Artikel "Kebajikan" Terkini
Tok Wok Dapat Tapak Niaga Kuih Baharu
MARANG, 18 Julai - Seorang peniaga kuih tradisional Mak Cik Wook atau lebih dikenali sebagai Mak Ngah, 82, yang tular di media sosial mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah.
Warga emas itu yang pada awalnya membuka gerai perniagaan itu hanya 'suka-suka' bagi mengisi masa lapang tidak menyangka ia mendapat perhatian orang ramai apabila mula tular di halaman Amazing Terengganu.
Perkara itu secara tidak langsung telah mengundang kedatangan orang ramai ke gerainya di Belukar Jambu.
Mohd Nor turut tidak ketinggalan apabila hadir menemui dan membawa khabar gembira untuknya semalam.
"Saya melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat telah memaklumkan kepadanya, insya-Allah kita akan bina tapak yang lebih selesa untuk beliau berniaga," ujar Mohd Nor.
Terdahulu Amazing Terengganu menyifatkan warga emas itu sebagai 'Amazing Woman' dalam usia itu masih mampu berniaga kuih tradisional seperti akob, beker, ketupat dan tepung bungkus secara sendirian.
"Biasanya dalam pukul 5 petang atau lebih akan dibuka perniagaan hadapan rumah, kuih itu semua sedap-sedap," ujar Amazing Terengganu.
18 Jul 21
591
Kelab Bola Sepak Chukai Bantu Asnaf
KEMAMAN, 18 Julai - Kelab Bola Sepak Chukai turut memainkan peranan dalam membantu golongan asnaf atau mereka yang memerlukan apabila turun menyantuni dan menyampaikan sumbangan bakul makanan, semalam.
Penaung Kelab Bola Sepak Chukai, Dato' Dr Leom Joo deck berkata, sumbangan yang mereka lakukan ini adalah hasil kutipan daripada dermawan-dermawan ahli kelab itu.
"Kami amat berbangga dapat mengadakan program seperti hari ini. Sedikit sebanyak ia dapat membantu mereka yang memerlukan ketika ini.
"Saya juga berharap semua penduduk khasnya di Kemaman, Terengganu dan Malaysia agar mematuhi "Standard Operating Procedures (SOP)" yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Jagalah SOP seperti pakai pelitup muka, cuci tangan dan jaga jarak 1 meter," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui selepas selesai agihan barang-barang kepada penerima.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang disampaikan oleh pihak kelab itu.
"Terima kasih kepada mereka yang sedia menyampaikan bantuan di dalam keadaan kehidupan rakyat yang mengalami kesusahan waktu ini akibat daripada pandemik Covid-19.
"Jadi saya juga mengharapkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain yang ingin menyampaikan sumbangan juga boleh berjumpa dengan saya.
"Hari ini penerima-penerima kelihatan gembira menerima bakul makanan. Sekurang-kurangnya ia mampu bertahan selama satu hingga dua minggu dan saya yakin selepas ini ada lagi sumbangan- sumbangan yang akan diberikan bukan sahaja daripada kerajaan dan NGO tetapi daripada individu-individu yang mempunyai kewangan yang lebih.
"Inilah masa yang terbaik untuk mereka memberikan sumbangan ini kepada orang-orang yang terkesan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
Dalam program itu, sebanyak 100 bakul makanan yang mengandungi beras dan barangan dapur telah diagihkan di mana mereka terdiri daripada penduduk yang tinggal di Kampung Geliga Jambatan, Kampung Mak Lagam, Kampung Paya Berenjut dan Kampung Geliga.
Turut hadir, Pengerusi Kelab Bola Sepak Chukai, Tan Kwang Ming, ahli jawatankuasa kelab, Jimmy Tan Chun Hiang dan Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.
18 Jul 21
404
Azreen, Zulkhairie Terima Insentif RM30,000
KUALA NERUS, 16 Julai- Sebagai sokongan kepada ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias dan jaguh berbasikal Paralimpik, Zulkhairie Tarmizi yang layak ke temasya sukan Olimpik di Tokyo, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan insentif kepada kedua-dua atlet kelahiran Terengganu itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri menyampaikan insentif tunai berjumlah RM30,000 sebagai membantu persiapan mereka menghadapi temasya itu.
