi rahsia terbuka bagi banyak penyelam tempatan yang sering berkunjung,” jelasnya. Perkara tersebut turut disuarakan Noor Fadzli Shah yang menyifatkan usaha menaikkan kembali nama syurga skuba bertaraf antarabangsa itu sebagai permata tersembunyi di Terengganu. “Sebagai penggiat aktif komuniti menyelam di Malaysia, kami bangga dengan cara pulau ini berjaya melestarikan hidupan liar laut dan ekosistem terumbu karang selama ini. “Kami telah menunggu lama untuk kembali ke ‘kampung halaman’ di sini," katanya yang juga pengerusi Persatuan 1Malaysia Diver.  
02 Oct 21
521
Tourism Malaysia Bantu Promosi Pulau Lang Tengah
Tourism Malaysia Bantu Promosi Pulau Lang Tengah
SETIU, 2 Oktober - Tourism Malaysia mempertingkatkan promosi produk baharu dalam membantu pemain industri pelancongan menarik pengunjung domestik. Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berkata, pengenalan produk baharu di Pulau Lang Tengah yang dinamakan 'Via Ferrata' ini adalah bagi menawarkan pelbagai pilihan kepada pelancong domestik apabila pintu sempadan negeri dibuka nanti. Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin "Program baharu ini merupakan hasil daripada usaha yang telah dijayakan oleh Summer Bay Lang Island Resort," katanya semasa program promosi Pulau Lang Tengah baru-baru ini. Jelas Hafiz, pengalaman untuk meniti di tepi batu yang berlatar belakangkan Laut China Selatan merupakan tarikan baharu yang unik. "Ini merupakan salah satu tarikan yang mampu kita tawarkan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan datang ke Terengganu khususnya ke Pulau Lang Tengah ini apabila pintu sempadan negeri dibuka. "Setelah pandemik yang melanda negara, kita ingin menawarkan pelbagai pilihan kepada pelancong domestik dengan memperkenalkan produk baharu di Terengganu selain produk tradisional sedia ada. Tambah Hafiz, kebiasaannya di pulau orang ramai hanya tertumpu kepada aktiviti yang berasaskan air, tetapi dengan produk baharu ini, ia akan menarik minat para 'hikers' yang ingin merasai sendiri cabaran mendaki di Pulau Lang Tengah. "Kami daripada Tourism Malaysia sangat mengalu-alukan produk baharu ini yang merupakan pulau yang pertama di Pantai Timur memperkenalkannya," ujarnya.
02 Oct 21
393
Kerajaan Diharap Teruskan Inisiatif Bantu Pengendali Hotel Hingga Jun 2022
Kerajaan Diharap Teruskan Inisiatif Bantu Pengendali Hotel Hingga Jun 2022
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Sejak COVID-19 melanda Malaysia, industri pelancongan merupakan sektor paling teruk terjejas dengan menyaksikan banyak pemain industri itu sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan tenaga kerjanya. Justeru itu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu berharap kerajaan dapat  meneruskan beberapa inisiatif bantuan sehingga Jun 2022 untuk memastikan kelangsungan industri itu mengharungi cabaran pasca pandemik COVID-19. Pengerusinya, Suaibah Harun berkata industri pelancongan jelas memerlukan lebih banyak bantuan kerajaan dan mempunyai harapan besar supaya banyak perkara dipermudahkan demi kebaikan bersama. Jelasnya, ini bersesuaian dalam usaha untuk menyokong pengusaha untuk bangkit semula selepas sekian lama terjejas.  "Untuk memulakan kembali operasi pasti agak sukar, jadi ketika inilah kami amat memerlukan sokongan kerajaan seperti Program Subsidi Upah, diskaun bayaran bil elektrik air dan sistem pembetungan serta penambahbaikan sistem percukaian dalam industri pelancongan. "Pengendali hotel sangat berharap kerajaan meneruskan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan jumlah pekerja yang sama di premis masing-masing. "Inisiatif ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya hingga Jun 2022 atau ketika sempadan antarabangsa dibuka semula," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi. Suaibah berkata, sehingga kini terdapat 36 hotel yang berdaftar dengan MAH Terengganu. Beliau yang juga Pengurus Besar Primula Beach Hotel berkata MAH Terengganu juga berharap kerajaan negeri, bank dan agensi berkaitan misalnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Indah Water Konsortium dapat memberi diskaun kepada mereka. "Pengusaha hotel memerlukan bantuan khas kerana perniagaan mereka ketika ini bukan hanya terjejas teruk tetapi juga menanggung bayaran utiliti, cukai, sewa dan gaji pekerja sedangkan syarikat-syarikat tersebut masih melaporkan keuntungan besar.  "Oleh itu, kami berharap diskaun yang bakal diberi dapat membantu kami di fasa pemulihan untuk membuka semula operasi," katanya. Tambahnya lagi, kerajaan juga diharap meneruskan pengecualian cukai pelancongan sehingga 2023 serta pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk bilik dan makanan sehingga Jun 2022.