"Sebelum ini, kerajaan negeri telah anugerahkan kepada Azizulhasni Awang dan Khairul Anuar Mohamad, iaitu sebanyak RM100,000 setiap seorang di atas kelayakan secara merit mereka ke Olimpik.
"Oleh itu, kerajaan negeri memutuskan untuk menyampaikan juga insentif kepada Azreen dan Zulkhairie.
"Walaupun tak sebanyak yang diterima dua atlet elit kita, insentif ini dizahirkan sebagai sokongan padu kepada atlet-atlet Terengganu yang layak ke sana dan bakal mengharumkan nama negara di sana," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Amanat Negeri kepada keempat-empat atlet tersebut secara maya di platform Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini.
Tambahnya, besar harapan dan doa seluruh rakyat Terengganu agar keempat wira kelahiran negeri itu dapat membawa amanah dan harapan dengan keputusan yang cemerlang di sukan Olimpik nanti.
"Tiada apa yang mustahil untuk dicapai. Walaupun Azreen contohnya, mungkin pergi atas tiket wild card.
"Tetapi, tidak mustahil beliau dapat meraih kejayaan dengan kehendak Allah SWT," katanya.
17 Jul 21
492
"Bantuan Sampai Tak Putus-Putus" - Mangsa Kebakaran
KUALA NERUS, 17 Julai – "Alhamdulillah, bantuan sampai tak putus-putus pada saya, tak terkata, Syukur pada Allah atas pertolongan yang sampai,” luah seorang mangsa kebakaran, Semek Mamat setelah dibantu Kerajaan Negeri dalam menghadapi ujian getir itu.
Ibu tunggal berusia 62 tahun yang menetap di Kampung Kesom itu berkata, orang ramai berpusu-pusu menghantar bantuan kepadanya selepas rumahnya musnah dijilat api.
Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin menjelaskan, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu dan Tabung Darul Iman turut hadir bagi menyalurkan barangan keperluan harian.
“Di samping itu, Skuad Kebajikan Parlimen Kuala Nerus dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading juga sertai menyumbangkan wang tunai dan kata-kata semangat kepada mangsa.
"Dalam masa terdekat juga, kita akan usahakan kediaman baharu untuk Puan Semek serta anak-anak supaya mereka lebih selamat dan selesa," tambahnya.
Turut hadir memberi semangat Setiausaha Persatuan Isteri wakil dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Tuan Roslina Tuan Sulaiman serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
Menurut Semek, kejadian berlaku pada petang baru-baru ini, dipercayai bermula di bahagian dapur mengakibatkan 80 peratus bahagian rumah tidak dapat diselamatkan.
“Semasa kejadian, saya sedang tidur di ruang tamu dan dua orang anak saya yang lain tiada dirumah.
"Bila saya tersedar, api sudah marak di bahagian tengah rumah dan saya keluar melarikan diri,” katanya lagi.
Ketua Balai Bomba Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar melaporkan tiada kemalangan jiwa berlaku dan api tidak merebak ke rumah jiran berdekatan.
17 Jul 21
219
230 Pelajar Cemerlang SPM 2020 DUN Cukai Diraikan
KEMAMAN, 14 Julai - Seramai 230 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai telah diraikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, semua pelajar cemerlang yang memperolehi keputusan 5A sehingga 12A diraikan supaya menjadi motivasi kepada mereka untuk terus melanjutkan pelajaran mereka ke mana-mana Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang menjadi pilihan mereka.
"Saya sentiasa mendoakan suatu hari nanti mereka akan membawa pulang segulung ijazah sekali gus menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat.
"Dalam masa yang dapat berkhidmat di dalam negeri, daerah atau seumpamanya bagi meneruskan legasi pemimpin yang lama sama ada di dalam politik, jabatan kerajaan ataupun lain-lain.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengetua sekolah dan guru-guru yang telah memberikan tumpuan sepenuhnya dengan menghabiskan banyak masa berkorban demi melihat anak didik mereka mencapai kejayaan.
"Terima kasih juga kepada ibu bapa yang bukan sahaja membuka ruang kepada anak untuk menimba ilmu di sekolah, malah turut sama memberikan perhatian, tunjuk ajar dan sebagainya kepada anak-anak mereka itu ketika di rumah," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Dalam pada itu, Hanafiah turut menyampaikan hadiah berbentuk wang tunai dan cenderahati kepada mereka yang disenaraikan sebagai pelajar cemerlang SPM 2020 bagi DUN Cukai.