02 Oct 21
276
Pulau Lang Tengah Tawar Keunikan Berganda
Pulau Lang Tengah Tawar Keunikan Berganda
SETIU, 30 September - Pulau Lang Tengah yang terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian menawarkan keunikan berganda buat pelancong yang berkunjung ke pulau itu.  Pengurus Besar Summer Bay Lang Island Resort, Chong Fah Ming berkata, pulau tersebut menawarkan keunikan baharu melalui aktiviti lasak yang tiada di pulau lain. "Kita merupakan pulau yang pertama di Pantai Timur memperkenalkan 'Via Ferrata' atau Laluan Tali Besi di dalam pulau. 'Via Ferrata' mengelilingi Pulau Lang Tengah "Laluan Tali Besi ini berbeza daripada laluan pendakian yang berada di daratan, kita akan mengelilingi pulau dengan berlatar belakangkan lautan biru semasa pendakian tersebut," katanya. Jelas Chong, sebelum memulakan aksi lasak, pengunjung akan melalui laluan denai hutan Batu Bulan bagi merentasi pulau terlebih dahulu sebelum sampai ke destinasi laluan tali besi. Laluan denai Batu Bulan bagi merentasi Pulau Lang Tengah. "Aktiviti ini akan dipandu oleh jurupandu yang diiktiraf dan terlatih bagi menjaga keselamatan pengunjung. "Sudah pasti aktiviti ini memberikan kepuasan yang berlainan kepada penggemar aktiviti sukan lasak khususnya apabila berkunjung ke sini," ujarnya. Tambah Chong, selain aktiviti lasak berkenaan, Pulau Lang Tengah juga mempunyai pelbagai kawasan yang menarik di sekitarnya bagi melakukan aktiviti menyelam. "Pengunjung juga boleh menyelam pada waktu malam sambil melihat situasi fenomena 'Blue Sand' atau Pasir Biru di pulau ini," jelasnya ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). "Fenomena ini hanya boleh dilihat pada waktu malam, ketika ini dasar laut akan kelihatan seperti lautan cahaya biru berkelipan di dalamnya. "Apabila berada di pulau ini, pengunjung pasti merasai pengalaman yang berbeza berbanding pulau-pulau yang lain. Menyelam pada waktu malam bagi melihat fenomena 'Blue Sand'. "Kita berharap dengan memperkenalkan aktiviti baharu dan sedia ada ini, kita mampu untuk menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu selain merasai sendiri keunikan yang ada di pulau ini," ujarnya.
29 Sep 21
2074
Pulau Bidong Punyai Daya Tarikan Antarabangsa
Pulau Bidong Punyai Daya Tarikan Antarabangsa
KUALA NERUS, 23 September - Pernah diisytiharkan sebagai pusat penempatan orang hanyut menjadikan Pulau Bidong mempunyai daya tarikannya tersendiri bagi pelancong terutamanya warga asing untuk bertumpu ke lokasi terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sebelum dunia dilanda wabak pandemik Covid-19, pulau terbabit merekodkan 3,000 sehingga 5,000 pelancong dari luar negara. "Kita tunggu sedikit waktu lagi apabila sempadan negara serta negeri dibuka, saya yakin mereka akan kembali semula ke sini. Kebiasaan mereka datang meminta kebenaran untuk  upacara termasuk melangsungkan perkahwinan di sini selain mengenang datuk dan nenek moyang mereka yang pernah tinggal di sini. "Peninggalan sejarah seperti kubu, pasar, perahu lama, dan beberapa monumen menjadi bukti kedatangan orang Vietnam bermula tahun 70-an dahulu yang meninggalkan kesan sejarah yang menjadi daya tarikan untuk mereka datang ke sini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika hadir melakukan perasmian aktiviti gotong-royong membersihkan pulau berkenaan, di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Lembaga Muzium negeri, Che Muhammad Azmi Ngah. Mengulas mengenai program tersebut, Ariffin berkata ia diuruskan oleh pihak muzium negeri dengan Jabatan Pelancongan Negeri, Jabatan Perikanan dan beberapa pihak lain sebagai simbolik pembukaan sektor pelancongan bermula 1 September setelah dua tahun tidak menerima kehadiran pelancong. Katanya, kerajaan komited untuk memelihara segala apa yang ada di pulau tersebut termasuk flora dan fauna yang masih tidak terusik sehingga menjadi syurga kepada peminat snorkeling serta selam skuba selain menjadi tumpuan peminat dan pengkaji sejarah. "Biarlah tidak sehebat atau setanding Pulau Redang, Pulau Perhentian mahupun Pulau Kapas usaha kerajaan adalah memastikan apa sahaja yang ada di sini kekal terpelihara. "Sebab itulah kami(kerajaan) tidak membenarkan chalet atau resort dibina oleh pengusaha-pengusaha di sini walaupun menerima banyak permintaan yang ada ialah 'camp site', ada pusat pemeliharaan coral kerana kita hendak pastikan ia terus terkenal melalui khazanah semula jadi yang ada di sini," ujarnya. Ujarnya lagi, walaupun tidak menjadi lokasi mewah untuk bercuti namun dengan usaha dijalankan itu menjadikan ia sebagai destinasi pilihan dalam keadaan masyarakat masih bimbang berkait keselamatan di waktu pandemik ini. "Maksudnya tidak mendatangkan masalah tidak sebagaimana di pulau lain yang menjadi tumpuan orang ramai, di sini pelancong akan merasa selesa untuk menghayati keindahan dengan coralnya yang sangat cantik dan juga merupakan tempat yang sangat sesuai untuk aktiviti menyelam kerana tidak perlu bersesak dengan orang ramai. "Namun kita mengingatkan kepada mereka yang hadir agar tidak meninggalkan sampah, kita berharap sangat oleh kerana tidak ada 'resort' mahupun perkampungan, adalah menjadi tanggungjawab yang perlu dididik dalam diri setiap pengunjung. "Lagi pula kita tidak mengupah mana-mana pihak untuk melakukan pembersihan, kita hanya ada pihak yang menjaga pulau ini sahaja," ujarnya.
23 Sep 21
571