Majlis yang diadakan secara berperingkat selama dua hari iaitu Ahad dan Isnin lalu berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai.
14 Jul 21
390
40 Jenis Barangan Keperluan Disediakan Bantu Ringan Beban Penduduk
KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Hampir 40 jenis barangan keperluan asas disediakan di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam bagi membantu penduduk terdesak dan mengalami masalah kewangan sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua ketika ini.
ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah menjelaskan, sebahagian besar barangan tersebut merupakan hasil sumbangan beberapa syarikat tempatan, NGO serta individu yang berjaya dikumpulkan.
Menurutnya, penyelaras program menghadkan lima barangan sahaja untuk dibawa pulang bagi seorang penerima.
"Tetapi, ia juga bergantung kepada situasi keadaan serta keperluan mereka yang akan direkodkan sebagai sumber maklumat.
"Kesemua barangan tersebut diletakkan luar pejabat Pusat ini yang beroperasi pada waktu pejabat, bagi memudahkan penerima memilih barangan diperlukan," katanya.
Beliau yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri berkata demikian selepas menyempurnaka pelancaran projek It’am At-To’aan iaitu Bank Makanan peringkat DUN berkenaan, di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam, semalam.
Jelasnya, usaha itu perlu dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu meringankan beban yang ditanggung penduduk setempat.
Wan Sukairi juga telah meminta 35 buah JPKK di bawah kawasannya membuka dan menyediakan Bank Makanan di kampung masing-masing.
12 Jul 21
735
Gerai Makan Pasar Besar Chukai Dinaik Taraf
KEMAMAN, 12 Julai - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) akan menaik taraf 10 unit gerai makan yang berada di belakang Pasar Besar Chukai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja menaik taraf itu akan bermula selepas Hari Raya Aidiladha nanti dan ia dijangka mengambil masa lebih kurang dua bulan.
"Alhamdulillah, kami telah bertemu dengan peniaga-peniaga yang terlibat ini dan berbincang serta dapat mengambil keputusan sepakat secara harmoni.
"Kerja-kerja menaik taraf ini akan berjalan secara berperingkat. Sepanjang tempoh kerja-kerja ini berlangsung, peniaga-peniaga akan disediakan tapak lain yang berhampiran beserta dengan kanopi.
"Oleh yang demikian, peniaga-peniaga ini masih dapat mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan makanan mereka itu," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Hanafiah turut mengharapkan kerja-kerja menaik taraf berkenaan akan dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada pihak-pihak yang terlibat.
"Insya-Allah, selepas siap sepenuhnya kerja-kerja ini dan peniaga dapat kembali berniaga, kita mengharapkan ia akan memberikan lebih keselesaan dan menjamin keselamatan yang lebih baik sama ada untuk peniaga dan orang ramai yang berada di sana," ujarnya lagi.
12 Jul 21
432
4,000 Bakul Makanan Di Kemaman
KEMAMAN, 10 Julai - Sebanyak 4,000 bakul makanan akan diagihkan kepada rakyat Kemaman yang terjejas dengan pandemik kepada empat DUN di Parlimen di sini melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Peruntukan RM300,000 untuk program Bantuan Bakul Makanan yang diumumkan dalam pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Isnin lepas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mula diagihkan di sekitar kawasan Kemaman.
"Kelainan di Kemaman, tambahan peruntukan RM100,000 bagi mencukupkan agihan setiap DUN dengan 1,000 barangan menjadikan 4,000 barangan diagihkan secara sama rata bagi mereka yang terjejas dengan pandemik ini," kata Ahli Parlimen Kemamam, Che Alias pada taklimat ringkas kepada pengerusi-pengerusi JPKK DUN Chukai.
"Dengan nilaian yang sama serta jenis barangan yang sama, JPKK tidak perlu risau semasa agihan dilakukan kerana ia mengikut senarai yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri," katanya lagi.
Beliau berkata, sehingga hari ini tiga DUN sudah selesai diagihkan kepada JPKK dan DUN terakhir akan diselesaikan pada hari Ahad ini.
Walaupun sudah diagihkan 4,000 barangan dapur kepada seluruh JPKK di Kemaman, pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kemaman masih menyediakan barangan keperluan tambahan kepada mereka yang mungkin tidak tersenarai dalam agihan.
10 Jul 21
332
Bakul Makanan Pemulih Pelengkap BERKAT 3.0
KEMAMAN, 10 Julai - Program Makanan Pemulih menjadi pelengkap kepada Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) di negeri ini apabila turut menyasarkan golongan yang terjejas pendapatan dan mereka yang memerlukan bantuan ketika negara masih berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Berenjut, W.Razali Wan Mansor mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi bantuan itu.
"Baru-baru ini kami telah menerima hampir 250 bakul makanan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, jadi bantuan yang diterima hari ini boleh dijadikan sebagai tambahan kerana di kampung kami ini masih ramai yang terjejas pendapatan, tidak bekerja dan sebagainya.
"Jadi hari ini kami menerima 38 bakul makanan lagi. Insya-Allah akan kami sasarkan pada mereka yang betul-betul terkesan sepanjang PKP kali ini. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan negeri Terengganu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang telah memberikan bantuan ini kepada penduduk di kampung kami ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili kampungnya menerima sumbangan Bakul Makanan Pemulih yang diagihkan di Pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai, hari ini.
Terdahulu, sebanyak 1,000 bakul makanan yang mengandungi beras dan pelbagai barangan dapur dimana setiap bakul bernilai RM100 telah diagihkan kepada 30 JPKK bagi DUN Cukai.
Sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan oleh Parlimen Kemaman bagi menjayakan program pada hari ini.
10 Jul 21
323
900 Pelajar Terima Tablet
MARANG, 9 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah mengagihkan 900 peranti kepada pelajar luar bandar bagi memastikan sesi pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dapat diikuti dengan baik.
Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, peruntukan sebanyak RM351,550 itu akan dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan alatan berkenaan.
"Fasa pertama ini antara kriteria yang kita pilih adalah pelajar dari golongan keluarga B40 dan juga M40 yang melibatkan 70 peratus daripadanya berada dalam wilayah KETENGAH dan 30 peratus adalah di luar wilayah.
"Kita akan ada lagi fasa seterusnya yang kini dalam proses mengenal pasti mereka yang layak dan betul-betul memerlukan, agar setiap mereka daripada keluarga yang berpendapatan rendah ini memiliki satu peranti," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika sidang media program agihan peranti berkenaan, di Pejabat Pendidikan Daerah Marang, di sini, pada semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Tengku Musa dan Pengarah Pendidikan negeri, Salim Abdul Ghani.
Razali berkata, bagi memastikan proses pembelajaran itu berjalan dengan lancar, pihaknya juga telah turut mengemukakan masalah berkait liputan telekomunikasi yang lemah dialami penduduk KETENGAH.
"Sebenarnya pihak kerajaan telah sedia maklum, cuma saya tekankan lagi supaya dilihat lebih spesifik dan juga telah dibawa kepada pihak Suruhanjaya komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
"Wilayah ini berada di hujung Terengganu meliputi Hulu Terengganu, Kemaman terutamanya di kawsan pedalaman Daerah Dungun yang menghadapi masalah kritikal berkait liputan internet," katanya.
Sementara itu, Salim berkata pihaknya sangat berterima kasih kepada pihak KETENGAH atas insiatif berkenaan.
"Insya-Allah ini merupakan satu benda yang sangat besar bagi kami, kerana dapatan kami mendapati tugasan yang diberikan secara 'offline' tidak dapat disiapkan segera, berbeza secara atas talian segala tugasan yang diberikan kepada pelajar dapat disemak segera.
"Jadi ini akan dapat meningkatkan kesungguhan para pelajar, ia merupakan satu anugerah yang bermakna diterima oleh mereka yang layak," katanya.
Dalam pada itu seorang pelajar, Nur Izzah Insyirah kamaruzaman, 15, berkata dia sangat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan tersebut.
"Di rumah bagi memastikan saya bersama dua adik yang berada di Tingkatan dua dan darjah lima tidak tercicir dalam pelajaran, ayah menyediakan satu telefon yang kami kongsikan bersama jadi agak susah menyiapkan kerja sekolah yang cikgu berikan.
"Sangat gembira terpilih menerima bantuan secara tidak langsung telah memudahkan saya untuk menghantar tugasan dengan cepat," katanya.
08 Jul 21
325